Saturday, 9 March 2013

Ruang Untuk Najib Memimpin Kemenangan BN Makin Terhimpit


Semalam apabila bapa Saiful Bukhari tampil memohon maaf kepada Anwar dan menyifatkan kes liwat yang melibatkan anaknya dengan Ketua Pembangkang itu adalah suatu konspirasi jahat semata-mata, ramai rakan-rakan dalam UMNO merasakan ianya merupakan "pukulan maut" kepada karier politik Najib. Najib pasti akan kalah pilihanraya nanti dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri, kata mereka.

Beberapa pemimpin UMNO yang sempat saya hubungi dan berbual-bual juga mempunyai pandangan yang sama. Kata mereka, Najib sudah tidak ada harapan lagi untuk menghasilkan kejayaan buat BN berikutan semua isu akhirnya masuk ke gol sendiri.

Sebelum ini Anwar sudah dibebaskan dalam kes itu oleh hakim Mahkamah Tinggi dan kesnya akan menjalani proses rayuan Julai ini, kemudian ketua pendakwaraya, Yusof Zainal Abidin pula meletak jawatan dan kini bersama-sama dengan Anwar, kemunculan bapa Saiful turut memihak kepada Anwar tentunya mewujudkan persepsi malang lagi bagi Najib.

Rakyat dan pengundi setidak-tidaknya mula percaya bahawa isu liwat kedua itu adalah konspirasi politik sebagaimana yang sering didakwa oleh Anwar sendiri selama ini. Ruang Najib mencipta kemenangan lantas menjadi semakin sempit manakala laluan untuk Anwar memburu Putrajaya kelihatan semakin terbuka luas.

Tetapi apabila tidak lama kemudian, Saiful segera bingkas menafikan hujah bapanya itu, keadaan menjadi reda semula. Namun ia tidak pula menjadikan peluang Najib menjadi bertambah baik.

Ini kerana walaupun Saiful menyatakan bahawa bapanya telah menjadi mangsa kerakusan politik Anwar dan menegaskan beliau tetap istiqamah dengan pendiriannya, setidak-tidaknya dengan kemunculan bapa Saiful ini telah menyebabkan kepercayaan rakyat menjadi berbelah bagi terhadap Najib. Lebih-lebih lagi perancang yang didakwa bapa Saiful dalam isu liwat itu adalah merupakan salah seorang pegawai khas Najib dan beliau masih berdiam diri sehingga ini.

Sebab itu, tidak memeranjatkan apabila Anwar dengan berani menyatakan bahawa PR mempunyai keyakinan untuk memenangi pilihanraya akan datang dengan kelebihan sekurang-kurangnya 10 kerusi. Hujah Anwar itu sebenarnya bukan saja dikongsi oleh kebanyakan orang, malah beberapa pemimpin UMNO juga mengakui hakikat yang sama.

Sebelum munculnya bapa Saiful, Najib dan BN sebenarnya sudah pun terhenyak dengan kemunculan Deepak dan P Bala yang mendedahkan pelbagai perkara dan membuat pelbagai dakwaan terhadap Najib, daripada terlibat dalam isu Altantuya dan menerima wang sehinggalah kepada mengubah akuan bersumpah yang memihak kepadanya.

Jika dalam isu Deepak, Najib hanya menyatakan peniaga karpet itu tidak boleh dipercayai tetapi dalam kes P Bala, sehingga ini belum terdengar lagi apa-apa jawapan balas daripada Najib mahupun mana-mana ahli keluarganya, meskipun nama mereka disebut dengan jelas oleh penyiasat persendirian itu.

P Bala pula sudah memulakan siri jelajahnya untuk memastikan PR memenangi pilihanraya umum akan datang. Deepak pula sudah mengemukakan saman fitnah terhadap Najib, tetapi ini tidak bermakna beliau hanya mahu berdiam diri. Beliau mungkin sedang menunggu masa yang sama sesuai untuk membuat dakwaan baru sama ada terhadap Najib mahukan bekas kakak angkatnya, Rosmah Mansor.

Dengan P Bala yang berjanji akan pusing keliling Malaysia dan Deepak terus bersuara, ruang untuk Najib dalam pilihanraya akan datang ini sebenarnya semakin sempit dan terhimpit. Imejnya sudah musnah di mata umum. Beliau mungkin menghabiskan banyak masa menjelajah ke sana dan ke sini tetapi hakikatnya keadaan di bawah tidak banyak berubah. Persepsi yang sudah terbentuk sukar dihapuskan, lebih-lebih lagi apabila ianya tidak dijawab mahukan dinafikan.

Muncul pula insiden serangan terhadap pemberontak Sulu di Lahad Datu dan Semporna yang kini sudah pun mengorbankan 53 nyawa orang Sulu, menambahkan lagi kesukaran Najib sebenarnya. Walaupun perjuangan mempertahankan kedaulatan negara adalah suatu kewajipan dan pengorbanan pasukan keselamatan sentiasa disanjung tinggi, isu yang tidak dapat dielakkan ialah kemungkinan kematian 53 pemberontak itu menatijahkan ramai orang Sulu yang tidak puas hati dan kecewa terhadap kerajaan.

Kaum keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, kenalan, jiran, isteri dan pelbagai hubungan lain dengan 53 pemberontak yang terbunuh itu tidak mustahil boleh membentuk jumlah penolakan yang besar akhirnya, lebih-lebih lagi jika perang di Lahad Datu dan Semporna itu terus berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama lagi.

Mereka yang tidak berpuas hati ini tentunya menyalahkan kerajaan sehingga menyebabkan berlakunya perang yang mengorbankan banyak jiwa itu dan kenapa tidak diambil pendekatan lain yang tidak sampai menyebabkan kehilangan begitu banyak nyawa. Dalam hal ini kelemahan pimpinan dalam menangani krisis menjadi persoalan utama. Kelemahan pemimpin bermakna kelemahan kerajaan dan kelemahan kerajaan bermakna ia perlu ditukar. Itulah persepsi yang akan terjadi nanti.

Melalui 53 kematian orang Sulu setakat ini dan tidak tahu bila perang ini akan berakhir, kedudukan BN di Sabah nyata dalam bahaya. Lagi lama perang, lagi banyak BN akan kehilangan undi, khususnya daripada kalangan orang Sulu, baik yang memang asalnya menetap di Sabah mahupun daripada kalangan yang diberi kerakyatan dalam Projek IC dahulu.

Dengan pelbagai isu yang muncul mutakhir ini, Deepak, P Bala, perang di Lahad Datu dan kemunculan bapa Saiful, secara realitinya nyawa BN makin berada di hujung tanduk. Dan jika dicampur dengan pelbagai isu lainnya sejak Najib menghuni Seri Perdana, sudah terang lagi bersuluh kedudukan BN dan kerajaan yang ada sekarang di mata rakyat sebenarnya.

Itu belum dikira lagi kesan daripada perbuatan sabotaj dan kemungkinan beberapa pihak dalam UMNO dan BN sendiri yang akan "pusing" dalam pilihanraya nanti kerana kecewa tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon.

Lebih malang bagi Najib ialah lagi beliau melengah masa untuk mengadakan pilihanraya, lagi gelap laluan di hadapannya. (SH 09/03/2013)

4 comments:

  1. Catatan tuan ini merupakan fakta yg tidak dapat disangkal oleh pihak lawan dan menggegarkan sanubari pihak atas pagar. Terima kasih dan teruskan catatan seterusnya...

    ReplyDelete
  2. Ramai pemimpin dan ahli UMNO di peringkat bawah sedang mencari-cari sebab mengapa mereka masih hendak pertahankan UMNO. Keadaan tidak stabil, isu-isu yang tidak dapat dipertahan oleh pemimpin2 atasan UMNO memberi tanggapan keadaan tidak begitu meyakinkan. Mengelak, membisu, bukan cara menangani isu. Pemimpin UMNO adalah pemimpin negara. Jika tidak mampu mengatasi dengan tanggungjawab isu dalaman, bagaimana hendak meyakinkan rakyat kemampuan mengurus negara. Pemimpin utama harus mempunyai kekuatan memertabatkan jawatan yang diduduki sendiri. Seorang PM mesti mampu pertahan 'credibility' sendiri. Kalau membisu, penyokong sendiri pun tak tau cara mana hendak memberi penjelasan. Benar, attack is best defence. Namun, kalau tak ada kubu pertahanan langsung, cara mana nak elak 'counter attack'.
    Budaya 'Bisu' Najib tak boleh lagi dipertankan. ADIOS !

    ReplyDelete
  3. Artikel ni bagus buat pembaca umum..lontaran buat pembaca yg kritis dan terbuka...terutama penganalisa politik dan akademik.....namun kalau penulis bekerja dan ada majikan ........####..... mungkin kena gantung kerja...

    ReplyDelete
  4. NAk pertahan apa lagi, semuanya BENAR belaka.... hanya terkedu sahaja.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...