Monday, 5 November 2012

Isu Nazri Aziz: Najib Perlu Bertindak Sebelum Mahathir Bersuara


Isu yang melibatkan Nazri Aziz, menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Parlimen dan SPRM dengan usahawan balak Michael Chia, terus memanaskan suhu politik negara dengan pelbagai pendedahan baru hari demi hari.

Isu ini bermulanya dengan jawapan Nazri di Parlimen berkaitan Michael yang pernah ditahan di Hong Kong kerana membawa wang tunai RM40 juta yang didakwa untuk diberikan kepada Musa Aman, Ketua Menteri Sabah. Jawapan Nazri di Parlimen yang menyebut Michael tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan kerana wang itu sebenarnya adalah untuk diberikan kepada UMNO Sabah, bukannya Musa Aman secara peribadi, akhirnya mengundang petaka yang tidak berkesudahan.

Jawapan Nazri itu, dan kemudian diikuti dengan kenyataan Najib pula bahawa tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti politik menerima sumbangan, walaupun dilihat cuba membersihkan Musa Aman dan Michael Chia namun kekotoronnya berpindah pula kepada Nazri kemudiannya.

Sebelum itu Suaram diserang dengan dakwaan menerima wang daripada Soros tetapi dengan pengesahan Najib bahawa parti politik dibolehkan menerima wang sumbangan, bahkan UMNO Sabah sudah pun menerima RM40 juta, ludahan UMNO ternyata memercik ke muka sendiri.

Kekotoran yang cuba dibersihkan daripada Michael Chia dan Musa Aman mulai berpindah kepada Nazri berikutan pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin bahawa Nazri didakwa telah menerima sejumlah wang daripada Michael Chia dan pemberian seebuah kereta mewah untuk kegunaan keluarganya.

Walaupun Nazri kemudiannya menafikan dakwaan Raja Petra itu tetapi ia kembali panas apabila Rafizi kemudiannya mendedahkan maklumat bergambar berkaitan sebuah kereta mewah jenis Hummer yang didakwa kepunyaan Michael Chia tetapi digunakan oleh anak lelaki Nazri, Mohd Nedim.

Nazri kemudiannya tidak menafikan perkara itu tetapi menyifatkan ianya urusan antara anaknya dengan Micahel Chia dan perlu ditanya kepada anaknya. Dalam masa yang sama Nazri juga mengakui Michael Chia adalah kenalan rapatnya.

Dengan langkah terbaru Rafizi melaporkan kepada SPRM kaitan hubungan Nazri dan anaknya dengan Michael Chia serta isu wang RM40 juta sebelum ini, Nazri kini menjadi sasaran panas lampu sorot pembangkang menjelang pilihanraya umum akan datang ini.

Soal sama ada Nazri bersalah atau tidak bukanlah menjadi isu penting tetapi intergriti kerajaan dan pemimpin UMNO sekali lagi diragui umum. Selepas Shahrizat yang dikaitkan dengan isu lembu NFC, isu melibatkan Nazri ini sekali lagi menghenyak reputasi UMNO sekaligus menguji wibawa Najib selaku Perdana Menteri.

Jika dalam isu Shahrizat, kelambatan Najib bertindak dan membiarkan pendedahan demi pendedahan dibuat melalui media sehingga hampir menjahanamkan nama baik UMNO dan Najib sendiri, isu Nazri ini juga jika dibiarkan pasti memberi kesan buruk yang serupa.

Dalam suasana pilihanraya hampir tiba dan persepsi harus dikawal, meletusnya isu Nazri ini tidak lebih bakal menjadi beban baru kepada UMNO dan Najib jika dibiarkan menjadi perbicaraan di media.

Nazri, seorang peguam dan memang diakui petah berhujah. Logik bicara dalam setiap perkara sentiasa ada. Tetapi dengan pelbagai pendedahan yang dibuat terhadap diri dan anak lelakinya, persepsi umum terhadap beliau sudah sukar diperbaiki. Jika dibiarkan ia pastinya melarat dan memburukkan sama nama UMNO serta Najib.

Walaupun Nazri cuba bersilat dan berhujah, persepsi umum ialah tidak mungkin Michael Chia memberikan kereta mewah itu kepada Mohd Nedim jika dia bukan anak Nazri.

Jika dalam isu Shahrizat, Nazri pernah meminta Shahrizat memulangkan kembali wang RM250 juta yang menjadi isu itu, kini giliran Nazri pula membuktikan keikhlasannya sebagai pemimpin.

Beliau perlu melakukan sesuatu untuk membersihkan namanya, nama UMNO dan nama kerajaan. Mungkin beliau perlu mengambil cuti bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap diri dan keluarganya. Dan dengan Rafizi akan berlepas ke Hong Kong minggu depan untuk bersemuka dengan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang penahanan Michael Chia, adalah dijangka lebih banyak maklumat baru akan terdedah.

Dan isu yang melibatkan Nazri ini tentunya akan terus memeningkan kepada bossnya sendiri, Najib Razak. Dengan pelbagai isu sedia ada sudah cukup memeningkan Najib, isu Nazri ini tentu menyebabkannya migrain pula.

Jika Nazri tidak mahu berkorban atau mengambil cuti, Najib pastinya akan didesak untuk mengambil sesuatu tindakan pula. Wibawa Najib sekali lagi akan diuji. Pengajaran daripada isu lembu NFC yang melibatkan Shahrizat akan dijadikan asas serta hujah untuk memaksa Najib bertindak lebih pantas sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Dalam masa yang sama, umum juga tentunya menunggu komen Tun Mahathir mengenai isu Nazri ini. Sejak Mahathir bersara pada 2003, Nazri sudah menjadi musuh tidak rasmi kepada Mahathir terutama dalam kritikannya kepada Pak Lah dulu. Sebagaimana dalam isu AP yang melibatkan Rafidah Aziz dan NFC yang melibatkan Shahrizat, pandangan Mahathir dalam isu Nazri sudah boleh dijangka arah tujunya.

Dalam hal ini Najib perlu menangani isu Nazri ini sebelum Mahathir bersuara. Jika selepas Mahathir bersuara, yang sudah boleh diagak tidak akan menyebelahi Nazri, kesannya tentu terkena kepada Najib juga.

Najib sekali lagi akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah, tidak tegas dan kurang berwibawa.

Meletusnya isu Nazri Aziz ini tidak lain menunjukkan kepada umum satu lagi bukti bahawa pemimpin UMNO tidak mungkin akan berubah walaupun laungan perubahan itu diucapkan saban hari. Persepsi rakyat berikutan meletusnya isu ini hanya menambahburukkan lagi wajah UMNO dan para pemimpinnya. Harapan UMNO untuk mempertahankan kuasa dengan pemimpin yang sedia ada, tampak menjadi semakin sukar.

Sementara harapan untuk menang dengan bergaya semakin pudar berikutan pelbagai isu dan kemelut yang muncul silih berganti, tetapi wibawa dan keberanian Najib dalam menangani isu Nazri ini tetap dituntut kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan kekalahan yang lebih parah bakal diterima. ( SH 05/11/2012)


5 comments:

  1. Ulasan yang menarik..

    Tadi pagi sarapan di Najib Corner di Brickfield. Saya makan roti canai Rosmah dan supir saya makan roti Najib...

    Nak tau apa beza roti rosmah ngan roti najib, singgah ler di Najib Corner di Brickfield..

    Average Pai.. ;)

    ReplyDelete
  2. Tak perlulah kot. Mereka semua sama saja!

    ReplyDelete
  3. Sejauh mana petah berhujah Nazri akan bertahan..dengan riak muka yang bersahaja serta dicampurgaul dengan sifat keangkuhannya. .kita menanti dengan penuh sabar bila lah manusia jenis ini tersungkur dengan sehina-hinanya. .Tingkahlakunya sungguh keterlaluan seperti mencabar Kuasa Illahi. .tunggulah balasan perbuatan yang sering mempermainkan kepercayaan org UMNO pada beliau selama ini dan keangkuhannya betul-betul membuatkan orang UMNO begitu TERTIPU..

    ReplyDelete
  4. Kita tgh sibok menguruskan persiapan PRU13..sudah susut cerita lembu kini muncul pulak cerita hummer CSI
    .sial betul diorang di atas ni. .tak abis2 menyusahkan kita dibawah ni..penyokong tegar pembangkang terus menyerang kita. .yg atas pagar mulai condong ke pembangkang. .yg putih tak tahulah takut2 jadi sumpah2..
    Peringkat bahagian sedang menyusun strategi untuk memastikan yg PUTIH terus PUTIH. .yg pak menteri pulak sibok banci kekayaan sesama mereka. .SIAL!!


    .

    ReplyDelete
  5. Kita diaorang suruh pegi banci sikap. .pak menteri banci berapa banyak kete mereka. .ada juga dok banci pompuan anugerah skrin..ada jugak banci kekayaan sesama mereka..kita ni banci org dapat apa?. .dapatlah sikit..kononnya perjuangan parti dan bangsa. .poorahh.



    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...