Wednesday, 2 May 2018
PRU14 BUKAN PERTANDINGAN TIGA PENJURU TAPI DUA LAWAN SATU, BILAKAH HADI MAHU BERKEMPEN DI PEKAN?
Tuesday, 1 May 2018
TUN DAIM YAKIN PAKATAN HARAPAN BERJAYA AMBIL ALIH KERAJAAN
Selepas muncul dalam satu program kempen di Langkawi minggu lalu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin membuat kemunculan kedua di tengah-tengah bahang pergelutan PRU 14 yang makin membara panasnya.
Kali ini beliau membuat kejutan dengan muncul dalam program kempen yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali di Pelabuhan Kelang.
Tun Daim dikatakan hadir lebih awal di kawasan Kampung Teluk Gong malam semalam dan kemudian turut serta dalam majlis ceramah yang dihadiri oleh Azmin itu.
Apakah signifikannya kehadiran Tun Daim dalam program Azmin itu?
Kehadiran Tun Daim membantu Tun Mahathir Mohamad di Langkawi barangkali tidaklah mengejutkan kerana mereka berdua mempunyai hubungan yang rapat sejak sekian lama.
Dalam konteks pilihanraya kali ini, meskipun Tun Daim tidak diketahui dengan jelas sama ada sudah menjadi ahli Bersatu atau sebaliknya, namun kehadirannya di Langkawi itu tentulah tidak lain untuk membantu dan memastikan kemenangan Tun Mahathir pada pilihanraya 9 Mei nanti.
Sama ada menjadi ahli Bersatu atau tidak, Tun Daim nampaknya tetap ada rasa tanggungjawab untuk melihat kejayaan Tun Mahathir di Langkawi yang mana dengan kemenangan itu akan memberi laluan untuk beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas ini.
Berkaitan hal ini, kehadiran Tun Daim bersama Azmin juga tentunya dengan maksud serta tujuan yang sama iaitu mahu melihat Menteri Besar itu kekal lagi mengetuai pentadbiran negeri Selangor.
Sudah tentu dengan kehadiran Tun Daim bersama dalam program kempen Azmin itu mampu menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap perlunya kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan di Selangor ini.
Harus diakui Tun Daim adalah tokoh berpengaruh di kalangan rakyat dan komuniti perniagaan serta juga dipercayai mempunyai rangkaian politiknya yang tersendiri di seluruh negara.
Sebelum pilihanraya 2008, Tun Daim pernah meramalkan beberapa negeri seperti Perak dan Selangor bakal jatuh kepada pembangkang, namun seperti biasa kepimpinan negara ketika itu tidak mengambil berat ramalan tersebut, tetapi hanya setelah jangkaan itu ternyata benar, barulah pandangan beliau lebih dihormati.
Pada pilihanraya 2013, ketika Tengku Adnan Tengku Mansor diasak kuat di Putrajaya oleh calon Pas ketika itu, Husam Musa, Tun Daim adalah antara penyelamat kepada kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan itu dengan beberapa kali turun berkempen bersama Tun Mahathir.
Maka, dengan kali ini Tun Daim turun membantu Azmin di Selangor, ia juga adalah gambaran bahawa kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu tidak mudah untuk digugat oleh UMNO dan BN.
Tun Daim dipercayai bukan saja turun untuk menonjolkan dirinya bersama Azmin, tetapi juga pastinya akan menggunakan segala rangkaiannya yang ada untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan di negeri tersebut.
Berhubung pilihanraya kali ini, seorang bekas Ahli Parlimen turut menceritakan tentang pertemuannya dengan Tun Daim kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon yang lalu.
Kata bekas Ahli Parlimen tersebut, dalam perbualannya itu, Tun Daim tidak saja menaruh keyakinan Tun Mahathir mampu menang di Langkawi, bahkan juga sangat yakin Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan di peringkat Pusat.
Kita menang....demikian kata Tun Daim tanpa ragu-ragu tentang peluang Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir untuk menumbangkan BN apabila ditanya oleh bekas Ahli Parlimen itu.
Tun Daim juga, tambah bekas Ahli Parlimen tersebut, menjangkakan Perak dan Kedah akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya kali ini, selain Pahang dan Melaka dikatakannya berada dalam kedudukan 50-50.
Seterusnya, tanpa keraguan, kata bekas Ahli Parlimen itu lagi, Tun Daim penuh yakin Selangor serta Pulau Pinang akan terus berada dalam genggaman Pakatan Harapan.
Dengan kata-kata daripada Tun Daim itu, kita tentunya semakin tidak sabar menunggu tarikh 10 Mei di mana sebuah kerajaan baru bakal terbentuk di bumi bertuah Malaysia ini. (ShahbudinHusin 01/05/2018)
MEMAHAMI PELBAGAI ISU EKONOMI DARI PANDANGAN PROF. DR. JOMO
Apakah prestasi ekonomi Malaysia lebih baik sejak PU13?
Ekonomi Malaysia telah tumbuh pesat menurut angka resmi. Tetapi angka-angka juga menunjukkan segelintir orang kaya yang dapat isi lemaknya, sedangkan tulang dan bulu jatuh kepada golongan lain.
Angka rasmi juga memberi gambaran ketaksamaan makin berkurangan, tetapi itu kerana pekerja asing tidak diambilkira.
Betulkah pekerja asing penting bagi ekonomi Malaysia?
Penduduk Malaysia sekarang berjumlah di sekitar 32 juta, dan tenaga kerja melebihi 15 juta. Pekerja asing lebih kurang 7 juta menurut syarikat telefon, sedangkan hanya 2.2 juta rasmi.
Maka, pendapatan purata sebenar jauh lebih kurang daripada apa yang dilaporkan kerana kerajaan menafikan adanya kebanyakan pekerja pertanian dan pembinaan dari luar negeri. Ramai juga pekerja asing dalam perkhidmatan dan kilang.
Ada pihak yang mengaku pasaran saham juga telah melambung tinggi?
Sebenarnya, harga saham mencerminkan pandangan pelabur terhadap masa depan harga saham berkenaan, bukan keadaan ekonomi sebenar. Walau macam mana pun, paras harga BSKL pada tahun 2017 lebih kurang sama dengan 2013.
Ringgit Malaysia telah bertambah kuat dewasa ini?
Kadar pertukaran ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS$) lebih kurang RM3.2/AS$1 pada 2013. Paras terendah pada tahun 2017 melebihi RM4.4!
Sekarang di sekitar RM3.9. Kemajuan bukan kerana pengurusan yang baik, tapi akibat kenaikan harga minyak petroleum dan kelapa sawit.
Tetapi rizab Malaysia telah meningkat.
Sebenarnya, tidak. Rizab Malaysia sebanyak AS$116 bilon pada 2008, sebelum Datuk Seri Najib Razak jadi menteri kewangan, telah jatuh kepada AS$102 bilion pada 2017. Tetapi oleh kerana nilai matawang ringgit telah merosot, ada yang mengaku bahawa rizab negara meningkat!
Tetapi kerajaan telah janji mengimbangi Belanjawan.
Janji ini janji lama, yang telah ditangguh-tangguhkan hampir setiap tahun dalam dekad yang lalu. Sebenarnya, perbelanjaan pada tahun 2017 jauh lebih tinggi – hampir RM9 bilion – daripada apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2018 yang disampaikan pada Oktober 2017.
Dengan itu, defisit Belanjawan – atau kekurangan perbelanjaan dibanding dengan hasil – bagi tahun 2017 meningkat, seolah-olah kementerian kewangan tidak mampu menganggarkan perbelanjaan kerajaan.
Kali terakhir, kerajaan Malaysia mengimbangi Belanjawan ialah pada tahun 1990an sebelum tahun 1998, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad jadi PM, dan Datuk Seri Anwar, timbalannya di samping adalah menteri kewangan.
Bagaimana pula dengan hutang negara?
Hutang negara telah meningkat daripada RM306 bilion pada tahun 2008 kepada RM685 bilion pada 2017 – lebih dari dua kali ganda!
Selain itu, apa yang dikatakan hutang yang dijamin kerajaan telah meningkat dengan amat pesat daripada RM69 bilion pada tahun 2008 kepada RM227 bilion pada tahun 2017 - lebih dari tiga kali ganda!
Apakah Malaysia akan jadi bankrap atau muflis?
Sebenarnya, sebuah kerajaan tidak boleh jadi bankrupt di sisi undang-undang. Yang menjadi masalah ialah apabila kerajaan tiada cukup pendapatan atau simpanan untuk menjelaskan hutangnya.
Hutang dalam negeri lebih mudah dijelaskan dengan ‘mencetak wang’, yang boleh menyebabkan inflasi. Tetapi hutang luar negara tak dapat diselesaikan demikian, misalnya ketika kerajaan terlambat menyelesaikan hutang 1MDB, yang dijaminnya, pada tahun lalu.
Hutang peribadi atau isirumah bagaimana?
Rakyat Malaysia menanggung hutang paling tinggi di dunia secara relatif, secara purata di sekitar 84 peratus daripada pendapatan negara tahunan, menurut Bank Negara. Maka, sebenarnya, rakyat Malaysia banyak membayar bunga walaupun kadangkala disamarkan untuk umat Islam.
Ini tidak termasuk lagi hutang 'tidak rasmi' orang susah, yang ramai hutang keliling pinggang kepada along moden yang mengenakan kadar bunga amat tinggi.
Tetapi sudah tentu pendapatan dan kebajikan orang ramai telah meningkat.
Dasar gaji minimum dan BR1M telah meningkatkan pendapatan orang ramai. Kedua-duanya, iaitu termasuk bantuan untuk orang yang hidup susah, yang baru dinamakan BR1M, sudah lama dituntut parti pembangkang.
Tetapi tidakkah Pakatan Harapan menentang gaji minimum dan BR1M atas sebab politik?
Dari apa yang saya baca dan dengar, HARAPAN menyokong dan janji akan meneruskan, malah menambahkan usaha demikian. Yang menjadi masalah, usaha baik demikian, yang hanya baru disokong dan dilaksanakan oleh PM, telah dijadikan dedak atau umpan undi politik menjelang PRU14.
Cogankata ‘Satu Malaysia’, yang disokong semua, juga disalahgunakan untuk menutup penipuan besar-besaran yang melibatkan puluhan bilion ringgit melalui salah satu syarikat kaitan kerajaan, atau GLC, yang dinamakan 1MDB.
Apa pula hubungan soal 1MDB dengan pengurusan ekonomi yang baik?
Sebenarnya, penipuan 1MDB bukan cerita baru. Pada tahun 1960an, beberapa bank tempatan terpaksa diselamatkan. Skandal Bank Rakyat pada tahun 1970an memberi kesan besar terhadap politik negara, terutamanya setelah Tun Razak meninggal.
Pada awal 1980an, pembunuhan Jalil Ibrahim di Hongkong semasa menyiasat skandal BMF, anak syarikat Bank Bumiputera, telah mengejutkan masyarakat. Arwah Tan Sri Ahmad Nordin dan YB Lim Kit Siang telah main peranan besar membongkar skandal itu.
Itu cerita dulu.
Pada ketika ini, ada beberapa skandal lain, seperti yang melibatkan Felda Global Ventures (FGV), yang menyusahkan lebih dari seratus ribu keluarga peneroka Felda. Ataupun hadiah diraja Saudi sebanyak RM2.8 bilion, yang pernah dikaitkan dengan penyertaan Malaysia dalam pasukan tentera 40 negara pimpinan Saudi yang masih sedang menyerang Yemen.
1MDB pula melibatkan jumlah besar yang sukar diduga, dikatakan RM54 bilion mengikut satu anggaran. Ini merupakan kes penipuan jumlah yang paling besar di dunia. Akibatnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pegawai tinggi yang dikatakan sedang menyiasatnya telah diganti.
Ini soal undang-undang jenayah dan politik. Apa pula implikasi ekonominya?
Selain implikasi jenayah penipuan-penipuan besar yang terlibat, saya cukup bimbang bahawa kerugian terlibat boleh meningkat lagi dengan pendekatan kerajaan sekarang. Negara-negara lain telah menyiasat dan ada yang mengambil tindakan, malah telah menghukum pihak yang terlibat.
Jabatan Pendakwaan (DoJ) Amerika Syarikat telah menebitkan dua laporan penuh dengan tuduhan, dan dikatakan tidak menemui majikan 1MDB yang dianggap mereka terus terlibat dalam usaha menutupkan jenayah penipuan.
Adakah kerugian pada ekonomi kita?
Menurut Kleptocracy Assets Recovery Act, mereka berhak simpan 25 peratus dari segala yang diperolehinya, seperti rumah mewah, harta tanah, lukisan mahal, syarikat perfileman anak tiri PM, Reza Aziz, dan mungkin kapal mewah Equanimity yang dikatakan milik syarikat Jho Low. Pelakon Leonardo di Caprio dan Miranda Kerr telah pun menyerahkan hadiah daripada Low dan Reza kepada DoJ.
Apakah kerajaan lain dapat simpan semua harta yang dirampas mereka kerana kerajaan Malaysia terus menafikan bahawa jenayah telah berlaku atau Jho Low terlibat? Dan berapa pula yang dibelanja dan dibazir dalam usaha menutup skandal jenayah ini, misalnya dengan menjual harta kerajaan dengan harga murah untuk mengumpulkan dana bagi menyelesaikan hutang 1MDB.
Apa pula kesan GST terhadap rakyat?
Beban utama GST jatuh kepada rakyat jelata, mereka yang tidak peroleh pendapatan tinggi dan tidak bayar cukai Pendapatan, kerana beban SST sebelumnya lebih kepada mereka yang kaya serta golongan menengah atasan.
Itulah sebabnya GST dianggap cukai yang regresif atau lebih tidak adil kesannya, iaitu lebih tidak adil, lebih zalim.
Tetapi sudah tentu hasil cukai tambahan perlu untuk elakkan krisis belanjawan atau fiskal?
Sebenarnya, banyak subsidi lain ditarik balik, sedangkan orang kaya serta syarikat besar dikecualikan cukai. Satu tinjauan dulu pernah dapati bahawa separuh daripada pemilik kereta mewah tak bayar cukai pendapatan!
Dua persoalan timbul: Pertama, apakah semua perbelanjaan Kerajaan sekarang perlu untuk ekonomi dan rakyat? Dan kedua, kalau lebih banyak hasil cukai perlu, siapa yang patut tanggung beban utamanya?
Maka, defisit akibat penghapusan GST dapat ditutup dengan banyak cara.
Pertama, dengan mengurangkan perbelanjaan, seperti pembelian senjata yang tak perlu atau projek yang bukan-bukan untuk memperkayakan syarikat kroni pihak berkuasa.
Arwah Prof Ismail Muhd Salleh pernah menunjukkan bahawa kesan sistem cukai di Malaysia tidak adil.
Kedua, dengan mengenakan cukai yang lebih adil dan saksama, misalnya cukai terhadap beberapa jenis harta kekayaan.
Maka, sama ada dari segi pencukaian atau pun perbelanjaan, Belanjawan makin tidak adil, terutama sekali bagi orang ramai kerana orang kaya serta syarikat mereka dikecualikan daripada cukai.
(Artikel berupa sessi soal jawab atau wawancara dengan Prof Dr. Jomo KS, seorang pakar ekonomi ini dipetik dari Malaysiakini. Ia agak panjang, tetapi oleh kerana hari ini merupakan cuti umum di mana kita banyak masa terluang, agak berbaloi untuk membaca dan memahaminya di sebalik terlalu banyak "gambaran indah dan separuh benar" cuba diberikan oleh pihak kerajaan mengenai kedudukan ekonomi negara kita?)
