Wednesday, 9 May 2012

Jawatan Besar, Badan Pun Besar Tapi Sayang Jiwa Kecil


Ketika berucap di majlis bersama peneroka di Jerantut, Pahang sambil mengumumkan pemberian "durian runtuh" kepada para peneroka dua hari lalu, Najib telah menyerlahkan watak dirinya yang sebenar yang selama ini berjaya disembunyikannya. Dengan program itu disiarkan secara langsung melalui tv ke seluruh negara, watak sebenar Najib itu bukan saja dapat disaksikan oleh mereka yang hadir di program itu tetapi juga rakyat di seluruh negara.

Dalam program itu Najib telah mengumumkan pemberian wang tunai sebayak RM15 ribu kepada kira-kira 112,000 peneroka berikutan penyenaraikan Felda Global Venture ke Bursa Malaysia. Pemberian wang tunai yang diberikan kepada tiga kelompok itu iaitu ketua keluarga, isteri dan generasi kedua dengan masing-masing memperolehi RM5 ribu juga turut diberikan melalui tiga fasa pemberian. Fasa pertama sebanyak RM5 ribu dijangka diberikan kepada peneroka dalam tempoh dua minggu lagi.

Meskipun pemberian wang tunai itu merupakan berita gembira kepada para peneroka tetapi sikap Najib ketika berucap telah melukakan sesiapa saja yang mendengarnya. Beliau telah mengungkapkan perkataan "haram jadah" sebanyak dua kali yang ditujukan kepada mereka yang menentang penyenaraian FGV sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga membidas kelompok yang selama ini menentang penyenaraian FGV itu. Dalam ucapannya sebagaimana yang disiarkan dalam Free Malaysia Today tetapi tidak disiarkan oleh media arus perdana ialah berbunyi "Saya nak tengok muka-muka ini durian runtuh ni mereka terima atau tak. Saya tak rela dan tak redha mereka ini terima. Itu pasallah nak cuba khianat apa yang kita buat lepas itu muka tebal terima pula.

"Durian runtuh ini hanya untuk peneroka yang jujur dan setia pada perjuangan," kata Najib lagi.

Bagi sesiapa yang mendengar ucapan Najib atau membacanya tentunya tidak menyangka ucapan sedemikian boleh diucapkan oleh seorang Perdana Menteri dan datang pula daripada keturunan Tun Razak yang begitu tinggi peribadi dan banyak jasanya. Perwatakan Najib pasa hari itu seolah-olah beliau bukan seorang Perdana Menteri. Beliau juga seperti bukan datang daripada darah daging Tun Razak. Standardnya dengan ucapan yang sedemikian dan menyebut pula perkataan "haram jadah" sebanyak dua kali hanya menunjukkan beliau tidak jauh bezanya dengan pencacai UMNO tak bertuan atau Ketua UMNO cawangan paling haprak dalam masyarakat.

Dengan memberi ucapan sedemikian dan menzahirkan dirinya sebagai seorang yang tidak dapat mengawal perasaan menyerlahkan bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang rendah budi pekerti dan berjiwa kecil. Jiwanya terlalu kecil dan tidak sesuai dentan jawatan yang disandang serta tubuh badannya yang besar itu.

Tidakkah Najib menyedari bahawa jawatan Perdana Menteri yang disandangnya hanyalah amanah yang diberi oleh rakyat melalui proses demokrasi yang membenarkan sesiapa pun menyuarakan pandangan bersetuju dan tidak bersetuju terhadap sesuatu perkara. Tidaklah boleh menempelak sebegitu rupa terhadap mereka yang tidak bersetuju terhadap penyenaraian FGV kerana mereka menentangnya melalui proses yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.

Dan dalam proses demokrasi yang diamalkan FGV berjaya disenaraikan setelah melalui proses pengundian yang mana akhirnya ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda atau KPF secara majoriti menyokong penyenaraian itu. Itulah proses demokrasi dan setelah menang dan berjaya membawa FGV ke Bursa Malaysia, adalah tidak beradab sama-sekali melabelkan mereka yang menentang itu sebagai "haram jadah".

Najib juga tidak separutnya menyebut tidak rela dan tidak redha mereka yang menentang turut menerima durian runtuh yag diumumkannya itu. Ia adalah hak peneroka, bukannya wang dari poket Najib sendiri. Felda adalah hak kerajaan dan bukannya hak milik warisan keluarga yang ditinggalkan oleh Tun Razak untuk Najib sekeluarga sahaja. Janganlah wang Felda dianggap sebagai duit sendiri, duit kerajaan pun dianggap duit sendiri.

Dengan Najib menyebut tidak rela dan tidak redha mereka yang menentang turut menerima durian runtuh seolah-olah melupakan penat lelah para peneroka mengusahakan tanah ladang sejak puluhan tahun lalu. Bagi yang menentang, adalah hak mereka juga menerima durian runtuh itu kerana mereka ada sumbangan kepada kemajuan Felda selama ini.

Tugas sebagai Perdana Menteri hanyalah menjalankan amanah rakyat dan berusaha memberi yang terbaik untuk rakyat. Sikap menyokong dan menentang adalah perkara biasa dalam proses demokrasi dan ianya harus dihadapi dengan tabah dan dengan jiwa yang besar. Jika seseorang pemimpin itu kekal tabah dan berjiwa besar, tidak mustahil mereka yang menentang akan menjadi penyokong setia akhirnya.

Namun sikap yang ditunjukkan Najib amat pelik dan menjengkelkan. Beliau telah menenggelamkan watak yang sepatutnya sebagai seorang Perdana Menteri yang sewajarnya sentiasa tabah, tidak emosional, gigih, terbuka, berhati mulia serta menjadi pemimpin kepada semua rakyat. Emosi melampau yang merantai jiwanya membuatkan Najib kelihatan jelek dan tidak sesuai duduk di singgahsana Seri Perdana.

Sukar memahami bagaimana Najib boleh merendahkan darjatnya sedemikian rupa sedangkan beliau datang daripada keluarga Tun Razak dan Tun Rahah, keluarga bangsawan baik-baik yang biasanya amat mementingkan budi bahasa dan akhlak yang mulia. Atau adakah Najib memang sebenarnya seorang yang biasa mengungkapkan perkataan-perkataan kasar dan kesat seperti "haram jadah" dan lain-lainnya ketika di rumah atau ketika memarahi anak-anaknya.

Jika itulah keperibadian Najib yang sebenarnya tetapi berjaya disembunyikan selama ini, amatlah malang kita mempunyai seorang Perdana Menteri seumpaman itu. Dan dengan Najib sendiri membuka tembelang tentang wataknya yang sebenar itu, eloklah kita rakyat Malaysia menamatkan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga PRU 13 ini sahaja.

Untuk terus maju, Malaysia tidak memerlukan pemimpin berjiwa kecil seperti Najib, sebaliknya memerlukan pemimpin yang berjiwa besar, tabah, gigih menghadapi cabaran, bersikap terbuka, pemaaf dan sedia berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa memilih bulu. (SH 09/05/2012).





2 comments:

  1. Biarlah tuan kat dia..jangan dok tobai Ah Jib Gor tu sangat. Dia tengah tension sangat tu sebab dah merasa tahun depan dia tak duduk kat Malaysia ni lagi. Orang seram sejuk dan mimpi Altantuya..jadi tuan faham faham saja lah. Kasi peluang lah dia maki hamun sebab ini lah sisa siasa masa yang ada untuk di buat begitu.

    Tahun depan dia dah terpaksa maki hamun dalam bahasa Kazastan nun jauh dari Malaysia. Mimpi Scorpeon dan Altantuya ni dah jadi mainan dia akhir kahir ni. Minta sangat sangat tuan faham dan bagi sikit simpati kat dia.

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan,

    Yang saya kasihan bukan Najib, tapi bila saat Najib sebut billion, wahhh .... seorang peneroka tua, angkat tangan kelangit macam berdoa syukur. Fulamak!!

    Tapi ... bila Najib sebut Rm5000, kemudian sebut fasa 1 fasa 2, alahai .... saya mengerti wajah-wajah peneroka macam tercengang, bisik antara satu ssma lain, tercegat macam tidak percaya.

    Bukannya tidak percaya apa, wajah mereka macam kenapa tidak Rm50 ribu seorang?????

    Hah ... barulah terfikir macam tersentak.

    Apa nak buat, sudah sign borang. nak kesal apa lagi. Yang ANAK dah beritahu awal-awal, semua macam tidak percaya. Mendengar guruh dilangit, air ditempayan dicurahkan. Guruh itu cuma menggerakkan awan sahaja dan hujan turun temapt lain.

    Cuma Rm15 ribu sahaja???!!! Durian kecik saja.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...