Sunday 1 December 2013

Sekali Lagi Mukhriz Dipinggirkan Oleh Najib


Selain perlantikan pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias sebagai ahli MT UMNO yang menjadi perbualan hangat, tercicirnya nama Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam senarai perlantikan turut juga menjadi persoalan ramai kalangan dalam UMNO. Ustaz Kazim dipertikaikan kerana dilantik tetapi Mahathir pula dipersoalkan kenapa beliau tidak dilantik.

Dalam pemilihan UMNO pada Oktober lalu, Mukhriz yang dilihat sebagai antara calon popular untuk memenangi kerusi Naib Presiden UMNO, sebaliknya hanya mampu mendapat tempat keempat dengan 93 undi, ketinggalan di belakang Zahid Hamidi yang mendapat 188 undi, Shafie Apdal 177 undi dan Hishammuddin Hussein 101 undi.

Antara sebab kekalahan Mukhriz ialah kerana beliau bukanlah calon pilihan Najib yang nyata lebih selesa mengekalkan status quo dan percaturan Najib dalam hal ini terbukti apabila Mukhriz tidak mendapat walau satu undi daripada 14 bahagian di Pahang, selain beberapa orang kanan Najib juga didapati berkempen agar ketiga-tiga penyandang dikekalkan. Semua bahagian di Pahang didapati sepakat memberi undi hanya kepada penyandang yang dikenali sebagai "orang-orang kepercayaan Najib" iaitu Zahid, Shafie dan Hishammuddin dan ini tidak dapat ditolak daripada hakikat adanya "mainan halus" daripada Najib sendiri.

Mahathir sendiri meluahkan kekecewaannya atas kekalahan Mukhriz itu dan menegaskan punca utama kekalahannya ialah kerana tidak menjadi calon pilihan Perdana Menteri dengan mengambil contoh ketika beliau menjadi Perdana Menteri, tiada seorang pun yang dilihat sebagai penentangnya mampu memenangi jawatan kanan dalam UMNO.

Namun demikian katanya, Mukhriz bertanding kerana ingin membawa perubahan kepada UMNO tetapi malangnya tidak semua menerima dengan baik hasratnya itu.

Mukhriz pula, sebaik kekalahannya, berharap agar Najib menimbang untuk melantiknya menduduki kerusi MT kerana beliau mempunyai beberapa idea dan perancangan untuk dikongsi bersama demi kebaikan dan masa depan UMNO.

Malangnya, setelah beliau digagalkan oleh "permainan" Najib dalam pemilihan Naib Presiden UMNO yang lalu, kali ini sekali lagi beliau dipinggirkan untuk dilantik sebagai ahli MT UMNO.

Dalam perlantikan MT minggu lalu, Najib mengumumkan Naib Ketua Wanita UMNO, Azizah Mohd Dun dan Penolong Setiausaha Wanita, Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan sebagai anggota MT yang mewakili sayap-sayap parti itu.

Dalam perlantikan dua hari lalu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, mereka yang dilantik pula ialah Nazri Aziz, Sharkar Shamsuddin, Hamzah Zainudin, Irmohizam Ibrahim, Johari Abdul Ghani, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Dr Asraf Wajdi Dusuki, Prof Ibrahim Abu Shah dan Ustaz Kazim Elias.

Dengan tercicirnya nama Mukhriz dalam senarai perlantikan ini, bermakna kedudukannya dalam MT hanyalah sebagai ahli yang turut hadir saja, bersama beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri yang tidak bertanding dalam pemilihan lalu. Walaupun turut dijemput dalam setiap mesyuarat MT, kedudukannya tidak sama dengan ahli MT yang dipilih atau dilantik kerana kedudukan sebagai ahli yang turut hadir tidak dikira sebagai korum, tidak boleh bersuara kecuali diminta dan tidak boleh mengundi.

Dalam erti kata lain, kedudukan Mukhriz dalam MT hanyalah sebagai ahli "kelas kedua" saja.

Tindakan Najib tidak melantik Mukhriz dipersoalkan oleh ramai ahli UMNO kerana beliau disifatkan sebagai pemimpin yang boleh membawa perubahan, mempunyai watak yang dipercayai boleh menarik lebih sokongan rakyat kepada UMNO dan antara ramuan terbaik dalam melakukan transformasi serta peremajaan parti dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Lebih dari itu, dengan hanya kalah tipis kepada Hishammdin bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO walaupun pertama kali bertanding, Mukhriz juga telah membuktikan bahawa beliau mempunyai penyokong dan pengaruh yang agak besar dalam UMNO. Dan ini menunjukkan kedudukannya tidak wajar diketepikan begitu saja.

Tambahan lagi, Mukhriz juga secara berterus-terang meminta kepada Najib agar beliau dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ahli MT UMNO.

Ramai yang sebenarnya mengharapkan agar anak bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu dilantik sebagai ahli MT, sekurang-kurangnya ia menunjukkan sikap budiman dan tolak ansur Najib terhadap percaturannya yang mahu mengekallan status qou Naib Presiden dalam pemilihan lalu.

Namun, dengan mencicirkan nama Menteri Besar Kedah itu, Najib dilihat seperti meminggirkannya sekali lagi.

Dengan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sudah berusia 66 tahun, Zahid Hamidi yang mendapat undi tertinggi Naib Presiden berusia 62 tahun manakala Shafie Apdal dari Sabah, tindakan Najib terus meletakkan Mukhriz "di kelas kedua" dalam barisan MT, tidak syak lagi bahawa beliau kini sedang menyulam benang-benang merah untuk dijadikan permaidani bagi dihamparkan sebagai laluan kepada sepupunya, Hishammuddin untuk mengambil alih tempatnya suatu hari nanti.

Dalam hal ini, terlihat bahawa agenda membawa perubahan dan memperkuat UMNO tidaklah sepenting agenda peribadinya. (SH 01/12/2013)

6 comments:

  1. KJ dulu pun bertahun tak dilantik jadi menteri, walaupun dia ketua pemuda, dan menang melalui pertandingan lagi. tapi dia sabor, dan tekun buat kerja. tengok apa dia dapat sekarang. mukhriz pun kena sabor jugak ler...

    ReplyDelete
  2. MB Perlis,Azlan Man satu2nya MB yang yang tak dilantik sebagai pengerusi perhubungan negeri,MT pun tak dilantik.Tiada seorang pun ambil peduli.

    ReplyDelete
  3. bagus Najib buat tu supaya anak mahadir jangan perasan hebat...tapi dia dok lantik Rosni Sahar tu dalam MT menunjukan kebodohan Najib lagi....entah la Najib....

    ReplyDelete
  4. Dalam keriuhan untuk berhimpun tercipta pula kekeliruan... Mungkin ia terlepas pandang atau mungkin pengaruh Tun Mahathir sudah lemah seperti jantung nya maka tiada siapa yang mempedulikan pandangan dan juga kencamannya terhadap parti itu..?

    Walau apa pun alasan yang diberi, kita melihat Najib sedang membina kubu bagi melindungi mahligai Rosmah dari pelbagai ancaman yang ada dalam parti itu.

    Cuma kita ingin bertanya... Apakah kepala ahli UMNO Baru sudah cukup keras untuk dipijak sebagai batu loncatan...?

    ReplyDelete
  5. pls add me at FB : airmatabuaya amb

    ReplyDelete
  6. satu hari nanti tun mahathir akan masuk PAS, macam Mat Tyson Taib. Tak caya tengok lah nanti... nothing is impossible...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...