Wednesday 25 September 2013

Khalid Ibrahim, Bola, Masjid dan Cap Ayam!


Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim terlihat tidak matang apabila seakan-akan melenting dengan teguran Pemuda PAS Selangor yang mempersoalkan kemerosotan pasukan bolasepak negeri itu sehingga gagal masuk ke peringkat suku akhir dan mengaitkannya dengan kekurangan penajaan dan menyebabkan ramai pemainnya berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan.

Dalam jawapan balasnya terhadap kritikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan itu, Khalid menjelaskan bahawa syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) telah menyalurkan sejumlah kira-kira RM7 juta setahun kepada pasukan bolasepak negeri atau dalam erti kata lain melebihi kos pembinaan sebuah masjid.

"Bermakna adakah Pemuda PAS berminat kita buat masjid atau menggalakkan bolasepak. Kita kena buat pilihan," kata Khalid lagi.

Sesiapa pun yang membaca kenyataan Khalid itu pasti akan geleng kepala, kalau pun tidak memaki dan menyumpah seranah terhadapnya. Apa kaitannya pembinaan masjid dengan pembangunan bolasepak? Penasihat kerajaan negeri Selangot, Anwar Ibrahim yang sedang berada di luar negara sekarang juga pastinya turut geleng kepala dan sedikit terganggu percutiannya dengan kenyataan Khalid yang tidak matang dan dan separuh masak itu.

Dalam ertikata lain, jika sebelum ini ada menteri yang mengatakan tukarlah makan ikan dan daging kerana harga ayam sudah mahal, tanamlah sayur kerana sayur mahal, pindahlah ke luar negara atau duduk dalam hutan jika tidak setuju dengan undang-undang dan sistem pilihanraya, jangan beli rumah jika rumah begitu mahal, gula akan dinaikkan harganya kerana rakyat banyak penyakit kencing manis dan sebagainya lagi, ternampak bahawa Khalid juga sudah dijangkiti aliran pemikiran yang sama sekarang ini.

Tiada jauh bezanya beliau dengan menteri-menteri UMNO yang selama ini mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dalam sesuatu isu yang melibatkan rakyat.

Khalif jelss tidak boleh ditegur dan dikritik sedangkan niat Pemuda PAS membuat teguran itu adalah dengan niat yang baik, lebih-lebih lagi pasukan Selangor adalah pasukan yang hebat dengan sejarahnya sebelum ini dan kegagalan memasuki peringkat suku akhir adalah sesuatu yang memalukan.

Jika tidak dibendung dan tidak diperbaiki segera serta pemain bolasepak yang berbakat pula dibiarkan dipancing oleh
pasukan lain yang mempunyai dana yang lebih besar, tidak mustahil musim depan pasukan Selangor lebih merosot prestasinya dan mungkin untuk masuk ke pertandingan Piala Malaysia pun tidak layak.

Dalam hal ini, teguran dan kritikan Pemuda Selangor tidak ada salah dan celanya, lebih-lebih lagi PAS dan PKR bersama-sama berada dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

Teguran Pemuda PAS tentunya bukan saja kerana merasakan mereka adalah rakan dalam gabungan tetapi juga kerana Khalid dan kerajaan negeri selalu berbangga sebelum ini dengan kemampuan mengumpulkan rizab tunai melebihi RM2 bilion yang digambarkah sebagai tanda aras pentadbiran yang cekap, berhemah dan telus.

Tetapi tentunya tiada gunanya berbangga dengan rizab sebanyak itu jika untuk pembangunan bolasepak pun terlalu berkira dan menjadi haji bakhil sehingga digambarkan jika pembangunan bolasepak terpaksa menggunakan dana yang melebihi RM7 juta, maka pembinaan masjid akan terjejas.

Bukankah antara tujuan berjimat-cermat dan mengumpulkan tabungan itu supaya akhirnya duit itu dapat dibelanjakan untuk faedah rakyat dan kepentingan negeri dan membangunankan bolasepak serta mencipta kejayaan adalah juga sebahagian daripada usaha kerajaan negeri yang membangkitkan rasa banggga di hati rakyat.

Tentulah lebih membanggakan lagi jika sekiranya, di ketika bolasepak terus mahu, syiar Islam dan pembinaan masjid-masjid juga tidak tergendala.

Tolonglah Khalid, janganlah buat lawak yang membuatkan rakyat jadi meluat. Perbandingan antara bolasepak dan masjid langsung tidak kena dan memalukan rekod serta prestasinya sebagai tokoh korporat dan pentadbir yang dibanggakan selama ini.

Kalau pun mahu membuat perbandingan, janganlah bandingkan bolasepak dengan masjid. Macam menghina agama pula bunyinya dan seolah-olah mengeluarkan lebih daripada RM7 juta untuk bolasepak merupakan suatu dosa besar sedangkan ada tabungan berjumlah RM2 bilion. Apakah rizab tunai RM2 bilion itu mahu disimpan dalam bank saja?

Kenyataan Khalid ini turut juga menimbullan rasa kurang senang Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali yang segera menyindir dalam Twitternya dengan antara lain menulis, "jom kita bermain bolasepak dan jangan lupa ke masjid" dan "tahniah PKNS FC, tapi jangan lupa ke masjid".

Di kalangan rakyat biasa juga ramai yang bersungut dan mencebik bibir kepada Khalid atas kenyataan tidak matang dan sikap haji bakhil yang ditunjukkan itu. Malah ada yang bertanya, apa sudah jadi Khalid sekarang sedangkan dulu sikap dan perangainya tidaklah sebegitu?

Dalam menempelak Pemuda PAS yang berniat baik membuat kritikan demi pembangunan bolasepak negeri Selangor serta dalam masa yang sama membuat perbandingan tidak logik antara bolasepak dan masjid, Khalid juga seharusnya tidak lupa bahawa kerusi yang didudukinya sekarang ini adalah atas ehsan PAS juga berikutan PAS menang lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam pilihanraya umum lalu.

Hanya atas dasar kesepakatan dan memikirkan PAS sudah ada Kelantan untuk ditadbir dan DAP ada Pulau Pinang, maka persetujuan diberi kepada PKR untuk menjadi Menteri Besar di Selangor supaya masing-masing mempunyai kuasa yang seimbang dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi melihat cara Khalid melibas Pemuda PAS seolah-olah beliau terlupa budi dan jasa PAS itu. (SH 25/09/2013)

3 comments:

  1. Bagi peminat bola sepak khasnya penyokong bola sepak Selangor, pasti ramai yang akan jadi gila dan ada juga yang ketawa sampi guling-guling bila mendengar penjelasan dari MB Selangor berkaitan dengan peruntukan dan penajaan sukan itu. Nak bola sepak atau masjid.... Apa yang kita faham tentang maksud itu ?

    Berpunca kerana kurang penajaan dari syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) maka pemain berhijrah kepasukan lain. Akibatnya pasukan Selangor yang dianggap pasukan terhebat dengan sejarahnya telah gagal memasuki peringkat suku akhir yang memalukan. Maka mundurlah sukan itu.

    Anda dan saya mungkin serasi tentang sukan bola sepak. Suka pada sukan itu kerana kita ada alasan tersendiri tapi yang pasti ia adalah salah satu sukan yang menghiburkan kita. Sukan yang boleh menyatukan kita tanpa mengira fahaman politik, perbezaan beragama atau pun merayakan kebudayaan anak bangsa.

    Tapi apakah kita sedar, orang bertanggongjawab dalam FAM yang mempunyai kuasa penuh berkaitan bola sepak tidak mempedulikan langsung tentang kualiti sukan bolasepak negara kenapa dipihak kita saja yang terhegeh-hegeh merasa malu diatas kelemahan dan kekalahan pasukan yang kita sokong.

    Sila buka mata luas-luas, dan siasat kenapa mereka di FAM itu cepat melenting apabila kita kritik kelemahan mereka dalam membina kualiti sukan itu ? Pasukan bolasepak negara dan negeri mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kalau persembahan pasukan negara amat memalukan apakah persembahan pasukan negeri amat menggembiarakan ?

    Ketika kita bersama terjerit terlolong ditepi padang seperti orang mabok arak memberi semangat kepada pemain pasukan yang kita sanjung tapi pasukan itu kalah kerana pemain dipercayai makan rasuah. Apakah kita akan kata...biarkan lah...... apakah peruntukan yang disediakan untuk mereka itu berbaloi dengan persembahan penuh kepura-puraan kerana mereka telah menerima rasuah ?

    Pasukan bola sepak dengan masjid memang tidak ada kena mengena tapi kita kena berlapang dada membuat penilaian. Disebabkan kualiti bola sepak yang diuruskan oleh FAM tidak menepati piawaian dan perangai pegawai serta pemain yang telah disahkan terbabit mengatur permainan kerana rasuah maka sukan bola sepak negeri dan negara ketika ini bukan sukan yang boleh diberi sanjungan melulu.

    Kita boleh saja mengatakan MB Selangor sebagai bakhil atau letakkan apa saja gelaran yang menghina keatasnya namun tindakan beliau menjaga kepentingan rakyat dibawah jajahannya juga perlu diberi perhatian. Dalam keadaan dia bersifat bakhil, kemana duit itu telah dibawa lari seperti pemimpin UMNO Baru lakukan dulu.

    Dan dalam keadaan dia sekat peruntukan khusus yang diminta oleh ahli politik yang berkhidmat dalam kerajaan negeri, apa program yang telah beliau lakukan demi kepentingann rakyat demi mengukuhkan sokongan rakyat kepadanya, kepada parti dan juga kepada Pakatan Rakyat..?

    Saya juga mempunyai persepsi sendiri tentang Azmin yang mengeluarkan pandangan, "jom kita bermain bolasepak dan jangan lupa ke masjid" dan "tahniah PKNS FC, tapi jangan lupa ke masjid".

    Tapi kalau kerusi yang diduduki oleh MB Selangor sekarang ini diungkit sebagai atas ehsan PAS kerana PAS menang lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam pilihanraya umum lalu.... 'KAMI AMAT GEMBIRA' jika ada usul tarik diri dari gabungan Pakatan Rakyat dalam muktamar PAS di Shah Alam nanti !!!

    ReplyDelete
  2. Takda benda lain nak di ulas ke? Small minds talk about small issues...

    ReplyDelete
  3. Saya lebih suka Selangor menjadi model sebuah negeri yang maju dan prihatin kepada kehidupan rakyat ramai, daripada menjadi model sebuah negeri yang hebat pasukan bola sepaknya! Sukan khususnya bola sepak memang penting, tapi janganlah terlalu diagungkan........ dan kita pun sedia maklum kerana bola sepak ramai yang suka mengabaikan ibadat wajib seperti bersolat!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...