Sunday 15 June 2014

Siapakah Yang Berkuasa Di Negara Ini?


Dua isu yang sedang meresahkan masyarakat sekarang, malah menjarakkan perpaduan dan hubungan antara Islam dengan bukan Islam ialah rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais yang telah diputuskan oleh Peguam Negara sebagai tiada kes dan isu berkaitan penjagaan anak oleh ibu bapa yang berlainan agama.

Dalam kes rampasan Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah oleh Jais tidak berapa lama dulu, Peguam Negara telah memutuskan tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan dan kitab itu diarah dipulangkan kepada pemiliknya, Persatuan Bible Malaysia.

Masalah yang timbul ialah apabila Jais dan Mais atau Majlis Agama Islam Selangor, enggan mematuhi arahan Peguam Negara itu dengan alasan tindakan merampas dulu adalah sesuatu yang betul dan mengikut peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam), meskipun Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mahukan ketetapan Peguam Negara itu dipatuhi.

Dalam perkembangan terbaru, Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid turut bertegas bahawa kitab Bible itu tidak akan dipulangkan kerana ia mengandungi bukti yang mengandungi kalimah Allah didalamnya.

Dalam masa yang sama, Peguam Negara, Gani Patail sekali lagi bertegas bahawa tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan terhadap Persatuan Bible Malaysia berkaitan rampasan Bible itu, malah menyatakan tiada huraian lanjut akan diberikan berkenaan dengannya selepas ini.

Dalam erti kata lain, kes ini sudah ditutup dan tiada kes akan dibawa ke mana-man mahkamah.

Jika Peguam Negara enggan melakukan pendakwaan, apakah pula mustahaknya Jais dan Mais mahu menyimpan kitab Bible itu? Lebih tidak logik juga apakah perlunya bukti kalimah Allah yang terkandung dalam Bible itu mahu disimpan lagi kalau Gani Patail tetap tidak mahu mengubah pendiriannya?

Sementara isu ini terus berlarutan dan berbalas kenyataan juga makin panas, hakikat yang nyata ialah perkara ini semakin merenggangkan hubungan antara Islam dengan Kristian di negara. Perasaan syak wasangka dan curiga mencurigai tentunya makin tebal akibat perkara ini.

Timbulnya isu ini tidak lain ialah berpunca daripada perjanjian 10 perkara yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Najib Razak dengan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak sebelum pilihanraya lalu yang antara lainnya membenarkan Bible bahasa Melayu serta penggunaan kalimah Allah di kedua-dua negeri itu.

Akibat daripada persetujuan yang bermotifkan memenangi hati pengundi Sabah dan Sarawak itu, maka timbullah isu kalimah Allah di kalangan penganut agama Kristian menjadi perdebatan dan difahamkan juga kitab Bible yang dirampas itu pun adalah untuk tujuan edaran di kedua-dua negeri itu.

Malangnya, apabila isu Bible ini berlarutan sehingga kini, di mana suara Najib?

Isu kedua yang turut meresahkan masyarakat sekarang ialah berkaitan hak penjagaan anak yang melibatkan pasangan berlainan agama yang sudah berpisah. Dalam sekurang-kurangnya dua kes yang sudah berlarutan sehingga kini, Mahkamah Syariah membuat keputusan yang memihak kepada bapa yang beragama Islam manakala Mahkamah Sivil pula membuat ketetapan memihak kepada ibunya yang bukan beragama Islam.

Pihak polis pula, demi kepentingan menjaga akidah kanak-kanak tersebut bersikap enggan mematuhi ketetapan mahkamah itu, sebaliknya cuba mencari jalan tengah dengan mencadangkan kanak-kanak yang terlibat diletakkan di sebuah pusat perlindungan yang boleh dilawati oleh kedua-dua ibu dan bapanya pada bila-bila masa.

Pendirian Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar itu menyebabkan banyak NGO dan peguam bukan Islam melahirkan rasa marah terhadapnya kerana enggan mematuhi keputusan mahkamah itu, malah banyak laporan polis juga sudah dibuat terhadapnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri juga mengambil jalan tengah dengan mencadangkan agar kes perebutan anak seumpama ini biarlah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang menurutnya lebih bijaksana membuat keputusan.

Kenyataan Najib ini tidak lain memperlihatkan beliau cuba lepas tangan daripada membuat pendirian yang memihak dan seterusnya meletakkan beban itu kepada hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan pula membuat keputusan, di sebalik kedua-dua belah pihak mempertikaikan pendirian "main selamatnya" itu.

Namun demikian, jika dilihat dalam keputusan yang sudah dibuat oleh mahkamah sebelum ini, baik mahkamah sivil mahu pun mahkamah syariah, tiada pihak yang membuat rayuan. Jadi, bagaimana mahu kes itu di bawa ke mahkamah yang lebih tinggi lagi?

Sekali lagi menunjukkan Najib seorang pemimpin yang tidak tahu apa-apa sebelum membuat kenyataan.

Dalam kedua-dua kes, iaitu isu rampasan Bible dan hak penjagaan anak ini, apa yang pasti ia akan terus menjadi polemik yang berterusan dan merenggangkan hubungan sesama kita dalam sebuah negara yang seharusnya kita hidup aman, harmoni dan tanpa gangguan biar apa pun agama dan kepercayaan yang dianuti.

Kenapa semua ini berlaku? Kenapa ketetapan Peguam Negara tidak dipatuhi oleh Jais dan Mais dan kenapa keputusan mahkamah tidak dipedulikan oleh pihak polis?

Pokok daripada semua persoalan ini ialah kerana pimpinan negara tidak lagi dihormati kerana tidak ada ketegasan dalam banyak perkara sebelum ini. Pimpinan politik seolah-olah sudah hilang kuasa dan menjadikan banyak pihak lain cuba menunjuk kuasa.

Oleh kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang takut untuk membuat keputusan dan tidak tegas, beliau seolah-olah tidak berkuasa lagi di negara ini. Sesiapa saja boleh menunjuk kuasa dan negara ini seolah-olah berjalan secara sendirinya tanpa seorang peneraju berwibawa yang boleh diharapkan oleh semua rakyat.

Dalam isu seperti ini, Perdana Menteri bukan saja tidak boleh berdiam diri atau menyimpan suaranya dan kalau bersuara pula cuba meletakkan beban kepada pihak lain untuk menyelesaikannya, malah ketika inilah seorang Perdana Menteri seharusnya tampil menunjukkan ketegasan dah kewibawaannya. Seorang Perdana Menteri mestilah menunjukkan dirinya sebagai seorang tegas, mematuhi undang-undang dan penyelesai masalah.

Di ketika isu ini sedang panas, Najib bukan saja berdiam diri dan menuding kepada pihak lain memberi penyelesaian, bahkan lebih ghairah memberi respon kepada isu lain yang tidak penting seperti membalas gurauan KJ mengenai MC dan bolasepak.

Jika Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri atau jika isu ini berlaku di era pentadbirannya, pastilah kedua-dua isu ini tidak berlarutan sehingga begini kalut seperti sekarang ini. (SH 15/06/2014)

1 comment:

  1. Jika JAIS masuk dalam bank HSBC atau Citibank tahan dan bawa semua pegawai bank yang beragama Islam kerana buat kerja yang bertentang dengan agama Islam esok hari, bagaimana?
    Adakah polis nak iringi dan bantu JAIS dalam tangkapan orang Islam dan rampas semua wang dan computer sebagai "bukti" perbuatan haram? Macamana? IGP akan bantu JAIS?
    Helo, tak lama lagi abang oi, tak lama lagi...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...