Friday 10 January 2014

Kalau Tukar Kerajaan Tidak Jamin Harga Turun, Tentulah Jawapannya Tukar PM...


Ahli Parlimen Pulai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Nur Jazlan Mohamed telah bertindak dengan sewajarnya ketika berhujah mengenai kenaikan harga barang dalam forum anjuran Sinar Harian, semalam. Atas kapasitinya sebagai pemimpin UMNO dan BN, walaupun agak lantang dan banyak mengkritik kerajaan sejak kebelakangan ini, beliau pada hakikatnya tidak lupa akan kedudukan dirinya yang sebenar.

Di pentas forum yang turut dihadiri oleh Rafizi Ramli daripada PKR dan seorang pensyarah, Prof Dr Amir Husin Baharuddin itu, ramai yang mengharapkan Nur Jazlan kekal mengkritik kerajaan berhubung beberapa langkah yang menyebabkan kenaikan harga barang ini sebagaimana beberapa kenyaaannya sebelum ini.

Malah, mungkin ramai yang turut mengharapkan beliau akan mengkritik cara kepimpinan Najib secara lebih khusus dan keras.

Namun, Nur Jazlan pada hakikatnya telah menunjukkan kewarasan dan kematangannnya sebagai pemimpin. Dalam kenaikan harga barang ini, beliau berkata, pertukaran kerajaan bukanlah penyelesaiannya dan ia tidak menjamin harga akan turun kerana kerajaan telah menangguhkan kenaikan itu sejak sekian lama.

Apa yang sepatutnya dilakukan olah kerajaan, menurut Nur Jazlan ialah kerajaan bersifat telus dan memberitahu hakikat sebenar mengenai kenaikan yang mahu dilakukan, termasuk mengumumkan apa kenaikan yang akan dilakukan pada tahun 2014, 2015 dan seterusnya supaya rakyat dapat bersedia dengan perubahan harga itu.

Dalam beliau mengkritik cara kerajaan bertindak, beliau tetap mempertahankan bahawa pertukaran kerajaan bukanlah penyelesaiannya. Sebagai pemimpin UMNO dan BN, memanglah hak dan kewajarannya bercakap demikian walaupun dalam manifesto dan Buku Jingga yang dibentangkan oleh PR kepada rakyat sebelum PRU 13 lalu terdapat beberapa idea cemerlang dari segi mengurangkan beban hidup rakyat seperti pendidikan percuma, penurunan harga kereta menerusi penghapusan AP dan sebagainya.

Bagi sesetengah pihak, tidak salah memberi peluang kepada PR memerintah negara ini berdasarkan idea-idea dan keprihatinan mereka yang tinggi dalam membela rakyat dan pada hakikatnya kesungguhan ke arah itu telah pun ditunjukkan melalui perolehan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN yang cuma 47 peratus.

Apa yang menyelamatkan BN hanyalah sistem pilihanraya yang diamalkan di negara ini.

Selepas pilihanraya dan dengan kedudukan yang kekal rapuh disisi rakyat, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak, menghapuskan subsidi gula, membenarkan kenaikan tarif letrik dan sebagainya telah menyebabkan berlakunya rantaian peningkatan dalam banyak harga barang, sekaligus menyebabkan kos sara hidup menjadi semakin mahal.

Dalam masa yang sama, kemewahan dan pemborosan pemimpin, terutamanya Perdana Menteri tidak pernah berubah. Kecintaan kepada gaya hidup mewah, memiliki barang-barang mahal, jamuan dan perjalanan dengan kos yang tinggi, terus juga bermaharajalela. Seruan berjimat, mengikat perut dan berubah hanyalah ditujukan kepada rakyat marhaen tetapi tidak kepada diri mereka sendiri.

Secara nyatanya, kelemahan kerajaan sekarang adalah berpunca daripada kelemahan yang ada pada Najib sebagai Perdana Menteri. Beliau telah gagal melonjakkan ekonomi dan menambah pendapatan negara sehingga yang terfikir di kepalanya untuk mengelakkan kewangan negara terus merudum ialah dengan menaikkan cukai, menghapuskan subsidi dan mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat.

Tetapi oleh kerana pendapatan negara tidak diseimbangkan dengan kemewahan dan pemborosn, dalam masa yang sama hutang negara terus juga meningkat. Ketika Najib mengambil alih kepimpinan pada 2009, hutang negara hanyalah RM362 bilion tetapi kini telah meningkat sekali ganda menghampiri RM600 bilion.

Di samping kedudukan ekonomi makin merudum dan gagal dipertingkatkan, kelemahan kepimpinan Najib juga telah menyumbang kepada munculnya pelbagai isu dan kekalutan dalam negara. Semua ini menambahkan lagi keresahan hidup seharian rakyat.

Walaupun Nur Jazlan menyatakan pertukatan kerajaan tidak menjamin penurunan harga barang dan kenyataan itu lebih memperlihatkan kewajarannya dalam memberikan pendapat bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pemimpin UMNO dan BN, namun secara tersiratnya beliau mungkin mahu berkata, pertukaran Perdana Menteri adalah penyelesaian yang munasabah untuk menurunkan harga barang.

Ini kerana kenaikan kos sara hidup rakyat lebih berpunca daripada cara kepimpinan dan pendekatan yang digunakannya dalam mengurus ekonomi dan kerajaan.

Kata-kata itu mungkin sudah ada dalam pemikiran Nur Jazlan, cuma tidak mampu diluahkannya pada forum tersebut. Tetapi beliau sebenarnya sedang berkongsi pemikiran itu dengan majoriti rakyat ketika ini. (SH 10/01/2014)

1 comment:

  1. Rasuah adalah perbuatan yang boleh mendatangkan musibah yang amat teruk pada individu atau pun pada sesebuah kerajaan.

    Jika Nur Jazlan keluarkan pendapatnya tukar kerajaan belum tentu boleh turunkan harga barang bermakna pemikiran beliau sama seperti ahli UMNO Baru yang lain bahawa rasuah, ketirisan adalah sumber pendapatan yang tidak boleh diganggu gugat malah mesti dikekalkan ia sebagai sumber pendapatan lumayan.

    Ahli UMNO Baru dan rasuah seperti aur dengan tebing.....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...