Thursday, 8 May 2014
Selain Berjaya Menakutkan UMNO, Ganjaran Lebih Besar Sedang Menunggu MCA
Ibarat seorang suami yang berhajat mahu berkahwin lain tetapi takut dengan isterinya yang garang, begitulah umpamanya hubungan antara UMNO, MCA dan hudud. Walaupun UMNO seolah-olah mahu bekerjasama dengan Pas bagi melaksanakan hukum Islam itu di Kelantan itu tetapi amaran yang diberikan MCA pastinya akan membuatkan UMNO kecut perut.
Meskipun ramai ahli dan pemimpin UMNO peringikat bawahan terlihat marah dengan ugutan MCA mahu mengkaji semula hubungannya dalam BN jika UMNO menyokong hudud, Najib yang menerajui UMNO pastilah mempunyai pertimbangan lebih melihat parti berasaskan kaum Cina itu penting dalam kelangsungan kuasanya berbanding menyokong hudud.
Dalam sebuah program bual bicara mengenai hudud semalam, Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong memberi amaran akan mengkaji semula kedudukan parti itu dalam komponen BN jika UMNO mengambil sikap menyokong usaha melaksanakan hudud di Kelantan.
Kalau berlaku perkara itu, kita akan kaji semula kedudukan kita bersama UMNO. Ini kerana MCA tidak menyokong hudud, tegas pemimpin MCA itu lagi.
Dengan amaran tersebut, MCA bukan saja akan menjadi seperti seorang isteri yang sentiasa ditakuti, bahkan dalam keadaan tertentu berjaya pula menakutkan suaminya (UMNO) untuk mendapat lebih perhatian dan ganjaran.
Meskipun sebagai suami, UMNO mungkin boleh berkata, dia tidak pernah takut kepada MCA serta boleh menjalinkan hubungan lain, hakikatnya dengan sokongan pengundi Cina yang amat diharap-harapkan oleh BN, parti berasaskan kaum Cina itu sentiasa mempunyai kelebihan untuk menakut-nakutkan Najib dan juga UMNO.
Dengan ini, walaupun UMNO melalui Menteri di Jabatn Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal bersama Pas dan kerajaan negeri Kelantan kononnya ke arah melancarkan lagi perlaksanaan hukum hudud di Kelantan, ia dipercayai tidak akan ke mana-mana.
Najib tidak mungkin mempunyai keberanian menyokong usul persendirian hudud yang mahu dibawa oleh Pas, bahkan jawatankuaa teknikal itu akan lebih dijadikan alasan untuk gagalnya mencapai persefahaman mengenai hudud bersama dengan Pas.
Najib sebenarnya lebih mementingkan sokongan MCA berbanding hudud. Apatah lagi, beberapa hari lalu Najib juga mengulangi pelawaannya agar MCA kembali menyertai kabinet dan bersama-sama membina negara ini. Pelawaan itu adalah susulan MCA sendiri telah membatalkan usul tidak mahu menyertai kabinet yang dibuat selepas pilihanraya umum 2008 lalu.
Dalam pembentukan kabinet 2013 lalu, Najib dilaporkan sengaja mengosongkan jawatan Menteri Pengangkutan yang kini dipangku oleh sepupunya, Hishammuddin Hussein bagi diisi oleh wakil MCA walaupun sebelum ini MCA diperuntukkan empat jawatan menteri penuh.
Dengan perkembangan terbaru Wee Ka Siong menakut-nakutkan UMNO untuk berpisah jika menyokong hudud yang mahu dilaksanakan oleh Pas, ganjaran lebih besar sedang menanti MCA. Dalam rombakan kabinet yang akan dilakukan Najib dalam waktu terdekat ini, bukan saja Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang akan dilantik sebagai menteri, tetapi ia juga bakal melibatkan Wee juga sebagai Timbalan Presidennya.
Jika sebelum ini, Najib hanya memperuntukkan satu kekosongsn kerusi menteri penuh saja untuk MCA, sesuai dengan sokongan pengundi Cina yang kian merosot terhadap parti itu, kelantangan Wee Ka Siong melontarkan ugutan sehingga Najib dan UMNO ketakutan sudah pasti dibalas dengan ganjaran setimpal sebagai menteri penuh juga.
Ia adalah ganjaran untuk memujuk dan melembutkan hati. Sebenarnya itulah gaya politik Najib sejak dulu lagi. (sH 08/05/2014)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment