Wednesday, 2 January 2013
Najib Wajib Undur, Beri Peluang Muhyiddin Ketuai PRU 13
Belum pun sempat Najib menjawab pelbagai persoalan yang dilemparkan kepadanya berhubung urusniaga yang dipaksakan antara LTAT dengan Deepak dan Raja Ropeah serta kaitan dengan isterinya Rosmah Mansor, tiba-tiba sebutir bom lagi digugurkan untuk menggegarkan atmosfera politik negara.
Kali ini merupakan pendedahan oleh Rafizi Ramli melalui sumber yang dipercayai dekat dengan Deepak, tentang bagaimana peniaga karpet itu didakwa telah membayar sebanyak RM13 juta untuk barangan kemas, cincin dan batu permata untuk isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Yang lebih menakjubkan, pendedahan yang turut disertakan dengan bukti invois dan resit bayaran, ialah pembelian semua barang kemas sebanyak RM13 juta itu hanya untuk tempoh 3 bulan sahaja.
Hebat! Malaysia Boleh! dan satu lagi bukti isteri pemimpin kita juga boleh menyamai kehebatan isteri-isteri pemimpin dunia yang pernah menjadi mainan bibir antarabangsa sebelum ini seperti Imelda Marcos, Laila Ben Ali, Suzanne Hosni Mubarak dan seumpamanya.
Meskipun Najib dilihat cuba menyelesaikan kemelut Deepak-Rosmah-Raja Ropeah dengan membawa masuk tabung wang pencen askar iaitu LTAT untuk membeli syarikat Deepak dengan bayaran RM30 juta iaitu jumlah kos yang telah dikeluarkannya sebelum ini, kemarahan Deepak nyata masih membara.
Beliau tidak saja mengeluarkan buku mengenai penglibatannya dalam akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian bertajuk Black Rose yang mengaitkan Najib dan Rosmah didalamnya, pendedahan mengenai pembelian barang kemas RM13 juta ini seperti memberi isyarat bahawa Deepak tidak akan berhenti setakat ini sahaja.
Dipercayai lebih banyak pendedahan beserta bukti-bukti mengenai Rosmah dan Najib akan didedahkannya lagi selepas ini. Dengan tempoh edah kerajaan yang ada sekarang akan berakhir pada 28 April 2013 dan pilihanraya umum mesti diadakan sebelum tempoh itu, UMNO dan BN akan terus kelemasan jika satu demi satu bom lagi digugurkan oleh Deepak selepas ini.
Dengan menyerang Rosmah, imej dan kredebiliti Najiblah yang paling terjejas dimata umum. Rosmah bukan saja dilihat seorang isteri yang menyusahkan suaminya tetapi juga membebankan UMNO, BN dan kerajaan.
Beliau amat berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini. Watak dan perlakuannya amat bertentangan dengan Toh Puan Rahah, Toh Puan Suhaila, Tun Siti Hasmah, Tun Endan dan Tun Jeanne yang amat disenangi rakyat dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebiasaan serta kewajaran sebagai isteri seorang Perdana Menteri.
Sepanjang menjadi Perdana Menteri, Najib sentiasa dibebankan dengan pelbagai pendedahan mengenai Rosmah yang menjadi isterinya lebih 20 tahun lalu iaitu selepas Najib menceraikan isteri pertamanya, Tengku Puteri Zainah Iskandar. Dari keghairahan suka berbelanja mewah, longgokan beg tangan, cincin, timbunan pakaian mahal, mengadakan lawatan ke luar negara menggunakan kemudahan jet kerajaan, kemaruk dengan gelaran First Lady sehinggalah kepada suka menunjuk seolah-olah sama berkuasa macam Perdana Menteri, semuanya menjadi bahan percakapan dan sekaligus beban kepada Najib.
Dari masyarakat kelas atasan yang tinggal di Bukit Damansara hinggalah ke budak-budak sekolah rendah di ceruk setinggan, perbualan mereka jarang terlepas daripada topik mengenai Rosmah. Ada saja bahan tidak manis yang menjadi bahan perbualan mengenai Rosmah yang sampai ke telinga mereka dan kemudian dijadikan bahan bualan.
Dengan pelbagai pendedahan mengenai perilaku Rosmah selama ini, dan yang terbaru mengenai pembelian barang kemas RM13 juta yang bayarannya dibuat oleh Deepak, dan mungkin lebih banyak lagi selepas ini, Rosmah kini sudah menjadi beban berat bagi Najib. Najib tidak mungkin berupaya menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan selesa selagi beban itu ada disisinya.
Sudahlah beliau sendiri terpalit dengan pelbagai isu, menteri-menteri kabinet juga ramai yang terdedah tembelang masing-masing dengan pelbagai skandal, pendedahan mengenai Rosmah tentunya menambahkan lagi serabut di kepalanya. Ketika suaminya berserabut, Rosmah sepatutnya menjadi pendamping yang mampu membawa ketenangan kepada jiwa suaminya.
Sebaliknya kehadiran Rosmah sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri, hanya menjadi beban dan juga kebencian rakyat.
Ramai pemimpin UMNO sendiri yang geleng kepala dengan perangai Rosmah ini. Mereka sendiri tidak yakin UMNO mampu melawan arus penolakan rakyat berikutan satu demi satu karenah yang ditunjukkan oleh Rosmah selama ini.
Mereka percaya halangan terbesar Najib untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum nanti adalah kerana adanya Rosmah seperti wataknya yang ada sekarang. Sekiranya Rosmah mempunyai watak seperti Toh Puan Rahah, Toh Puan Suhaila, Siti Hasmah, arwah Endon atau Tun Jeanne, mereka percaya Najib akan mampu muncul sebagai pemimpin yang baik dan disegani ramai.
Dengan hadirnya Rosmah bersama karenahnya itu, rakyat turut menolak Najib. Najib turut dipersoalkan kerana tidak berani menegur atau menasihati isterinya. Rakyat bimbang jika Najib terus diberi sokongan dan memenangi pilihanraya akan datang, karenah Rosmah akan lebih menjadi-jadi dan tidak terkawal lagi.
Dengan kerajaan yang rapuh dan masih menumpang mandat yang diperolehi daripada Pak Lah pada 2008 pun, Rosmah sarat dengan pelbagai isu, apatah lagi jika kemenangan selesa diperolehi selepas pilihanraya umum nanti.
Sebab itu, oleh kerana piliharaya mesti diadakan sebelum 28 April ini, harapan Najib untuk memperbaiki keadaan dan membetulkan persepsi rakyat mengenai dirinya, kepimpinannya, masalah yang diwujudkan isterinya dan seterusnya mencipta kejayaan buat UMNO dan BN, sebenarnya sudah hampir tertutup. Jalan di hadapannya adalah jalan mati. Menunggunya hanyalah gaung yang dalam.
Untuk memberi sedikit nafas dan kekuatan kepada UMNO dan BN, Najib semestinya berundur. Hanya itu pilihan yang ada. Najib mesti melakukan pengorbanan jika tidak mahu UMNO dan BN dikorbankan oleh rakyat melalui peti undi. Topik Najib dan Rosmah kini sudah mendominasi isu-isu yang membebankan UMNO dan BN.
Najib mesti memberi ruang masa dan tempoh yang ada beberapa bulan ini untuk timbalannya, Muhyiddin mengambil alih baton kepimpinan UMNO dan kerajaan dan mengemudi jentera menghadapi PRU 13 nanti. Dengan perubahan kepimpinan, persepsi rakyat juga akan turut berubah.
Muhyiddin juga tidak terlalu banyak pekung seperti Najib. Isterinya juga mempunyai watak yang lebih disenangi rakyat berbanding Rosmah. Meskipun belum pasti mampu mencipta kejayaan gemilang, peluang Muhyiddin lebih cerah berbanding jika UMNO dan BN terus dipimpin Najib dan diselubungi awan mendung ciptaan Rosmah.
Hanya pengunduran Najib satu-satunya peluang yang ada bagi UMNO dan BN memperbaiki kedudukannya. (02/012/2013)
Tuesday, 1 January 2013
Siapa Paksa Beli Syarikat Deepak - Najib Atau Zahid Hamidi?
Persoalan yang timbul disebalik tindakan anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT) iaitu Boustead membeli syarikat milik Deepak Jaikishan, Astacanggih Sdn Bhd sebagai jalan penyelesaian untuk menghentikan kemelut antara Deepak-Najib-Rosmah-Raja Ropeah, kini menimbulkan persoalan baru iaitu siapakah yang memaksa urusniaga itu?
Semua orang tahu LTAT dan Boustead adalah dibawah Kementerian Pertahanan dan projek yang diberi kepada Raja Ropeah yang kemudiannya disertai oleh Deepak juga adalah dibawah Kementerian Pertahanan. Jadi adakah Zahid Hamidi yang memaksa pembelian tersebut?
Atau adakah ia diarahkan oleh "bos besar" iaitu Najib Razak sendiri? Najib sebelum ini pernah menjadi Menteri Pertahanan dan projek yang diberi Raja Ropeah itu juga diluluskan ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Adakah Najib memberi arahan secara langsung kepada LTAT dan Bousted atau arahan itu disampaikan melalui Zahid Hamidi?
Tetapi yang pastinya, tidak mungkin LTAT dan Boustead melakukan urusniaga itu tanpa arahan sesiapa dan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial.
Inilah antara beberapa persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, di sebalik kemeriahan menyambut tahun 2013. Lebih dari itu, penting untuk diketahui ialah sama ada urusniaga itu membabitkan unsur salah guna kuasa atau tidak.
Dalam hal ini, Najib atau Zahid mesti bersuara dan memberitahu ketelusan urusniaga tersebut. Sebagai Perdana Menteri, Najib juga mesti meyakinkan rakyat tentang makna ketelusan yang sekalu disebutnya, era kerajaan betul segala-galanya sudah berakhir dan pelbagai slogan yang molek-molek yang selalu disebutnya untuk menarik perhatian rakyat sebelum ini.
Tiada guna sebenarnya Najib bercakap berbunga-bunga dan melontarkan slogan yang indah-indah setiap kali berucap di hadapan rakyat jika perbuatan beliau kerapkali bertentangan dengan apa yang diucapkannya.
Di sebalik pelbagai pendedahan Deepak mengenai Najib dan Rosmah mengenai urusniaga tanah yang melibatkan Ketua Wanita UMNO Selangor, Raja Ropeah Raja Abdullah sebelum ini, tiba-tiba diketahui umum bahawa Boustead telah membeli syarikat Deepak, Astacanggih Sdn Bhd dan membayar semula kos yang telah dikeluarkan oleh Deepak sebanyak RM30 juta iaitu RM13 juta untuk Raja Ropeah, RM8 juta untuk sumbangan politik, RM7 juta sebagai kos perniagaan dan RM2 juta untuk belanja guaman.
Deepak kemudiannya memberitahu beliau diberi kata dua dan dipaksa menjual syarikatnya itu.
Melalui pembelian secara paksa itu dan kemudian Deepak juga kemuungkinan dipaksa menggugurkan tindakan mahkamahnya, apa yang jelas ialah bahawa segala apa yang didedahkan oleh Deepak sebelum ini mempunyai asas kebenarannya. Walaupun Najib dan Rosmah yang dikaitkan dalam pelbagai pendedahan Deepak hanya berdiam diri, tetapi wujudnya usaha penyelesaian dengan menggunakan LTAT, sebuah tabung kewangan untuk askar pencen dan anak syarikatnya Boustead, untuk menutup segala tembelang yang didedahkan Deepak, turut memperlihatkan usaha terdesak Najib ke arah itu.
Dengan isu yang ditumbulkan Deepak ini terus hangat menjadi bualan dan LTAT serta Boustead turut diserang untuk mendedahkan butiran dokumen urusniaga tersebut, tidak dapat tidak, yang paling wajar bersuara merungkaikan persoalan ini ialah Zahid Hamidi dan Najib sendiri.
Jika Zahid sebagai Menteri Pertahanan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap LTAT dan Boustead tidak berani bersuara dalam hal ini, ia menunjukkan ada yang tidak kena serta sesuatu cuba disembunyikan dalam urusniaga yang dilihat lebih untuk menyelamatkan masa depan politik Najib dalam pilihanraya umum akan datang.
Dan jika Najib selaku pihak yang dituduh secara langsung oleh Deepak dan sebagai Perdana Menteri yang boleh memberi arahan kepada Zahid atau kepada LTAT, juga berani bersuara, maka terbukti bahawa beliau yang merupakan "dalamg besar" di sebalik urusniaga yang mencurigakan itu.
Jika dalam ucapan tahun baru 2013 yang disiarkan secara meluas malam tadi, Najib sekali lagi menggunakan kesempatan itu itu untuk merayu rakyat supaya terus bersama-sama dengan kerajaan dan memberi sokongan kepadanya mengemudi negara, tetapi jika persoalan mengenai urusniaga meragukan yang melibatkan LTAT ini tidak dapat dijawab bermakna tahun 2013 ini akan terus disemarakkan dengan angin perubahan yang lebih kuat lagi.
Jika wang pencen askar pun sanggup dipergunakan untuk menyelamatkan diri, isteri dan kroni, terus memberi kuasa kepada Najib hanya memungkinkan lebih banyak skandal akan berlaku selepas ini. Inilah antara ketakutan rakyat.
Zahid Hamidi pula, jika terus membisu seribu bahawa, hanya mengesahkan cakap-cakap yang banyak kedengaran sebelum ini bahawa keputusan meletakkannya sebagai Menteri Pertahanan tidak lebih hanya untuk menutup "pekung-pekung" Najib yang mungkin terdedah sepanjang beliau mengemudi kementerian itu sebelum ini.
Untuk menafikan semua itu dan menjadikan permulaan tahun baru 2013 kelihatan manis, ceria dan penuh makna, Zahid Hamidi atau Najib dan lebih baik jika kedua-duanya sekali, dapat segera bersuara menjelaskan kepada rakyat mengenai urusniaga ini. ( SH 01/01/2013)
Saturday, 29 December 2012
Biar Betul...Mahasiswa Nak Letak Calon Lawan Najib di Pekan?
Hubungan mahasiswa dengan dunia politik sangat akrab sebenarnya. Sejak dulu lagi sudah sekian kerap dituntut agar mahasiswa dibenarkan berpolitik, tidak saja di dalam kampus tetapi juga di luar kampus, sesuai dengan kedudukan mahasiswa itu sendiri sebagai pemimpin pelapis generasi akan datang.
Sejarah pula telah membuktikan meski dihantui pelbagai halangan, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai peristiwa politik tidak pernah kunjung menyurut. Daripada zaman Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali dalam isu kemiskinan di Baling, Ahmad Lutfi Othman dengan isu purdah dan penglibatan Adam Adli serta sekumpulan yang lain dalam pelbagai isu politik semasa sejak kebelakangan ini, adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sentiasa segar dengan idealisme dan obor perjuangan.
Kerajaan sendiri menyedari kepentingan mahasiswa dalam dunia politik. Mahasiswa seharusnya juga dididik untuk peka dengan persekitaran dan tidak semestinya sepanjang masa hanya diulit dengan buku dan kuliah sahaja.
Lantaran itu, kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa mahasiswa dibenarkan terlibat dalam dunia politik termasuk menjadi calon pilihanraya. Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, kebenaran itu sesuai dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.
Menurutnya lagi, kebenaran itu juga menandakan kerajaan mengiktiraf fungsi, sumbangan serta kematangan daya fikiran mahasiswa.
Meski kerajaan dilihat cuba berlembut dan seakan tunduk dengan tuntutan mahasiswa sejak sekian lama, dalam beberapa isu misalnya, mahasiswa tetap rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Sebagai anak muda yang sarat idealisme, golongan mahasiswa juga mudah terpanggil dengan beberapa isu semasa yang melibatkan wujudnya unsur ketidakadilan serta kekangan daripada pihak kerajaan.
Sudah banyak penglibatan mahasiswa dalam isu seperti itu. Terbaru ini luahan rasa itu juga dizahirkan dalam kes penahanan seorang mahasiswa bernama Umar yang didakwa terlibat dalam demonstasi di Dataran Merdeka sehingga mereka sanggup berkampung di depan Penjara Kajang, malah protes juga pernah dibuat ketika Rosmah Mansor menghadiri program di sebuah universiti tidak lama dulu sebagai bantahan terhadap pelbagai isu yang melibatkan isteri Perdana Menteri itu.
Sesuai dengan kebenaran yang diberi kerajaan baru-baru ini, kini terdapat gerakan di kalangan mahasiswa yang ingin meletakkan calon mereka bertanding dalam pilihanraya umum akan datang ini. Dan selaras dengan luahan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan itu, kerusi pilihan mereka ialah Pekan, Pahang yang sekarang ini diwakili oleh Perdana Menteri, Najib Razak.
Mereka bertanding adalah untuk membawa agenda mahasiwa dan memudahkan suara mereka didengari. Kalah atau menang adalah perkara kedua tetapi dengan bertanding di Pekan, ruang kempen yang terbuka itu akan digunakan sepenuhnya untuk meluahkan segala rasa tidak puas hati dan persoalan yang selama ini membelenggu mereka.
Beberapa perbincangan dan perjumpaan ke arah itu sudah pun bermula sejak beberapa minggu lalu. Mereka kini sedang mengintai beberapa kemungkinan di sebalik penyertaan dalam pilihanraya itu, termasuk pemilihan calon mahasiswa yang sesuai, kewangan dan kemungkinan bergabung dengan pihak pembangkang.
Sehingga ini kerusi yang menjadi tumpuan hanyalah Pekan tetapi jika respon yang diterima agak meluas dan menggalakkan, tidak mustahil suara agenda mahasiswa ini turut juga melebar ke beberapa kerusi yang lain. Penyertaan di Pekan hampir pasti.
Jika perkhabaran ini menjadi kenyataan, ia tentunya satu lagi cabaran bagi Najib dan UMNO kerana dengan penyertaan mahasiwa bertanding melawan Najib sendiri di Pekan, ia tentunya memberi gambaran wujudnya penolakan secara langsung daripada golongan mahasiswa terhadap kepimpinan Najib.
Penyertaan mahasiswa dalam pilihanraya kali ini juga dipercayai mampu mewujudkan gelombang anak muda yang lebih besar kerana ia juga berkait dengan pelbagai isu generasi muda seperti peluang pekerjaan, beban sara hidup, perumahan, pengangkutan, isu sejumlah bakal guru lepasan Institut Latihan Perguruan yang belum menerima penempatan dan sebagainya lagi.
Sesuatu yang makin menghambat Najib tetapi nampaknya PRU 13 makin menarik untuk ditunggu detik ketibaannya.(SH 29/12/12)
Subscribe to:
Posts (Atom)