Wednesday 28 May 2014

Zahid Hamidi Sempitkan Lagi Harapan Calon BN


Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi adalah pemimpin UMNO yang paling kerap dan rajin turun berkempen di Teluk Intan. Boleh dikatakan seetiap hari atau selang hari, kelibatnya akan kelihatan di bandar ini. Keadaan ini bukan saja disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin kanan UMNO yang mahu memastikan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong tetapi mungkin juga disebabkan kawasan Parlimen yang diwakilinya, Bagan Datoh adalah bersebelahan dengan Teluk Intan.

Ahmad Zahid juga paling banyak program serta paling banyak bercakap dengan media. Dalam masa yang sama, beliau juga paling banyak mengeluarkan mengeluarkan kenyataan sensasi dan kontroversi di Teluk Intan ini.

Beliau bercakap mengenai anggota RELA yang tidak mengundi dalam pilihanraya umum lalu dan memberi amaran agar menunaikan tanggungjawab kali ini. Ini kerana, dakwanya, beliau tahu siapa mereka itu.

Beliau juga menawarkan janji memberi uniform baru kepada anggota RELA jika calon BN menang dalam pilihanraya kecil ini tetapi jika BN kalah, "belilah sendiri".

Ketika semua media dan jentera kempen banyak memperkatakan calon DAP, Dyana Sofya yang dianggap cantik dan muda, berbeza dengan calon BN, Mah Siew Keong yang dianggap agak tua dan kitar semula, Ahmad Zahid juga berkata, "Dyana Sofya bukanlah cantik sangat. Dia hanya cantik dalam gambar dan cantik sikit ketika muncul dalam televisyen tapi tidaklah cantik sangat secara realitinya".

Mengenai pengundi Cina pula, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO melabelkan mereka sebagai golongan yang tidak bersyukur dan gembira jika calon BN kalah kerana mereka adalah golongan kaya dan mempunyai pelbagai jenis perniagaan.

Katanya, beliau, orang Melayu dan India akan sedih jika DAP menang lagi di Teluk Intan ini tetapi pengundi Cina tidak terkesan apa-apa kerana mereka sudah kaya sedangkan dengan bantuan orang Melayu dan India yang membeli barangan merekalah, maka mereka menjadi kaya.

Semalam pula, Zahid sekali lagi menimbulkan sensasi dengan memberi amaran kepada golongan kongsi gelap dan penjenayah agar tidak mengambil kesempatan sepanjang kempen pilihanraya kecil Teluk Intan ini.

"Jangan ugut orang, jangan cuba campurtangan dalam politik. Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya mereka duduk di mana dan lari ke mana. Saya bukan sekadar beri amaran, tapi tahu macam mana nak lakukan," katanya dalam ceramah malam tadi.

Nampaknya, sama seperti anggota RELA yang diketahuinya tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum lalu, Ahmad Zahid juga tahu mengenai kegiatan jenayah di Teluk Intan. Cumanya, kalau sudah tahu semuanya, bertindaklah segera.

Menjelang hari-hari terakhir kempen ini, Ahmad Zahid mungkin lebih kerap turun ke Teluk Intan dan tidak mustahil juga lebih banyak lagi kenyataan sensasi dan kontroversi yang ditimbulkannya.

Kenyataan beliau mengenai anggota RELA yang diketahuinya tidak mengundi dianggap oleh DAP bercirikan ugutan manakala tawarannya mahu membelikan uniform pula dilihat sebagai jelas percubaan mahu merasuah pengundi. Tetapi SPR sehingga ini mempertahankan kenyataan Ahmad Zahid itu dan menganggapnya sebagai nasihat saja.

Tetapi kenyataan beliau mengenai pengundi Cina yang tidak bersyukur bukan saja mengundang rasa tidak senang DAP yang mahunya meminta maaf tetapi juga telah menyinggung perasaan MCA, Gerakan dan MIC.

Parti komponen BN ini jelas tidak gembira dengan keceluparan Ahmad Zahid itu, mahunya memberi penjelasan lanjut mengenai takrifan "tidak bersyukur" itu serta mengingatkannya agar tidak cuba membangkitkan sentimen kaum dalam pilihanraya ini kerana ia lebih menyempitkan peluang BN untuk menang dalam pilihanraya 31 Mei nanti.

Kenyataan Zahid mengenai pengundi Cina bukan saja bersifat perkauman, malah tidak wajar diucapkan oleh seorang yang bertaraf pemimpin dalam kerajaan. Ini kerana menyokong pembangkang bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang dan DAP juga merupakan parti yang sah berdasarkan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Begitu juga pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang banyak menyokong Pas tidak seharusnya dilabelkan tidak bersyukur. Malah pengundi Melayu atau bukan Melayu yang menyokong kerajaan juga belum tentu mereka itu bersyukur. Pilihan terhadap parti disebabkan banyak faktor dan keinginan.

Seharusnya kedudukan negara yang berbilang kaum, kerencaman rakyat dalam memilih parti yang mahu disokong, amalan demokrasi, kebebasan dan hak setiap rakyat hendaklah dihormati. Pilihanraya hanyalah proses memilih wakil di Parlimen dan bukan sesuatu yang mengancam keharmonian atau keselamatan negara.

Berkempen secara tidak wajar dengan membangkitkan api perkauman dan ketegangan, tidak membantu menjadikan negara jni lebih baik untuk semua rakyatnya, malah serangan kepada aliran sokongan sesuatu kaum lebih menjadikan mereka semakin jauh dengan kerajaan.

Keresahan MCA, Gerakan, MIC terhadap kenyataan Ahmad Zahid itu bukan saja mengenai peluang menang Mah Siew Keong yang mungkin lebih tipis dalam pilihanraya kecil ini tetapi juga dalam menghadapi cabaran pilihanraya yang seterusnya. Jika pengundi Cina terus dilabel tidak bersyukur dan menyokong DAP seolah-suatu suatu dosa serta kesalahan, tanpa ada usaha lain untuk mendekati dan berbaik-baik dengan mereka, sudah tentulah ia akan menjarakkan lagi hubungan mereka dengan kerajaan.

Keengganan pengundi Cina menyokong kerajaan haruslah juga dilihat dalam konteks prestasi kerajaan dan kewibawaan pemimpinnya yang turut banyak dipertikaikan. Tidak seharusnya hanya pengundi Cina yang dipersalahkan sedangkan kerajaan dan pemimpinnya tidak mahu memperbaiki diri.

Di Teluk Intan, sementara majoriti Cina memang menjadi penyokong DAP berbanding MCA atau Gerakan, kenyataan Ahmad Zahid yang menyinggung perasaan itu akan membuatkan blok sokongan mereka lebih melimpah kepada calon DAP, Dyana Sofya yang pada pandangan mata beliau "tidaklah cantik sangat" itu.

Kenyataan Ahmad Zahid secara langsung membuatkan Dyana Sofya "lebih cantik" di mata pengundi Cina dan ini membuatkan jentera BN terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan lebih sokongan daripada pengundi Melayu. Mah Siew Keong sudah direntap harapannya oleh Ahmad Zahid untuk mendapat sokongan daripada kaumnya sendiri. (SH 28/05/2014)

10 comments:

  1. Tuan

    Zahid Hamidi satu hal. Ahmad Maslan pun tidak mahu m3ngalah kepada Zahid Hamid dalam hal ini.

    Malam semalam sebagaimana di laporkan oleh Malaysian Insider - Ahmad Maslam buat ceramah nak isytihar 150 ahli DAP masuk BN m3njadi pesta lawak.

    Ini terjadi apabila ada diantara mereka mendakwa ditipu untuk hadir kemajlis itu untuk mendapat habuan. Salah seorang dari mereka memberitahu bahawa dia adalah p3nyokong DAP sebelum ini dan tetap m3nyokong DAP.
    Bacalah s3ndiri nak tahu be4ita penuh.
    Link: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/barisans-event-to-showcase-150-dap-members-switching-sides-ends-in-confusion

    Tektik kuno yang hanya laku untuk menipu orang melayu j3. Nampak tak jalan dengan kaum lain.

    Yang l3bih merisaukan kita adalah Ahmad Maslan ni yang m3njawat jawatan Timbalan M3nteri Kewangan. Patut le ekonomi Malaysia lingkup. Kalau Ahmad Maslan dah ko, bayangkan betapa t3roknya MENTERI KEWANGAN yang kebetulan PERDANA M3NTERI MALAYSIA!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bolehkah ahli DAP diperbodohkan begitu , selalunya mereka-mereka yang menyokong PR mendakwa diri mereka pandai-pandai belaka.
      Yang selalu dikatakan bodoh ,penyokong UMNO.

      Delete
  2. mmang peghak melayu umngok sorang ni....

    /anak Perak

    ReplyDelete
  3. Zahid ini dari segi percakapan dan lagak betul2 macam samseng tahi kucing Bagan Dato.. Sebab apa tahi kucing? Pada tahun 1998 beliau adalh orang kuat Anwar...Anwar kena tangkap, dia kena ISA. Semasa diISA, telornya dicubit olih SB2 dan dalam tiga hari, dia U-turn; dan cakap sokong Anwar satu kesilapan. Lepas itu cium tangan Mahathir,

    ReplyDelete
  4. Kita melihat pihak BN melalui orang-orangnya termasuk Zahid Hamidi, cuba bertindak berbagai cara dalam mencipta berbagai bentuk gimik agar orang ramai dan pengundi terkeliru dan leka sehingga terlupa memilih wakil rakyat yang betul. Namun orang ramai tidak mabuk kepayang.

    Dalam hiruk-pikuk berkempen, kini kita dihiburkan pula cerita penemuan DNA babi dalam dua coklat produk Cadbury.

    Bagi saya, ada hikmah disebalik cerita DNA babi dalam coklat Cadbury itu kerana ketika berada dipersekitaran Dataran Menara Condong Teluk Intan, saya sempat mendengar beberapa ahli UMNO Baru berbahas dan mempersoalkan tentang kejujuran JAKIM dan syarikat Cadbury berkaitan coklat tersebut dalam sebuah kedai kopi.

    Diantara mereka mempersoalkan apakah DNA babi itu bemaksud air mani babi yang dicampurkan kedalam kecoklat tersebut seperti dikatakan oleh peguam dan hakim terhadap kes liwat Anwar Ibrahim yang telah menjatuhkan hukuman 5 tahun terhadapnya yang hanya menyebut DNA sepanjang perbicaraan dan bukannya mengistiharkan air mani dalam dubur Saiful ?.

    Jika DNA (deoxyribonucleic acid) itu dimaksudkan apa saja dari tubuh seseorang atau binantang bermakna air lior juga boleh disebut sebagai DNA. Apakah lojik mendakwa Anwar Ibrahim kononnya telah meliwat Saiful tapi yang keluar dari zakarnya adalah air liur bukan air mani ?

    Betapa saya bersyukur, bahawa ada diantara ahli UMNO Baru yang dianggap melayu haramjadah dan bahalul itu sudah terbuka akal fikirannya untuk berfikir. Secara tidak sengaja mereka sudah mempersoalkan hakim menjatuhkan hukuman terhadap Anwar hanya berasaskan persepsi bukan berpegang pada fakta kes.

    Kepada pengundi Teluk Intan, anda hanya perlu memilih satu diantara dua pilihan. Baik atau buruknya calon yang bertanding adalah berpandukan pada kumpulan yang mereka wakili di parlimen.

    Pilih calon DAP pasti Dyana Sofya Mohd Daud akan mempertahankan hak rakyat seperti parti nya lakukan dan jika memilih Mah Siew Keong pula maka beliau akan menyokong tindakan menekan hidup rakyat seperti kumpulan mereka memperkenalkan kenaikan harga brang dan cukai GST. .

    ReplyDelete
  5. Tidak ada cacat celanya untuk zahid berkempen, terserah kepadanya bagaimana dan macamana...dia lebih tahu.

    Bukankah ramai di sini mahu parti kesayangan anda DAP menang..oleh itu kesilapan zahed sudah tentu di alu alukan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bro,

      Sampai bila pun bro takkan berjaya mempromosi dan menarik 15.5 juta orang melayu yang berada diluar sana. Malah ini cara bro akan menambahkan keyakinan mereka untuk menjauhi Umno. Apatah lagi golongan muda.

      Era kini era golongan muda. Mereka tidak terikat dgn nostalgia lama. Mereka terdedah kepads maklumat. Bilangan mereka yang mendapat pendidikan semakin ramai.

      Persaingan politik dewasa ini dan dimasa depan adalah untuk mendapat undi mereka dalam PRU. Hari ini pun UMNO terkial dalam PRU 13. Hanya mampu di kawasan luar bandar. Kawasan ini juga akan beransur-ansur hilang menjadi semi bandar dan bandar.

      Fikir-fikirlah. Pandangan ikhlas dari seorang sahabat.

      Delete
  6. Kata bijak pandai, berfikir dulu sebelum cakap. Tapi dia ini cakap dulu baru berfikir. Selalunya begitu.

    ReplyDelete
  7. Ingin juga nak tengok gambar bini dan anak siZahid Ni...Cantik Sangat ke Bini dan anak dia? sampai orang lain dia cakap tak cantik

    ReplyDelete
  8. Saya dok nampak zahid ni sengaja nak menangkan DAP. Dia sedar ucapannya mengguris hati nurani kaum india dan cina. Cuma lebihnya ucapan beliau berjanji nak bagi itu dan ini. Beliau peduli apa, sbb SPRM pun kata OK.

    Walau apa sekali pun janji BN, kemenangan akan berpihak kepada DAP, sbb BN banyak autanya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...