Tuesday, 13 May 2014

Terengganu Sah Tumbang, Ahmad Said Benar-Benar Jadi Robin Hood


Hanya kira-kira dua jam setelah Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, bekas Menteri Besar, Ahmad Said mengumumkan keluar daripada UMNO dan mengisytiharkan dirinya ssbagai ADUN Bebas. Bersama beliau berbuat demikian ialah seorang lagi iaitu ADUN Ajil, Ghazali Taib yang difahamkan mempunyai pertalian keluarga dengannya.

Pengumuman itu dibuatnya dengan menghantar kenyataan akhbar kepada sebuah agensi berita tempatan, malam tadi iaitu kira-kira dua jam setelah Ahmad Razif mengangkat sumpah.

Dengan perkembangan ini, kedudukan kerusi di Terengganu akan menjadi 15-15 antara BN dengan PR, mankala Bebas mempunyai dua kerusi.

Secara logiknya, dengan pengisytiharan Ahmad Said dan Ghazali Taib itu, DUN Terengganu sudah pun tergantung serta Ahmad Razif dicatat dakam sejarah sebagai Menteri Besar hanya dalam tempoh dua jam sahaja.

Dalam keadaan ini, BN tidak mempunyai pilihan lain selain membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Tetapi jika Ahmad Said dan Ghazali Taib mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas yang mesra PR, seorang ADUN daripada PR boleh diangkat sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru sebagaimana yang pernah berlaku di Perak pada 2009 dahulu.

Namun demikian jika benar seperti kata Ahmad Said bahawa ada beberapa ADUN lagi akan mengambil tindakan yang sama sepertinya, maka secara automatik kerajaan negeri BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih pentadbiran.

Tetapi dalam perkembangan terbaru pagi ini di mana seorang lagi ADUN keluar UMNO iaitu Roslee Daud dari Bukit Besi, maka sahlah BN hanya mempunyai 14 ADUN dah sudah kekurangan majoriti berbanding PR 15 dan Bebas 3 kerusi.

Kemungkinan ramai lagi ADUN mengikut jejak Ahmad Said sudah dijangkakan berikutan dalam pertemuan Setiausaha Agung UMNO dengan ADUN-ADUN Terengganu semalam, daripada 17 ADUN BN, hanya 9 orang saja yang hadir manakala selebihnya dipercayai memprotes dan tidak setuju dengan pengguguran Ahmad Said.

Walaupun sejarah di Perak memperlihatkan UMNO dan BN takut untuk menghadapi pilihanraya semula, tetapi apa yang berlaku di Terengganu ini pastilah membuatkan Najib mengarahkan Ahmad Razif segera membubarkan DUN sebelum kemelut politik yang lebih kronik dan tidak terkawal berlaku di negeri itu.

Sudah tentulah Najib lebih rela diadakan pilihanraya negeri semula daripada menyerahkan kejatuhan negeri Terengganu kepada PR yang tentunya lebih menjejaskan imejnya.

Isu pertukaran jawatan Menteri Besar di beberapa negeri sudah pun menjadi perbualan sejak beberapa minggu lalu dengan Najib dikatakan ingin melakukan pertukaran di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Perak. Alasan pertukaran ialah untuk menyuntik semangat dan tenaga baru menghadapi pilihanraya ke 14 akan datang yang dipercayai lebih mencabar lagi.

Ahmad Said, walaupun dikenali dengan imej kasar dan kadangkala seperti "samseng" terutama ketika berhadapan dengan parti lawan, tetapi keberaniannya juga banyak yang boleh dipuji. Ketika banjir di Terengganu hujung tahun lalu dan semua kenderaan tersekat untuk beberapa jam, beliau telah bertindak ala Robin Hood dengan membuka pintu sebuah van roti dan mengagih-agihnya kepada semua yang sedang kelaparan ketika itu.

Di ketika yang lain, beliau juga membenarkan keretanya digunakan untuk membawa mangsa kemalangan jalanraya yang cedera parah untuk di bawa ke hospital tanpa menghiraukan kenderaannya menjadi kotor, dipenuhi kesan darah atau sebagainya. Tidak mungkin ada pemimpin lain yang sebaik itu jika bertemu dengan kemalangan jalanraya.

Dalam isu bolasepak yang melibatkan insiden pukul-memukul dalam terowong di Stadium Larkin, Ahmad Said menunjukkan keberaniannya dengan mengecam FAM yang bertindak tidak adil dan berat sebelah semata-mata kerana ianya melibatkan golongan istana. Beliau juga mencabar pemimpin FAM yang pro kepada istana agar meletakkan jawatan jika tidak berani bersikap adil.

Dengan mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, Ahmad Said telah sekali lagi membuktikan keberanian dan jiwa Robin Hood yang ada dalam dirinya. Beliau tidak akan membenarkan dirinya diperlekeh. Walaupun beliau meminta pertukarannya ditangguhkan untuk membolehkan kenduri kahwin anaknya pada 17 Mei tetapi tidak dilayan oleh Najib sebagai punca alasannya mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, Ahmad Said jelas seorang yang berjiwa merdeka.

Para pemerhati UMNO menyifatkan tindakan beliau itu wajar kerana selepas ini pun masa depan politiknya akan berakhir begitu saja. Beliau hanya menjadi ADUN biasa dan seterusnya akan tidak akan dipilih semula dalam pilihanraya akan datang.

Selepas Ahmad Said digugurkan semalam dan penggantinya Ahmad Razif mengangkat sumpah malam tadi, sepatutnya proses pertukaran seterusnya ialah di Pahang, Negeri Sembilan dan Perak. Tetapi dengan kemelut baru yang berlaku di Terengganu ini, pastilah pertukaran Menteri Besar di negeri-negeri lain itu bakal terencat bagi mengelakkan gelora politik yang lebih parah lagi.

Sama ada pilihanraya negeri Terengganu akan diadakan atau kepimpinan bertukar tangan daripada BN kepada PR, gelora politik yang dicetuskan melalui tindakan Ahmad Said ini akan membuatkan tiada pertukaran Menteri Besar di negeri-negeri yang dirancangkan Najib sebelum ini.

Ahmad Said nampaknya sekali lagi menjadi Robin Hood, dengan keberaniannya kali ini menyelamatkan kedudukan rakan-rakannya di negeri-negeri lain pula. (SH 13/05/2014)

10 comments:

  1. najib sdg membayar harga kebodohan nya

    ReplyDelete
  2. Sungguh berseri dan berwarna warni political landscape negara ni.

    ReplyDelete
  3. Tuan,

    Perkembangan sekarang amat menarik. Dari segi aib, ia boleh dilihat sebagai balasan kepada apa yang berlaku di Perak dulu. Pakatan Rakyat diaibkan apabila 3 orang Adunnya berpaling tadah menjadi Adun bebas yang pro BN. Kali ini giliran UMNO pula.

    Aib yang terbesar dan teristimewa dari episod ini adalah khusus untuk Najib secara peribadi diatas tindakannya semasa krisis di Perak dulu.No doubt.....

    Jatuh atau tidak kerajaan Umno Terengganu bergantung kepada apa tindakan Adun-Adun UMNO yang pro Ahmad Said dalam 2-3 hari ini. Kalau mereka masih tidak boleh dihubungi oleh ibupejabat UMNO , maka kemungkinan kerajaan UMNO Terengganu jatuh adalah cerah.

    Namun jangan ses3kali memandang rendah kepada keupayaan wang untuk mengubah keadaan didalam politik. Kita sudah saksikannya didalam episod di Perak dan pelbagai peristiwa2 lain yang melibatkan UMNO. Bagi Ahmad Said maruah dan air muka beliau lebih penting dari wang tetapi tidak semestinya bagi Adun-Adun lain yang pro Ahmad Said. Sekarang ini kita pasti Najib dan orang disekeliling sedang sebok mencari Adun-Adun ini dan tawar menawar sedang berlaku. Kita semua tahu Najib menyelesaikan semua masaalah yang dihadapinya dengan wang!

    Nasi sudah menjadi bubur untuk Najib. Ahmad Said sudah nekad. Apa tindakan Ahmad Said seterusnya bergantung kepada tindakan Najib. Jika Najib tidak berbuat sesuatu untuk mengembalikan maruah dan air muka Ahmad Said , sebaliknya terus membeli Adun-Adun yang pro Ahmad Said terutamanya - ini akan menaikkan k3marahan Ahmad Said. Tak mustahil Ahmad Said dan dua lagi Adun bebas akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk membawa usul undi tak percaya di DUN. Percayalah 2 Adun bebas itu akan tetap bersama-sama Ahmad Said...

    Bat8

    Ps: pernah tinggal di Kuala Terengganu beberapa tahun dan berkawan dengan orang Terengganu dari sejak remaja hingga kini.

    ReplyDelete
  4. Apakah anda sedang berniaga ?

    ReplyDelete
  5. Allah tu Maha Adil...dulu kerajaan najib jatuhkan PR di Perak,sekarang Allah jatuhkan pulak BN di T'ganu...Syabas Mat Said,kamu adalah hero!!(dengar cerita duit Petronas akan diambil utk pujuk wakil2 rakyat BN yg telah isytiharkan diri sbg adun bebas dan yang akan isytiharkan diri utk jd adun bebas...)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Allah memang Maha Adil sebab tu Terengganu tak jatuh pun...

      Delete
  6. Pertukaran yang ingin dibuat DSNajib bukan untuk menghadapi PRU14, tapi untuk membuang orang yang tidak sebulu dengannya dan melantik orang yang boleh ikut telunjuk dia. Tapi jadi masalah bila anak buah lebih cerdik dari dia.

    ReplyDelete
  7. Dalam pemerhatian saya, apa yang berlaku di DUN Terengganu adalah senjata makan tuan walaupun pada tindakan awal oleh Adnan Mansor yang lagaknya seperti boleh mengawal suasana. Namun tindakbalas yang diberikan oleh Ahmad Said, Ghazali Taib dan Roslee Daud dengan mengistihar keluar parti memang memeranjatkan semua ahli UMNO Baru. Kemungkinan Najib juga terkencing dalam seluar.

    Punca Ahmad Said keluar Umno hanya kerana tidak puas hati dengan masa pertukaran penjawat menteri besar yang dibuat beberapa hari sebelum perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini. Najib kata itu soal peribadi.

    Ada orang bersetuju dengan tindakan Najib itu, kerana Ahmad Said dikatakan hanya mengambil kesempatan diatas urusan peribadi. Tapi ada juga orang yang merasa simpati terhadap Ahmad Said memandangkan segala persiapan perkawinan anaknya telah ditetapkan dirumah menteri besar, dan kad yang beralamat dikediaman menteri besar itu juga sudah diedarkan pada para tetamu.

    Apabila Ahmad Said tersingkir dari jawatan MB Terengganu lebih awal tanpa diberi peluang bertangguh untuk beberapa lagi bermakna persiapan perkawinan anak nya juga terjejas dan mendatangkan malu pada ahli keluarganya.

    Apakah kerana anak Najib yang bertunang dulu sehinggga kini tidak kawin lagi maka beliau tidak dapat merasai betapa hinanya maruah Ahmd Said sebagai seorang ayah yang mahu meraikan perkawinan anaknya diperlakukan sebegitu rupa ?

    Kalau Tun Mahathir sanggup lakukan apa saja demi anaknya sehingga Anwar Ibrahim didendami sehingga hari ini, apakah Ahmad Said akan berdiam diri bila penghinaan itu terkena pada anaknya ?

    Jika Ahmad Said dan 2 ADUN itu kekal sebagai wakil rakyat bebas maka kerajaan negeri Terengganu pimpinan BN tidak boleh memiliki kuasa dengan sistem majoriti mudah kerana keadaan mereka tidak semudah makan keropok lekor. Dan mereka juga tidak popular.

    BN kini mempunyai 14 kerusi DUN diikuti PAS 14, PKR (1), sekali gus mewujudkan sebuah kerajaan minoriti di negeri itu. Sebelum krisis ini, BN mempunyai 17 wakil dalam DUN berbanding Pakatan Rakyat dengan 15 anggota. Menjadi penyebab Ahmad Razif Abd Rahman akan dinobatkan sebagai MB setengah hari.

    Saya percaya, ketika ini operasi memujuk berkonsep I help U, U help Me, sedang dijalankan. Jika berjaya memujuk bermakna Ahmad Said dan 2 rakannya juga akan kekal sebagai ADUN yang mewakili Barisan Nasional dan merreka kekal mentadbir kerajaan negeri Terengganu.

    Tapi jika Muhyiddin Yassin gagal memujuk Ahmad Said berserta rakan-rakannya kembali semua pada UMNO Baru, maka mereka tidak akan menyerah kerajaan negeri begitu saja pada pemimpin PAS biar pun ada satu undi tidak percaya dalam sidang DUN namun mereka akan mencipta pekara lain bagi melewatkan pembubaran sidang DUN dan pilihanraya pasti lambat diadakan.

    Semuga pemimpin PAS tidak bertindak bersendirian tapi diajak juga rakan sekutu dalam menghadapi krisis kerajaan negeri Terengganu itu kerana keadaan UMNO Baru amat meruncing sekali.

    Ada kemungkinan pemimpin UMNO Baru yang kehilangan kepentingan akan bertindak ala kamekazi yang boleh mendatang lebih banyak kerosakan didalam kerajaan negeri.

    AWASI SPR......

    ReplyDelete
  8. Salam Tuan,
    Mengapalah Bn lama sangat nak mengaku yang mereka bukan lagi kerajaan di Terengganu.Jika di banding di Perak,walaupun Nizar istihar bubar DUN, Bn tak iktiraf.Jadi jika benar Roslee sudah keluar umno,maka sah kerajaan BN di Terengganu kerajaan haramjadah.Sepertimana ungkapan PM 1 Malaysia yang rakyat semua macam haramjadah, dia si Najib mesti ingat kuasa Tuhan mengatasi pemikiran bodohnya itu. Setiap perbuatan terkutuknya dan sumpahan dari rakyat dia sedang menerimanya.dan saya percaya Najib sendiri akan tersingkir dari kerusi PMnya hanya beberapa bulan sahaja lagi.Padan muka.

    ReplyDelete
  9. ADUN BN yang lain sepatutnya mengambil kesempatan diatas peluang yang datang hanya sekali. Buat sidang akhbar seperti Adun Bukit Besi Roslee Daud tunjuk surat isthiar keluar parti, kemudian tunggu.

    Apabila keadaan jadi semakin becelaru maka akan ada orang yang akan datang mencari dan mereka akan memujuk berserta dengan ganjaran yang lumayan. Untuk beli harga diri seorang ADUN paling tinggi RM 5 juta sudah memadai.

    Kemudian buat kenyataan akhbar sekali lagi memberitahu pada masyarakat bahawa ADUN tidak jadi wakil rakyat bebas tapi tarik balik surat keluar daripada Umno dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

    Lepas tu buat muka bodoh seperti tiada apa yang berlaku. Dalam ceramah ceritakan pada mak cik dan pak cik di felda betapa bahayanya rasuah...... kerajaan negeri boleh tergadai seperti yang telah berlaku di negeri Perak.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...