Thursday 22 March 2012

Jika Najib Membisu, Wanita UMNO Cadang EGM Singkir Shahrizat?

Esok, Jumaat 23 Mac, Najib akan mengadakan perjumpaan dengan jentera Wanita UMNO seluruh negara dalam rangka persiapan menghadapi pilihanraya. Dikhabarkan seramai 7 ribu anggota Wanita UMNO akan berkumpul di PWTC bagi mendengar taklimat dan amanat daripada Presiden UMNO itu. Perjumpaan ini dikira penting bukan sahaja dalam konteks piihanraya tetapi juga berikutan kedudukan Shahrizat yang dipalitkan dengan isu lembu NFC milik keluarganya.

Tetapi hari ini, sehari sebelum perjumpaan penting itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Kamilia Ibrahim telah bangun bersuara meminta Shahrizat agar segera berundur sebagai Ketua Wanita UMNO atas alasan itulah kehendak Wanita UMNO peringkat akar umbi.

Shahrizat sebelum ini sudah pun mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bermula 8hb April depan. Nampaknya bagi Kamilia dan wanita akar umbi, perletakan jawatan sebagai menteri sahaja tidak memadai bagi Shahrizat, beliau sepatutnya harus berundur secara total untuk menjadikan Wanita UMNO benar-benar kelihatan bersih.

Jika ditinjau pandangan rakyat dan kalangan dalam UMNO sendiri, sebenarnya itulah juga pandangan mereka. Shahrizat dan keluarganya dilihat telah mencemarkan nama baik UMNO dan kerajaan dengan isu lembu NFCnya yang didakwa dengan pelbagai salah laku, maka hanya dengan mengundurkan diri daripada parti dan kerajaan saja yang mampu memberi imej lebih baik kepada parti dan kerajaan. Jika masih sebagai duduk dalam parti, beliau tidak mungkin lagi mampu membawa keuntungan kepada parti dan kerajaan.

Sudah sampai masanya Shahrizat sedia berkorban dan mengundur diri daripada parti dan juga kerajaan. Adalah hakikat yang nyata sebagaimana kata Kamilia, Wanita UMNO bukan sahaja dipanggil lembu tetapi juga tidak mungkin berupaya berhadapan dengan rakyat selagi Shahrizat masih menjadi Ketua Wanita UMNO.

Selagi Shahrizat tidak berundur daripada jawatan politiknya, bukan sahaja beliau tidak mampu berhadapan dengan rakyat tetapi ia juga boleh menyebabkan jentera Wanita menjadi lesu dan kaku kerana mereka bagaikan sudah tiada wibawa lagi untuk bercakap soal kebaikan, ketelusan, rasuah, penyelewengan dan sebagainya dengan rakyat. Lebih dari itu, Wanita UMNO akan dipersendakan oleh rakyat. Akhirnya jentera Wanita akan lumpuh dan tidak bermaya.

Hanya dengan Shahrizat berundur saja, imej Wanita UMNO dapat dipulihkan dan mereka mampu melangkah gagah menghadapi cabaran kempen pilihanraya umum nanti.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO seperti Mahathir, Rafidah Aziz,Syed Ali Alhabshe dan Bung Mokhtar Radin sudah pun menyuarakan perkara yang sama. Tindakan Kamilia berbuat perkara yang sama menjelang perjumpaan Wanita UMNO dengan Najib, Jumaat ini dijangka akan mencetuskan gelora baru dalam Wanita UMNO.

Gelora yang diharapkan akan membawa kebaikan dan mampu memulihkan imej UMNO di mata rakyat.

Beberapa Exco Wanita UMNO juga sudah pun bercakap dengan nada yang sama dengan Kamilia. Keutamaan mereka ialah untuk memenangi piliharaya dan selagi Shahrizat yang dilihat tidak lagi bersih imejnya masih duduk di situ, harapan untuk memenangi piliharaya amatlah tipis. Atas kepentingan untuk menang piliharaya, jumlah yang akan bersama Kamilia pasti akan bertambah dengan cepat.

Daripada maklumat yang diperolehi juga, kumpulan yang menyokong Kamilia yang terdiri daripada EXCO dan pimpinan Wanita Bahagian-bahagian seluruh negara akan turut berusaha menyampaikan hasrat mereka kepada Najib agar dapat meminta Shahrizat berundur secara baik sebelum gendang piliharaya mahu dipalu.

Mereka akan berusaha meyakinkan Najib bahawa jentera Wanita UMNO tidak akan mampu berkempen sekuat yang diharapkan jika masih disaluti dengan persepsi buruk skandal lembu NFC itu. Andainya kempen tidak dapat dijalankan degan baik, harapan Najib, UMNO dan BN untuk menang piliharaya ini hampir tidak ada.

Pilihan lain yang akan diambil ialah mendesak Wanita UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas atau EGM sekiranya Najib hanya diam membisu dan gagal memujuk Shahrizat berundur atau pun jika Shahrizat terus berkeras mahu bergayut dengan jawatannya sekarang. Kalangan Exco Wanita yang mahukan EGM ini sudah pun mula bergerak dan dijangka pengaruh mereka akan bertambah dengan mendadak berasaskan kepentingan untuk memenangi piliharaya.

Selain itu, gerakan ke negeri-negeri, bahagian dan cawangan turut akan digerakkan untuk memastikan hasrat mengadakan EGM dan menggulingkan Shahrizat menjadi kenyataan. Jika EGM berjaya diadakan, harapan Shahrizat untuk mempertahankan jawatannya amatlah tipis, selain beliau akan dijatuhkan dengan cara yang cukup memalukan.

Semuanya kini bergantung kepada Najib dan Shahrizat, sama ada Najib mampu menunjukkan ketegasan dan Shahrizat pula bersedia mempamerkan jiwa sedia berkorbannya atau Wanita akar undi akan mengajar boss mereka melalui EGM. (SH 22/03/2012).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...