Thursday 10 January 2013

5,000 Undi Pos Parlimen Setiawangsa Kena Songlap...


Semalam Nurul Izzah mendedahkan bahawa seramai 5,000 pengundi yang terdiri daripada ahli UMNO Wilayah Perseketuan telah dipindahkan ke Lembah Pantai bagi memastikan kemenangan Raja Nong Chik yang berhasrat bertanding di kawasan itu dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Daripada jumlah 5,000 pengundi itu, sebahagian besarnya difahamkan terdiri daripada pengundi daripada kawasan Parlimen Seputeh. BN dikatakan tiada harapan untuk menang di Seputeh yang selama ini dikuasai oleh DAP, maka pemindahan itu "direlakan" bagi menyelamatkan nyawa politik Raja Nong Chik.

Selain itu, dalan pendedahannya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyebut seramai 2,000 pengundi pos juga dipindahkan ke Lembah Pantai bagi tujuan yang sama.

Nurul Izzah memenangi kerusi Lembah Pantai pada pilihanraya lalu dengan menewaskan Shahrizat Jalil dengan majoriti 2,895 undi. Beliau mendapat 21,720 undi berbanding Shahrizat hanya 18,833 undi.

Tetapi dengan perlantikan Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar atas tiket Senator pada 2009 lalu, beliau kini sedang bekerja keras bagi menawan semula kerusi itu daripada PKR. Selain melakukan pelbagai program, melambakkan banyak projek DBKL di Lembah Pantai, Raja Nong Chik juga menggunakan hubungan baiknya dengan Ketua UMNO Seputeh, Mustapha Kamal untuk memindahkan sebahagian pengundi daripada Seputeh di Lembah Pantai.

Mustapha Kamal dikatakan sedia berbuat demikian kerana menyedari Seputeh adalah kubu kuat DAP dan tidak mungkin BN boleh menang di kawasan, maka adalah lebih baik sebahagian pengundi Melayu kawasan itu dipindahkan ke Lembah Pantai, selain tindakan itu juga seperti kata pepatah "ada budi, ada balasannya".

Dengan melakukan pemindahan tersebut, Raja Nong Chik berharap dapat memenangi kerusi Lembah Pantai dan memastikan dirinya terus kekal di kerusi empuk menteri kabinet jika BN dapat berkuasa lagi.

Rupa-rupanya modes operandi UMNO mahu memenangi kerusi piliharaya dengan cara mudah melalui pemindahan pengundi tidak saja berlaku di Lembah Pantai tetapi juga berlaku di Bahagian Wangsa Maju dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan.

Dalam pilihanraya umum lalu kerusi Wangsa Maju dimenangi oleh PKR melalui Wee Choo Keong dengan majoriti 150 undi menewaskan calon BN, Yew Teong Look manakala Titiwangsa pula dimenangi oleh PAS melalui calonnya Dr Lo Lo Ghazali yang menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin dengan kelebihan 1,972 undi. Wee kini sudah meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas manakala Dr Lo Lo meninggal dunia lebih setahun yang lalu.

Tetapi dalam pilihanraya umum akan datang ini, kerusi Wangsa Maju begitu diidamkan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju yang juga Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan, Shafei Abdullah manakala Pemangku Ketua UMNO Titiwangsa, Johari Ghani pula hampir pasti menjadi calon BN di kawasan Titiwangsa.

Tidak jauh berbeza dengan Lembah Pantai, modes operandi UMNO untuk menawan kerusi Wangsa Maju dan Titiwangsa juga ialah dengan cara menambah undi pos di kedua-dua kawasan itu.

Untuk tujuan itu, undi pos dari kawasan Parlimen Setiawangsa yang sekarang diduduki oleh Zulhasnan Rafique telah "disonglap" dan dipindahkan ke Wangsa Maju dan Titiwangsa.

Undi pos di Setiawangsa sebelum ini berjumlah hampir 14,000 tetapi kini sebanyak 5,000 telah disonglap dan dipindahkan ke kedua-dua kawasan itu dengan Wangsa Maju menerima kira-kira 2,700 tambahan pengundi pos manakala selebihnya untuk Titiwangsa. Ini menjadikan undi pos di Setiawangsa kini hanya berjumlah 8,000 lebih saja.

Zulhasnan Rafique dalam mesyuarat UMNO Setiawangsa beberapa bulan lalu telah mengesahkan perkembangan tersebut dan berkata beliau tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang undi pos itu daripada dipindahkan, sebaliknya meminta semua pihak supaya meningkatkan usaha bagi menarik sokongan rakyat bagi menampung kehilangan tersebut.

Shafie yang berhasrat untuk menjadi calon di Wangsa Maju dalam piihanraya akan datang dikatakan mendesak untuk mendapatkan undi pos tersebut dengan menggunakan alasan adanya Hospital Sultan Zainal Abidin, iaitu hospital tentera yang terletak di Seksyen 2 Wangsa Maju.

Johari pula turut mahukan undi pos untuk Titiwangsa dengan menggunakan hujah bahawa Pusat Latihan Polis atau Pulapol terletak di dalam kawasan Parlimen Titiwangsa.

Dengan adanya undi pos tersebut, kedua-dua mereka yang berharap dipilih sebagai calon di Wangsa Maju dan Titiwangsa, beranggapan sudah hampir pasti mampu menawan kedua-dua kerusi tersebut daripada pembangkang melalui strategi penyonglapan yang dilakukan dengan kerjasama SPR itu.

Meskipun Wangsa Maju dan Titiwangsa memperolehi jumlah undi pos yang agak besar yang dipindahkan daripada Setiawangsa, namun sebenarnya harapan UMNO tidak semudah "makan kacang" untuk menang di kedua-dua kawasan tersebut.

Di Wangsa Maju, selain perbalahan yang masih berterusan antara UMNO dan MCA, cabaran yang bakal dihadapi UMNO juga ialah kerana calon PKR akan datang merupakan calon "heavyweight" iaitu Dr Tan Kee Kwong, seorang tokoh masyarakat Cina yang amat dikenali ramai.

Tanpa memikirkan usaha untuk berbaik dengan MCA, meningkatkan lagi khidmat kepada rakyat, memperbaiki imej dan prestasi, menambahluas rakan dan wilayah sokongan, UMNO Wangsa Maju nampaknya lebih gemar kepada cara mudah untuk menawan semula kerusi itu iaitu dengan menyonglap 2,700 undi pos daripada kawasan Parlimen Setiawangsa untuk menampung kekalahan 150 undi pada 2008 lalu.

Begitu juga di Titiwangsa, cabaran UMNO turut tidak mudah. Meskipun Dr Lo Lo telah meninggal dunia, jika Johari Ghani menjadi calon BN dalam pilihanraya umum akan datang, calon PAS yang bakal menjadi lawannya turut merupakan calon "heavyweight" iaitu Setiausaha Agung PAS, Mustapha Ali.

Selain itu, terdapat juga rungutan daripada pengundi pos di Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Titiwangsa yang melahirkan kekecewaan bila mengetahui nama mereka dipindahkan sesuka hati semata-mata untuk memenuhi nafsu syahwat sesetengah pihak terhadap kuasa.

Dengan wujudnya pelbagai isu berkaitan pertahanan negara dan LTAT sejak kebelakangan ini, selain kematangan anggota tentera dan pasukan keselamatan serta juga pengaruh daripada semakin ramai bekas tentera dan polis yang menyertai PAS dan PKR, tindakan UMNO Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Titiwangsa bergantung kepada undi pos untuk mengecapi kemenangan mungkin tidak menghasilkan keputusan yamg diharapkan.

Sebaliknya tindakan bergantung kepada undi pos itu bukan saja dilihat "tidak jantan" tetapi juga menyebabkan UMNO semakin hilang keaslian perjuangannya yang selama ini berpaksikan khidmat kepada rakyat, turun padang, bersemuka, menambat hati dan menyelesaikan masalah pengundi. (SH 10/01/2013)


2 comments:

  1. kalau betul dakwaan ini dan berasas,SPR tolong jawab.orang seputih kalau nama telah dipindahkan ke parlimen pantai tolong hebohkan.biar SPR jawab

    ReplyDelete
  2. Anon 17:28,
    Undi pos memang 100% UMNO/BN punya, so masing-masing berebut. Nama-nama yg bukan undi pos yang dipindah selalunya yang empunya body takleh di"trace" pun oleh UMNO/BN setempat, jadi ia dipindahkan kerana SPR/UMNO cuma perlu "the numbers" sebab ballot paper yg dah dipangkah UMNO/BN akan dibuat sendiri oleh SPR/UMNO & planted semasa pengiraa atau tukar tong/peti undi semasa dibawa ke pusat mengundi. Yang SPR/UMNO takut adalah kiraan undi MELEBIHI JUMLAH SEBENAR yg ada dalam list (electoral roll). Sebab tu SPR berdegil TAKNAK BERSIHKAN daftar undi (electoral roll) sebab nak gunakan taktik ini.

    Cara ini adalah sangat berkesan pada tempat-tempat kritikal dimasa lampau dan ramai mereka (magician/ahli silap mata) ini sekarang berada disebelah PKR sekarang. Itulah diaorang tahu kaedahnya. Mereka dulu adalah operatif UMNO/BN.

    Sama juga dengan pemberian IC ni. Kerja ini pun bekas-bekas silap mata ni dok buat dulu. Sekarang diaorang rasa kepahitan bila dah menyeberang ke PKR. Bulan Disember lalu kawan saya sendiri terlibat mengumpul sebilangan besar warganegara asing dan bagi IC. Warga asing ni kena bayar duit (mobilizer ni yang sapu). Untuk kurangkan rasa bersalah, orang-orang macam kawan saya ni gi cari cuma orang-orang dari Acheh. Dan nak bagi sedap hati lagi sikit depa dok kata yang orang Acheh ni tak semestinya mengundi UMNO/BN tapi realitinya orang ketuurunan Melayu ni 99% jenis "TERHUTANG BODY SANGGUP MENGGADAI BODY (PRINSIP DSBNYA)".

    Inilah realiti di malaysia, negara yang aku sendiri tak sanggup nak terus hidup di Malaysia. Sebab itu aku duduk Thailand & aku pun tengah dok cari kerja kat negara luar lain selepas kontrek kerja aku ni tamat. Wallhua'alam.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...