Thursday 13 June 2013

Perlucutan Semua Setpol Najib Disambut Dengan Nada Gembira


Beberapa laporan semalam menyebut bahawa Najib tidak akan menyambung semula jawatan kesemua 4 orang Setiausaha Politik dan seorang pegawai khasnya yang kalah dalam pilihanraya lalu. Ia dikatakan kerana Najib ditekan oleh pandangan daripada UMNO sendiri bahawa mereka itu bukan saja ditolak oleh pengundi tetapi juga telah gagal menyumbang kepada kemenangan yang lebih bermakna bagi Najib dan BN dalam pilihanraya yang lalu.

Mereka yang terbabit ialah Fatmi Che Salleh yang bertanding di Parlimen Kota Bharu, Sahlan Ismail di Pokok Sena, Shafie Abdullah di Wangsa Maju, Suffian Awang di Kuantan dan Latt Shahriman di DUN Kubang Rotan, Kedah.

Pengguguran mereka daripada jawatan penting disisi Perdana Menteri itu bagaimanapun disambut gembira oleh kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO, blogger dan pengendali media sosial yang pro UMNO. Beberapa pemimpin dan ahli secara terang-terangan menyambut baik ketiadaan mereka lagi disisi Najib kerana mereka dipercayai menjadi antara beban kepada Najib dan UMNO selama ini.

Malah seorang pemimpin UMNO berkata, Najib sepatutnya menyingkirkan penasihat yang membebankannya itu sejak dulu lagi berikutan rungutan mengenai sikap mereka itu sudah menjadi perbualan umum di kalangan ahli UMNO dan mungkin juga sudah sampai ke pengetahuan Najib sendiri.

Beberapa blog pro UMNO juga memberi ulasan yang menggambarkan kegembiraan dan rasa lapang dada mereka berikutan tiadanya lagi Setpol dan pegawai khas Najib yang mereka sifatkan bukan sahaja gagal memberi nilai tambah kepada UMNO dan Perdana Menteri, malah lebih banyak menyusahkan Najib selama ini.

Pengendali laman sosial Facebook dan Twitter yang diketahui pro UMNO juga meluahkan perasaan yang sama dan mereka rata-ratanya berharap ketiadaan mereka itu akan memberi nafas yang lebih baik kepada Najib dalam menguruskan parti dan kerajaan selepas ini.

Terdapat pula pengendali blog dan laman sosial yang terang-terang menyalahkan kesemua Setpol dan pegawai khas Najib ini berikutan keputusan buruk yang dicapai oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu. Mereka dipersalahkan kerana dikatakan mempunyai sikap mementingkan diri yang terlalu tinggi dan terlampau ghairah mahu menjadi calon pilihanraya.

Ada juga Setpol dan pegawai khas Najib ini yang dikecam kerana tidak mempunyai hubungan yang baik dengan blogger dan pengendali laman sosial yang bertungkus-lumus siang dan malam membantu UMNO dan Najib dalam pilihanraya lalu. Ada pula antara mereka yang mengadu bahawa jika Najib pun mempunyai masa untuk minum petang dan berbual-bual dengan pengendali media baru yang pro UMNO tetapi amat menyedihkan apabila terdapat sesetengah pegawai Najib yang tidak memperdulikan mereka.

Namun demikian, dalam mereka menyambut baik pengguguran kesemua Setpol dan pegawai khas Najib itu, beberapa blogger dan pengendali laman sosial juga mulai mengecam Najib berhubung perlantikan salah seorang Setpolnya, Khairun Aseh yang sudah pun memulakan tugasnya sejak minggu lalu.

Mereka mendakwa, perlantikan Khairun adalah suatu kesilapan lagi yang telah dilakukan oleh Najib kerana beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia didapati tidak langsung berkempen, bahkan telah menghilangkan diri sepanjang kempen pilihanraya lalu sedangkan kawasan di mana beliau menjadi ahli UMNO iaitu Putrajaya, menghadapi persaingan yang sengit daripada PAS dalam pilihanraya lalu.

Ada juga yang menyifatkan perlantikan Khairun itu kerana Najib mempunyai hubungan yang baik dengan bapanya, Aseh Che Mat yang kini memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Putrajaya.

Dengan latar belakang Khairun yang bukan ahli UMNO yang komited serta tidak mempunyai hubungan yang mesra dengan semua golongan dalam parti, mereka bimbang perlantikan itu lebih menyusahkan Najib dan menjadikan keadaannya tidak jauh berbeza seperti perangai pemegang jawatan yang dulu.

Buat sementara ini, hanya seorang Setpol Najib yang sudah melaporkan diri iaitu Khairun tetapi beberapa nama sudah berlegar di pasaran politik yang dikatakan bakal dilantik mengisi jawatan tersebut. Antaranya yang disebut ialah Ezam Mohd Nor, bekas Ketua Pemuda PKR yang telah menyertai UMNO beberapa tahun lalu dan berikutan bantuan politiknya kepada Najib, beliau juga sudah dilantik sebagai Senator sebelum ini. Ezam pernah menjadi Setpol Anwar sebelum ini dan lebih dikenali dengan isu enam kotak dokumen mengenai penyelewengan beberapa pemimpin UMNO yang didakwanya dimiliknya. Bagaimanapun sehingga ini tidak dipastikan sama ada beliau benar-benar memiliki dokumen itu atau sebaliknya.

Jika benar Ezam bakal menjadi salah seorang Setpol Najib, pastinya tidak dapat dielakkan lagi serangan daripada blogger dan pengendali laman sosial terhadap Najib akan menjadi lebih meriah lagi. (SH 13/06/2013).


2 comments:

  1. salam bro ,

    ezam? from worst to worsent...

    ReplyDelete
  2. SOMBONG SANGAT DULU.INI INGAT SAPA JADI SEPOL JADI KAMBING HITAM LE. KUTU DAH TAK TAHAN.ROYAN -RABAN TEBEN DAH MULA NAMPAK. IMPAK LUAR DALAM DAH TIMBUL.INI LAH PEMBALASAN ORANG MENIPU DAN MENCURI HAK RAKYAT.BUATLAH APA PUN NEGARA NAMPAK SUMBANG DAN SUMPING.PENGIKUT SEOLAH OLAH HILANG HALUAN YANG URUS MADAT UNTUK BERDESTINASIKAN.RASA SECARA IKLAS DAN BENAR SUDAH TIADA.BALACI YANG MAHU MENGIKUT KETUA YANG HILANG AKIDAH AKIBAT KEROSAKAN ARUS DIAWAL MAMAK LAKHANATULLAH SUDAH JADI KENYATAAN.GEMENTAR DAN TIDAK TAHU HALA TUJU DALAM DAYA URUS NEGARA MULA TERSERGAH DAPAT DILIHAT DENGAN GAYANYA.KEHANCURAN SEMAKIN HAMPIR BUKAN SAJA DARI LUAR BAH KAN ORANG YANG PALING HAMPIR PUN SUDAH RASA RENTAK TIDAK KESELESAAN.IBARAT KAIL PANJANG SECENGKAL DAN INGINKAN IKAN DILAUT DALAM.INGIN CUBA MENJADI FIRAUN AGAK MALANG DAN LUPA FIRAUN TIADA TANDINGANNYA SEBAGAI HAMBA ALLAH YANG DILAKHANAT.SAMA SAMA KITA RENUNGKAN

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...