Wednesday 14 March 2012

Selepas Najib, Hishammuddin...Kemudian Mukhriz...Selepas Itu Ashman Anak Najib, Selepas Itu....

Pilihanraya umum akan datang ini bukan sahaja penting untuk dinilai sama ada UMNO akan terus mampu bernafas dengan segar atau sebaliknya tetapi juga untuk melihat siapakah yang akan menjadi pemimpin utama UMNO selepas itu. Kiranya UMNO tumbang, perubahan besar-besaran akan berlaku dalam kepimpinan parti itu dan sudah pastilah kepimpinan yang ada sekarang akan diminta berundur serta memberi ruang pula kepada generasi baru bagi mengambil alih kepimpinan parti.

Begitu juga jika UMNO sekadar menang tipis dan keputusan yang dicapai lebih buruk daripada piliharaya 2008, kemungkinan besar wujud desakan agar Najib mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Dalam hal ini Najib akan dilihat gagal sebagaimana Pak Lah yang dilihat gagal pada pilihanraya 2008 dan dipaksa berundur pada 2009 dahulu.

Kumpulan pendesak dalam UMNO pasti akan memulakan langkah meminta Najib berundur atas kegagalan memberi keputusan yang baik kepada UMNO dan BN. Dan Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan pasti juga sukar menolak desakan agar beliau mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, tambahan pula jika sokongan yang diterima semakin menggalakkan hari demi hari.

Sekarang ini pun, kumpulan Muhyiddin walaupun dilihat masih bergandingan rapat dengan Najib untuk menghadapi pilihanraya umum ini tetapi beberapa perbezaan dalam pendekatan dan pengucapan antara keduanya dapat dilihat dengan agak jelas.

Sementara Najib dilihat taksub dengan 1Malaysia, Muhyiddin pula lebih mengutamakan kedudukannya sebagai Melayu. Najib cuba meminta maaf atas kesilapan masa lalu UMNO manakala Muhyiddin mahukan jasa dan sumbangan UMNO sentiasa dihargai tanpa perlu pengucapan maaf.

Walaupun Muhyiddin dilihat sebagai calon utama untuk mencabar Najib jika keputusan pilihanraya akan datang menghasilkan natijah yang buruk tetapi kehadiran veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga tidak harus diabaikan. Beliau mungkin bertanding bersendirian dalam sistem pemilihan baru dan terbuka yang hanya menghendaki seseorang itu mendaftarkan saja namanya jika berhasrat bertanding atau pun mungkin juga bergandingan dengan Muhyiddin kiranya Najib berkeras mahu mempertahankan jawatan.

Apa pun, kedudukan Najib tidak akan selamat kecuali berupaya memberikan keputusan yang cemerlang buat UMNO dan BN.

Namun persoalan yang bermain di benak ahli-ahli UMNO sekarang ialah parti itu tidak akan berubah kiranya Najib terus kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Yang paling dibimbangi ialah kepimpinan UMNO selepas itu juga akan terus dikuasai oleh keluarga bekas-bekas Perdana Menteri sahaja. Oleh itu Najib sama ada harus dibiarkan tewas atau hanya diberian kemenangan yang tipis sahaja.

Kiranya Najib terus memimpin UMNO dan kerajaan selepas pilihanraya umum ini, beliau pasti akan memberi ruang yang lebih terbuka kepada sepupunya, Hishammuddin yang kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri. Hishammuddin adalah anak Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga.

Ketika Tun Razak meninggal dunia pada 1976, Najib telah dipilih menggantikan bapanya bertanding di Pekan. Orang yang memberi laluan kepada Najib bertanding ialah Tun Hussein, bapa Hishammudin yang ketika itu mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan berikutan kematian mengejut Tun Razak.

Najib sudah pasti ada rasa terhutang budi kepada Tun Hussein. Disebabkan lorong yang dibuka oleh ayah Hishammuddin itulah menjadikan beliau Perdana Menteri sekarang ini.

Sebagai membalas dan mengenang budi itu, maka tidak menghairankan jika Najib akan membuka laluan yang selesa kepada Hishammuddin pula, tambahan juga mereka mempunyai pertalian sepupu.

Seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir yang kini menjadi Menteri MITI dan pemimpin nombor dua UMNO Kedah, juga akan diberi laluan yang selesa oleh Najib selepas ini sebagai mengenang budi dan jasa Mahathir yang memberinya banyak peluang dan kesempatan mendaki tangga kejayaan dalam parti dan kerajaan sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Walaupun Najib bukanlah pemimpin yang punya kebolehan luar biasa tetapi kejayaannya mendaki hireaki dalam UMNO adalah disebabkan Mahathir memberinya peluang menduduki jawatan menteri yang mempunyai banyak peluang menganugerahkan kontrak dan perniagaan.

Di dalam UMNO, kejayaan seseorang meningkat dalam parti dan mengumpul sokongan adalah 99 peratus ditentukannya oleh jawatan menteri yang disandangnya. Jika kementerian yang dipegang itu mempunyai banyak kontrak dan peluang perniagaan seperti Kemneterian Kewangan, MITI, Pelajaran atau Kementerian Dalam Negeri, seseorang itu akan lebih dikerumuni, disanjung dan mudah meningkat naik berbanding jika sekadar diberikan kementerian mengenai agama, kebajikan dan seumpamanya.

Jika menang dengan selesa, laluan yang disediakan oleh Najib kepada Mukhriz selepas ini bukan sahaja sebagai mengenang dan membalas jasa Mahathir tetapi juga untuk memastikan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri mempunyai ruang yang lebih terbuka untuk menonjolkan diri mengiringi Hishammuddin.

Andai kata selepas ini Hishammudian berjaya meningkat naik sebagai bakal Presiden UMNO dan Perdana Menteri melalui perancangan Najib dengan memberinya jawatan di kementerian yang kanan berbanding persaingnya sekarang seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Shafie Afdal, Hishammudin juga akan melakukan perkara yang sama kepada Mukhriz pula.

Hishammudin yang turut terhutang budi kepada Mahathir yang telah memberinya banyak peluang menduduki jawatan kabinet dan kemudian menimba pengalaman di pelbagai kementerian, sebagai membalas dan mengenang budi Mahathir itu sudah pasti akan memberi jawatan di kementerian yang kanan juga kepada anak Mahathir, iaitu Mukhriz.

Akhirnya Mukhriz akan mudah mendaki tingkat kejayaan dalam UMNO dan seterusnya akan berada di belakang Hishammuddin.

Kiranya UMNO dan BN terus menerima sokongan rakyat dan menguasai kerajaan, Mukhriz yang ditonjolkan itu berjaya mengetuai parti dan kerajaan, beliau pastinya juga akan menonjolkan pula anak Najib, Mohd Ashman yang kini masih belajar tetapi sudah mulai menunjukkan minat yang tinggi kepada dunia politik. Penonjolan Ashman juga sebagai sebahagian proses mengenang dan membalas budi serta memastikan penerima baton seterusnya adalah juga daripada keluarga bekas Perdana Menteri. Najib sendiri sudah menonjolkan anak lelakinya itu dalam beberapa majlis bertemu orangramai sebelum ini.

Ashman dipercayai akan mulai ditonjolkan dalam UMNO jika Hishammudin berjaya menjadi pemimpin utama UMNO dan kerajaan supaya kesinambungan kerjaya anak Najib mudah diteruskan oleh Mukhriz selepas itu.

Selepas Ashman, mungkin pula anak lelaki Hishammuddin dan juga anak lelaki Mukhriz yang akan menyusul kemudiannya. Akhirnya UMNO akan sepanjang masa dikuasai oleh ahli-ahli keluarga bekas Perdana Menteri sahaja. UMNO dan kerajaan akan menjadi barang warisan kepada keluarga tertentu sahaja manakala cerdik pandai daripada kalangan anak petani, orang kampung, anak guru dan sebagainya hanya kekal sebagai pengikut atau pemimpin di lapisan kedua dan ketiga sahaja.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, melalui sistem dalam UMNO yang mana kenaikan, populariti dan kejayaan mengumpul sokongan ditentukan 99 peratus oleh jawatan dan kementerian yang dipegang oleh seseorang pemimpin itu, maka untuk mengaplikasikan keadaan itu menjadi kenyataan sebenarnya amatlah mudah. Anak-anak bekas Perdana Menteri ini akan terus diberikan jawatan yang baik-baik sementara pesaingnya yang berpotensi akan diketepikan melalui pemberian jawatan yang kurang penting.

Selain itu dengan kedudukan orang Melayu dan ahli UMNO yang rata-rata masih berpendapatan rendah dan sederhana serta berjiwa hamba, urusan menaik dan menolak seseorang pemimpin itu melalui jawatan dan keupayaan memberikan pertolongan akan menjadi lebih mudah lagi.

Walaupun perbuatan mewariskan jawatan dan kedudukan ini tidak ada termaktub dalam mana-mana perjanjian ataupun kitab politik tetapi ianya dilihat bagaikan persefahaman yang diterima sesama mereka. Riak-riak kecil ke arah matlamat itu sudah dapat dilihat daripada sekarang lagi. Pemberian jawatan kepada Najib sebelum ini, kemudian diikuti dengan proses yang sedang berlaku kepada Hishammuddin dan Mukhriz adalah fakta yang jelas ke arah itu. Perbuatan Najib menonjolkan anak lelakinya, Ashman juga adalah signal kepada matlamat yang sama.

Dengan menjadikan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebagai warisan dan seolah-olah hanya untuk keluarga elit UMNO sahaja, ia akan menjadi putaran ganas yang akan terus menghimpit generasi Melayu akan datang terperosok ke lembah kemiskinan dan kesederhanaan.

Kiranya orang-orang Melayu masih sayangkan kepada masa depan dan nasib anak-anak cucu mereka, pilihanraya umum akan datang adalah satu-satunya ruang sama ada mahukan perubahan atau selesa dengan status quo yang ada. (SH 14/03/2012).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...