Tuesday, 27 August 2013

Naib Presiden UMNO: Zahid Paling Popular Tapi Belum Tentu Menang Bergaya


Jawatan Menteri Dalam Negeri benar-benar membawa untung lumayan buat Zahid Hamidi. Berbanding jawatan Menteri Pertahanan yang membuatnya hampir tenggelam dan kurang menonjol, Zahid sebaliknya menuai publisiti hampir setiap hari melalui jawatan yang disandangnya sekarang.

Daripada penentangannya terhadap pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat, peningkatan kejadian jenayah, kekurangan anggota polis, jangkaannya mengenai rangkaian jenayah bekas pesalah Ordinan Darurat, cabarannya kepada Waythamoorthy dan sehinggalah kepada tindakanya mahu mendedahkan senarai nama-nama kongsi gelap, semuanya mengundang sorotan publisiti di pelbagai media massa.

Malah, ketika memberitahu secara bergurau bahawa kumpulan samseng turut datang ke rumah terbukanya dan meminta wang perlindungan pun turut dijadikan berita besar.

Pendeknya, apa saja yang keluar dari mulut Zahid sekarang pasti merupakan bahan yang boleh diolah menjadi berita.

Semua publisiti yang melimpah ini secara automatiknya menjadikan Zahid paling popular. Di mata perwakilan UMNO pula, beliau dianggap sebagai menteri yang sedang membuat kerja dengan betul dan dilihat lebih baik daripada Menteri Dalam Negeri sebelumnya iaitu Hishammuddin Hussein.

Secara kasarnya, dalam pemilihan UMNO 19 Oktober ini Zahid ternampak tiada masalah untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden nombor satu yang diraihnya dalam pemilihan 2009 lalu.

Sehingga ini, selain Zahid yang sudah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya, dua lagi Naib Presiden UNNO iaitu Hishammuddin dan Shafie Apdal turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan masing-masing.

Pemimpin lain yang sudah mengumumkan akan menyertai persaingan ialah Isa Samad, Pengerusi Felda manakala Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dijangka akan turut menyertai perebutan kerusi Naib Presiden dan akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi.

Ini menjadikan sekurang-kurangnya tujuh orang akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden UMNO kali ini.

Walaupun Zahid terlihat paling popular berbanding lain-lain pesaingnya manakala wajah serta berita mengenainya juga muncul hampir setiap hari di akhbar dan tv, peluang beliau tidaklah semudah yang dijangka, apatah lagi untuk mendapatkan kemenangan bergaya dengan memperolehi undi tertinggi.

Sosek-sosek dalam UMNO mulai kedengaran bahawa Zahid seolah-olah sengaja menonjol-nonjolkan diri untuk kepentingan pemilihan UMNO. Beliau dilihat sengaja bersuara mengenai Akta Hasutan dan Ordinan Darurat sekarang sedangkan ketika Najib mengusulkan mahu memansuhkannya dulu, tidak pula suaranya kedengaran.

Bahkan ketika Najib mengatakan bahawa cadangan memansuhkan kedua-dua akta itu mendapat persetujuan kabinet, pendirian Zahid yang sebenarnya turut menjadi tanda-tanya.

Apatah lagi dengan adanya seruan pelbagai pihak, termasuk Mahathir agar pemimpin muda diberi peluang dalam pemilihan UMNO kali ini bagi menghadapi PRU 14, sentimen ini seolah-olah kekangan buat Zahid. Saranan agar lebih ramai pemimpin muda atau pelapis ditonjolkan nyata memberi kelebihan kepada Hishammudin dan Mukhriz untuk mengungguli jawatan tersebut manakala Zahid dianggap bukan lagi sebagai pelapis untuk tempoh lima tahun akan datang memandangkan beliau lebih berusia daripada Najib dan hanya muda sedikit daripada Muhyiddin.

Hishammuddin walaupun dianggap lemah tetapi beliau ada pengaruhnya yang tersendiri dalam UMNO, selain kedudukannya sebagai sepupu Najib dan anak bekas Perdana Menteri serta usianya yang lebih muda turut memberi kelebihan buatnya. Mukhriz juga sedang meniti pupolariti berikutan kejayaan BN menawan semula Kedah dan pengaruh bapanya, Mahathir yang masih kukuh pastinya memberi kelebihan jika beliau bertanding kerusi nombor tiga dalam UMNO itu.

Malah ada yang beranggapan apabila Mahathir memperkatakan perlunya UMNO memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda menonjolkan diri, maksud tersiratnya ialah untuk menaikkan anaknya, Mukhriz di kedudukan yang lebih kukuh dalam UMNO.

Penyertaan Ali Rustam dan Isa Samad turut menjejaskan peluang Zahid. Walaupun kedua-dua pemimpin ini juga sudah berusia tetapi penyertaan mereka boleh menjadi "kacau daun" dan membuatkan ada yang mengundi kedua-dua calon ini kerana simpati.

Ali Rustam pernah dihalang daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009 atas dakwaan salah laku ketika berkempen, meskipun peluangnya untuk menang ketika itu amat cerah. Dalam pemilihan kali ini setelah kalah di Bukit Katil dan mungkin dilantik Senator serta diberikan jawatan di peringkat Pusat, bertanding jawatan Naib Presiden UMNO akan memberi kelebihan kepada Ali Rustam kerana gabungan undi simpati dan penyokong setia yang sedia wujud akan lebih berpihak kepadanya.

Kelebihan Ali juga kerana sikap ramah mesra, suka membantu dan jarang menghampakan jemputan yang diterimanya walaupun yang menjemputnya hanya sekadar ahli UMNO biasa saja.

Jika dulu ramai yang kecewa kerana tidak berpeluang menobatkan Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden UMNO, penyertaannya dalam perebutan kerusi Naib Presiden kali ini akan membuatkan hasrat yang tidak kesampaian dulu bertukar menjadi undi yang melimpah-ruah.

Dalam musim rumah terbuka yang sedang berjalan sekarang, Ali Rustam nyata sedang menggunakan kesempatan yang ada untuk hadir sebanyak mungkin jemputan yang diterimanya di seluruh pelusuk negara. Dengan tidak terikat sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau mempunyai luang masa yang banyak untuk memenuhi semua jemputan dan menemui perwakilan UMNO.

Isa Samad juga boleh menggugat peluang Zahid. Kedudukannya sebagai Pengerusi Felda yang mana Felda mempunyai penempatan di lebih 50 bahagian UMNO di seluruh negara, walaupun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat sukar menang tetapi "kacau daunnya" akan menyusahkan calon-calon lain.

Penyertaan Musa Aman pula dilihat hanya akan menjejaskan peluang Shafie Apdal kerana sehingga ini majoriti pemimpin UMNO Sabah menyokongnya dan ini secara langsung akan menipiskan lagi peluang Shafie Apdal mengekalkan jawatannya.

Dengan sentimen UMNO yang mahu mewujudkan pelapis dan memberi peluang kepada orang muda dalam pemilihan tahun ini, Hishamudin dan Mukhriz dijangka paling selamat untuk memenangi dua jawatan Naib Presiden UMNO kali ini manakala Zahid, Shafie Apdal, Ali Rustam, Isa Samad dan Musa Aman akan bersaing sesama sendiri untuk merebut satu lagi kekosongan yang tinggal.

Jika diukur dari segi populariti dan publisiti, Zahid ternampak menonjol tetapi jika undi simpati menguasai jiwa perwakilan UMNO, mungkin Ali Rustam berupaya menonjolkan diri dan mengenepikan calon-calon yang lain. (SH 27/08/2013)

2 comments:

  1. Patut diakui calon paling popular tidak semestinya boleh menang seperti yang terjadi pada gabongan PAS, DAP dan PKR yang memiliki 51% undi popular tidak boleh memerintah tapi Barisan Nasional yang disokong SPR dengan melakukan pelbagai tipu muslihat hanya memiliki 47% undi popular.... cakap besar kononnya mereka diterima rakyat.

    Tapi berbeza dengan Zahid Hamidi. Beliau pakar putarbelit dari auta boleh jadi fakta. Cuba fikirkan bagaimana seorang menteri dalam negeri boleh mengeluarkan kenyataan kononnya disebabkan pembebasan tahanan EO penjenayah sudah meningkat kepada 260,000 orang ?

    Oleh kerana itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menggunakan peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ?

    Dan dalam satu forum beliau memberi tahu bahawa samseng pergi ke rumah terbukanya di Bagan Datoh semalam meminta pihak penganjur membayar wang perlindungan..?

    Perangai Zahid ini memberi gambaran, bahawa dalam UMNO Baru tidak ada yang bercakap benar melainkan menipu dan berbohong kerana itu adalah salah satu SOP dalam pentadbiran parti.

    Sama seperti pemimpin kita yang jaga ayam..... bila harga naik, diajarnya kita beli daging lembu yang lebih mahal harganya. Pandai tidak boleh diikut, bodoh tidak boleh diajar.

    Demi perhimpunan agong parti yang akan datang, kita lihat ramai yang berlagak bijak dalam membuat kenyataan yang lunak dan memberahikan seolah-olah mereka itu begitu penting sehingga jika mereka mati maka parti akan terlungkup.

    Tapi cuba kita tengok muka mereka yang bercakap soal parti itu adakah ia bercakap sebagai seorang ahli parti atau mereka cuba mempengaruhi kita agar kekalkan diri mereka sebagai pemimpin parti sehingga mati seperti Najib, Muhyiddin, Hishammuddin, Zahid, Shafie, Ali, bercakap sebagai ahli parti ?

    Rumah kata pergi, pintu penjara ternganga menanti, kubur kata mari..... tapi kita masih telan rasuah dan pilih mereka.... Salah siapa ?

    ReplyDelete
  2. ini blog bodoh.Woi admin bodoh.Semasa Najib mahu mansuh akta hasutan dan semua setuju dalam kabinet termasuk Zaid apa dikatakan oleh kamu adalah semasa itu Zahid bukan pegang jawatan KDN dan Zaid tdak tahu apa2 tentang KDN dan hanya Hisyamuddin sahaja yang mengetahui tentang Akta Hasutan dan Ordinan Darurat dalam KDN. Tak payahlah admin bodoh buat fitnah.

    Zaid bekerja untuk negara dan bukan untuk populariti.Itu pun admin tak fham juga. Kalau admin dah jadi balaci pembangkang mengaku ajerlah dan tak payah menyorok

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...