Wednesday 16 January 2013

Rais Yatim Menteri Yang Membahayakan Masa Depan Najib


Di antara menteri kabinet yang ada sekarang, rasanya Rais Yatim adalah yang paling banyak disebut namanya, baik oleh penyokong UMNO mahupun penyokong pembangkang, selepas Najib dan Muhyiddin. Dalam semua agenda politik negara, jarang benar nama beliau tidak terselit sama.

Sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais dianggap mengendali kementerian yang kanan berdasarkan ruang lingkup tugas kementeriannya yang agak luas dan penting kepada kerajaan. Kementeriannya bukan saja bertanggungjawab kepada program penerangan, berkaitan industri komunikasi serta pelbagai aspek seni dan budaya tetapi juga mengendali pelbagai sambutan seperti Hari Kemerdekaan, Rumah Terbuka Aidil Fitri, Rumah Terbuka Hari Raya Cina, Rumah Terbuka Krismas, Rumah Terbuka Deepavali dan juga terlibat dalam pelbagai acara penting kerajaan yang lain.

Yang lebih penting ialah peranannya sebagai jentera induk penerangan kerajaan yang memiliki televisyen, radio dan pelbagai jentera penerangan yang lain. Tetapi paling banyak beliau dikaitkan ialah berkenaan dengan prestasi RTM dan siaran Berita TV1 yang tidak banyak kemajuan daripada dulu.

Sebagai menteri penerangan yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada rakyat, Rais juga bebas bercakap apa saja. Apa saja yang difikirkannya perlu diterangkan, maka beliau boleh bercakap. Dengan menguasai RTM pula, apa saja yang dicakapkannya pasti akan tersiar di dalam Berita TV1 dan radio. Bahkan dalam Berita Bahasa Tamil dan Berita Bahasa Cina kerap terpacul wajah dan suaranya. Akhbar juga turut melihat Rais dengan jawatannya itu sebagai pemimpin yang dikira ada nilai berita dan turut memberi liputan kepadanya.

Itulah antara hebatnya menduduki kementerian yang diduduki oleh Rais sekarang ini.

Sebab itu, dalam himpunan Bersih, Himpunan Lynas, Himpunan Kebangkitan Rakyat, isu Amanat Haji Hadi, isu kalimah Allah dan deretan isu lainnya yang berlaku silih berganti dalam negara, Rais jarang terkecuali daripada bercakap. Dalam isu-isu mempertahankan Perdana Menteri, lagilah Rais sering ke depan.

Di dalam tv dan akhbar, nama dan beritanya jarang tidak didengari kecuali jika sedang bercuti.

Namun Rais juga ada masalahnya sendiri. Penglibatannya yang terlalu lama dalam politik dan kerajaan serta jalan politiknya yang berliku sebelum ini, adalah antara perkara yang dijadikan bahan untuk mencemuh dirinya. Beliau pernah menanggotai Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh untuk menentang Mahathir dalam pemilihan UMNO 1987 dan kemudian menyertai Semangat 46 dengan jawatan Timbalan Presiden.

Pada mulanya dianggap sebagai ahli politik yang berprinsip kerana berani mengungkapkan istilah "bakar jambatan" tetapi kemudiannya mula dikecam, disindir dan dipertikai kerana selepas pembubaran Semangat 46, menyertai UMNO, dipilih semula bertanding di Jelebu dan diberikan jawatan dalam kerajaan, gayanya selepas itu dalam mempertahankan UMNO dan kerajaan seolah-olah beliau seorang ahli politik yang begitu setia kepada pemimpin, suci bersih dan tiada cacat-celanya.

Malah Mahathir yang pernah memecatnya dari kabinet dan melarangnya menyertai UMNO Baru pada 1988 dulu dan dimusuhinya sekian lama, selepas itu sering pula dipuji dan dikaguminya semata-mata kerana Mahathirlah yang memberi ruang semula untuknya bertanding dalam pilihanraya dan menyertai kabinet.

Jika semasa Team B dan Semangat 46, beliau dilihat gandingan yang sempurna dengan Ku Li tetapi selepas diberikan nyawa semula oleh Mahathir, kiblat politiknya turut berubah. Beliau mula menjarakkan diri dengan Ku Li. Beberapa pendirian Ku Li tidak lagi disokongnya, malah dalam usaha Ku Li bertanding jawatan Presiden UMNO selepas itu juga tidak lagi mendapat sokongan daripada Rais.

Di era Pak Lah dan Najib sekarang ini, Rais nampaknya masih mempunyai nyawa politik yang panjang. Jika nyawanya bersambung di zaman Pak Lah boleh difahami kerana mereka sama-sama pernah berada dalam Team B dahulu tetapi di era Najib ini, kemampuannya terus bernafas dengan segar dengan diberi kementerian yang kanan memanglah sesuatu yang mengkagumkan kerana kedua mereka daripada zaman yang berbeza.

Beliau cekap menyesuaikan diri. Sesetengah orang berpendapat beliau mampu terus hidup kerana kepintarannya bemain politik, sesetengah yang lain pula berpendapat kerana kemahirannya menggunakan logik politik dan bahasa yang mempersonakan ketika menyokong sesuatu yang dilakukan oleh Najib. Ada juga yang berkata kerana pengalamannya yang lama itu. Tidak kurang juga yang memberi sebab-sebab lain berdasarkan apa yang mereka pandang dan dengar sama ada daripada persekitaran Rais sendiri mahukan daripada persekitaran Najib.

Hakikatnya, beliau dibenci dan dicemburui. Di pihak Pakatan Rakyat, kecaman dan serangan terhadap Rais berlaku hampir setiap hari. Setiap kali beliau membuka mulut, pasti ada saja yang tidak kena.

Beliau paling banyak dipertikai dan dipersenda kerana berkata kehadiran dalam himpunan Bersih 3.0 hanya sekitar 23 ribu orang berdasarkan kiraannya menggunakan teknik fotografi. Bukan saja pembangkang, malah ahli dan pemimpin UMNO turut mengecam Rais kerana faktanya itu lebih memperlihatkan beliau mahu membodek dan menyedapan hati Najib dengan menunjukkan program pembangkang seolah-olah tidak mendapat sambitan.

Komennya mengenai kehadiran dalam HKR112 baru-baru ini yang dinilainya tidak sampai 50 ribu sekali lagi mengundang cemuhan daripada pelbagai kelompok rakyat. Ini kerana baik dalam Bersih 2.0 mahupun Bersih 3.0 dan HKR112 baru-baru ini, kehadiran yang disebut Rais itu amat bertentangan dengan fakta sebenar, baik berdasarkan pelbagai gambar dan video yang boleh dilihat dengan mata tetapi juga berdasarkan penilaian mereka yang hadir sendiri di perhimpunan tersebut.

Dalam hal ini, Rais dilihat seperti sanggup menyembunyikan fakta demi untuk menyedap dan menggembirakan hati Najib.

Dalam isu logo Hari Merdeka yang lalu, beliau juga dicemuh kerana memilih logo paling "cikai" dan tidak menepati tema sambutan. Dalam isu amanat Haji Hadi yang meminta siaran langsung di TV, Rais juga diserang kerana dilihat memberi respon yang akhirnya memerangkap UMNO dan kerajaan.

Tetapi yang paling banyak orang memperkatakan tentang beliau ialah apabila beliau bercakap mempertahankan Najib dalam sesuatu isu. Dan cakapnya mengenai politik juga melebihi daripada cakapnya mengenai seni, budaya atau komunikasi. Beliau dilihat terlalu mengampu dan membodek Najib, dan caranya amat berbeza dengan cara menteri-menteri lain mempertahankan Najib.

Oleh itu, Rais bukan saja dimusuhi oleh penyokong pembangkang, malah turut tidak disenangi oleh kalangan UMNO sendiri kerana sikap dan wataknya itu. Bagi penyokong pembangkang, serangan, kecaman dan perasaan tidak gembira mereka terhadap Rais mungkin mudah difahami.

Namun ramai pemimpin dan ahli UMNO turut tidak suka dengan Rais. Beliau dianggap sebagai beban kepada Najib, UMNO dan kerajaan kerana lebih suka melihat Najib gembira daripada bercakap yang benar. Dalam kes kehadiran dalam Himpunan Bersih dan HKR112 misalnya, ramai yang berpendapat, jika Najib percaya kepada kata-kata Rais, sudah tentu ia membahayakan Najib sendiri kerana akhirnya Najib didapati bertindak tidak berdasarkan keadaan yang sebenar.

Beberapa pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO terang-terang melihat Rais sebagai liabiliti kepada Najib. Meskipun sekarang zaman internet dan semua perkara bergerak pantas dan terbuka, namun Rais bagi mereka, masih mempunyai gaya pemikiran lama dan tradisional.

Dalam isu logo hari Merdeka yang lalu, selain ramai yang mengecamnya, turut berbuat demikian ialah seorang Exco Pemuda UMNO yang menulis dalam blognya dengan mengkritik cara Rais bekerja, termasuk sikapnya yang mempunyai akaun Twitter tetapi hanya bertindak sehala dan tidak pernah memberi respon terhadap apa-apa pertanyaan daripada mereka yang menjadi pengikutnya.

Dari hari ke sehari, caranya bekerja sebagai pemimpin politik tidak banyak berubah. Selain tidak melayan pertanyaan di Twitter, lebih suka mengampu Najib, sering menunjukkan kepandaian dengan bahasa berbunga-bunga, menyerang pembangkang secara tidak kena, komennya mengenai politik juga seringkali tidak matang dan memualkan.

Meskipun dianggap sebagai orang lama dan berpengalaman, kelompok dalam UMNO sering melihatnya sebagai warga emas yang membebankan berbanding orang lama yang mahu dikongsi pengalamannya. Malah ada pemimpin muda dalam UMNO yang mejadikan Rais sebagai "penanda aras" kepada jangka hayat politik Najib sendiri yang bermaksud bahawa jika Rais dikekalkan lagi dalam pilihanraya akan datang, maka Najib juga harus ditolak kerana tidak mahu memberi ruang kepada proses peremajaan dalam parti dan kerajaan. (SH 16/01/2013)









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...