Thursday, 12 July 2012

Mahathirisme Pembunuh Masa Depan Najib


Setelah lebih 10 tahun bersara sebagai Perdana Menteri paling berkuasa, Mahathir kini seakan memperlihatkan kerancakannya semula dalam politik Malaysia. Boleh dikatakan setiap hari beliau bercakap dan memberi pandangan mengenai pelbagai isu yang sedang berlaku dalam negara.

Serentak dengan keaktifan Mahathir ini, isu Mahathirisme yang sekian lama tenggelam kini muncul kembali dan mula diperbincangkan. Mahathir kini melalui pelbagai kemunculannya seperti mahu menyuburkan semula Mahathirisme di sebalik kepimpinan Najib yang dilihat lemah serta lesu.

Mahathirisme sering dianggap sebagai fahaman yang dipupuk oleh pentadbiran Mahathir selama 22 tahun yang mementingkan nepotisme dan kronisme melalui dasar penswastaan dan mewujudkan projek mega, pemusatan kuasa yang terlampau, cengkaman yang keras terhadap puak yang menentang sehingga wujud budaya takut di kalangan rakyat dan lain-lain elemen yang dianggap tidak demokratik.

Sepanjang 22 tahun berkuasa, Mahathirisme berkembang dengan subur dan kejayaan beliau mempertahankan kuasa dalam tempoh yang lama sebahagiannya adalah disumbangkan oleh kejayaannya meyakinkan rakyat untuk menerima fahaman itu di samping memberikan rakyat ganjaran materialistik yang lumayan.

Mahathir kini cuba menguasai Najib secara halus dan sekaligus mengembangkan semula Mahathirisme itu. Dalam keadaan Najib terlalu lemah dan amat memerlukan kemenangan dalam pilihanraya, kehadiran Mahathir seperti mahu menyelamatkan Najib walaupun sebenarnya faktor Najib adalah perkara kedua berbanding Mahathirisme yang diagungkannya itu.

Melalui Mahathirisme, beliau berjaya menempatkan anak-anaknya dalam dunia perniagaan yang berjaya. Salah seorang anaknya, Mokhzani menguasai sebahagian besar kontrak minyak dan gas Petronas di mana Mahathir adalah penasihatnya. Beliau kini berada dalam kelompok 30 rakyat Malaysia terkaya.

Anaknya yang lain, Mirzan pula menguasai saham besar dalam San Miguel, pengeluar arak terbesar di Filipina dan kemudian membeli Esso (kini dikenali sebagai Petron). Petron pula kini memperolehi kontrak membekal minyak kepada MAS, walaupun sebelum ini kontrak itu diperolehi oleh Petronas.

Anak Mahathir yang seorang lagi, Mukhriz pula menceburi dunia politik dengan memegang jawatan Timbalan Menteri MITI di bawah pentadbiran Najib. Beliau diuar-uarkan sama ada akan dijadikan Menteri Besar Kedah atau menteri penuh selepas pilihanraya ini kiranya rahmat Tuhan masih membenarkan BN terus berkuasa.

Rakan-rakan perniagaan yang meningkat maju di zaman Mahathir juga terus berkembang pesat di zaman pentadbiran Najib ini. Dan inilah antara tuaian lumayan yang dikecapi oleh Mahathir atas kejayaannya menyuburkan Mahathirisme.

Sebab itu apabila seorang lagi anaknya iaitu Marina terlibat dengan Perhimpunan Bersih yang mahu menuntut pilihanraya yang adil dan bersih, Mahathir tidak dapat menyembunyikan rasa tidak senangnya terhadap penglibatan anak perempuannya itu yang dilihat boleh meruntuhkan kepentingan anak-anaknya yang lain.

Ketika sedang berkuasa, dalam usaha mempertahankan pemberian kontrak kerajaan kepada salah seorang anaknya, Mahathir dengan berani mengatakan, "kalau bukan dengan pemberian kontrak oleh kerajaan, anak saya nak makan apa?"

Itulah Mahathir dan Mahathirisme. Tetapi dunia kini sedang berubah. Mahathirisme tidak selamanya boleh diterima oleh rakyat. Generasi muda yang sentiasa sarat dengan maklumat, menolak mentah-mentah Mahatirisme ini kerana mereka sedar ianya faktor yang merosakkan negara dalam jangka panjang dan menyebabkan mereka yang berada di luar lingkungan kronisme dan nepotisme tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Oleh kerana lebih 60 peratus daripada pengundi yang akan menentukan kerajaan dalam pilihanraya akan datang adalah terdiri daripada pengundi muda, keakraban Najib dengan Mahathirisme tentunya boleh mengundang bahaya.

Matlamat tersirat Mahathir bersungguh-sungguh memastikan kemenangan Najib, UMNO dan BN dalam piliharaya akan datang tentunya tidak terkeluar daripada landasan untuk memastikan kepentingan anak-anak dan kroninya yang lahir hasil daripada Mahathirisme terus dapat bernafas dengan segar selepas itu.

Hanya dengan Najib atau BN terus berkuasa saja yang mampu menjamin Mahathirisme terus subur. Jika Pakatan Rakyat dan Anwar pula yang menguasai Putrajaya, Mahathirisme bukan saja menjadi malap malahan mungkin menjadi penghuni tetap tempat pelupusan sampah.

Tetapi hubungan yang terlampau akrab dan terlalu bergantung kepada Mahathir, tidak mustahil juga boleh membawa kemusnahan kepada masa depan Najib sendiri. Selain pengundi muda, golongan profesional dan terpelajar yang rata-rata menolak Mahathirisme, generasi pertengahan yang berpegang kepada agama juga tidak dapat menerima Mahathirisme kerana dalam keghairahan mengejar kekayaan ianya rupanya telah menjadi tanpa batasan sehingga menjerumuskan anaknya sendiri dalam perniagaan arak yang jelas dicegah oleh agama.

Jika ini ditambah dengan majoriti pengundi bukan Melayu yang sudah sedia menolak BN, saham Mahathirime dalam menyumbang kepada kemusnahan masa depan Najib amatlah besar sebenarnya. (SH 12/07/2012)



4 comments:

  1. Saudara,
    Yang jadi tanda tanya, " Adakah Tun M tu "star attraction" bagi UMNO dalam PU ke-13 atau "box office poison"? Kita tak perlu tunggu hingga PU 13, jawapan bagi soalan ni jelas kalau kita objektif dalam penilaian kita.

    ReplyDelete
  2. Berbanding dengan sewaktu berkuasa dulu dengan sekarang tentulah pengaruh Tun Mahathir sudah jauh berkurangan. Tetapi kita kena ingat bahawa masih ada beberapa saki baki orang-orang yang taksub dengan sosok ini termasuklah Mamat "insane" yang mengamuk di JPM baru-baru ini.

    Biarlah Tun M berkokok, akibatnya makin ramai yang meluat dengan perbuatan bekas pemimpin yang enggan melepaskan kuasa. Sebenarnya Mamak itu berada didalam suasana "desparation" yang teramat...bimbang kalau-kalau kerajaan ini tumbang,beberapa penyelewengan besar beliau akan dibongkar dan legasi yang dibina selama 22 tahun akhirnya menjadi sejarah hitam ....

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Apa apa pun kerja puak UMNO baru ni ....

    Yang menjadi masalah ialah pakcik makcik di kampung yang masih lagi percaya cakap Najib dalam TV.

    Harap mana-mana keluarga anak muda keturuan org veteran ni, beri tahu perkara sebenar, kalau nak jelas lagi, beri DVD ceramah PR, mungkin mereka dapat maklumat sebenar.

    Sebab a picture tell a thousand words.

    ReplyDelete
  4. saudara,.. adalah baik mnyumbang ilmu dan idea yg ada drpd mmperkatakan ssuatu yg tidak berfaedah.. Dr.M ka, Najib ka, n.aziz ka, hj hadi ka @ sapa2 ka smua adlh manusia & pasti ada mlakukan salah silap.. ssuatu yg baik mrk lakukan sambutlah dgn baik & klau salah pulak lakunya tegurlah dgn cara yg brhemah bukannya mnyalak dlm ceramah..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...