Wednesday 28 March 2012

Corat-Coret Sepetang Bersama Tuan Guru Hadi Awang

Petang Selasa 27 Mac lalu, saya dan beberapa aktivis politik telah berkesempatan bertemu dan bertukar-tukar fikiran bersama dengan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Turut sama ialah Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar, Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Akhbarnya, Sdr Nassae.

Kumpulan aktivis politik yang hadir pula antaranya ialah Tamrin Tun Ghafar, Datuk Manan Othman, Datuk Mazlan Harun, Datuk Abdul Rahman Yunus, Soberi Shafie, Omar Ismail, dua bekas ahli UMNO yang kini menyertai DAP, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz dan Aspan Alias serta beberapa orang lagi. Kumpulan aktivis ini pada umumnya terdiri daripada ahli UMNO, ahli Pas, ahli DAP,golongan profesional dan mereka yang tidak berparti.

Perbincangan secara terbuka dan penuh mesra itu bukan saja mencakupi isu-isu semasa khususnya dalam suasana politik negara yang cenderung kepada perlunya perubahan politik tetapi juga menyentuh beberapa isu lain yang selama ini agak kabur dan tidak diperbincangkan secara terbuka.

Haji Hadi yang bergegas daripada Parlimen untuk pertemuan ini melayan kami semua dengan baik dan mesra, menjawab semua pertanyaan dengan ikhlas dan terbuka serta tidak meletakkan perbezaan ideologi politik sebagai garis pemisah untuk menjalinkan ukhwah dan persaudaraan.

Selain menghuraikan perjalanan politik Pas dari dulu hingga sekarang yang mencakupi pelbagai susur galur serta pelbagai gelora turun naik yang sudah diharungi sejak daripada zaman Datuk Asri, ketika bersama Angkatan Perpaduan Ummah, percubaan mewujudkan kerajaan perpaduan ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan juga perkembangan terkini bersama Pakatan Rakyat.

Dengan meyakinksn bahawa politik ini adalah suatu amanah yang mesti dijaga dengan baik dan mengambil kira komposisi kaum di negara ini, Haji Hadi menegaskan bahawa Pas dalam apa juga keadaan akan tetap berpegang kepada menjamin kedudukan Melayu dan Islam dalam perjuangan politiknya.

Menurut beliau, perkara itu juga merupakan perkara yang diterima dalam Pakatan Rakyat di mana semua pihak pada hakikatnya menerima realiti politik itu, sambil memberi contoh tentang kesediaan kaum dan parti lain memberikan jawatan Menteri Besar Perak kepada calon Melayu daripada Pas pada tahun 2008 dulu sebagai buktinya sedangkan Pas hanya memenangi enam kerusi DUN saja.

"Kita akan terus berjuang untuk memperkasa Melayu dan Islam selepas piliharaya umum akan datang ini kerana itulah teras politik negara," tegas beliau.

Penegasan ini dengan sendirinya mematikan tohmahan UMNO dan BN selama ini bahawa Pas adalah tunggangan DAP dan seringkali tunduk kepada tuntutan bukan Melayu dalam pelbagai aspek.

Haji Hadi juga menjelaskan dengan panjang lebar tentang persefahaman politik Melayu dan bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat, isu pengundi muda, pengundi hantu, isu Felda, peranan media, negara berkebajikan, hukum hudud, politik semasa di Kedah dan Selangor termasuk isu pemecatan Dr Hassan Ali, pembahagian kerusi dalam Pakatan Rakyat, isu berkenaan Najib dan banyak lagi aspek turut menjadi topik perbincangan.

Berkenaan gaya politik Najib, Haji Hadi berkata, keghairahan Najib untuk mengekalkan kuasa dan menawan negeri-negeri tertentu sebenarnya hanya didorong oleh kekayaan negeri tersebut dan bukannya untuk memperkasakan kedudukan Melayu.

Menurut beliau, Selangor menjadi idaman Najib adalah kerana harta dan kekayaannya, bukan untuk menolong orang-orang Melayu yang menjadi penduduk negeri itu.

Dalam isu yang berkaitan, kata beliau, UMNO juga hanya menambah jumlah pengundi di kawasan yang mereka boleh menang sahaja dan mengetepikan sama sekali aspek untuk menguatkan kedudukan Melayu dan Islam di sesuatu kawasan itu.

"Tidak ada usaha bersungguh daripada UMNO untuk menambah jumlah pengundi di Kelantan dan Terengganu yang semuanya Melayu tetapi menambah dengan banyak pengundi di Selangor dan Pahang" tambah beliau lagi.

Banyak lagi penjelasan-penjelasan menarik yang dituturkan oleh Hadi Hadi dalam pertemuan ini sebenarnya tetapi sudah tentulah tidak semuanya dapat dikongsi bersama. Namun daripada kerendahan budi dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Haji Hadi, banyak persefahaman sudah berjaya termetrai di hati dan keyakinan antara satu sama lain.

Dan hakikat yang tidak boleh ditolak ialah adanya titik pertemuan, persefahaman dan keyakinan bahawa hanya dengan perubahan dalam PRU 13 ini sahaja yang mampu menyelamatkan negara ini dapat diwarisi dengan makmur dan sejahtera untuk generasi seterusnya. (SH 28/03/2012)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...