Tuesday 6 March 2012

Siapakah Berfikiran Munasabah Yang Sesuai Berdebat Dengan Najib?

Dalam percubaannya untuk menjadi seorang yang berani dan ada kelelakian untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim, Najib menulis dalam blognya dengan menyatakan beliau bersedia berdebat dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan serius mengenai masa depan negara.

Sebelum ini Anwar Ibrahim yang mengetuai Pakatan Rakyat dan diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri kiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya telah mengemukakan cabaran kepada Najib untuk berdebat mengenai pengurusan ekonomi negara.

Idea debat itu timbul setelah pelbagai idea yang dilontarkan oleh Pakatan Rakyat kiranya mereka berjaya mengambil alih kepimpinan negara sebagaimana yang digariskan dalam Buku Jingga ditempelak oleh beberapa pemimpin UMNO dan BN, termasuk Najib sendiri.

Ia antaranya berkaitan penurunan harga minyak, penghapusan kadar tol, penghapusan subsidi, kaedah pengurusan ekonomi yang lebih telus dan mengutamakan kebajikan rakyat serta pelbagai lagi. Para pemimpin UMNO dan BN menempelak Anwar dan pembangkang bahawa idea-idea Pakatan Rakyat itu boleh menyebabkan negara menjadi muflis akhirnya.

Anwar bukan sahaja bersedia berdebat di mana-mana saja lokasi yang dipilih oleh Najib bahkan juga bersedia memberi masa yang lebih lama kepada Najib dalam perdebatan itu. Ia untuk membuktikan idea dan tawaran mereka kepada rakyat adalah sesuatu yang logik serta munasabah dan akhirnya biarlah dinilai dengan saksama oleh rakyat.

Sementara Najib berdiam diri dan tidak berani menyahut cabaran itu, semua pemimpin UMNO menolak idea debat itu, termasuk Tun Mahathir sendiri yang menyatakan debat antara Anwar dan Najib itu hanya membuang masa dan tidak menjamin membawa kebaikan kepada negara.

Setelah agak lama masa berlalu dan debat antara Presiden MCA, Chua Soi Lek dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah berlangsung dengan jayanya serta mendapat pujain pelbagai pihak yang akur bahawa debat itu berjaya merangsang percambahan pemikiran yang positif sama ada kepada rakyat dan pemimpin, Najib akhirnya akur juga bahawa debat dalam apa juga keadaan tetap ada kebaikannya.

Ini kerana debat bukan semata-mata bertujuan mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi untuk melihat sejauh mana idea-idea yang dilontarkan dalam perdebatan itu mampu mencetuskan rangsangan ke arah langkah-langkah yang membawa kebaikan kepada negara.

Malangnya, dalam masa Najib mengakui bahawa debat ada kebaikannya, beliau tetap berhelah untuk mengelakkan beliau berdebat dengan Anwar Ibrahim.

Ungkapan Najib yang menyatakan sedia berdebat dengan sesiapa saja tetapi berkias bahawa orang itu mesti mempunyai pemikiran yang munasabah dan serius mengenai masa depan negara, tidak lebih merupakan kenyataan "orang yang takut dalam berani" dan "orang tidak setuju dalam setuju".

Persoalannya siapakah orang yang berfikiran munasabah dan serius mengenai masa depan negara yang menjadi prasyarat Najib untuk layak berdebat dengannya?

Bukankah Anwar mengajaknya berdebat mengenai pengurusan ekonomi negara dan kepentingan rakyat? Anwar mungkin dianggap tidak serius mengenai masa depan negara dan mempunyai pemikiran yang tidak munasabah jika mengajak Najib berdebat mengenai kes pembunuhan Altantuya, komisyen kapal selam, pembaziran Najib sekeluarga dalam membeli barang-barang mewah atau lain-lain isu peribadi yang diperkatakan rakyat melibatkannya.

Sebagai calon Perdana Menteri yang diuar-uarkan jika Pakatan Rakyat menang PRU 13 ini, Anwar bukan sahaja individu yang paling sesuai berdebat dengan Najib, bahkan topik yaang diajak diperdebatkan juga amat munasabah demi masa depan negara.

Untuk mengakui beliau takut dan tidak mahu berdebat dengan Anwar, mungkin membawa aib terhadap moral politiknya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Tetapi sebenarnya memang Najib cuba mengelak untuk berdebat kerana mungkin beliau sudah dapat menjangkakan hasilnya. Namun beliau agak terpukul bilamana majoriti rakyat mahukan perdebatan itu berlangsung untuk melihat sejauh mana kredebiliti dan kemampuan kedua-duanya, antara beliau dengan Anwar lebih-lebih lagi Chua Soi Lek pula yang secara diam-diam berani berdebat dengan Lim Guan Eng.

Cumanya Najib barangkali memikirkan, dalam beliau cuba mengelak untuk berdebat itu, beliau harus juga menunjukkan kejantanannya.

Hakikatnya Najib memang seorang pemimpin yang suka mengelak tetapi sering ingin menunjukkan keberaniannya. Sebelum ini Najib juga menunjukkan sifat rendah diri dengan memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan UMNO dan BN dalam pilihanraya 2008 lalu, namun hakikatnya Najib tidak berani mengakui segala kesilapan dan memohon maaf atas pelbagai salah dan silapnya sejak menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu.

Beliau hanya berani memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah tetapi menyembunyikan kesilapannya sendiri.

Begitu juga dlam isu debat ini, beliau sebenarnya takut dan tidak punyai kekuatan tetapi dalam masa yang sama ingin pula menunjuk berani kononnya hanya sedia sedia berdebat dengan mereka yang berfikiran munasabah dan untuk kepentingan negara sahaja.

Jika bukan dengan Anwar, dengan siapakah lagi Najib mahu berdebat?

Kiranya Najib ingin juga berdebat dengan sesiapa yang dirasakannya berfikiran munasabah dan dalam masa yang sama ingin dilihat muncul sebagai pemenang serta disanjung oleh lawannya, berdebatlah dengan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dan Pengerusi Jati, Dr. Hassan Ali. Pasti hasilnya memuaskan hati beliau. (SH 6/03/2012).

1 comment:

  1. Najib tak pernah berani. Kalau nampak lipas kat lantai pun, dia suruh Rosmah halaukan dulu sebelum dia berjalan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...