Monday 5 March 2012

Mohon Maaf - Najib Cuba Main Wayang Lagi....

Dalam tempoh dua minggu ini sudah dua kali Najib memohon maaf kepada rakyat. Di Pelabuhan Kelang, dalam program bertemu rakyat di sana dua minggu lalu, Najib mengakui bahawa BN ada melakukan beberapa kesilapan di negeri Selangor sehingga mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya 2008 lalu.

Menurut Perdana Menteri, UMNO dan BN kini sudah insaf atas kesilapan lalu dan memohon maaf sambil berjanji tdak akan mengulangi lagi kesilapan lalu kiranya diberi peluang berkuasa semula di Selangor.

Semalam di Kedah, Najib sekali lagi memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan UMNO dan BN pada pilihanraya 2008 lalu yang menyebabkan beberapa negeri tumbang kepada Pakatan Rakyat serta kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau juga berjanji akan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan itu serta berazam tidak akan menguanginya lagi demi kepentingan rakyat, kononnya.

Dalam kedua-dua permohonan maaf itu, Najib tidak lupa meminta rakyat untuk terus mempercayai UMNO dan BN dalam membela dan memperjuangkan nasib serta masa depan mereka. Untuk itu maka beliau meminta rakyat supaya terus memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk mentadbir negara serta mengembalikan kuasa di negeri-negeri yang BN pernah memerintah dahulu.

Namun jika diamat-amati, apakah yang peliknya dalam permohonan maaf itu? Pertama, Najib meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan oleh dan semasa pemerintahan Tun Abdullah Badawi dan keduanya, Najib langsung tidak menyebut tentang kesilapan atau kesalahan yang dilakukannya sendiri sejak menjadi Perdana Menteri bermula April 2009 lalu.

Apakah hanya Pak Lah yang melakukan kesalahan dan kenapa Najib meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan Pak Lah?

Najib dalam hal ini seolah-olah cuba meletakkan dirinya suci bersih dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan sejak menjadi Perdana Menteri. Beliau hanya melihat kesilapan dan kesalahan Pak Lah saja sedangkan salah dan silap beliau sendiri bertimbun banyaknya.

Untuk menunjukkan keikhlasannya dalam memohon maaf, Najib sewajarnya memohon maaf atas kesalahan yang dilakukannya, bukan atas kesalahan Perdana Menteri terdahulu. Beliau mungkin boleh meminta maaf kerana terus boros dan berbelanja mewah meskipun rakyat diminta berjimat cermat. Najib juga kena meminta maaf kerana gagal memberi kesejahteraan yang terbaik buat rakyat, sebaliknya banyak subsidi dipotong dan harga barang meningkat naik.

Najib juga boleh meminta maaf kerana tidak memberi royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan kemudian melabelkan negeri itu termiskin sekali. Dan sebagai bukti keikhlasannya, royalti itu seharusnya segera diberikan.

Perlu juga Najib meminta maaf kerana kelemahannya sebagai pemimpin telah menjadikan orang-orang Melayu seperti sudah hilang ketuanannya sekarang, sebaliknya beliau lebih memberi muka dan memanjakan bangsa-bangsa lain.

Sebagai Perdana Meteri, Najib juga perlu meminta maaf atas pelbagai kepincangan dalam pentadbirannya seperti gejala rasuah, nepotisme, kronisme, skandal lembu NFC, kehilangan enjin jet yang memalukan negara, skandal kapal selam yang diperkatakan di seluruh dunia dan pelbagai lagi.

Kepada umat Islam, Najib juga perlu meminta maaf atas keterlanjurannya menghadiri perayaan Thaipusam dan berlebih-lebihan menunjuk-nunjuk ketika pergi menunaikan haji tahun lalu.

Tidak lupa, Najib juga harus meminta maaf kepada rakyat atas kegagalannya mengawal isterinya, Rosmah Mansor daripada bergaya mewah dan berbelanja boros di ketika rakyat menanggung pelbagai kesusahan sehingga menyebabkan imej UNNO dan negara tercemar di mata dunia.

Kiranya Najib ihlas ingin meminta maaf, itulah antara perkara-perkara yang perlu beliau memohon maaf kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia. Itu mungkin sebahagian daripada kesalahan Najib yang diperbualkan saban hari oleh rakyat dari pelbagai lapisan. Senarai kesalahan beliau yang sebenarnya mungkin lebih panjang daripada Lebuhraya Utara - Selatan jika mahu dibariskan satu persatu.

Yang pentingnya Najib harus berani mengakui kesalahannya dan memohon maaf. Bukannya memohon maaf atas kesalahan orang lain. Kesalahan Pak Lah pada 2008 mungkin sudah menjadi sejarah bagi negara tetapi yang penting apakah Najib sebagai penggantinya mempunyai iltizam yang tinggi untuk memperbetulkan semua kesalahan dan kesilapan itu. Jauh sekali mengulanginya.

Najib bukan saja tidak mahu membetulkan segala kesilapan yang berlaku malahan menjadikannya bertambah buruk. Baik dari segi ekonomi, indeks rasuah, perpaduan kaum, pengurusan kerajaan dan sebagainya, semuanya menjadi bertambah parah sebaik Najib mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Jadi, kenapa tiba-tiba mahu memohon maaf?

Tindakan Najb memohon maaf tidak lebih sebagai langkah terakhir menambat hati rakyat supaya terus menyokong UMNO dan BN. Beliau cuba bermain wayang kulit saja. Iltizam untuk memperbaiki keadaan dan membetulkan kesilapan langsung tidak kelihatan. Janji untuk berubah, sudah insaf dan menjadi lebih baik hanya dijanji akan dilakukan sekiranya rakyat terus memberi kemenangan kepada UMNO dan BN sedangkan ketika mereka sedang berkuasa langsung tidak ternampak usaha yang meyakinkan ke arah itu.

Jika ingin berubah dan menolong rakyat, semua itu boleh dilakukan sekarang kerana BN masih berkuasa. Najib tidak perlu bermain wayang kulit dengan menunjuk baik dan sudah insaf tetapi dalam masa yang sama meminta ganjaran agar diberikan undi dan sokongan.

Najib hanya memohon maaf dan merayu kepada rakyat untuk kepentingan mendapatkan undi dan sokongan semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Hanya setelah dirasakan rakyat masih tidak berpihak kepadanya, barulah permohonan maaf itu dilakukan. Tiga tahun sebelum ini sejak beliau menjadi Perdana Menteri, tidak pernah pula beliau mahu meminta maaf. Lagi pula kesalahan dan kesilapan beliau sendiri lebih banyak menjadi beban kepada negara dan rakyat. Jika dirasakan rakyat tetap menyokong dan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan, kata-kata maaf hanya disimpan dalam hati sahaja.

Jika Najib ikhlas untuk meminta maaf, beliau seharusnya meminta maaf atas kesilapannya sepanjang menjadi Perdana Menteri saja serta berjanji tidak mengulangi semua kesilapan itu. Beliau tidak perlu memohon maaf bagi kesalahan dan kesilapan orang lain.

Oleh kerana Najib tidak meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya, jika rakyat menerima permohonan maaf itu bermakna rakyat reda terhadap semua gejala rasuah, nepotisme, kronisme, skandal, penyelewengan dan sebagainya yang berlaku selama ini.

Maka, jika UMNO dan BN terus diberi peluang untuk berkuasa, bersedialah untuk menerima lebih banyak lagi skandal seperti lembu NFC, kapal selam, kehilangan enjin jet dan pelbagai jenis rasuah dalam skala yang yang lebih besar lagi. (SH 4/03/2012)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...