Friday 22 November 2013

Antara Isteri Tengku Adnan Dan Isteri Najib


Isu kenaikan cukai pintu yang dicadangkan oleh DBKL baru-baru ini telah menimbulkan keresahan kepada warga kota. Ramai yang terperanjat apabila menerima bil cukai pintu masing-masing. Kenaikan antara 100 peratus hinga 300 peratus yang dicadangkan itu dianggap terlalu tinggi dan membebankan. Setelah dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, kenaikan cukai pintu ini tentunya menambahkan lagi kadar darah tinggi sebahagian besar penduduk Kuala Lumpur.

Sebab itu, bantahan mengenainya kedengaran di mana-mana. Tidak ada yang bersetuju dengan kenaikan yang terlalu tinggi itu. Tidak saja Ahli-Ahli Parlimen PR yang menyuarakan bantahan dan meminta DBKL mengkaji semula kenaikan itu, dua Ahli Parlimen BN di Wilayah Persekutuan iaitu Ahmad Fauzi Zahari dari Setiawangsa dan Johari Abdul Ghani dari Titiwangsa turut juga bersuara.

Bagi Ahmad Fauzi, kenaikan itu tidak sesuai dengan keadaan kehidupan rakyat yang semakin terbeban dengan pelbagai kesan kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan sendiri seperti penghapusan subsidi gula, kenaikan harga minyak dan sebagainya manakala Johari pula melihat kenaikan cukai pintu yang terlalu tinggi menyebabkan pemberian BR1M langsung tidak memberi makna kepada rakyat.

Sama seperti Ahli-Ahli Parlimen PR, kedua-dua Ahli Parlimen BN itu juga mahu DBKL mengkaji semula kenaikan yang dicadangkan itu dan lebih bertimbangrasa dengan rakyat. Bantahan yang diterima daripada penduduk Kuala Lumpur berhubung kenaikan cukai itu pula berjumlah 2,500 sehingga semalam.

Bagi Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor pula, pada peringkat awalnya beliau agak berkeras dengan kewajaran kenaikan cukai pintu yang dicadangkan oldeh DBKL itu dengan alasan hartanah di Kuala Lumpur sudah meningkat nilainya, selain hujah bahawa semakan kenaikan tidak dilakukan sejak 21 tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan semalam, nada Tengku Adnan sedikit berbeza. Tidak lagi terlihat nadanya yang keras, wajahnya juga manis dengan senyuman dan beliau memberi jaminan kenaikan cukai pintu yang bakal diumumkan oleh DBKL nanti tidak akan membebankan rakyat.

Rupa-rupanya antara 2,500 yang membuat bantahan itu termasuk isterinya sendiri. Tengku Adnan sendiri memberitahu bahawa isterinya turut tidak setuju dengan kadar kenaikan yang dicadangkan itu, lalu beliau mencadangkan agar isterinya mengemukakan bantahan kepada DBKL.

Walaupun Tengku Adnan dikenali sebagai hartawan yang berjaya dan wang bukanlah masalah untuk membeli apa saja, jiwa rakyat dan memahami masalah rakyat yang dimiliki oleh isterinya itu adalah sesuatu yang disanjung. Jiwa, naluri dan keprihatinannya terhadap susahnya kehidupan rakyat dan keinsafan bahawa bukan semua rakyat memiliki poket yang sentiasa kembung, membuatkan beliau bukan saja bersama-sama dengan semua Ahli Parlimen di WP yang tidak bersetuju dengan kenaikan itu itu, bahkan meletakkan dirinya berbeza pendapat dengan suaminya sendiri.

Walaupun tidak semua penduduk Kuala Lumpur bersetuju dengan cara, stail dan gaya politik Tengku Adnan selama ini, tetapi pasti semua warga bandaraya ini bersetuju dengan isterinya yang turut mengemukakan bantahan dan menunjukkan keprihatinannya dalam isu kenaikan cukai pintu ini.

Beberapa hari sebelum ini pula, kontroversi yang ditimbulkan oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor berhubung lawatannhya ke Qatar dengan menggunakan jet eksekutif dan perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan, telah menimbulkan kecaman pelbagai pihak. Tidak saja Najib dan kabinet yang dipersalahkan dalam hal ini, tetapi keghairahan Rosmah yang ingin dilihat istimewa dan terpisah daripada kehidupan rakyat biasa dengan tidak mahu menaiki pesawat komersial, turut juga menjadi kecaman.

Rosmah pula, di sebalik menyedari pelbagai kecaman terhadapnya dalam isu ini, bahkan di Parlimen pula berhari-hari perkara ini dibangkitkan, menyatakan bahawa beliau langsung tidak terganggu dengan segala kecaman dan dan serangan yang dilemparkan terhadapnya itu.

Apabila ditanya pemberita pula, Rosmah hanya menjawab ringkas, "Saya tidak mahu bercakap tentang hal ini, saya tiada komen mengenainya dan saya tidak akan merendahkan diri saya seperti mereka."

Jawapan Rosmah yang mahu dirinya lebih dikenali sebagai First Lady berbanding isteri Perdana Menteri ini memperlihatkan bahawa beliau mahu dirinya dilihat dalam kelasnya yang tersendiri, terpisah daripada rakyat biasa dan sentiasa "berada dalam cermin kaca".

Berbeza dengan isteri Tengku Adnan yang bukan saja prihatin kepada rakyat tetapi juga sanggup bersama-sama mengemukakan bantahan dalam perkara yang membebankan kehidupan mereka, isteri Najib sebaliknya mengambil sikap tidak peduli dengan segala serangan dan kecaman rakyat terhadapnya, walaupun cukai rakyatlah yang menanggung kemewahan dan keistimewaannya itu.

Di dalam kehidupan biasa, Najib dan Tengku Adnan memang diketahui bersahabat baik sejak lama dahulu, manakala di dalam UMNO dan kerajaan pula, Setiausaha Agung UMNO itu dikenali sebagai penyokong dan pendokong setia Najib. Tetapi, jiwa dan naluri isteri mereka nampaknya berbeza sama-sekali.

Alangkah baiknya, jika Tengku Adnan dapat meminjamkan jiwa murni isterinya itu kepada isteri Perdana Menteri pula. (SH 22/11/2013)

4 comments:

  1. Jasad dan jiwa melayu boleh dibeli dengan BRIM 500 inggit dan pelbagai jenis candy-candy pemanis mulut.Tersengeh ditipu 1200 inggit akhirnya dapat 650 inggit sahaja.

    ReplyDelete
  2. Persamaan diantara mereka, kedua-duanya didominasi oleh isteri!

    ReplyDelete
  3. semua adalah sandiwara dari macam2 pelakon isteri atau suami UMNO....cakap tak serupa bikin...Harap Pegar jaga padi.....Umno harap Rakyat Ubah Cara Hidup jaga hidup mewah Sultan UMNO....Ayuh!!

    ReplyDelete
  4. Rosmah dey, kedudukan kau bukannya tinggi pun sampai kena rendahkan diri. Lagipon kau mmg katik. Tunggulah masa kejatuhan Najib disebabkan keangkuhan bininya yg tak sedar diri menumpang tuah laki.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...