Monday, 19 January 2015

"Janganlah Takut, Takkan Desak Najib Berundur Boleh Masuk Penjara"


Walaupun semakin ramai pemimpin UMNO menyedari bahawa Najib Razak lebih berpotensi menjerumuskan parti kepada kekalahan dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi tidak ada sesiapa yang berani bersuara secara terbuka mengenainya.

Mereka lebih senang memilih untuk berdiam diri sambil menikmati laba daripada jawatan dalam kerajaan atau GLC yang masih disandang atau  kemewahan daripada habuan projek atas nama jawatan dalam parti.

Secara umumnya, mereka tidak sangsi bahawa Najib ketika ini diselubungi dengan pelbagai masalah dan kelemahan, dari hutang negara yang kian bertambah, isu 1MDB, pembaziran, pasaran saham yang menjuman sebagai bukti ketidakyakinan pelabur, ekonomi yang suram dan pelbagai lagi.

Dalam mengurus parti pula, Najib bukan saja gagal mewujudkan keharmonian dalam UMNO, bahkan kepimpinannya yang lemah menjadikan sesama komponen BN lebih banyak berbalah dan bertikam lidah sesama sendiri daripada menunjukkan kesepakatan.

Realitinya, hanya 191 ketua bahagian - itu pun bukan semua - yang masih bersungguh mahu mempertahankan Najib, rata-rata pemimpin di peringkat yang lain mulai terbuka menyatakan harapan dan peluang UMNO akan lebih cerah jika beliau digantikan dengan pemimpin yang lain.

Pemimpin UMNO juga sedar isu yang turut memberatkan lagi penanggungan Najib sebagai Perdana Menteri ialah karenah isterinya, Rosmah Mansor yang tidak habis-habis menimbulkan masalah kepada parti dan negara.

Rosmah bukan saja berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang lebih selesa menjadi pendokong dan penyokong setia kejayaan suami, bahkan penonjolannya yang berlebih-lebihan juga menyebabkan kedudukan timbalan perdana menteri hampir-hampir tenggelam dibanjiri glamour serta publisiti mengenainya.

Jika semasa Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, peranan dan kedudukan timbalannya seperti Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Pak Lah nampak turut menyerlah dan diakui, kerajaan sekarang lebih dikenali sebagai "kerajaan Najib dan Rosmah".

Tidak banyak, bahkan hampir tidak ada yang menyebut kepimpinan kerajaan sekarang adalah gandingan Najib dengan Muhyiddin. Poster dan kain rentang yang memaparkan Najib dengan Rosmah juga lebih banyak di seluruh negara berbanding Najib dengan Muhyiddin.

Sebab itu, sama ada Anwar bakal dipenjara atau tidak atas kesalahan liwatnya, peluang PR memenangi pilihanraya akan datang lebih cerah berbanding BN. Dengan hanya berbekalkan undi Melayu kampung yang masih setia, semua segmen lain dalam masyarakat sudah menolak Najib dan kerajaan.

Najib dianggap sudah membawa banyak kerosakan dan masalah kepada negara dan hanya penggantian kerajaan saja satu-satunya jalan merintis perubahan serta menjelmakan keadaan yang lebih baik untuk negara.

Pemimpin UMNO bukan tidak sedar hakikat ini. Mereka sedar UMNO lebih mungkin kalah dan Najib tidak berupaya lagi memperbaiki semua masalah serta kerosakan yang bertompok-tompok ini.

Halangan utama pemimpin UMNO untuk tampil bercakap benar ialah sayangkan kemewahan dan jawatan yang dimiliki sekarang. Mereka wala' atau akur dan patuh kepada kepimpinan Najib hanyalah kerana "cari makan" dengannya, biar pun sedar sikap itu tidak baik untuk parti dan negara.

UMNO tidak pernah sekritikal ini sepanjang sejarahnya sebelum ini.  Jika wala' kepada Najib boleh membawa kepada hilangnya kuasa UMNO dan kerosakan yang lebih buruk kepada negara, pemimpin UMNO seharusnya berani tampil ke depan bercakap tentang kebenaran.

Luahan rasa tidak puas hati terhadap Najib ini bukan lagi perbualan harian rakyat biasa, penyokong PR atau mereka yang tidak berparti di kedai-kedai kopi, lobi hotel, di pejabat atau di mana saja, bahkan sudah merebak luas di kalangan ahli UMNO sendiri.

Di rumah kebanyakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian pun, topik kelemahan Najib dan pelbagai karenah Rosmah sudah menjadi santapan perbualan hari-hari. Kadangkala anak-anak mereka yang masih bersekolah rendah pun turut bercakap tentang kelemahan Najib serta karenah Rosmah.

Rata-rata perbualan itu menjurus kepada kesimpulan bahawa UMNO akan kalah jika Najib terus memimpin parti dan kerajaan dalam pilihanraya akan datang ini. UMNO dan BN dianggap hanya mempunyai harapan jika Najib diundurkan dan diganti dengan pemimpin lain yang tidak banyak isu serta tiada karenah berkaitan isteri.

Untuk itu, inilah masa dan ketikanya pemimpin UMNO harus berani bersuara. Nyatakanlah dengan jujur penolakan ahli peringkat bawahan dan juga suara rakyat yang semakin membengkak menolak UMNO dan kerajaan ini kepada Najib. Suara itu sudah pun semakin kuat di peringkat bawah dan kian membesar hari demi hari.

Meminta Najib berundur untuk kebaikan UMNO dan negara bukanlah suatu dosa dan kesalahan. Jauh sekali boleh menyebabkan dipenjara atau dihukum mati. Belum tentu juga boleh menyebabkan hilang jawatan atau rezeki tersekat di tengah jalan.

Muhyiddin pernah meminta Pak Lah berhenti, tapi hari ini menjadi Timbalan Perdana Menteri. Di peringkat bahagian pula, ramai yang menjadi pemimpin hari ini ialah kalangan yang pernah bersuara meminta Ketua Bahagian  masing-masing berundur dan meletakkan jawatan.

Untuk itu, inilah masanya juga pemimpin UMNO perlu segera tampil meminta Najib berundur. Jihad ini ialah untuk kebaikan parti dan juga negara secara keseluruhannya.  UMNO dan negara tidak seharusnya terus dirosakkan oleh gandingan Najib dan Rosmah ini.

Jika sampai rakyat  yang sudah sekian lama memendam rasa melakukannya dalam PRU 14 nanti, bukan saja UMNO tidak dapat diselamatkan lagi, malah nasib pemimpinnya pun turut berterabur entah ke mana . (SH 19/01/2015)

Sunday, 18 January 2015

Serangan Kepada Daim Lebih Merugikan Najib


Media arus perdana dan pemimpin UMNO terlihat semakin rancak melancarkan serangan terhadap bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin berhubung kekayaannya yang dianggap luar biasa. Pemilik media sosial pro Najib pula menyambut serangan itu dengan tujuan menyebar-luasnya, manakala setengah yang lain menokok tambah dengan pelbagai rekaan fakta supaya lebih menarik untuk dibaca.

Jika sebelum ini serangan terhadap Daim hanyalah mainan parti-parti pembangkang, kini media di bawah kawalan Najib serta beberapa pemimpin UMNO turut tumpang semangkuk dengannya.

Tidak cukup dengan ruang masa di saluran arus perdana, blog dan media sosial melakukannya , sebuah video klip berkaitan seks yang turut dikaitkan dengan Daim juga tersebar meluas sekarang ini.

Seorang pemimpin Selangor iaitu Ketua UMNO Bahagian Subang, Zein Isma Ismail berkata, jika Daim boleh menyerang Najib, maka bekas Menteri Kewangan itu haruslah juga bersedia menghadapi serangan balas daripada penyokong Perdana Menteri pula.

Inilah politik, katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor.

Barangkali media arus perdana dan blogger berbayar  juga mempunyai pemikiran yang sama iaitu jika Daim sudah menyerang, bersedialah pula untuk diserang.

Tentunya juga, niat dan firasat mereka ini, apabila serangan balas dilakukan secara meluas dan berterusan, ia akan menyebabkan Daim terdiam dan berhenti daripada menegur atau mengkritik Najib.

Soalnya, adakah Daim akan diam?

Sementara sudah memberi perakuan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung kekayaan yang dimilikinya, mereka yang menyerang Daim seharusnya sedar bahawa teguran Daim ialah untuk kebaikan UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Daim secara umumnya menegur kelemahan Najib dan kerajaan yang ada sekarang sehingga menyebabkan imejnya di mata rakyat makin merudum dan bukannya menegur perangai atau tindak-tanduk peribadi anak sulung Tun Razak itu.

Malangnya, pengagum dan pembodek Najib ini tidak sepatah pun menjawah teguran dan kritikan Daim itu, sebaliknya melancarkan serangan balas  dengan menggunakan isu yang sudah dimainkan pembangkang serta yang bersifat peribadi terhadapnya.

Serangan itu tidak lain hanyalah bertujuan mendiamkan Daim sambil berharap dapat menggembirakan Najib yang berjiwa bangsawan dan bukannya untuk memulihkan keyakinan rakyat. 

Tetapi bolehkah sokongan bertambah dengan menyerang Daim dan setelah Najib digembirakan? Bolehkah juga kemenangan diraih di Selangor apabila pemimpin negeri itu turut sama menembak Daim?

Yang bakal berhadapan dengan rakyat ialah Najib. Daim mengkritik dan menegur hanya bertujuan membetulkannya. Namun dengan teguran tidak dipeduli dan kesilapan tidak diperbaiki, malah menyerang balas pula terhadap Daim, yang lebih rugi ialah Najib sendiri.

Daim tetap Daim sebagaimana kehidupannya sekarang. Mungkin pengampu dan pembodek Najib gembira jika berjaya membuatkan SPRM menyiasat dan menyelongkar pejabat bekas Menteri Kewangan itu tetapi yang perlu disedari ialah Daim sudah pun terlebih kaya ketika dijemput menyertai kabinet pada 1984 dahulu. Beliau bukannya tiba-tiba kaya setelah ada jawatan dalam kerajaan sepertimana kebanyakan pemimpin UMNO sekarang.

Disiasat atau tidak oleh SPRM, Daim tiada perhitungan lagi dengan rakyat kerana beliau hanyalah orang pencen saja. Yang bakal dihitung oleh rakyat ialah Najib. Berbanding dengan Najib yang sedang tinggal di rumah kaca, lebih ramai akan tampil membaling batu kepadanya akibat tindakan pengampu dan pembodek ini.

Dinding kaca dan rumah Najib lebih mungkin rosak teruk di sebalik percubaan menyerang Daim itu.

Pakatan Rakyat yang mempunyai peluang terbaik dalam pilihanraya akan datang berikutan kepimpinan Najib yang terlalu lemah sudah tentu lebih gembira kerana peluru yang ditembak kepada Daim sejak sekian lama bukan saja membuatkan Najib tercedera sama, tetapi turut menjadikan rumahnya tidak lagi sekukuh mana untuk dipertahankan. 

Pakatan Rakyat menyerang Daim bukanlah sangat untuk menghantarnya ke penjara tetapi sebahagian daripada percubaan melemahkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apabila pengampu dan pembodek Najib juga sudah berbuat perkara yang sama, yang berganda untungnya ialah PR. 

Dalam masa yang sama, yang rugi berganda juga ialah Najib. (SH 18/01/2015)

Saturday, 17 January 2015

Ingatan Untuk Najib - Pemimpin UMNO Kian Bersungut Tentang Rosmah


Jika ditanya ahli UMNO dan pemimpinnya di pelbagai peringkat sekarang ini tentang apakah yang membimbangkan mereka dalam menghadapi PRU 14 akan datang, jawapan yang paling banyak didengari tidak lain ialah karenah-karenah berkaitan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Bagi mereka inilah antara beban terbesar yang bakal menyukarkan lagi peluang  UMNO menambah sokongan serta untuk menang dalam pilihanraya nanti.

Sejak 2009,  sebaik Najib Razak mengambil alih teraju kelimpinan negara, topik perbualan mengenai Rosmah muncul satu demi satu tanpa hentinya, daripada kegemaran berbelanja barang mewah, membeli perhiasan, pembaziran, penggunaan jet hinggalah berpeluk, semuanya merupakan isu-isu yang kian merimaskan UMNO.

Jika di era pentadbiran sebelum ini isu berkaitan isteri Perdana Menteri tidak pernah berbangkit dan menjadi topik perbualan sama-sekali, sebaliknya ketika ini ia sudah menjadi sebahagian tugas ahli dan pemimpin UMNO pula untuk menanganinya

Lantaran itu, apabila isu Rosmah ini timbul secara berterusan, ramai yang mulai bersungut dah merasakan ia membebankan mereka.

Bagi mereka, jika Perdana Menteri, Najib Razak yang dibebani dengan pelbagai masalah seperti 1MDB, hutang yang meningkat,  ekonomi yang perlahan atau kepimpinannya yang lemah yang menjadi isu, ia tidaklah menjadi masalah bagi mereka untuk mempertahan dan membelanya kerana ia memang peranan yang sewajarnya mereka pikul.

Tetapi apabila turut membela dan mempertahankan Rosmah juga, ia seperti menambahkan lagi tugas dan bebanan sedia ada, tambahan pula apa yang dilakukan oleh isteri Perdana Menteri  yang menjadi bualan seperti penggunaan jet kerajaan dan berpelukan, adalah sesuatu yang jelas salahnya dan sukar dipertahankan.

Lantaran itu, ramai yang memilih berdiam diri daripada tampil mempertahankan Rosmah sejak kebelakangan ini kerana mereka mula merasakan ia sebagai beban dan bukannya tugas hakiki sebagai ahli atau pemimpin parti.

Yang agak berani dan terbuka mula bertanya, "sejak bila membela isteri Perdana Menteri sudah menjadi sebahagian perjuangan ahli dan pemimpin UMNO?"

Yang lain pula bertanya, "tidak bolehkah Rosmah berperanan seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini atau sekurang-kurangnya mencontohi perwatakan Siti Hasmah yang bukan saja tidak pernah menyusahkan parti dan kerajaan, bahkan amat  menyenangkan semua orang?"

Bagi mereka, sejak dahulu lagi, isteri-isteri Perdana Menteri tidak pernah menimbulkan masalah  dan karenah, malah kehadirannya lebih banyak membantu daripada menyusahkan Perdana Menteri. Tetapi kini, semua sudah menjadi sebaliknya.

Dalam masa yang sama juga, sudahlah Najib, UMNO dan kerajaan turut dibebani dengan masalah yang kian bertambah, munculnya isu berkaitan Rosmah secara berterusan dan tanpa henti-henti hanya akan menipiskan lagi peluang mempertahankan kuasa dalam pilihanraya akan datang ini.

Seharusnya, kata mereka, Najib menyedari bahawa keputusan pilihanraya lalu yang lebih buruk prestasinya berbanding 2008, sebahagiannya adalah disebabkan timbul isu-isu yang tidak berkesudahan berkaitan Rosmah yang tidak menyenangkan rakyat itu.

Najib juga digesa menyedari luahan-luahan di media sosial serta respon negatif terhadap isterinya sebagaimana yang ditunjukkan oleh penonton dalam perlawanan akhir bolasepak Piala Suzuki baru-baru adalah gambaran perasaan oleh pengundi muda yang menjadi penentu dalam pilihanraya nanti.

Untuk menghadapi pilihanraya akan datang, ramai yang mencadangkan agar Najib segera memulakan langkah menjadikan isterinya tidak lagi menjadi perhatian  atau topik perbualan atau berhadapan dengan kehilangan lebih banyak sokongan daripada rakyat.

Selain mengimbas perwatakan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang cukup sederhana dan tidak berlebih-lebihan, ada juga yang mahukan Rosmah kembali kepada watak dan peranannya sebagai isteri seperti  ketika Najib menjadi menteri dahulu. 

Secara umumnya, kian ramai yang berpandangan bahawa UMNO dan BN  hanya mempunyai peluang mengekalkan kuasanya jika isu berkaitan Rosmah dapat diketepikan terus daripada menjadi mainan. Yang lain pula berpendapat, jika bukan Najib mengemudi parti dan kerajaan, harapan menang jauh lebih cerah.

Pendeknya, tanpa Najib dan Rosmah, lebih selamatlah negara ini. (17/01/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...