Wednesday 25 June 2014

Susunan Kabinet Membuktikan Najib Pemimpin Hebat Lagi Luar Biasa!!


Barangkali disebabkan kecaman dan serangan awal terhadap rombakan kabinet terutama yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya spekulasi juga tersebar mengatakan ia akan dijadikan landasan untuk menaikkan pangkat sepupunya, Hishammuddin Hussein, telah menyebabkan Perdana Menteri, Najib Razak tidak melakukan apa yang dinamakan rombakan dalam kabinetnya kali ini, sebaliknya hanya melakukan penambahan anggota saja.

Anggota yang ditambah pula hanyalah melibatkan kemasukan pemimpin MCA dan Gerakan saja. Presiden MCA, Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan, Mah Siew Keong, masing-masing dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga Naib Presiden MCA, Lee Chee Leong, Chua Tee Yong dan Chew Mei Fun pula dilantik sebagai timbalan menteri di MITI, Kewangan serta Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Penambahan dua lagi anggota kabinet kali ini bukan saja menjadikan barisan kabinet Najib menjadi yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan mungkin juga terbesar dalam dunia iaitu seramai 35 orang. Bagi Malaysia yang baru mencapai jumlah penduduk 30 juta orang, Najib dianggap cemerlang kerana memberi pekerjaan dan ganjaran kepada 35 orang sebagai menteri dan 28 orang lagi sebagai timbalan menteri.

Dalam sususan kabinet kali ini, tambah cemerlang lagi ialah dengan perlantikan Wee Ka Siong dan Mah Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bermakna jumlahnya meningkat kepada 10 orang. Lapan menteri sedia ada di JPM ialah Jamil Khir Baharon, Wahid Omar, Shahidan Kassim, Idris Jala, Joseph Kurup, Nancy Shukri, Joseph Entulu dan Paul Low.

Jika dikira dengan Najib sebagai ketua dan Muhyiddin sebagai orang nombor dua di JPM, jumlahnya meningkat lagi kepada 12 orang, suatu angka yang menakjubkan pencapaiannya bagi negara seperti Malaysia.

Mempunyai menteri di JPM seramai 10 orang tidak pernah berlaku sebelum ini, baik di era Mahathir mahupun Pak Lah. Inilah hebat dan luar biasanya Najib.

Ramai yang berkata, jumlah itu terlalu besar dan lebih merupakan pembaziran. Berapa wang rakyat bakal dihabiskan untuk membayar gaji dan elaun mereka saja sedangkan dengan jumlah menteri yang ramai itu, tentulah skop kerja dan bidang tugas menjadi semakin sedikit.

Sekali lagi, inilah hebatnya Najib.

Sebelum beliau memperolehi banyak wang melalui cukai GST yang akan dikuatkuasakan pada April tahun depan, beliau sudah pun mempunyai perancangan ke mana wang itu mahu dibelanjakan. Inilah pemimpin yang memandang ke hadapan dengan gaya pemikiran di luar kotak.

Bagi Najib, jika beliau boleh membazirkan wang dengan penggunaan jet yang berjuta-juta, bil air lebih sejuta, bil air hampir RM300 ribu, jamuan mewah yang mahal, percutian dan segala-galanya yang mahal dan super mewah selama ini, apalah sangat dengan penggunaan wang rakyat untuk memiliki 35 menteri dan 10 menteri di JPM saja.

Semua itu masih dikira relatif kecil dalam pertimbangan Najib sebagai anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri, lagi pula majoriti pemimpin UMNO dan orang-orang Melayu di kampung masih lagi memberikan sokongan padu kepadanya.

Sebagai bangsawan juga dan hidup mewah sejak lahir, memanglah menjadi lambang kehebatan bila mempunyai jemaah menteri dan pekerja yang ramai bilangannya.

Jadi, apalah salahnya bermewah dan menunjuk hebat sikit-sikit.

Lagi pula, dengan memiliki kabinet yang besar dan menteri di JPM yang paling ramai dalam sejarah Malaysia, bukankah Najib sudah banyak kali menjanjikan kejayaan, kemakmuran dan pendapatan yang tinggi untuk rakyat Malaysia? Untuk mencapai semua impian itu, ia mestilah dimulakan dengan tenaga kerja dan pasukan yang ramai.

Sebab itu, tidak hairanlah Najib bukan saja mempunyai anggota kabinet yang besar dan menteri di JPM paling ramai untuk memberi nasihat dan menyumbang idea kepadanya, malah pasukan penasihat, perunding media, pegawai dan bermacam jenis setiauasa yang berada di sekelilingnya juga adalah paling ramai dalam sejarah Malaysia.

Meskipun selama ini Najib dikira sebagai Perdana Menteri paling lemah, lambat bertindak dan perlahan dalam memberi respon mengenai berbagai isu yang berlaku, semua itu hanyalah sementara saja. Impiannya menjadi pemimpin yang luar biasa, hebat, cemerlang dan mungkin lima kali lebih hebat daripada Mahathir, lebih mudah menjadi kenyataan dengan bantuan jumlah menteri yang besar dan orang kelilingnya yang ramai.

Rakyat Malaysia perlu faham tentang ini.

Tetapi semua itu mesti memerlukan belanja terlebih dahulu. Sebab itu cukai GST dilaksanakan dan wang cukai itu sebahagiannya adalah untuk menampung kos gaji dan elaun para menteri, penasihat, perunding, pegawai dan setiausahanya. Pedulikanlah sama ada penyertaan MCA dan Gerakan dapat menarik sokongan pengundi Cina atau sebaliknya, yang lebih penting lagi ialah memunculkan dirinya menjadi pemimpin luar biasa bagi Malaysia.

Hanya pemimpin luar biasa, walaupun di ketika hutang bertambah, ekonomi perlahan, politik serabut dan pembaziran menjadi isu, tetapi Najib dengan berani membazirkan lagi wang rakyat untuk merekodkan dirinya dalam catatan sejarah kerana mempunyai jumlah anggota kabinet paling besar dan menteri di JPM paling ramai.

Yang menyokong Najib, teruskanlah menyokong. (SH 25/06/2014)

5 comments:

  1. Ini baru Menteri 35org dan Tim.menteri 28org. Belum lagi dikira penasihat2 PM, bekas2 menteri2 putus darah tak berguna cam Shahrizat. Makin ramai menteri, tim.menteri, penasihat2 PM, Msia makin parah dan rakyat makin menderita. Semenjak Najib jadi PM, masaalah negara bukan makin berkurang tapi makan bertambah dan parah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa kisah pak cik mak cik dikampong dan pencacai tetap sokong. Macamlah dia dpt wang segunung. Macam dia di kecualikan GST. Kikiki

      Delete
  2. kabinet msia lebih besar dari Kabinet India...penduduk 1.26billion berbanding 30 juta kat sini..... puik.....

    ReplyDelete
  3. Terbaik .....Alang2 peluk pekasam,biar sampai lengan..

    ReplyDelete
  4. MENTERI manyak2 baru syok ma!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...