Wednesday 30 April 2014

Beranikah Najib Terus Bertelagah Dengan Mahathir Mengenai Hudud?


Pendirian UMNO yang berpendirian positif terhadap rancangan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu melalui usul persendirian yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi, akhirnya menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menjadi semakin lantang mengkritik kerajaan pimpinan Najib Razak.

Dalam kritikan terbarunya, beliau berkata, usul hudud ini dihidupkan semula oleh Pas adalah kerana kerajaan sekarang terlalu lemah.

Ini katanya, berbeza dengan kerajaan sewaktu pimpinannya dahulu yang ssngat kuat dan memperolehi majoriti sangat besar sehingga usaha melaksanakan hukum itu dapat dihalang daripada dilaksanakan.

Berpegang kepada keyakinan bahawa hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh Pas itu tidak bersandarkan kepada keadilan yang sebenarnya, terutama berkaitan perbezaan hukuman antara orang Islam dan bukan Islam, Mahathir juga mengimbas bagaimana penentangannya terhadap usaha Pas itu akhirnya membuahkan kejayaan.

Ketika Pas mahu melaksanakan hukum hudud pada 1994, Mahathir telah menulis surat kepada Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan ketika itu yang antara lain berbunyi, "Kerajaan Pusat tidak dapat membenarkan kerajaan Pas Kelantan menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kerajaan Pas demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam."

Betikutan surat tersebut, Kerajaan Pas Kelantan menangguhkan perlaksanaannya dan tidak pernah lagi membangkitkan usaha untuk menjalankan hukum hudud di negeri Kelantan dan Nik Aziz sendiri baru-baru ini mengakui bahawa beliau bimbang akan berlaku Mageran sekiranya beliau berkeras juga mahu melaksanakannya ketika itu.

Tetapi baru-baru ini Menteri Besar Kelantan yang baru, Ahmad Yaakob menunjukkan keazaman yang tinggi untuk melaksanakan hukum hudud yang sudah diluluskan oleh DUN Kelantan itu dengan rancangan mahu membentangkan usul persendirian di Parlimen bagi menjadikannya realiti.

Beberapa pemimpin UMNO Kelantan yang beraada di Parlimen seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Annuar Musa secara terbuka memberi sokongan kepada perlaksanaan hukum itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir juga turut menyatakan sokongan dengan menegaskan bahawa kerajaan Pusat sedia membantu mana-mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakan hukum itu.

Najib dalam reaksi terbaru, walaupun beberapa tahun lalu pernah bertegas bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini, kini berubah nada dengan mengatakan banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

Tambah beliau lagi, terdapat perbezaan antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kesulitan dan kekangan yang pelbagai.

Lebih menarik dari itu, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang melawat Kelantan baru-baru ini turut mengambil kesempatan menziarahi Nik Aziz di rumahnya sambil memakai kopiah putih serta mencadangkan agar satu jawatankuasa bersama antara UMNO dan Pas dibentuk bagi mengkaji perlaksanaan hukum itu.

Walaupun Muhyiddin masih tidak mahu menyatakan sama ada UMNO akan menyokong usul pereendirian itu atau sebaliknya, yang nyata ada perubahan sikap lebih positif ditunjukkan oleh ramai pemimpin UMNO terhadap hukum hudud ini.

Mahathir yang jelas bimbang dengan perkembangan ini, kini dilihat semakin lantang mengkritik dan menyuarakan bantahannya terhadap usaha Pas itu. Beliau bukan saja mempertahankan pendiriannya bersandarkan konsep keadilan yang diyakininya, tetapi juga mula menempelak Najib kerana melayan cadangan Pas itu.

Sambil menegaskan kerajaan pimpinan Najib sebagai lemah, Mahathir berkata, "mungkin mereka ingat kerajaan perlukan sokongan sebab di zaman saya, kami berkuasa dengan majoriti dua pertiga".

Dengan menyifatkan kerajaan Najib sebagai lemah sehingga terpaksa mengharapkan sokongan Pas dengan cara memberi sokongan terlebih dahulu terhadap usul persendirian yang bajal dibentangkan Pas, Mahathir bukan saja menentang hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan, malah turut menghalakan serangannya terhadap Najib dan kerajaan.

Tidaklah mustshil sebenarnya, jila Najib dan UMNO terus bersikap positif terhadap perlaksanan hukum hudud ini, serangan Mahathir akan lebih dihalakan kepada Najib berbanding Pas. Najib akan diserang habis-habisan bukan saja kerana perubahan sikapnya yang positif terhadap hudud tetapi juga sebab pemimpin UMNO yang lain juga seperti sama positifnya terhadap hukum itu.

Soalnya, beranikah Najib bertelagah dengan Mahathir?

Sejak menjadi Perdana Menteri, bukanlah rahsia lagi bahawa perkara yang paling ditakuti oleh Najib ialah berbeza pendapat, apatah lagi bertelagah dengan Mahathir. Beliau bukan saja bersikap lembut dan menjaga hati Mahathir sejak dari awal, termasuk menjadikan anaknya Mukhriz sebagai MB Kedah, bahkan tidak berani mengulas banyak daripada kritikan bekas Perdana Menteri itu.

Najib lebih senang mendiamkan diri kepada banyak kritikan itu dan ia dipercayai untuk mengelak ianya disensasikan dan akhirnya mencetuskan perbalahan antaranya dengan Mahathir. Ini berbeza dengan Pak Lah, walaupun dikatakan lemah dan lembik, tetapi sejak awal berkuasa sudah menunjukkan keberanian untuk membuang pengaruh Mahathir dengan membatalkan projek keretapi berkembar dan jambatan bengkok yang sudah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri itu serta membebaskan Anwar daripada penjara.

Masalah Pak Lah ialah beliau tidak cukup kuat untuk berlawan dengan Mahathir.

Episod yang berlaku kepada Pak Lah sedikit-sebanyak memberi pengajaran kepada Najib bahawa bertelagah dengan Mahathir bermakna mencari masalah.

Tetapi di sebalik beberapa kritikan Mahathir terhadap Najib yang berpunca daripada banyak kelemahannya dalam mengurus kerajaan ini sehingga negara menjadi semakin kalut dan kucar-kacir, isu hudud yang tiba-tiba muncul ini nampaknya mula menjurus ke arah serangan yang lebih keras dan lantang oleh Mahathir terhadap Najib.

Daripada menyalahkan hukum hudud versi Pas yang dipercayainya tidak bersandarkan keadilan, beliau kini menyalahkan Najib pula kerana melayan isu tersebut. Beliau juga seperti menyindir kerajaan Najib yang terpaksa mengharapkan sokongan daripada parti lain berbanding kerajaan pimpinannya dahulu yang sentiasa mendapat majoriti dua pertiga.

Melihat satu demi satu perkembangan isu hudud ini serta memahami karaktor Najib yang lebih lemah daripada Pak Lah, adalah diyakini beliau akhirnya akan tunduk kepada Mahathir. Najib tidak akan berani bertelagah dengan Mahathir, jauh sekali untuk memastikan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadap usul persendirian Pas itu nanti.

Bagi Najib akhirnya, memastikan kedudukannya selamat dan kekal sebagai Perdana Menteri adalah lebih penting didahulukan daripada mengharapkan sokongan daripada pihak-pihak lain, termasuk Pas berkaitan hudud itu.

Untuk kesekian kalinya dan untuk tempoh yang tidak diketahui, hudud akan terus menjadi isu politik seperti buiy-buiy di lautan,ada ketikanya ia muncul dan ada ketikanya ia menghilang begitu saja. (SH 30/04/2014)

11 comments:

  1. Najib tidak perlu menghiraukan mahathir malah tidak perlu pun tunduk kepada keghairahan pas jika dia mempunyai pendekatan dan caranya tersendiri. Adakah dia ada? Ada yg lebih baik dari mahathir atau pas? Jika ada, rakyat akan menyokongnya,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya sokong pendapat sdra.

      Dalam isu lain, parlimen sudahpun melulusan bajet tambahan bagi tahun 2014. Ini baru bulan 4, apa sudah jadi dengan bajet yang dibentangkan oktober 2013 untuk bajet 2014. Percayalah, jika kita perhatikan stail Najib sejak 5 tahun lepas, dia akan minta beberapa kali lagi bajet tambahan.

      Apa maknanya? Memang benar Najib dibenarkan membuat permintaan tambahan tetapi kita kena bandingkan jumlah dan kekerapan Najib memohon bajet tambahan ini dengan rekod PM terdahulu. PM dulu berapa % tambahan bajet yang dipohon betdasarkan bajet asal, Najib berapa. PM didulu tambah berapa dan Najib berapa.

      Yang kita sebagai rakyat tidak mahu ialah jangan main silap mata. Bajet dibentang dibuat begitu rupa hanya supaya senang untuk mendapat kelulusan parlimen dan menampakkan hebat kerana nampak ada usaha untuk mengurangkan defisit ( sebagai modal politik), sedangkan itu bukan jumlah sebenar yang dirangka. Jumlah sebenar diperolehi secara berperingkat melalui bajet tambahan. Dengan cara ini, ramai tidak nampak bahawa pengurangan defisit belanjawaan yang diwar2kan semasa perbentangan bajet dulu dah lari.

      Kita tahu bajet 2014 adalah bajet defisit. Maknanya duit tak cukup untuk belanja tahun 2014. Kerajaan memang ada cara untuk mengatasinya termasuk buat pinjaman jika sumber lain tak dapat dicari. Bila pinjam bermakna akan bertambah hutang negara yang sudahpun tinggi. Ramai mengatakan sebahagian besar hutang kerajaan yang dibuat oleh Najib sebahagian besarnya untuk menampung defisit ini. Negara lain pinjaman duit untuk aktiviti menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan, NAJIB PINJAM DUIT UNTUK TAMPUNG BELANJA SEMASA YANG TAK CUKUP.

      Ini satu aspek yang kita rakyat kena ambil pot skit tak kira kita sokong parti mana: BN atau Pakatan. Kesannya akan menimpa semua. Bukan bermakna jika kita sokong BN, kita terlepas dari kesan buruk yang menimpa negara. Yang kena hanya hanya penyokong pembangkang. Jika kenaikan kos hidup yang tidak terkawal berlaku sebagai contoh, orang BN,orang Pakatan, orang atas pagar semua kena. Yang paling menjadi mangsa ialah anak2 kita. Antara ketiga2 kelompok ini, golongan yang paling malang ialah penyokong BN. Kita bersusah payah buat kerja untuk menangkan parti, bila mai keperitan ekonomi kita pun susah juga walaupun parti menang. Apa istimewa kita. Orang PR beli RON95 pada harga RM 2.10, kita pun sama. Keperitan hidup puak pembangkang rasa, kita pun rasa.

      Delete
  2. Tuan Shahbuddin,
    Saya mushkil kenapa baru sekarang Dato Sri Najib kelihatan berminat untuk menyokong perlaksanaan hudud. Sebaik Dato Nik Aziz berundur sebagai MB Kelantan, tiba tiba hubungan UMNO dan PAS seakan akrab. Adakah pimpinan PAS Kelantan lebih islamik sekarang berbanding era Dato Ustaz Nik Aziz. Apakah kerajaan PAS Kelantan lebih hebat aktiviti dakwah hinggakan sebahagian kepimpinan UMNO termasuk Dato Sri Najib kelihatan seolah tertarik dengan perlaksanaan hudud. Anihnya dalam kes perbicaraan liwat Dato Sri Anwar, tidak pula Dato Najib dan Jamil Khir mahu membawa kes berkenaan ke mahkamah syariah terutamanya berkaitan dengan khazaf. Kenapa pemimpin UMNO begitu bermurah hati mahu membantu Kelantan dari sudut hudud ini semata mata sedangkan banyak kepetingan lain khususnya ekonomi diabai dan dianaktirikan?. Pendapat peribadi saya dalam hal ini, UMNO ternyata lebik bijak dari sudut strategi berbanding PAS. Keyakinan saya berkait kesungguhan UMNO untuk membantu PAS dalam soal pebegakan hukum hudud ini langsung tidak ada. Tekanan dan serangan Tun Mahathir kononnya kerana Dato Najib bersetuju mengikut kata PAS hanyalah untuk memperkuatkan lagi kepercayaan PAS dan pengikutnya terhadap kesungguhan PM dan UMNO BN. Natijah akhirnya, kesatuan PR akan menjadi makin longgar dan rapuh. Makan angin keluar asap. Belum setahun jagung pucuk kepimpinan bertukar di Kelantan, perangkap UMNO makin hampir mennelan mangsa. Saksikan saja nanti siapa untung siapa rugi. Kalau tidak kerana liciknya UMNO BN, masa kan perak ditangan lagikan hilang di negeri Perak.

    ReplyDelete
  3. Apa yang nak mereka telagah kan? Bukan kah kedua dua malaun ini tidak berapa "GEMAR" dengan hukum tersebut kerana kalau hukum ini di laksanakan sudah tentu mereka berdua akan mendapat habuan. Bukan setakat mereka berdua sahaja, malah ramai dari kalangan mereka yang akan di heret ke mahkamah.

    Usah di ambil kira perbuatan songsang mereka yang lain. Selesai kan dulu kes royalti minyak untuk Kelantan. Bukan kah dengan kehilangan MH 370 ALLAH telah membuktikan bahawa terdapat 21 telaga minyak di Kelantan. Menodai satu perjanjian merupa kan jenayah juga.

    ReplyDelete
  4. Isu Hudud boleh menaikkan Najib dan boleh memusnahkan pengaruh Mahathir. Jika Najib berani membenarkan hudud..........Najib akan melakukan satu 'islah' (perubahan) dalam UMNO. Anwar pernah melakukannya dulu ( iaitu Anwar pernah menyanggahi pendapat Tengku Abd Rahman dan Tun Musa dalam isu pembentukan negara Islam tulen dalam tahun 80an) dan ternyata tindakan berani Anwar itu menaikkan namanya dalam UMNO dalam masa yang singkat. UMNO perlukan perubahan @ transformasi.....! Sama2lah kita tunggu episod seterusnya.......adakah Najib masih play safe?

    ReplyDelete
    Replies
    1. tebing tinggi1 May 2014 at 13:00

      Kalau nak laksanakan Hudud ,laksanakanlah kerana Allah ,dan kebaikanya. Amat malang kalau keinginan melaksanakanya untok kepentingan politik.

      Hudud tidak seharusnya terbatas kapada umat Islam sahaja ,kerana pelaksanaan akan menjadikan ia sebagai undang-undang Negeri / Negara (law of The Land) dan terpakai kapada semua (people of the land) bukan sahaja umat Islam.
      Apakah rasionalnya kalau Hudud terpakai hanya untok orang Islam sahaja ,sedangkan ia menjadi undang-undang Negeri / Negara.

      Delete
    2. Kita serahkan kepada mereka yang pakar menentukan samada hudud ini perlu dilaksanakan kepada yang bukan Islam. P3ndapat terbanyak dikalangqn ulamak dalam isu ini ialah hukum hudud ini hanya untuk penganut Islam sahaja. Yang bukan Islam boleh memilih untuk menggunakan hukum hudud atau undang2 yang selain hudud yang terpakai di masa itu untuk yang bukan Islam.

      Dalam suasana hudud sedang diperkatakan sekarang, seelok-eloknya JAKIM dan Majlis Fatwa menjalankan fungsi mereka bagi memberi kepastian kepada semua pihak samada hukum hudud ini hanya untuk orang Islam sahaja atau juga meliputi yang bukan Islam juga.

      K3duanya tidak bol3h berdiam diri dalam isu ini atau menunggu arahan pihak kerajaan kerana mereka bertanggungjawab kepada Allah mel3bihi kerajaan .

      Jadi sdra t3bing tinggi, m3h kita desak agar JAKIM dan Majlis Fatwa memberi penjelasan mengenai isu ini kerana mereka adalah otoriti di dalam negara ini dalam hal ehwal Islam.

      Kita tak mahulah orang-orang seperti sahibul samahah sh3ikh ibrahim al-kataki al-pasirmasri atau sheikh mahfuz omari al-pokoksenaii dan seumpamanya m3ngeluarkan fatwa yang boleh menambahkan kekeliruan umat Islam dinegara kita.

      Delete
  5. Bermacam-macam justifikasi ‘licik’ untuk mengkompromikan pelaksanaan hudud yang telah diwajipkan oleh Allah dengan sebuah pemerintahan demokrasi yang tidak memungkinkan terlaksananya penerapan hukuman hudud secara sempurna.

    http://kalamputihmenuliss.blogspot.com/2014/04/isu-hudud-dalam-demokrasi.html

    ReplyDelete
  6. Bagi pandangan saya, diantara Mahathir dan Najib tiada percanggahan pendapat atau bertelagah dalam hal hukum hudud yang sedang heboh diperkatakan oleh pemimpin PAS. Mereka sebenarnya sedang mengolah masaalah agar orang melayu yang beragama islam jadi bingong dan kekal bodoh.

    Maka UMNO Baru perlu lakukan sesuatu agar musuh politiknya sentiasa dalam keadaan lemah. Oleh itu mereka perlu ada agenda tersembunyi maka kelakuan mereka kita lihat seperti sedang main layang-layang. Sekejap dihulurkan tali, sekejap di tarik tali sekejap lagi dibiarkan saja layang-layang itu berlegar-legar diruang udara.

    Nampak kedudukan layang-layang itu macam berada ditempat yang tinggi, tapi sebenarnya ianya semakin menjauh dari si pemilik. Walau pun begitu, segala-galanya bergantung pada kekuatan angin yang berhembus dikeliling pemimpin PAS yang sedang leka dan teruja.

    Ramai diantara kita yang merasa curiga diatas rancangan UMNO Baru dan PAS untuk mencipta undang-undang hudud sedangkan kita semua tahu kerajaan Barisan Nasional amat sayang dengan perbuatan rasuah yang begitu hebat diamalkan sejak zaman Mahathir lagi.

    Faktanya kita tahu dikalangan pemimpin Barisan Nasional ada yang memiliki kekayaan melampaui kemampuan tapi sehinggi kini tiada seorang pun dikalangan mereka yang dihadapkan kemahkamah didapati bersalah dan dihukum.

    Dalam keadaan ini, apakah orang yang bersalah dalam UMNO Baru itu mahu menyerahkan tangannya kepada pemimpin PAS untuk dipotong melalui hukum hudud ?

    Selain dari itu, bolehkah hanya PAS dan UMNO Baru saja bergabong dan kemudiannya mengubah perlembagaan dari sistem sekular kepada peraturan dan undang-undang islam sedangkan pendirian DAP, PKR dan MCA konsisten dengan undang-undang dan akan pertahankan perlembagaan sedia ada ?

    Sepatutnya pemimpin PAS dan penyokongnya telah membina kekuatan sendiri dalam politik sehingga menguasai kuasa majoriti dua pertiga diparlimen yang mampu mengubah struktur perlembagaan yang telah dicipta sebelum ini.

    Dengan cara itu maka mereka tidak perlu mengharapkan bantuan dari pihak musuh atau menyalahkan orang lain jika diantaranya tidak bersetuju atau menentang perlaksanaan hukum hudud.

    Melihat pada isu cadangan kerajaan negeri Kelantan mahu membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu , sebenarnya kita amat kesian melihat pemimpin PAS terus dipermainkan oleh pemimpin UMNO BARU dalam memperjuangkan agenda islamnya yang disifatkan sebagai ulamak ingin berbini ramai tapi mati pucuk.

    Walau bagaimana pun niatnya.... Allah tuhan saya sedang memerhatikan kelakuan hamba-hambanya.....

    ReplyDelete
  7. Kedua-dua Mahathir dan Najib tak boleh di percayai.Masing-masing ada lakonan mereka sendiri.Tetapi rakyat sudah sedar sekarang, yang penting umno tak wujud lagi jika melayu sudah pandai berfikir!

    ReplyDelete
  8. Orang Melayu cukup mudah dipergulai hingga tidak nampak siapa musuh sebenar mereka.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...