Thursday, 5 June 2014
Sedarlah Jais - Serbu Murtad Tidak Sama Dengan Serbu Khalwat
Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais mengundang kontroversi lagi. Jika dulu Jais menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia dan merampas 300 naskhah kitab Injil berbahasa Melayu kerana bimbangkan agama Kristian cuba disebarkan kepada masyarakat Melayu sehingga menimbulkan kemarahan penganut agama ini, kali ini jabatan itu berbalah berkaitan agama Hindu pula.
Kali ini serbuan di kuil dilakukan kerana percaya ada wanita Islam telah murtad melalui perkahwinan.
Ahad lalu, sekumpulan pegawai Jais dengan diiringi beberapa orang polis telah menyerbu sebuah kuil ketika berlangsungnya majlis perkahwinan seorang wanita, Zarina Abdul Majid dengan pasangannya lelaki yang beragama Hindu. Oleh kerana adanya aduan yang disampaikan kepada Jais, tentunya aduan itu dilakukan beberapa hari sebelum itu, pegawai jabatan itu telah menyerbu kuil tersebut ketika berlangsungnya majlis perkahwinan itu.
Sebagaimana yang yang dilaporkan oleh banyak media, dalam serbuan pada 10 pagi itu, selain mengumpul maklumat daripada pasangan yang hendak berkahwin itu, Zarina juga dibawa ke pejabat Jais di Shah Alam dan hanya dibebaskan pada jam 2.00 petang kemudiannya.
Sehubungan itu, Zarina yang mengaku hanya namanya Islam tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak lahir, berasa malu dan terganggu dengan serbuan Jais itu, tambahan pula ramai jemputan yang datang akhirnya memilih untuk segera pulang tanpa menjamah hidangan yang disediakan.
Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi detik meriah dan manis, akhirnya bertukar menjadi babak hitam dan memalukannya.
Dalam pengakuannya, Zarina berkata, namanya mirip seperti Islam kerana bapanya secara sepihak berbuat demikian sebelum menghilangkan diri tidak lama selepas itu. Ibunya pula tidak menyedari namanya mirip Islam kerana buta huruf. Beliau juga menegaskan sudah berusaha melalui pelbagai cara untuk menukar nama dan status agama pada kad pengenalannya tetapi tidak berhasil meskipun sudah membelanjakan lebih RM20 ribu bagi tujuan itu.
Ketika ini ramai pihak, daripada parti politik, NGO, pemimpin kerajaan, pembangkang malah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad turu meluahkan kekecewaan mengenai cara Jais bertindak itu. Jais seolah-olah tidak bijaksana dan tidak menghormati majlis perkahwinan agama lain yang sedang berlangsung.
Walaupun Jais cuba menafikan bahawa kedatangannya bukan merupakan serbuan tetapi hanya untuk mengumpul maklumat tetapi dengan membawa anggota polis dan kemudian membawa pula Zarina ke pejabat Jais untuk diambil keterangannya, apakah itu bukan serbuan namanya?
Apa yang menimbulkan persoalan ialah Jais tentunya menerima maklumat mengenai perkahwinan Zarina beberapa hari atau beberapa jam sebelum itu. Apakah tidak boleh siasatan dilakukan lebih awal atau dibiarkan saja majlis perkahwinan itu selesai dulu dan kemudian dipanggil pasangan itu ke pejabat untuk proses siasatan?
Kenapakah pegawai Jais tidak boleh berfikir bahawa kes murtad bukanlah seperti kes khalwat atau zina yang memerlukan tangkapan atau bukti ketika kejadian sedang belaku? Atau adakah kepala pegawai Jais hanya sarat dengan memikir berkaitan khalwat dan zina saja sehinga tangkapan kes murtad pun mahu dilakukan sepertinya?
Serbuan ke kuil ini bukan saja memalukan jabatan itu, malah umat Islam sendiri turut merasa malu dengan cara tindakan seperti itu. Jais seolah-olah tiada toleransi dan hanya tahu menghukum - tanpa memikirkan tindakan yang dilakukan itu benar, berlandaskan agama atau sebaliknya.
Jais nampaknya tidak belajar langsung daripada kesilapan mereka terhadap penganut agama Kristian dalam serbuan dan rampasan kitab Injil berbahasa Melayu dahulu. Selain tidak mengkaji bahawa kerajaan pimpinan Najib Razak telah membenarkan kemasukan kitab Injil berbahasa Melayu untuk edaran Sabah dan Sarawak asalkan ditulis di kulit luarnya "Untuk Kristian", rampasan itu juga menimbulkan kemusykilan kerana tiada tindakan lanjut yang diambil selepasnya.
Sekali lagi, ianya menimbulkan persoalan, apakah kebenaran yang mahu ditegakkan oleh Jais melalui serbuan itu? Atau serbuan itu sekadar suka-suka dan ingin menunjuk kuasa?
Kini, belum pun reda permusuhan yang dicetuskan dengan penganut Kristian, Jais cuba berbalah pula dengan penganut agama Hindu?
Kenapakah tidak diselidiki dan disiasat dengan mendalam terlebih dahulu sebelum melakukan serbuan yang melibatkan penganut agama lain? Janganlah terlampau ghairah mahu melakukan tangkapan dan serbuan tanpa memikirkan kesannya kepada Islam secara keseluruhannya.
Selain perlu melakukan siasatan secara mendalam dan bertindak pula secara berhemah, jangan main serbu saja atau menganggap semua kesalahan melibatkan agama adalah sama seperti kesalahan zina dan khalwat yang pesalahnya perlu ditangkap ketika berdua-duan dan tanpa pakaian, Jais juga perlu lebih fokus kepada aspek lain yang melibatkan umat Islam sendiri.
Di Selangor ini, jika Jais ingin menguatkuasakan undang-undang dan menambah pahala, cegahlah kemungkaran yang lebih besar seperti menahan umat Islam yang banyak meminum arak di kelab, pub dan pelbagai pusat hiburan yang bertaburan di negeri itu. Cegahlah juga pergaulan bebas antara muda-mudi lelaki dan wanita yang begitu menjolok mata terutama pada malam hujung minggu.
Selain pusat hiburan, pusat refleksiologi yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan sekarang ini juga perlu diberi perhatian oleh Jais kerana sebahagiannya adalah terselindung aktiviti pelacuran yang merosakkan ramai umat Islam sendiri.
Umat Islam yang tidak berpuasa, tidak sembahyang Jumaat dan pelbagai kelalaian lain lebih perlu diberi perhatian oleh Jais. Begitu juga dengan pasangan yang bermasalah dalam perkahwinan, perceraian, mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan seribu satu masalah lainnya.
Dalam masa yang sama, Jais juga janganlah hanya melihat aspek tangkapan dan penguatkuasaan saja. Lakukan juga sesuatu yang lebih berkesan untuk menarik golongan muda lebih mendekati surau dan masjid serta mencintai agama dalam kehidupan dan aktiviti seharian mereka.
Pendeknya, daripada melakukan serbuan yang menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam masyarakat pelbagai agama, lebih banyak kerja lain yang sepatutnya lebih dahulu dan diutamakan oleh Jais. Dalam kes Zarina yang berkahwin di kuil Hindu, Jais sepatutnya tahu wanita itu tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak lahirnya lagi dan jika menemuinya lebih awal sebelum majlis perkahwinannya dan membantu pula penyelesaian masalahnya yang berlarutan sudah sekian lama, jabatan itu tentunya lebih dipandang tinggi oleh semua agama.
Atau jika Jais menunggu sehingga majlis perkahwinan itu selesai untuk melakukan siasatan dan jika didapati Zarina memang tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan mempunyai keinginan pula menganut agama lain, bantuan yang dilakukan Jais tentulah juga ianya amat dihargai kerana telah menunjukkan sikap toleransi Islam yang tinggi.
Malangnya, semua pilihan yang lebih baik itu tidak dilakukan oleh Jais.
Dalam hal ini, benarlah kata Mahathir kepada Jais, "kembalilah kepada ajaran Al Quran yang sebenar". (SH 05/06/2014)
Wednesday, 4 June 2014
Saman Betul Atau Acah-Acah?
Perdana Menteri, Najib Razak dan UMNO akhirnya meneruskan tindakan saman terhadap portal berita Malaysiakini atas penyiaran artikel yang menghimpunkan komen-komen pembaca mengenai dirinya yang dianggap sebagai fitnah dan menjejaskan reputasi peribadinya sebagai ahli politik, Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Komen-komen yang dijadikan artikel itu diterbitkan pada 14 Mei itu adalah berkaitan krisis politik di Terengganu berikutan pertukaran jawatan Menteri Besar daripada Ahmad Said kepada Ahmad Razif Abdul Rahman dengan tajuk "A case of the PM reapings what he sows" dan "How much will Najib spend to keep Terengganu".
Najib dan UMNO sebelum itu telah menghantar notis tuntutan agar Malaysiakini menarik balik, memohon maaf dan tidak mengulangi penyiaran artikel seumpamanya di lain masa. Bagaimanapun Malaysiakini menolak tuntutan itu kerana ia bukan dasar yang biasa mereka amalkan, sebaliknya menawarkan Najib ruang untuk menjawab dan menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Sebagaimana Malaysiakini menolak untuk menarik balik dan meminta maaf atas artikel yang telah disiarkannya, Najib juga memilih untuk menolak ruang menjawab yang diberikan oleh portal berita itu.
Lantaran itu, Najib yang memfailkan saman atas kapasiti peribadinya manakala Setiausaha Kerja UMNO, Abdul Rauf Jusoh mewakili UMNO, telah mengemukakan saman terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang, Stevan Gan dan Pengarang Fathi Aris Omar, atas penyiaran artikel tersebut.
Walaupun menjadi hak Najib untuk mengemukakan tindakan saman itu, tetapi mengambil tindakan undang-undang terhadap penyiaran artikel berdasarkan pandangan dan luahan hati pembaca, samalah seperti cuba menyekat rakyat daripada menyuarakan pandangan mereka.
Lagi pula, jika pun pandangan pembaca itu tidak dijadikan berita, ia tetap juga boleh dibaca melalui ruangan komen pembaca yang memang disediakan oleh portal berita itu. Hampir semua portal berita juga sekarang ini menyediakan ruang untuk pembaca meluahkan pandangan, sesuai dengan konsep keterbukaan dan langit yang sudah lama terbuka.
Tindakan saman ini juga memperlihatkan Najib semakin tertutup daripada sebarang kritikan walaupun sebelum ini kerap menjanjikan keterbukaan dan ruang yang lebih luas untuk rakyat menyuarakan pandangan terhadap kepimpinan dan pentadbirannya.
Dalam hal ini, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sendiri seakan kurang bersetuju dengan tindakan saman yang diambil oleh Najib itu walaupun dalam masa yang sama mengakui adalah hak Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
Kata Mahathir lagi, "itu hak beliau tetapi saya tidak akan saman. Dalam politik sama ada kita kena hentam atau dipuji".
Mahathir juga menyindir Najib dengan mengatakan selain beliau tidak mempunyai banyak wang untuk mengemukakan saman, tindakan saman hanyalah memberi wang kepada peguam tetapi plaintif tidak mendapat apa-apa pun daripada tindakan yang diambil itu.
Selain ramai mempertikaikan kewajaran Najib mengemukakan saman terhadap Malaysiakini itu kerana ia lebih menunjukkan beliau tidak lagi terbuka, tidak toleran dan tidak sedia mendengar suara sebenar daripada rakyat, sebaliknya lebih gemarkan sanjungan dan puji-pujian, ramai juga sinikal tentang sejauh mana seriusnya tindakan saman itu.
Ini kerana sebelum ini UMNO juga pernah mengemukakan saman terhadap Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali yang menuduh parti itu terlibat dalam penyiaran video lucah yang mirip dirinya dan juga Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung isu pencerobohan Lahad Datu.
Bagaimanapun kedua-dua saman itu kemudiannya ditarik balik melalui penyelesaian di luar mahkamah dan UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Abdul Rauf juga dilihat bersalam-salaman dengan pemimpin pembangkang itu.
Keadaan itu menyebabkan ramai kalangan dalam UMNO yang meluahkan rasa marah dan tersinggung kerana setelah beria-ia mengemukakan saman dan mahu menegakkan kebenaran, tiba-tiba dengan mudah saja menarik baliknya walaupun Ahli MT UMNO, Razali Ibrahim menyatakan penarikan balik itu menunjukkan keterbukaan dan sikap sedia memaafkan yang diamalkan oleh parti itu yang seharusnya juga menerbitkan perasaan malu kepada mereka yang terlibat.
Tetapi lebih ramai yang melihat tindakan menarik balik saman itu menunjukkan sikap tidak serius dan tidak yakin dengan kebenaran yang mahu dipertahankan oleh UMNO. Ia juga dianggap menjejaskan reputasi dan imej UMNO kerana seolah-olah sudah terkulai sebelum berjuang.
Lantaran itu, ramai yang mempersoalkan apakah tuntutan saman Najib dan UMNO terhadap Malaysiakini ini sesuatu yang serius atau acah-acah saja sebagaimana Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi yang sebelum itu begitu memusuhi dan melabelkan macam-macam terhadap portal berita itu tetapi kemudiannya dilihat ketawa mesra menyampaikan anugerah kepada ketua editornya seolah-olah tidak pernah ada prasangka walau sedikit pun.
Lebih-lebih lagi peguam dan individu yang mewakili UMNO itu adalah juga orang yang sama yang menarik balik saman UMNO sebelum ini. (SH 04/06/2014)
Tuesday, 3 June 2014
Kenapa Tengku Razaleigh Diketepikan Sempena 40 Tahun Hubungan Malaysia - China?
Minggu lalu Perdana Menteri, Najib Razak mengadakan lawatan enam hari ke negara China. Selain lawatan itu bertujuan merapatkan hubungan diplomatik, perdagangan dan sosio-budaya antara Malaysia dengan China, tujuan besar lawatan kali ini ialah untuk meraikan 40 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua negara.
Memandangkan permetraian hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China diadakan pada 31 Mei 1974 oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri ketika itu bersama Perdana Menteri China, Zhou Enlai, kunjungan Najib selaku anak Tun Razak untuk meraikan hubungan yang telah terjalin selama 40 tahun itu tentulah besar ertinya.
Ia bukan saja sesuatu yang manis dan membanggakan negara, bahkan juga tentunya turut menyentuh perasaan Najib sendiri kerana dapat melihat sendiri kejayaan yang telah diasaskan oleh bapanya dan beliau menjadi penyambungnya pula ketika ini.
Ketika lawatan itu baru dua hari berlangsung, negara dikejutkan dengan kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah di IJN, Kuala Lumpur. Najib segera kembali ke tanahair untuk memberikan penghormatan terakhir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan pentingnya lawatan ke China itu dapat dilihat apabila Najib kemudiannya kembali semula ke China untuk menyambung aturcara lawatannnya.
Kalaulah lawatan dan hubungan dengan China itu tidak penting, sudah pastilah Najib terus saja berada di Kuala Kangsar sehingga upacara pengkebumian Almarhum Sultan Perak selesai dan menyerahkan kepada menteri-menteri yang mengikuti rombongannya meneruskan program seterusnya.
Tetapi kerana pentingnya hubungan yang telah terjalin selama 40 tahun itu kepada kesejahteraan negara, di samping ada nilai sentimental kepada dirinya selaku anak kepada Tun Razak, maka Najib kembali menyambung acara lawatannya setelah beberapa jam meninggalkan untuk menziarahi Almarhum Sultan Perak.
Hakikatnya, semua orang tahu sejarah hubungan Malaysia dengan China yang telah terjalin sejak 40 tahun itu. Dalam membina hubungan persahabatan itu, Malaysia pada tahun 1971 merupakan satu-satunya negara yang mendesak PBB agar menerima China menyertai pertubuhan itu. Dalam perhimpunan agung PBB pada tahun yang sama, Malaysia juga telah menyokong pemulihan kerusi Republik Rakyat China di PBB.
Semua orang juga tahu dalam usaha membina persahabatan yang lebih kukuh itu, Tun Razak telah meminta Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu menjadi Pengerusi Pernas untuk mengetuai delegasi ahli-ahli perniagaan Malaysia menyertai Ekspo Perdagangan di Guangzhuo pada tahun 1971. Atas rasa besar hati dengan kedatangan delegasi perdagangan itu, Perdana Menteri China, Zhou Enlai dan Naib Perdana Menterinya, Li Xianian telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli rombongan yang diketuai oleh Tengku Razaleigh itu.
Kemudian dari itu, rombongan daripada China pula melakukan lawatan ke Malaysia dan ia menandakan negara itu telah mengubah pendirian lamanya serta mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang perlu dijalinkan hubungan baik.
Tun Razak melakukan lawatan rasmi ke China pada 28 Mei hingga 2 Jun 1974 untuk membuka lembaran baru hubungan diplomatik Malaysia dengan China dan pada 31 Mei, Tun Razak bersama Perdana Menteri China, Zhou Enlai telah menandatangani perjanjian diplomatik antara kedua negara yang bertujuan menjalin dan memperkukuhkan lagi hubungan yang sebenarnya sudah pun bermula sejak ratusan tahun dulu lagi.
Hari ini, hasil hubungan itu, China bukan saja merupakan antara 10 pelabur terbesar dalam Malaysia, bahkan merupakan rakan perdagangan dan pasaran eksport keempat terbesar bagi negara.
Sementara Najib begitu menghargai hubungan 40 tahun yang terjalin itu, bahkan memilih 31 Mei juga untuk mengadakan lawatan ke China, sesuatu yang tertinggal ialah apabila beliau mengenepikan Tengku Razaleigh dalam sejarah yang amat bermakna itu.
Memandangkan Tengku Razaleigh masih hidup dan sihat, beliau adalah perakam sejarah sebenar yang bukan saja seharusnya dihargai oleh Najib dan negara, bahkan boleh menceritakan pelbagai perkara tentang usaha menjalin hubungan itu yang mungkin tidak diketahui oleh ramai orang lain.
Sekiranya dalam lawatan ke China tempohari, beliau turut membawa Tengku Razaleigh bersama, ia tentulah bukan saja bermakna kepada Malaysia tetapi juga kepada negara China sendiri. Ini kerana selain Tun Razak yang selalu disebut sebagai memulakan hubungan diplomatik dengan China itu, nama Tengku Razaleigh sebagai perintis dan "menebas lalang" untuk membuka laluan persabahatan, perdagangan dan hubungan yang lebih erat, juga tidak boleh dikesampingkan.
Bersama-sama Tun Razak, bukalah mana-mana makalah, tulisan atau catitan sejarah hubungan diplomatik Malaysia dengan China, nama Tengku Razaleigh kekal tercatit sebagai salah satu watak pentingnya.
Najib pastilah akan lebih dihargai jika beliau tahu menghargai tokoh-tokoh lain yang banyak membantu kejayaan bapanya dulu. (SH 03/06/2014)
Subscribe to:
Posts (Atom)