Tuesday, 2 July 2013
Najib Terus Mencurah Habuan, Annuar Musa Bakal Pengerusi MARA?
Dalam usaha Najib mahu mempertahankan kuasanya sebagai Perdana Menteri, beliau dipercayai akan terus mencurahkan habuan dan ganjaran kepada kalangan Ahli Parlimen yang tercicir dalam pengagihan jawatan kabinet baru-baru ini. Sebelum ini Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji manakala Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif Ahmad pula dijadikan Pengerusi SPNB.
Walaupun perlantikan Azeez menerima kritikan dan kontroversi yang agak besar berbanding perlantikan yang lain tetapi pengesahan beliau memegang jawatan itu sudah pun dibuat semalam dan ini memperlihatkan bahawa program memberi habuan dan ganjaran ini akan tetap diteruskan mengikut perancangan yang sudah dibuat oleh Perdana Menteri bersama penasihat-penasihatnya.
Maklumat terbaru pula menyebut, seorang lagi iaitu Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Annuar Musa bakal dilantik sebagai Pengerusi MARA yang baru menggantikan Idris Jusoh yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pelajaran Kedua.
Sementara itu bekas Timbalan Menteri Pertanian, Johari Baharom yang digugurkan dalam pembentukan kabinet baru-baru ini turut dikhabarkan sudah pun dilantik sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam usaha Najib mahu mempertahankan jawatannya sama ada dari kemungkinan ditumbangkan melalui undi tidak percaya di Parlimen, mahu pun dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO hujung tahun ini, adalah diyakini beliau akan terus mengagih-agihkan jawatan sebagai Pengerusi mana-mana GLC atau agensi kerajaan kepada kalangan Ahli Parlimen yang tidak diberikan jawatan menteri atau timbalan menteri, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, beberapa Ketua UMNO Bahagian yang kalah bertanding atau tidak dipilih menjadi calon dalam pilihanraya lalu, dikatakan akan turut menerima habuan tersebut secara berperingkat-peringkat tidak lama lagi.
Sepertimana sudah menjadi perbualan umum, kemungkinan Najib dicabar melalui undi tidak percaya di Parlimen tidak boleh dipandang ringan sekarang ini berikutan tindakan hampir 20 Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah meluahkan kekecewaan dan perasaan tidak puas hati mereka terhadap layanan Najib.
Walaupun Sabah dan Sarawak menyumbang kira-kira 1/3 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN tetapi mereka hanya diperuntukkan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri sahaja. Ada parti yang menang banyak kerusi diberikan jawatan yang sedikit atau tidak diperuntukkan apa-apa jawatan dalam kabinet manakala terdapat pula parti yang menang sedikit kerusi tetapi diberikan jawatan menteri.
Semua ini menimbulkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati. Pertemuan mereka yang tidak berpuas hati itu dengan Tengku Razaleigh segera menimbulkan andaian bahawa mereka ini melalui peranan yang akan dimainkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu akan bergabung dengan 89 kerusi yang ada ditangan PR untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.
Cabaran kedua Najib ialah kemungkinan beliau ditentang dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini. Disebut-sebut bahawa Muhyiddin Yassin atau Tengku Razaleigh akan mencabar Najib untuk jawatan Presiden UMNO dalam sistem pemilihan terbuka yang pertama kali diamalkan sejak Mahathir mewujudkan kouta pencalonan sebaik UMNO dihidupkan kembali pada 1988 lalu.
Dalam menghadapi kedua-dua cabaran ini, Najib nampaknya tiada pilihan selain memberikan ganjaran atau habuan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian untuk memastikan kesetiaan mereka sentiasa tertumpah kepadanya. Pemberian jawatan kepada Azeez Rahim dan Dr Latif adalah permulaan ke arah itu manakala perlantikan Annuar Musa dan Johari Baharom pula merupakan tindakan susulan yang memperlihatkan keagresifan Najib mahu mempertahankan kedudukannya.
Beberapa lantikan lagi dipercayai akan terus menyusul selepas ini dan seboleh-bolehnya Najib mahu mempamerkan dirinya sebagai pemimpin yang sentiasa mendapat sokongan dan dalam masa yang sama mengekang pengaruh Muhyiddin dan Tengku Razaleigh yang berkemungkinan mengganggu-gugat kedudukannya.
Sekurang-kurangnya menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti, beberapa Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian lagi akan menerima khabar gembira masing-masing dan seterusnya menjadikan mereka lebih ceria dan gembira bersama jawatan dan ganjaran yang diterima itu. (SH 02/017/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tuan,
ReplyDeleteAustralia menjadi panduan orang umno, PM nya baru bertukar orang dalam parti sama.