Monday 19 March 2012

Petunjuk Daripada Keluarnya Kadir Daripada UMNO

Tindakan terbaru bekas Menteri Penerangan Kadir Sheikh Fadzir yang memutuskan keluar daripada UMNO di saat parti itu sedang bergelut untuk menentukan hidup matinya dalam perjuangan politik menjelang PRU 13 ini, ternyata menambahkan lagi kesukarannya mengumpul sokongan rakyat. Meskipun Kadir hanya seorang bekas menteri yang mungkin mempunyai pengaruh yang minima tetapi ia boleh memberi kesan yang besar dari segi persepsi rakyat terhadap UMNO.

Tambahan pula Kadir mempunyai keluarga yang besar dan beberapa orang saudaranya masih memegang jawatan penting dalam UMNO di beberapa negeri seperti Aziz Sheikh Fadzir, Musa Sheikh Fadzir, Harun Faudzar dan beberapa orang lagi. Saudara dekat, kenalan rapat, kawan-kawan dan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan Kadir tentulah lebih besar jumlahnya lagi.

Dari segi persepsi rakyat pula, tindakan Kadir keluar daripada UMNO sedikit-sebanyak memberi kesan yang tidak baik dan boleh menjejaskan sokongan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya ini.

Kadir memutuskan untuk keluar UMNO selepas beliau mengkritik perjalanan parti yang dipimpin oleh Najib yang dirasakannya tidak betul dan sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asal dahulu. Ia termasuk dakwaan bahawa UMNO membeli undi untuk menang pilihanraya. Oleh kerana kritikannya dipandang sepi, malah beliau ditohmah pula dengan pelbagai tuduhan dan Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung UMNO turut mencabarnya untuk meninggalkan UMNO, maka Kadir telah menunjukkan sifat jantannya dalam hal ini.

Dengan keputusan Kadir ini, UMNO akan terus dilihat sebagai parti untuk orang-orang yang ada kepentingan sahaja sedangkan nilai perjuangan dan pembelaaan kepada agama, bangsa dan negara sebagaimana yang menjadi teras perjuangannya, dilihat semakin terhakis dan tidak diyakini.

UMNO juga tidak lagi bersikap terbuka terhadap teguran dan kritikan. Sementara Najib dan Muhyiddin hanya sekadar berdiam diri terhadap segala kritikan Kadir itu, Tengku Adnan juga tidak mampu menjawabnya dengan fakta serta hujahan konkrit, sebaliknya menyerang balas dengan mencabar Kadir keluar UMNO.

Bagi yang tiada kepentingan lagi, mereka cuba menegur tetapi teguran itu seringkali disalahanggap oleh pucuk pimpinan UMNO yang hanya suka diampu, dipuji, dikipas sehingga ke pintu kereta dan sebagainya. Lantaran itu, dalam UMNO orang yang menegur seringkali dianggap sebagai musuh.

Jika diimbas sejarah masa lalu UMNO yang menyaksikan terciptanya sejarah hitam bekas-bekas Presiden dan pemimpin lainnya, tindakan yang dilakukan Kadir ini tidaklah begitu menghairankan. Daripada tujuh Presiden UMNO sehingga ini, tiga daripadanya iaitu Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn telah meninggal dunia di luar UMNO.

Pengasas UMNO, Datuk Onn telah keluar UMNO kerana berselisih pendapat berikutan hasratnya untuk membuka pintu UMNO kepada kaum-kaum lain ditentang hebat oleh pimpinan lain. Beliau kemudian menubuhkan Parti Negara dan kekal di luar UMNO sehingga ke akhir hayat.

Presiden UMNO kedua dan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ketika pemerintahan Mahathir beliau menjadi pengkritik kepada beberapa dasar pentadbiran ketika itu. Apabila Mahathir menubuhkan UMNO Baru, Tunku adalah antara penentangnya dan beliau berkeras bahawa UMNO yang diisytiharkan haram itu perlu dihidupkan semula.

Perbalahan Tunku dengan Mahathir mempunyai episod turun naiknya dan beberapa percubaan menemukan kedua pemimpin itu juga turut dilakukan, namun Tunku tetap berkeras tidak mahu menerima UMNO yang ditubuhkan oleh Mahathir dan beliau akhirnya meninggal di luar UMNO, walaupun di hujung usia hubungannya dengan Mahathir agak pulih.

Presiden UMNO keempat dan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn juga meninggal dunia di luar UMNO kerana tidak bersetuju dengan Mahathir dan penubuhan UMNO Baru. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein adalah penyokong Tengku Razaleigh ketika beliau berlawan dengan Mahathir pada 1987 dan dalam percubaannya menghidupkan semula UMNO yang telah diharamkan. Ketika itu Mahathir menubuhkan UMNO Baru sementara Ku Li yang disokong kuat oleh Tunku dan Tun Hussein cuba menghidupkan UMNO yang telah diharamkan melalui penubuhan UMNO Malaysia.

Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun pula keluar daripada UMNO kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Pak Lah, orang yang dipilihnya untuk menggantikan tempatnya. Beliau bagaimanapun menyertainya semula apabila Najib mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Nasib baiklah usia Mahathir masih panjang dan Pak Lah pula tidak lama sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, jika tidak, mungkin beliau juga menuruti langkah Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein itu.

Di era Najib ini, sikap Mahathir agar turun naik dan berubah-ubah. Kadang-kadang menyokong dan kerapkali pula mengkritik. Jika umur Mahathir terus panjang, sukar untuk dijangka sikapnya dan ditelah sama ada beliau akhirnya meninggal dunia di dalam atau di luar UMNO.

Tun Razak bernasib baik kerana meninggal dunia sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Sehingga ini hanya Pak Lah yang belum menunjukkan reaksi sebagai bekas Presiden UMNO yang masih hidup tetapi mampu bersikap reda serta akur terhadap apa juga yang dilakukan oleh penggantinya.

Hampir semua bekas Presiden UMNO ini bersikap mengkritk pengganti mereka dan UMNO kerana merasakan ia tidak sama seperti ianya dipimpin oleh mereka dahulu. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein mengkritik Mahathir kerana merasakan ada yang tidak betul dalam UMNO yag dipimpin oleh Mahathir. Begitu juga Mahathir mengkritik penggantinya kerana merasakan UMNO yang dipimpin oleh Pak Lah tidak sama dengan UMNO yang dipimpinnya.

Daripada semua bekas Presiden UMNO ini, Mahathir yang paling maju kerana telah dua kali keluar dan masuk UMNO. Kali pertama Mahathir dipecat kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman dan kali keduanya kerana tidak bersetuju dengan Pak Lah.

Beberapa bekas pemimpin seperti Ku Li, Musa Hitam, Rais Yatim, Shahrir Samad dan beberapa yang lain juga pernah sama ada tidak dibenarkan menyertai UMNO atau berpatah arang dengan UMNO. Semuanya bermula dengan mengkritik pemimpin, terutamanya Mahathir. Mereka hanya menyertai semula UMNO apabila Mahathir sedia berlembut dan membenarkan mereka kembali.

Dan tindakan Kadir keluar UMNO sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan, walaupun mungkin ia mampu memberi kesan yang tidak baik kepada UMNO itu sendiri.

Kepada rakyat yang mahu berfikir, khususnya generasi muda dan mereka yang berfikiran terbuka, tindakan terbaru yang dilakukan Kadir dengan keluar UMNO sambil menyelak sejarah silam UMNO yang menyaksikan begitu ramai bekas pemimpinnya yang pernah keluar dan tidak bersetuju dengan UMNO, bahkan seramai tiga orang beias Presidennya yang meninggal dunia di luar UMNO seperti memberi petunjuk bahawa banyak perkara yang tidak betul sedang berlaku dalam parti itu. (SH 19/03/2012).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...