Saturday 26 January 2013

Kenapa Hanya 4 Pemimpin BN Disytihar Tidak Bersih?


Ramai yang tertanya-tanya siapakah empat pemimpin BN yang tidak berjaya melepasi tapisan SPRM serta dianggap tidak bersih dan dinasihat digugurkan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang ini. Mereka itu, sebagaimana yang dilaporkan oleh Sinar Harian, ialah dua menteri, seorang menteri besar dan seorang lagi ketua menteri.

Sinar Harian yang dilaporkan memetik sumber-sumber memberitahu, bahawa keempat-empat pemimpin itu didapati gagal melepasi tapisan SPRM kerana mempunyai masalah undang-undang dan akan memberi implikasi kepada parti jika dicalonkan.

Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut parti mana dan negeri mana asal keempat-empat pemimpin itu.

Ramai juga yang tertanya-tanya, jika sudah dianggap tidak bersih dan ada masalah dengan undang-undang oleh SPRM, kenapa keempat-empat pemimpin itu tidak didakwa saja di mahkamah?

Sebenarnya banyak lagi persoalan dan tanda-tanya yang timbul di sebaliknya berita mengenai empat pemimpin BN yang didakwa gagal melepasi tapisan SPRM itu. Meskipun usaha itu dianggap berniat baik tetapi ia dianggap tidak praktikal dan lebih terdedah kepada masalah lain yang lebih merimaskan.

Dalam usaha untuk mencapai kemenangan dan memastikan calonnya benar-benar bersih, BN sebelum ini dilaporkan telah menghantar nama bakal calon mereka kepada SPRM untuk dinilai sebelum diputuskan untuk dipilih sebagai calon. Pakatan Rakyat pula sejak awal menolak kaedah ini kerana tidak meyakini agensi itu.

Berikutan pendedahan Sinar Harian itu, selain ramai yang ingin mengetahui siapakah empat pemimpin BN yang bakal digugurkan itu, ramai juga hairan kenapa empat saja pemimpin BN yang dikategorikan sebagai kotor dan tidak layak lagi bertanding?

Secara sinis, ramai yang beranggapan bahawa jika BN benar-benar ikhlas mahu memilih pemimpin yang bersih dan tidak ada cacat-celanya dan SPRM pula berfungsi seadil-adilnya, sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pemimpin yang ada sekarang perlu digugurkan.

Ini kerana bukan lagi menjadi rahsia bahawa kebanyakan pemimpin yang ada sekarang sering saja terpalit dengan pelbagai isu dan masalah seperti mengumpul kekayaan, salah guna kuasa, mengutamakan kroni, diheret oleh masalah yang ditimbulkan oleh anak dan isteri serta pelbagai cacat-cela lainnya.

Mencari pemimpin UMNO dan BN yang benar-benar bersih, jujur serta ikhlas dalam ertikata yang sebenar pada realitinya amatlah sukar dan ia umpama mencari setitik air di gurun yang kontang.

Masalah yang melibatkan mereka itu pula seringkali menjadi bahan pendedahan dalam pelbagai media baru berserta dengan bukti-buktinya sekali. Dan ia memang sesuatu yang bukan saja tidak dapat dinafikan oleh mereka yang terbabit, malah menjadi percakapan rakyat di mana-mana.

Jadi, bagaimana hanya empat saja yang gagal melepasi tapisan SPRM? Bagaimana dengan yang lain? Adakah menteri, menteri besar dan ketua menteri yang lain benar-benar bersih?

Lantaran itu ada yang agak sinikal berkata, Najib dan Muhyiddin pun belum tentu bersih dan layak bertanding lagi jika istilah bersih itu mahu dipraktikkan dengan sejujurnya dan SPRM menjalankan tapisan yang betul kerana kedua pemimpin itu pun tidak sunyi daripada pelbagai dakwaan berkaitan kebersihan mereka sebagai pemimpin.

Dalam masa yang sama, terdapat juga kebimbangan di kalangan pemimpin UMNO sendiri terhadap kaedah BN menggunakan SPRM untuk menilai moral dan kebersihan seseorang yang bakal dipilih sebagai calon. Ia hanya dianggap sebagai cara mudah bagi Najib untuk menggugurkan seseorang dengan menggunakan SPRM sebagai sandaran.

Tetapi ia juga mendedahkan BN kepada unsur sabotaj yang lebih parah. Pemimpin yang digugurkan itu tentunya berasa malu dan maruah mereka bagai dicalarkan kerana pengguguran itu secara langsung membuktikan mereka bukannya pemimpin yang bersih. Ramai yang pastinya tidak dapat menerima kaedah ini, lebih-lebih lagi jika didapati ada rakan sendiri yang diketahui sama-sama tidak bersih dan kotor macam mereka juga, terus dipilih sebagai calon nanti.

Mereka yang digugurkan ini tidak akan berdiam diri, kata seorang pemimpin UMNO dengan penuh keyakinan.

Akhirnya, usaha untuk menampilkan calon yang bersih yang diharapkan membawa kemenangan tidak juga menemui kejayaan. Ini kerana jika pemimpin bertaraf menteri, menteri besar atau ketua menteri yang melakukan sabotaj ketika pilihanraya, kesannya tentulah lebih besar berbanding sabotaj ahli biasa di peringkat cawangan dan bahagian.

Lebih dari itu, kaedah menggunakan SPRM ini untuk menggugurkan seseorang pemimpin lebih menunjukkan kelemahan Najib sendiri sebagai peneraju. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti, jika mahu menggugurkan seseorang menteri, menteri besar atau ketua menteri, beliau sepatutnya memanggil mereka dan mengadakan perbincangan secara baik mengenainya dan bukannya menggunakan helah lain.

Disamping terdedah kepada sabotaj yang lebih parah, kaedah menggunakan penilaian SPRM ini juga mendedahkan Najib, UMNO dan BN kepada pelbagai masalah lain yang saling kait-mengait dan akhirnya lebih merosakkan imej sendiri.

Lebih dari itu, Najib dengan pelbagai masalahnya juga akan terus menjadi bahan momokan, sindiran serta mainan nakal rakyat kerana daripada semua pemimpin yang ada, harus diakui bahawa beliaulah yang paling banyak terpalit dengan pelbagai isu. (SH 26/01/2013)






6 comments:

  1. adakah ini hanya untuk menyedapkan hati rakyat? konon sudah ada pemantauan. tidak logik. bagaimana tokoh teragung yang terbabit dengan banyak skandal? apakah tidak dikira dalam penilaian oleh pihak SPRM, atau pegawai SPRM sendiri tidak berani masukkan namanya dalam senarai? Rakyat ingin tahu!

    ReplyDelete
  2. Najib? Muhyidin? Shafie? Bagaimana????terlalu banyak dalam UMNO...Ku Nan? Hampir semuanya semestinya tak patut bertanding.......

    ReplyDelete
  3. Betoih ke baru ompek oghang je yang fail? Tengok kiri tengok kanan, nampak macam SEMUA yang fail!?

    ReplyDelete
  4. Gaji Menteri di Malaysia jauh lebih kecil dari gaji Menteri kat Singapore. Tapi macam mana Menteri di Malaysia kayanya jauh hebat dari menteri menteri di Singapore?

    SPRM patut siasat kalau kalau menteri menteri terutamanya dari UMNO ni masing masing ada lampu ajaib aladdin atau terjumpa gua 40 orang penyamun.

    Tapi kalau " filter " SPRM lubangnya luas sebesar gajah..no wonder laa banyak gajah gajah terlepas. Seekor dua anak gajah yang tersangkut tu pun sebab belalai terbelit kat filter agaknya?.

    Boleh saya tanya SPRM... " filter " tu buatan mana?. Siapa yang supply dan siapa yang decide untuk guna filter macam tu?

    Pelik! Gajah...teman sebantal badak kat atas puncak bukit putrajaya pun boleh terlepas tapisan! Deepak pun boleh terkejut beruk tengok " filter " SPRM macam ni punya result !

    ReplyDelete
  5. 80% tak layak?
    kalau cam tu aku ahli biasa ni layak leh jadi calon kot? hahaha

    ReplyDelete
  6. samseng umno,nazri aziz tu bersih ke?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...