Wednesday 4 September 2013

"Mengekalkan Lagi Najib Sebagai PM Umpama Menambah Dosa"


Kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib semalam telah menimbulkan keributan yang bukan sedikit rupanya. Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin UMNO juga mempunyai rasa yang senada. Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, bukan saja kerana tiada angin atau ribut yang mengatakan harga minyak dunia meningkat tetapi juga kerana kenaikan itu diumumkan begitu pantas iaitu hanya kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang diraih BN dalam pilihanraya umum lalu.

Di tambah pula, dengan kemeriahan sambutan Hari Raya yang masih terasa dengan Perdana Menteri dan semua menteri kabinet dilihat begitu bergembira dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat-hebat di sana-sini dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba rakyat mahu dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan pelbagai kenaikan lainnnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna.

Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan UMNO, gah dan meriahnya majlis rumah terbuka para menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutamanya mereka yang mahu bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada. Sudahlah ada rumah terbuka Perdana Menteri bersama menteri-menteri kabinet, ada pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut mengadakan rumah terbuka. Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan menteri mengadakan rumah terbuka.

Habisnya, sebulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik dengan rumah terbuka saja. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang undi berkurangan, para menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah-rumah terbuka kementerian lainnya.

Tentulah terlihat tidak sopan, setelah para pemimpin berpesta dan menghabiskan duit rakyat manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar, tiba-tiba bebannya mahu dilonggokkan ke bahu rakyat.

Bagi sesetengah pihak, ini merupakan diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan perbelanjaan lainnya yang dilakukan oleh para pemimpin, termasuk kos lawatan Najib ke luar negara hampir RM50 juta, keghairahan kerajaan menukar jenama baru untuk kereta rasmi para menteri dan sebagainya, kerajaan dilihat seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak ini.

Dalam masa yang sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan ditengah-tengah kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 telah mencatat keuntungan sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula mencecah angka RM21.9 bilion.

Dengan keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan RM1.1 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah orang-orang kampung dan luar bandar yang selama ini merupakan penyokong tegar UMNO serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihanraya lalu.

Apakah RM1.1 bilion itu tidak boleh ditampung dari sumber lain dan lebih besar nilainya dari menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang lebih sukar?

Sebaik menang piliharaya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan menjadikannya kekal sebagai Perdana Menteri. Lalu, dengan pelbagai keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah slogan "Kami mendengar" dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat yang sering dilaungkan selama ini?

Sebab itu, tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada pemimpin UMNO sendiri. Sementara ramai yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas, terdapat juga yang berani berterus-terang.

Seorang pemimpin pemuda, Lokman Nor Adam mahu Najib dan kerajaan memikirkan semula kenaikan harga minyak ini dan mencari kaedah lain untuk menampung kos RM1.1 bilion yang diperlukan untuk meneruskan subsidi minyak yang telah dikurangkan itu.

Di pelbagai peringkat lainnya, ramai lagi pemimpin dan ahli UMNO yang turut kecewa dengan tindakan Najib ini. Mereka meluahkan kekecewaan dengan cara tersendiri. Ada yang meluahkannya melalui perbualan dengan kawan-kawan atau ketika sambil berbual-bual di kedai kopi.

Seorang pemimpin UMNO yang ditemui jelas kecewa dengan tindakan Najib ini. Beliau kecewa bukan saja kerana tindakan ini dilihat menyusahkan rakyat tetapi juga membuat pemimpin sepertinya menghadapi kesukaran untuk mempertahankan keputusan Najib itu apabila dipersoalkan oleh para pengikut serta penyokongnya.

Para penyokong dan pengikutnya yang rata-rata berpendpaatan rendah dan sederhana jelas begitu terpukul dengan kenaikan minyak ini kerana selama ini pun kehidupannya seharian mereka sekadar cukup makan sebagai kakitangan kerajaan mahupun swasta.

Lebih menggusarkan pemimpin tadi ialah apabila anak-anaknya juga turut marah, kecewa dan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib ini. Menurutnya, apabila anak-anaknya yang belajar di universiti turut mempertikaikan tindakan Najib berserta dengan fakta, angka dan rasionalnya, beliau menghadapi masalah dan tidak upaya berbuat apa-apa kerana pendapat golongan muda seperti anak-anaknya itu banyak kebenarannya.

Mahu mempertahankan kerajaan serba-salah, tidak mempertahankan kerajaan pun serba-salah juga. Kita sebagai pemimpin UMNO pun susah dibuatnya dengan tindakan Najib ini, rungutnya lagi.

Dengan kecenderungan Najib berbelanja mewah dan boros serta kemungkinan akan mengenakan beberapa lagi kenaikan seperti tarif letrik, pengenalan cukai GST dan sebagainya sebagai langkah mudah menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara, beliau juga percaya kehidupan rakyat akan terus sulit dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Sehubungan itu, tambahnya, mengekalkan lagi Najib sebagai Perdana Menteri hanya seperti menambah dosa saja kerana kehidupan rakyat yang sudah sedia terbeban dipercayai akan terus terbeban selagi beliau kekal di tempatnya sekarang. (SH 04/09/2013)

4 comments:

  1. Ini menunjukkan bahawa DS Najib mempunyai sepenuh keyakinan bahawa jawatan nya tidak akan terjejas walau pun dengan menaikkan harga minyak beberapa minggu sebelum perhimpunan agung UMNO.

    Memang betul bahawa beliau 'mendengar' kehendak ahli UMNO, yaitu walau apa pun mereka masih mahu dia memegang jawatan Presiden UMNO dan tidak akan membenar cabaran dari sesiapa pun termasuk timbalan beliau.

    ReplyDelete
  2. Tuan,

    "Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin UMNO juga mempunyai rasa yang senada. Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, ............."

    Biaq betul tuan, dengan sikap pemimpin dan ahli UMNO ni. Apa dia orang ni juga nak buat lawak macam peserta-peserta program maharaja lawak yang disiarkan oleh Astro setiap minggu ke? Mereka "dont have any legitimate right" untuk membuat komen sedemikian kerana merekalah yang memilih Najib dan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang ada hari ini kepada kedudukan mereka sekarang !!. .....

    Sebaliknya mereka patut berpesta dan mengadakan sambutan besar-besaran dari peringkat cawangan hinggalah keperingkat nasional kerana telah berjaya membalas dendam kepada 51% pengundi-pengundi dalam PRU 13 yang lalu yang menolak UMNO/BN ! Tidakkah kemenangan "at whatever cost" ini yang mereka cari dalam kempen PRU 13 yang lalu...hatta dengan melakukan penipuan secara besar-besar , bersistematik dan menyeluruh!

    Merungut sekarang hanyalah menunjukkan kebodohan mereka. Hanya melaungkan kebodohan sendiri kepada dunia sahaja! Yang salah diri sendiri. Setiap orang diberi akal untuk berfikir sama seperti orang lain. terpulang kepada kita samada kita mahu biarkan diri kita diperbodohkan oleh orang lain atau tidak. Kaki penipu ini dalam apa bentuk sekaipun memang akan cuba sedaya upaya menipu.terpulanglah kepada empunya dirisamada mahu membiarkan orang menipu dirinya atau tidak. Apatah lagi didalam dunia hari ini, selain dibekalkan akal oleh Allah, kita boleh mendapat maklumat-maklumat mengenai sesuatu perkara dengan begitu mudah sekali untuk membantu kita menyelamatkan diri dari kena tipu. Jadi jika kita masih membenarkan diri kita ditipu hidup-hidup - siapa yang salah.....diri kita atau orang lain? Orang yang ditipu patut dok dendiam sahaja kerana malu diketahui orang tentang kebodohannya.

    Tuan,

    laporan akhbar-akhbar hari ini melaporkan bahawa kenaikan harga petrol/diesel semalam akan disusuli oleh sekurang-kurangnya 2 kenaikan lagi dalam masa setahun mendatang.

    Kenaikan semalam berlaku tanpa tekanan atau krisis harga minyak dunia. Dan kita mungkin akan menghadapi 2 lagi kenaikan. Sesetengah analyst mengjangka harga petrol akan terus naik sehingga mencapai harga RM 2.70/ liter!Apa dah jadi dengan kewangan negara sampai perlu mengambil langkah-langkah seumpama ini?????? Ini belum lagi mengambilkira ura-ura kenaikan tarif letrik dan GST yang akan diforcekan keatas rakyat selepas budget 2014 nanti!

    Jika kita lihat kembali cara bagaimana Najib membelanjakan wang negara sejak beliau menambilalih dari Paklah 5 tahun lalu sehingga PRU 13, kita menjadi mual kerana jelas lagi terang ia dibelanjakan secara membazir bagi membeli sokongan politik untuk dirinya yang paling utamanya dan memastikan beliau terus kekal menjadi PM. Kita gabung isucara perbelanjaan Najib ini dengan jumlah hutang negara yang dibuat oleh Najib dalam masa tersebut yang melebihi jumlah hutang negara dari sejak merdeka sehingga beliau mengambilalih jawatan dari Paklah!........Apakah Najib dan penasihat-penasihatnya begitu bengap untuk mengetahui kesan-kesan tindakan beliau pasca PRU 13? Apakah mereka begitu buta dan "blank" tidak nampak bawa kesan dari tindakan tak bermoral mereka itu akan menyebabkan tindakan-tindakan ekonomi yang drastik dan mencengkam kehidupan rakyat terpaksa diambil?

    Apa jawapan sdra kepada soalan ini? Apakah Najib dan penasihat-penasihatnya tidak sedar apa yang mereka lakukan sejak 5 tahun dulu kepada kedudukan kewangan negara? Mustahil....mustahil!

    saya tinggalkan persoalan seterusnya disini untuk tuan dan pembahas-pembahas lain menilai sendiri......keyword is: Ada manusia yang akan buat apa sahaja dan at whatever cost untuk menyelamatkan diri sorang...peduli apa dengan nasib orang lain!

    bat8


    ReplyDelete
  3. Najib serta ahli fikirnya gagal mengharungi ujian menyelesaikan defisit negara. Tambahan pula duit yang ditabur pada rakyat sebelum pilihanraya dulu berkonsepkan “biar papa asalkan bergaya”.

    Negara kaya kerajaannya pula berbelanja melebihi dari pendapatan. Timbul persoalan, mengapa kerajaan yang diterajui oleh BN ini suka mengamalkan defisit dalam pentadbirannya ?

    “...peluang jadi kaya hanya datang sekali... “ membuatkan mereka yang berada diatas itu sentiasa bersedia untuk mendapatkan peluang itu sama ada menggunakan cara rasuah, menipu, merampas, kawan makan kawan, malah apa saja cara sekali pun asalkan mampu mengumpul harta seperti Tun Mahathir.

    Kini Tun Dr Mahathir pula baru sedar bahawa perangai nya telah menjadi ikutan lalu menggesa supaya Umno dibersihkan menjelang pemilihan parti nanti kerana ramai yang memasuki parti tersebut semata-mata mahu menjadi kaya.

    Ini mengingatkan kita bahawa biar pun semua barang keperluan rakyat dinaikkan harganya namun negara akan kekal berhutang dengan jumlah yang besar kerana mereka selaku pemerintah akan terus mencuri dan melarikan duit keluar negara. Inilah cara penjajah menjarah harta kekayaan sesebuah negara.

    Masih tidak tahu cara sebenar pentadbiran UMNO Baru dan BN47 untuk negara Malaysia..?

    Lihat syarikat penerbangan MAS, orang lain terbang dapat untung mengapa MAS pula yang tak pernah berhenti terbang tapi sentiasa rugi setiap tahun. Kenapa rugi dan tiada siasatan cara telus dilakukan ?

    Sama ada Najib kekal sebagai presiden parti UMNO Baru atau tersingkir dalam pemilihan diperhimpunan agong UMNO dihujung tahun nanti, tidak akan mengubah landskap politik negara.

    Nak salahkan siapa sedangkan kita sendiri kemaruk dengan rasuah yang mereka suap ?

    ReplyDelete
  4. Tuan,

    Apa yang saya boleh katakan pada semua penyokong umno.Padan muka.Ada kerajan alternatif lain nak bagi kurangkan harga minyak, pelajaran percuma dan lain2 semua mereka kata tipu. Sekarang tengok, siapa tipu siapa. Kena ingat kerajaan Najib kerajaan 47%. Apapun alasan bukan semua melayu sokong umno. Orang melayu juga sokong parti-parti lain. Inilah akibat kalau otak mereka dah dibonzaikan oleh pemimpin mereka. Kerana 47% ni semua rakyat Malaysia yang lain jadi susah. Biarkan, biarkan, selagi mereka tak nak berubah selagi tulah kena tipu. Lagi pun agama mengajar kita. Tiada siapa yang boleh mengubah diri kita sendiri melainkan kita sendiri yang mengubahnya. Jangan pula ada orang melayu kata, nasib hidup mereka adalah kerana umno...ini juga dah menjadi satu ajaran sesat dan perlu diharamkan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...