Monday, 30 January 2012

Slogan Yang Sesuai Buat Najib : Hanya Rebah Baru UMNO Berubah!!

Susulan artikel yang saya posting beberapa hari lalu bertajuk "Bagaimana UMNO Nak Berubah, Najib Pun Tak Berubah", saya telah mendapat respon yang positif daripada beberapa pembaca yang menghantar email serta kenalan melalui sms dan panggilan telefon. Rata-ratanya mengakui bahawa ada kebenaran tentang sikap dan perangai pemimpin-pemimpin UMNO yang kini bagaikan hanya menunggu detik dan waktu saja untuk kehilangan kuasa.

Mereka juga melahirkan kehairanan mengapakah pimpinan UMNO, daripada Presiden UMNO sehinggalah kepada Pemeriksa Kira-Kira cawangan, secara umumnya masih tidak menampakkan perubahan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat. Tuntutan rakyat pun bukanlah begitu berlebih-lebihan dan melampau sehingga sukar dipenuhi kerana apa yang mereka harapkan ialah pemimpin di kalangan mereka biarlah seorang yang sederhana, mudah didekati, tidak sombong dan tidak melengah-lengahkan pertolongan untuk menyelesaikan masalah tanpa mengira rakyat yang ditolong itu ada undi atau sebaliknya.

Satu demi satu pendedahan skandal, rasuah, pemborosan, pembaziran serta pelbagai perkara tidak elok lainnya yang melibatkan para pemimpin UMNO dan kaum keluarga mereka adalah gambaran yang cukup bagi rakyat bahawa tidak ada apa-apa perubahan sebenarnya di dalam UMNO. Laungan "rebah jika tak berubah" tidak lebih hanya slogan politik untuk memohon simpati rakyat agar terus memberi kesempatan kepada UMNO dan BN untuk berkuasa.

Di negeri-negeri yang UMNO kalah pada 2008 pula, para pemimpinnya tetap sibuk mengaut peluang-peluang perniagaan tanpa ada perasaan sehingga apabila projek yang dihajati tidak diperolehi, mereka sanggup pula menghantar memorandum kepada Perdana Menteri agar pegawai kerajaan tertentu ditukarkan daripada sesebuah negeri itu. Mereka seringkali menjadikan alasan kegagalan mendapatkan projek sebagai hujah untuk tidak turun bertemu rakyat atau menghadkan program yang melibatkan rakyat. Tidak ada istilah pengorbanan sama-sekali dan semua perkara harus dinilai dengan wang. Mereka juga kadangkala terlupa kuasa di peringkat negeri sudah terlepas.

Di negeri yang masih dikuasai UMNO pula, keghairahan untuk menambahbaik nilai-nilai perjuangan dan usaha membela rakyat tidak pula dipertingkatkan.

Keadaan ini bukan sahaja menjadikan UMNO terus kelihatan kelam di mata rakyat, bahkan keyakinan rakyat untuk memberikan sokongan sukar untuk berputik semula. Meskipun beberapa kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang turut mempunyai masalah-masalahnya yang tersendiri tetapi dengan keadaan UMNO sendiri tidak berubah dan tidak juga menjadi lebih baik daripada pembangkang yang sedang mentadbir negeri itu, maka harapan untuk melihat UMNO dan BN dapat berkuasa semula menjadi hampir mustahil.

Dengan keputusan buruk piliharaya 2008, UMNO dan BN sebenarnya tidak perlu menunggu petaka yang lebih besar untuk mereka berubah. Mereka sudah sewajibnya berubah jika ingin terus berkuasa di peringkat Pusat dan tidak kehilangan Putrajaya.

UMNO dan BN bukan saja dihodohkan wajahnya oleh perilaku para pemimpinnya yang terlibat dengan pelbagai skandal dan gejala tidak baik yang sentiasa memenuhi dada-dada media tetapi juga oleh perbuatan sebahagian besar pemimpinnya yang tidak habis-habis bercakaran sesama sendiri dan berebut-rebut untuk mendaki kedudukan dan pangkat.

Sekurang-kurangnya dalam keadaan genting menjelang PRU 13 ini, soal perebutan projek, pangkat dan kedudukan seharusnya diketepikan terlebih dahulu. Mereka seharusnya saling bergandingan tangan menguatkan parti dan menarik sokongan rakyat. Tidak perlulah berebut-rebut untuk menjadi calon pilihanraya dan melobi untuk menjadi Menteri Besar, Menteri, Timbalan Menteri, Exco Kerajaan Negeri dan sebagainya.

Bukan rahsia lagi bahawa perebutan dan lobi-melobi untuk menjadi calon pilihanraya di kalangan pimpinan UMNO sudah pun kedengaran sejak sekian lama sehingga kadangkala tugas yang sepatutnya dilakukan untuk menarik sokongan rakyat di bahagian masing-masing terus menjadi terabai. Isu perebutan, lobi-melobi dan keghairahan untuk menjadi calon tidak pernah berubah di kalangan pimpinan UMNO tidak mengira sama ada dulu mahu pun sekarang dan tidak mengira sama ada UMNO masih berkuasa di negeri mahupun sudah kehilangan kuasa.

Tanyalah rakyat di mana-mana dan selamilah perilaku manusia-manusia yang masih bergelar pemimpin dalam UMNO, jawapan yang yang ditemui sangat jelas iaitu tidak ada apa-apa perubahan pun sebenarnya di kalangan mereka. Keghairahan menawar serta mengumumkan itu dan ini hanyalah semata-mata kerana piihanraya hampir tiba dan bertujuan mengekalkan kuasa semata-mata. Iltizam dan keikhlasan untuk membantu rakyat secara berterusan atau dalam bentuk program yang kekal hampir tidak ada. Disebabkan pilihanraya diambang mata, bonus, bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan RM100 untuk murid sekolah dan RM200 untuk pelajar universiti serta pelbagai program ad hoc diperkenalkan tetapi tiada jaminan ia akan diberi pada tahun hadapan atau tahun-tahun seterusnya. Bukankah ini umpan politik?

Diakui oleh rakyat terbanyak bahawa bukan sahaja UMNO dan pimpinannya yang masih tidak berubah, malahan Najib sendiri pun tidak ternampak tanda-tanda yang konkrit mahu berubah. Seringkali timbul isu-isu baru yang melibatkan kaum keluarga dan dirinya di sebalik kekerapan membuat seruan positif kepada rakyat dan mengumumkan pelbagai program menjadikan Najib dilihat sebagai pemimpin yang gagal. Najib dilihat gagal sama sekali memahami falsafah dan makna kepimpinan itu umpama Khalifah yang mana semuanya mesti bermula dengan diri dan keluarganya terlebih dahulu.

Oleh itu sementara Najib tidak henti-henti melaungkan slogan "rebah jika tak berubah", pandangan rakyat pada umumnya terhadap UMNO pula amat jelas iaitu "hanya rebah, baru UMNO akan berubah". (SH 30/1/2012).

1 comment:

  1. UMNO takkan berubah selagi belum rebah...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...