Thursday 5 June 2014

Sedarlah Jais - Serbu Murtad Tidak Sama Dengan Serbu Khalwat


Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais mengundang kontroversi lagi. Jika dulu Jais menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia dan merampas 300 naskhah kitab Injil berbahasa Melayu kerana bimbangkan agama Kristian cuba disebarkan kepada masyarakat Melayu sehingga menimbulkan kemarahan penganut agama ini, kali ini jabatan itu berbalah berkaitan agama Hindu pula.

Kali ini serbuan di kuil dilakukan kerana percaya ada wanita Islam telah murtad melalui perkahwinan.

Ahad lalu, sekumpulan pegawai Jais dengan diiringi beberapa orang polis telah menyerbu sebuah kuil ketika berlangsungnya majlis perkahwinan seorang wanita, Zarina Abdul Majid dengan pasangannya lelaki yang beragama Hindu. Oleh kerana adanya aduan yang disampaikan kepada Jais, tentunya aduan itu dilakukan beberapa hari sebelum itu, pegawai jabatan itu telah menyerbu kuil tersebut ketika berlangsungnya majlis perkahwinan itu.

Sebagaimana yang yang dilaporkan oleh banyak media, dalam serbuan pada 10 pagi itu, selain mengumpul maklumat daripada pasangan yang hendak berkahwin itu, Zarina juga dibawa ke pejabat Jais di Shah Alam dan hanya dibebaskan pada jam 2.00 petang kemudiannya.

Sehubungan itu, Zarina yang mengaku hanya namanya Islam tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak lahir, berasa malu dan terganggu dengan serbuan Jais itu, tambahan pula ramai jemputan yang datang akhirnya memilih untuk segera pulang tanpa menjamah hidangan yang disediakan.

Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi detik meriah dan manis, akhirnya bertukar menjadi babak hitam dan memalukannya.

Dalam pengakuannya, Zarina berkata, namanya mirip seperti Islam kerana bapanya secara sepihak berbuat demikian sebelum menghilangkan diri tidak lama selepas itu. Ibunya pula tidak menyedari namanya mirip Islam kerana buta huruf. Beliau juga menegaskan sudah berusaha melalui pelbagai cara untuk menukar nama dan status agama pada kad pengenalannya tetapi tidak berhasil meskipun sudah membelanjakan lebih RM20 ribu bagi tujuan itu.

Ketika ini ramai pihak, daripada parti politik, NGO, pemimpin kerajaan, pembangkang malah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad turu meluahkan kekecewaan mengenai cara Jais bertindak itu. Jais seolah-olah tidak bijaksana dan tidak menghormati majlis perkahwinan agama lain yang sedang berlangsung.

Walaupun Jais cuba menafikan bahawa kedatangannya bukan merupakan serbuan tetapi hanya untuk mengumpul maklumat tetapi dengan membawa anggota polis dan kemudian membawa pula Zarina ke pejabat Jais untuk diambil keterangannya, apakah itu bukan serbuan namanya?

Apa yang menimbulkan persoalan ialah Jais tentunya menerima maklumat mengenai perkahwinan Zarina beberapa hari atau beberapa jam sebelum itu. Apakah tidak boleh siasatan dilakukan lebih awal atau dibiarkan saja majlis perkahwinan itu selesai dulu dan kemudian dipanggil pasangan itu ke pejabat untuk proses siasatan?

Kenapakah pegawai Jais tidak boleh berfikir bahawa kes murtad bukanlah seperti kes khalwat atau zina yang memerlukan tangkapan atau bukti ketika kejadian sedang belaku? Atau adakah kepala pegawai Jais hanya sarat dengan memikir berkaitan khalwat dan zina saja sehinga tangkapan kes murtad pun mahu dilakukan sepertinya?

Serbuan ke kuil ini bukan saja memalukan jabatan itu, malah umat Islam sendiri turut merasa malu dengan cara tindakan seperti itu. Jais seolah-olah tiada toleransi dan hanya tahu menghukum - tanpa memikirkan tindakan yang dilakukan itu benar, berlandaskan agama atau sebaliknya.

Jais nampaknya tidak belajar langsung daripada kesilapan mereka terhadap penganut agama Kristian dalam serbuan dan rampasan kitab Injil berbahasa Melayu dahulu. Selain tidak mengkaji bahawa kerajaan pimpinan Najib Razak telah membenarkan kemasukan kitab Injil berbahasa Melayu untuk edaran Sabah dan Sarawak asalkan ditulis di kulit luarnya "Untuk Kristian", rampasan itu juga menimbulkan kemusykilan kerana tiada tindakan lanjut yang diambil selepasnya.

Sekali lagi, ianya menimbulkan persoalan, apakah kebenaran yang mahu ditegakkan oleh Jais melalui serbuan itu? Atau serbuan itu sekadar suka-suka dan ingin menunjuk kuasa?

Kini, belum pun reda permusuhan yang dicetuskan dengan penganut Kristian, Jais cuba berbalah pula dengan penganut agama Hindu?

Kenapakah tidak diselidiki dan disiasat dengan mendalam terlebih dahulu sebelum melakukan serbuan yang melibatkan penganut agama lain? Janganlah terlampau ghairah mahu melakukan tangkapan dan serbuan tanpa memikirkan kesannya kepada Islam secara keseluruhannya.

Selain perlu melakukan siasatan secara mendalam dan bertindak pula secara berhemah, jangan main serbu saja atau menganggap semua kesalahan melibatkan agama adalah sama seperti kesalahan zina dan khalwat yang pesalahnya perlu ditangkap ketika berdua-duan dan tanpa pakaian, Jais juga perlu lebih fokus kepada aspek lain yang melibatkan umat Islam sendiri.

Di Selangor ini, jika Jais ingin menguatkuasakan undang-undang dan menambah pahala, cegahlah kemungkaran yang lebih besar seperti menahan umat Islam yang banyak meminum arak di kelab, pub dan pelbagai pusat hiburan yang bertaburan di negeri itu. Cegahlah juga pergaulan bebas antara muda-mudi lelaki dan wanita yang begitu menjolok mata terutama pada malam hujung minggu.

Selain pusat hiburan, pusat refleksiologi yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan sekarang ini juga perlu diberi perhatian oleh Jais kerana sebahagiannya adalah terselindung aktiviti pelacuran yang merosakkan ramai umat Islam sendiri.

Umat Islam yang tidak berpuasa, tidak sembahyang Jumaat dan pelbagai kelalaian lain lebih perlu diberi perhatian oleh Jais. Begitu juga dengan pasangan yang bermasalah dalam perkahwinan, perceraian, mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan seribu satu masalah lainnya.

Dalam masa yang sama, Jais juga janganlah hanya melihat aspek tangkapan dan penguatkuasaan saja. Lakukan juga sesuatu yang lebih berkesan untuk menarik golongan muda lebih mendekati surau dan masjid serta mencintai agama dalam kehidupan dan aktiviti seharian mereka.

Pendeknya, daripada melakukan serbuan yang menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam masyarakat pelbagai agama, lebih banyak kerja lain yang sepatutnya lebih dahulu dan diutamakan oleh Jais. Dalam kes Zarina yang berkahwin di kuil Hindu, Jais sepatutnya tahu wanita itu tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak lahirnya lagi dan jika menemuinya lebih awal sebelum majlis perkahwinannya dan membantu pula penyelesaian masalahnya yang berlarutan sudah sekian lama, jabatan itu tentunya lebih dipandang tinggi oleh semua agama.

Atau jika Jais menunggu sehingga majlis perkahwinan itu selesai untuk melakukan siasatan dan jika didapati Zarina memang tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan mempunyai keinginan pula menganut agama lain, bantuan yang dilakukan Jais tentulah juga ianya amat dihargai kerana telah menunjukkan sikap toleransi Islam yang tinggi.

Malangnya, semua pilihan yang lebih baik itu tidak dilakukan oleh Jais.

Dalam hal ini, benarlah kata Mahathir kepada Jais, "kembalilah kepada ajaran Al Quran yang sebenar". (SH 05/06/2014)

9 comments:

  1. JAIS buat kerja membuta tuli sejak dari zaman Khusrin lagi

    - ahli Gabungan Mamak Penang (GAMPANG)

    ReplyDelete
  2. JAIS bertindak matlamatnya bukan hendak menjaga akidah tetapi hendak memalukan kerajaan negeri.Sifat tidak ikhlas jni dilakukan kononnya sebagai mewakili baginda Sultan. Baginda Sultan dijadikan alasan membelakangkan Kerajaan Negeri. JAIS patut sedar jabatan nya walaupun berketuakan PTD tetapi dibawah dan digajikan oleh Kerajaan megeri. Cubalah belajar hormat sedikit bukan kah awak tu Jabatan Islam.

    ReplyDelete
  3. Tindakan jais tepat. masalah berpunca dari jbtn pendaftaran lg. urusan pertukaran ic perlu terlebih dahulu sebelum berkahwin.

    ReplyDelete
  4. Sah....anon 1133 ni kerja dengan JAIS.

    ReplyDelete
  5. ini la buktinya tdk ada kebebasan beragama dlm islam..upacara pengebumian diganggu,upacara perkahwinan pun diganggu...

    ReplyDelete
  6. stiap org ada hak masing2 utk memilih agama yg dianuti...tdk perlu paksa2..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...