Tuesday 3 March 2015

Siapakah Kambing Yang Bakal Dicat Hitam Dalam Isu 1MDB?


Pendedahan demi pendedahan mengenai syarikat pelaburan 1MDB yang kini sudah menjadi tajuk berita antarabangsa semakin menunjukkan kemungkinan ianya bertukar menjadi skandal kewangan terbesar dalam era Najib Razak.

Bermula dengan hutangnya yang tinggi, pelaburan yang diragui dan simpanan di Pulau Cayman yang tidak pasti, 1MDB kini memasuki episod pendedahan bagaimana wangnya didakwa dilarikan untuk kepentingan peribadi.

Selain itu, bagaimana hutang 1MDB  berjumlah RM2 bilion daripada dua bank tempatan dikatakan turut dibayar oleh  bilionaire terkemuka, Ananda Krishnan dan cubaan pinjaman tambahan RM3 bilion daripada kerajaan juga ditolak kabinet kerana ramai menteri tidak menyetujuinya, menambah-parahkan lagi imej dan persepsi awam terhadap syarikat anak emas Perdana Menteri itu.

Secara langsung ia mengesahkan bahawa kecaman bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mengenai syarikat itu ada benarnya. Ramai juga ketika ini yang bersetuju dengan Mahathir bahawa "tiada 1MDB pun tak apa".

Walaupun dalam banyak urusniaga, pelaburan dan kecurangan yang menjadi isu dalam 1MDB, nama Jho Low sering dikaitkan, tetapi kaitannya dengan Najib tentu saja sukar dielakkan kerana ahli perniagaan playboy yang mengamalkan gaya kehidupan rambu-ramba di Hollywood itu juga mempunyai hubungan rapat dengan Riza Aziz, anak lelaki Rosmah Mansor.

Selain Jho Low dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan isteri Perdana Menteri melalui Riza, Najib sendiri dilaporkan beberapa kali bertemu dengannya di luar negara, termasuk ketika bercuti di Eropah tahun lalu.

Dengan pendedahan terbaru yang semakin menyentap hati rakyat berkaitan dakwaan RM2.5 bilion wang 1MDB cuba dilarikan oleh Jho Low dalam urusniaga dengan PetroSaudi beserta pelbagai bukti komunikasi yang disertakan,  tuntutan agar kebenaran diperjelaskan kepada umum, termasuk penubuhan Suruhanjaya Diraja semakin kuat bergema sekarang ini.

Tetapi apa yang menariknya ialah Pejabat Perdana Menteri atau PMO dengan pantas telah mengeluarkan kenyataan bahawa Najib tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian syarikat itu, sebaliknya ia diuruskan oleh satu kumpulan profesional dan berpengalaman.

Juga disebut bahawa kedudukan Perdana Menteri hanyalah sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB saja.

Ternampak bahawa penjelasan itu untuk mengelakkan Najib daripada dikaitkan dengan apa-apa masalah yang berlaku dalam 1MDB sekarang.

Memahami bahawa kecurigaan dan kecurangan dalam 1MDB selama ini melibatkan bukan angka sekupang dua yang tentulah mustahil taraf "prebet" atau "koperal"  berupaya melakukannya, konsep pertanggungjawaban sebenarnya lebih terpikul serta tidak semudah itu untuk dielakkan daripada bahu Najib selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihatnya.

Bolehkah dipercayai pelaburan dan pengeluaran wang dalam jumlah yang besar boleh dilakukan tanpa pengetahuan atau tanpa restu Najib?

Mengelak daripada memikul tanggungjawab dengan alasan tidak terlibat dalam operasi harian tidak lebih merupakan alasan untuk "cuci tangan" saja sedangkan jika 1MDB mencapai kejayaan dan kecemerlangan, sudah tentulah semuanya akan diwar-warkan sebagai buah tangan dan hasil fikiran orang yang yang terlibat dalam operasi harian tadi.

Ketika itu juga tentunya alasan tidak terlibat dalam operasi harian tadi tidak berbangkit sama-sekali.

Apakah kenyataan tidak terlibat dalam operasi harian ini suatu bentuk percubaan mengolah kepercayaan ramai bahawa Najib tidak tidak ada kena-mengena dan tidak wajar dipalitkan dengan apa juga kecurigaan dan kecurangan dalam 1MDB?

Bukankah konsep pertanggungjawaban bukan saja ketika suka dan berjaya, tetapi turut waktu  duka dan ketika dibebani masalah?

Adakah ini juga bermakna "seekor kambing" sedang dicari untuk dilumurkan cat hitam dan ditunjukkan kepada umum sebagai orang yang bersalah?

Kalau Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tidak harus dikaitkan semata-mata kerana tidak terlibat dengan operasi hariannya, apakah "kambing hitam" itu Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi 1MDB sekarang?

Mungkinkah juga bekas CEOnya, Mohd Hazem Abdul Rahman atau penggantinya sekarang, Arul Kanda Kandasamy sebagai "kambing pilihan kedua dan ketiga" untuk ditumpahkan cat hitam itu?

Atau "kambing-kambing"  lain sedang dicari untuk dimangsakan? (SH 03/03/2015)

9 comments:

  1. Apabila Hang Nadim yang bijaksana dibunuh maka yang tingggal adalah paria2

    ReplyDelete
  2. Memang akan Hang ....cusss...

    ReplyDelete
  3. Kambingnya sudah ada cuma nak pilih yang mana? Hitam legam, yang gemuk, yang tua atau yang timpang? atau yang baru menyerahkan lehernya untuk disembelih?

    ReplyDelete
  4. sti salah anuar Ibrahim la tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu eri....kita cat ITAM muka bang non.....problem solved...xyah cari kambing ke...unta ke...buaya ke.....

      Delete
    2. Kambing tu tak payah susah2 nak cari, ada kat sg buloh, dia bolih tukar warna dengan sendiri..

      Delete
    3. Keluar dah macai prepaid, apa tajuk blog pun depa akan kutuk Sg Buloh.

      Delete
  5. Dua firma audit tidak lagi sudi untuk menjadi auditor luar bagi 1MDB. Kebiasaannya auditor yang bermaruah akan berhenti apabila mereka tidak lagi sehaluan atau sebulu dengan majikan (1MDB) dalam urusan besar. Hal ini kerana mereka tidak dapat memberi keyakinan mengenai pengesahan penyata kewangan 1MDB itu benar, betul dan adil supaya tidak menipu bank, SC, BNM, pelabur, LHDN dan lain-lain stakeholders yang ada kepentingan dengan 1MDB. Saya berharap akan ada satu siasatan oleh pihak berkuasa perakaunan antarabangsa mengenai etika perlantikan dan penggantian Lembaga Pengarah 1MDB. Dalam masa 5 tahun 1MDB sudah beberapa kali menukar CEO mereka. Bila dihayati semula, apabila dua auditor berhenti berkemungkinan terdapat perkara yang tidak dipersetujui oleh mereka mengenai 1MDB. Tidakkah ia menunjukkan 1MDB menghadapi masalah? Satu dunia ketahui bahawa 1MDB mempunyai masalah kewangan yang besar. Hutang mereka sekitar RM42b berbanding modal berbayar cuma RM1jt. Terdapat dakwaan yang menyatakan 1MDB membeli aset pada harga tinggi melebihi nilai pasaran. Mereka juga membayar aset yang tidak wujud di Mongolia. Mereka juga melabur dengan firma Petrosaudi yang rekodnya sangat meragukan. Tambahan, apabila 1MDB mengalami masalah aliran tunai sehingga tidak dapat menjelaskan hutang berbillion ringgit kepada bank tempatan.
    Kita semua sayangkan negara ini. Negara ini adalah milik semua. Kita memberi amanah kepada segelintir ahli-ahli politik untuk menjadi pemimpin dan mentadbir negara ini dengan sempurna. Sekiranya mereka lupa akan amanah ini, maka Allah SWT akan menghukum mereka setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Kerajaan perlu berani sekiranya mereka benar. Semoga negara ini dihindarkan dari bencana perpecahan kerana membina semula sesuatu yang telah teguh amat sukat dan melibatkan kos yang tinggi.



    v

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...