Sunday 30 June 2013
Yang Salah Ialah Siapa Yang Lantik Azeez Rahim Pengerusi Tabung Haji
Perlantikan Azeez Rahim, Ahli Parlimen Baling dan Pengerusi Kelab Putra 1Malaysia sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru menjadi isu dan pertikaian kebanyakan orang dalam sehari dua ini. Banyak pihak dalam UMNO turut meluahkan rasa kurang senang dengan perlantikan itu, manakala yang mengenali Azeez pula ada yang tersenyum dan ada pula yang menggelengkan kepala sebaik mendengar berita itu.
Azeez yang juga dikenali sebagai Azeez Putra, Azeez Gaza dan macam-macam gelaran lagi adalah seorang aktivis UMNO yang rajin dan gigih. Bermula dengan mengetuai Biro Putra Pemuda UMNO Malaysia, kemudian menang sebagai Ahli MT UMNO dan menerajui Kelab Putra 1Malaysia pula, beliau bukan saja aktif dalam mendekati mat rempit tetapi juga aktif menghulurkan bantuan bila saja ada mala petaka menimpa.
Melalui Kelab Putra yang diterajuinya, beliau menjelajah ke seluruh dunia menghulurkan bantuan seperti di Indonesia, Thailand, Jepun dan banyak negara lain. Beliau juga membawa rombongan membawa makanan dan ubat-ubatan ke Gaza dan Palestin dalam misi kemanusiaannya.
Di dalam negara, beliau aktif menghulurkan bantuan. Asal saja ada kejadian buruk seperti banjir, tanah runtuh atau apa saja, kelibatnya pasti ada. Di Baling, kawasan di mana beliau berpolitik juga, sumbangannya diketahui dan dirasai oleh ramai orang.
Dalam politik UMNO pula, beliau dikenali sebagai orang yang rajin mencium tangan pemimpin dan membuatkan kehadirannya disedari. Ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, beliau mempunyai hubungan yang rapat sehingga boleh bercakap melalui telefon. Di era Najib pula, hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri lebih intim dan kemas. Dalam beberapa pilihanraya kecil, terutamanya pilihanraya kecil Ulu Selangor beberapa tahun dulu, beliau memainkan peranan menyelesaikan masalah peneroka Felda Sungai Buaya sehingga akhirnya calon BN Kamalanathan berjaya menewaskan calon PKR, Zaid Ibrahim.
Kerana hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri, dalam menjalankan misi kemanusiaannya melalui Kelab Putra ke perbagai negara, beliau dilihat agak mudah memperolehi bantuan dan sumbangan. Ketika berbual pula, pujiannya mengenai Perdana Menteri jarang terpisah dari bibirnya.
Dalam pilihanraya lalu, beliau menang di Baling menewaskan calon Pas, Najmi Ahmad walaupun ramai yang menjangkakan beliau akan tewas kerana calon Pas itu merupakan tokoh agama yang agak dikenali umum. Sementara perwatakan, perangai, latar belakang malah ijazahnya juga dipertikaikan, Azeez akhirnya berjaya menyumbang satu kerusi daripada 133 yang dimenangi oleh BN.
Selepas kemenangannya yang mengejutkan itu, ada juga yang meramalkan Najib akan melantiknya sebagai timbalan menteri kerana hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri.
Memang ramai yang mempertikaikan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji. Perlantikannya dilihat tidak sesuai dengan kedudukan Tabung Haji sebagai GLC yang besar, kukuh dan berkait rapat pula dengan rukun Islam kelima. Ramai yang melihat Tabung Haji lebih sesuai dipengerusikan oleh individu lain seperti bekas menteri atau bekas pegawai kanan kerajaan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan. Atau setidak-tidaknya bukanlah di kalangan mereka yang dipertikaikan banyak sisi kehidupannya.
Beberapa pemimpin UMNO pula mencadangkan agar perlantikan pengetusi GLC dibuat berdasarkan kelayakan dan track record seseorang dan tidak semata-mata sekadar mengisi kekosongan atau kerana ingin memberi ganjaran kepada seseorang kerana GLC seperti Tabung Haji berkait rapat dengan perniagaan, keuntungan serta ibadah, maka seseorang penerajunya mestilah seseorang yang berintergeriti tinggi dan tidak diperkatakan karektornya.
Sebelum ini bekas menteri, Syed Hamid Albar pernah diberi surat perlantikan sebagai Pengerusi Tabung Haji sebaik Najib menjadi Perdana Menteri tetapi kemudian dipujuk agar menolak dan memulangkan surat perlantikan itu berikutan adanya bantahan daripada pihak tertentu yang tidak menyukai Syed Hamid. Beliau kemudian diberikan jawatan Pengerusi SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
Isunya apakah Azeez lebih berintergeriti di mata Najib berbanding Syed Hamid Albar?
Dalam hal ini, ramai yang melihat perlantikan Azeez adalah permulaan kepada pendekatan Najib memberi ganjaran kepada Ahli-Ahli Parlimen BN yang diketepikan dalam pemberian jawatan kabinet selepas pilihanraya lalu. Sebelum ini Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif Ahmad turut dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad dan khabarnya beberapa Ahli Parlimen lain akan mendapat berita gembira yang sama tidak berapa lama lagi, tambahan pula banyak GLC mempunyai kekosongan ketika ini.
Pemberian itu mungkin sebagai ganjaran dari sikap murah hati Perdana Menteri tetapi ramai juga yang melihat ianya sebagai pendekatan Najib untuk memastikan Ahli-Ahli Parlimen BN ini tidak berpaling tadah daripadanya jika berlaku sesuatu di Parlimen nanti.
Walaupun Azeez dilihat oleh banyak pihak tidak layak atau kurang sesuai menjadi Pengerusi Tabung Haji, mungkin kerana peribadinya, mungkin kerana karektornya, mungkin kerana pengalaman dan pengetahuannya dalam dunia korporat tidak mencukupi atau mungkin kerana 1001 sebab yang lain tetapi tidak menjadi kesalahan jika beliau melobi atau berhajat untuk menduduki kerusi itu.
Sebagai ahli politik, tambahan pula kini sudah menjadi Ahli Parlimen, Azeez mungkin mempunyai keinginan untuk meningkatkan taraf sosialnya di mata umum. Sama ada beliau melobi untuk mendapatkan jawatan itu atau kerana Najib memberinya sebagai suatu anugerah tanpa diminta, Azeez sebenarnya tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Tidak salah beliau meminta atau menawarkan diri.
Yang perlu dipersalahkan ialah Najib yang melantiknya. Najib seharusnya tahu bahawa beliau sekarang menguruskan sebuah kerajaan dan pemberian sesuatu jawatan, sama ada menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLC mestilah berasaskan kelayakan dan kebolehan seseorang itu. Perlantikan tidak boleh dibuat secara tangkap muat atau kerana seseorang penyokong setia atau juga kerana seseorang itu kerap mencium tangannya ketika bersalam.
Tidak semestinya semua kawan, penyokong setia dan mereka yang mencium tangan perlu diberikan jawatan dalam kerajaan kerana mereka ini boleh diberikan ganjaran dalam bentuk lain yang tidak menjejaskan prestasi atau kewibawaan kerajaan yang sedang dipimpinnya.
Pelantikan yang silap dan menjadi pertikaian umum akhirnya akan menjejaskan nama Perdana Menteri juga. (SH 30/06/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tetap terang dan nyata Najib menghadapi wakyu akhir2 tempoh sah lakunya sebelum November, 2013 menjelang! Ini dan kepelikan seterusnya akan berlaku tetapi pergi, dia tetap kena turun!
ReplyDeletehancur la nampak nya tabung haji. Penyimpan duit dalam tabung haji mari bangkit bantah sebelum Azeez mamak ni bawa duit haram masuk dalam LTH... alahai najib bangang nya kamu.
ReplyDeleteSeorang lagi mamak tongkang akan membinasakan GLC. Carilah orang yg lebih berwibawa sedikit!
ReplyDeletesri hartamas
bagi kami penyokong pembangkang, perkembangan terbaru ini tidaklah mengejutkan malah sudah dijangka. umno cuma melakukan apa yg mereka sudah biasa lakukan dan sudahpun pakar iaitu menyamun hak rakyat. dah lebih 30 tahun kami sudah paham perangai umno. sebab itu kami di pihak sebelah lagi. abu
ReplyDelete