Friday 4 July 2014

Oh! Malaysiaku Negara Islam, Nak Bersedekah Pun Kena Saman...


Ramai benar yang marah dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak membenarkan lagi wargakota memberi sebarang jenis sumbangan kepada peminta sedekah dan dalam masa yang sama juga melarang kumpulan NGO Dapur Jalanan memberi makanan kepada golongan kutu rayau, fakir miskin dan gelandangan.

Alasan yang diberikan Tengku Adnan atau Ku Nan ialah untuk membersihkan Kuala Lumpur daripada semua jenis peminta sedekah, kutu rayau dan gelandangan yang disifatkannya sebagai sampah yang mengotorkan imej bandaraya selama ini, selain kononnya program pemberian makanan itu menambah-kotorkan lagi persekitaran ibukota.

Menurutnya lagi, kerana adanya golongan yang murah hati inilah menyebabkan kewujudan golongan sampah itu sukar dihapuskan oleh kerajaan serta menyusahkan usaha membanteras kewujudan mereka. Serentak dengan itu, beliau mensyaratkan jika NGO Dapur Jalanan mahu meneruskan kegiatan memberi makan kepada gelandangan, ia haruslah dilakukan sejauh 2km dari pusat bandar yang dikenalpasti iaitu Kompleks Membeli-belah Lot 10.

Walaupun mungkin niat Ku Nan ini adalah baik tetapi beliau seolah-olah tiada hati perut dalam tindakannya. Ini kerana dalam usahanya membersihkan imej Kuala Lumpur, sampai beliau bukan saja tergamak menghalang orangramai daripada bersedekah dan memberi sumbangan, malah menguatkuasakan undang-undang agar tindakan saman serta-merta dikenakan kepada sesiapa yang menghulurkan sumbangan.

Lebih tidak masuk akal, arahan penguatkuasaan ini pula dilakukan di bulan Ramadan, bulan di mana salah satu kegiatan yang paling digalakkan ialah bersedekah dan membantu golongan yang susah.

Kalau sudah bersedekah pun jadi masalah dan dianggap salah, tidakkah ini juga bertentangan dengan Malaysia sebagai negara Islam yang dilaung dan dibangga-banggakan sebelum ini!

Bagi Ku Nan yang tinggal di kediaman mewah setinggi lima tingkat di Jalan Duta, beliau mungkin tidak cukup memahami derita golongan fakir dan gelandangan ini yang hidup berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit. Sebelum mahu dilarang golongan fakir, peminta sedekah, kutu rayau dan gelandangan di ibu kota daripada menerima sedekah atau sumbangan makanan daripada NGO Dapur Jalanan, Ku Nan patut bertanya, sudahkah kerajaan berbuat sesuatu untuk melindungi dan membantu mereka ini?

Jika kerajaan pun tidak berbuat apa-apa atau tidak mampu melakukah sesuatu, janganlah dihalang orangramai daripada mahu menghulurkan sumbangan dan memberi makanan. Kerajaan melalui DBKL sepatutnya bekerjasama dengan NGO terbabit seperti menyediakan kawasan khas, tong sampah dah kakitangan yang membersihkan kawasan selepas program pemberian makanan itu diadakan.

DBKL juga sepatutnya bersyukur kerana NGO Dapur Jalanan ini tidak meminta sumbangan daripada kerajaan pun untuk menyediakan pemberian makanan itu. Ianya adalah sumbangan orangramai yang bersimpati, ada perasaan dan hati perut terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Di mana-mana bandar besar pun, golongan gelandangan dan peminta sedekah ini tetap ada. Yang penting ialah bagaimana kerajaan menangani dan melindungi mereka ini, bukan cuba menyisihkannya terus dengan menghalang orangramai daripada memberikan sedekah dan menghulurkan bantuan.

Memang benar seperti kata Ku Nan jika orangramai mahu menghulurkan bantuan, mereka boleh berbuat demikian kepada masjid, kuil, gereja dan sebagainya tetapi sedarkah Ku Nan bahawa pilihan memberi sedekah ini berbagai-bagai dan ia umpama kita memilih kedai makan atau pakaian yang selesa untuk dipakai. Ia terpulang kepada pilihan masing-masing dan kerajaan tiada hak untuk menentukan ke mana sedekah seseorang itu harus disalurkan.

Ada orang yang banyak duit, tetapi suka makan di gerai dan ada juga orang yang tak berapa ada banyak duit tapi sering memilih makan di tempat yang mahal. Ada pula yang suka makan KFC, McD, nasi kandar, hidangan Thai, masakan Jepun dan seumpamanya. Lain orang, lain selera dan keselesaannya. Begitu juga dalam hal bersedekah ini, selain ada yang menyumbang melalui masjid, kuil dan gereja, tentulah ada juga yang lebih selesa dapat bersedekah secara langsung dengan memberi wang atau makanan kepada golongan gelandangan ini.

Dalam hal ini, Menteri di JPM sendiri, Shahidan Kassim diketahui adalah penyumbang tetap makanan kepada golongan gelandangan yang berada di Chow Kit, Kuala Lumpur sejak sekian lama. Beliau bersama kenalan rapatnya melakukan bantuan itu secara konsisten sebagai amal jariah dan sedekahnya. Adakah beliau juga salah dan mahu disaman?

Ku Nan seharusnya sedar bahawa kewujudan kutu rayau, peminta sedekah dan gelandangan dengan kemurahan hati orangramai memberi sumbangan dan sedekah adalah dua aspek yang berbeza. Beliau seharusnya fokus kepada tugasnya untuk membersihkan golongan itu melalui peranannya sebagai menteri tetapi selagi golongan itu ada, beliau tidak seharusnya menegah pihak lain daripada menghulurkan sumbangan dan memberi bantuan.

Lainlah jika sekiranya kerajaan sudah menyediakan rumah perlindungan dan makanan untuk gelandangan ini tetapi masih ada NGO yang mahu berbuat demikian, barangkali ada logiknya jika larangan bersedekah dan memberi makanan itu dikuatkuasakan.

Carilah penyelesaian untuk membasmi golongan fakir, pengemis, kutu rayau dan gelandangan ini dengan mewujudkan rumah perlindungan yang secukupnya terlebih dahulu, kemudian barulah jika mahu dilaksanakan pelbagai peraturan dan larangan apa sekali pun.

Lagi pula, selain pengemis, kutu rayau dan gelandangan, banyak lagi aspek yang lebih merupakan sampah dan menjadi kekotoran sebenar kepada wajah ibukota ini. Jenayah, pelacuran, pengedaran dadah, hiburan malam, rumah urut dan segala macam titik-titik noda yang bercambah subur setiap hari di merata-mata Kuala Lumpur adalah sampah sebenar yang perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Sempena bulan Ramadan yang masih awal lagi, didoakan semoga Ku Nan segera mendapat hidayah Allah dah tahu mana keutamaannya dalam menjalankan tugas sebagai menteri. (SH 04/07/2014)

12 comments:

  1. Jemputlah gelandangan dan peminta sedekah ke rumah shahbudin..

    ReplyDelete
    Replies
    1. elok berhimpun di rumah datuk bandar dan tengku nan

      Delete
    2. Ku Nan adalah SANTA Claus yg tidak terpilih sebab Tu dia bersikap gitu ....XMAS lambat lagi

      Delete
    3. SENAK OTAK KE KLUANGMAN NI.. NAK AMPU MENTERI PUN, JANGAN SUDU TEMBOK TAK PAKAI HELMET.. BULAN2 MULIA NI NAK TUNJUK KEBANGANGAN SENDIRI.. SAYA DOAKAN DIBULAN MULIA YANG PENUH BARAKAH DAN DOA DIPERKENAN INI SEMOGA KLUANGMAN BERPELUANG JADI GELANDANGAN YG BERATUR DEMI SEBUBGKUS NASI.. COMFORMNYA AKHIRAT KELAK LAH.. SEMOGA DIBERI HIDAYAH... ALLAHUMMA AMEEN..

      Delete
  2. jangan pelik akan datang puasa pula akan dilarang macam di China

    ReplyDelete
  3. Nice page and i like blogwalking

    ReplyDelete
  4. honestly, I can't stand looking at his evil face and his fat ass..he's worst that animal..he's piece of shit and garbage..Every human has dignity..but not Tengku Nan..he's "Taik Kubas Nan" ..Yea, royal pirate piece of shit!!

    ReplyDelete
  5. Saya baca juga statement Ku Nan. Beliau bukan tak bagi sedekah, tapi beliau mohon perkara ini dilakukan dan diteruskan dengan lebih baik dan mengambil kira aspek-aspek lain. Kita kena hati hati nak buat statement.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Noor Mohamad Ismail 11:44

      Bukan menjadi kesalahan jika niat hati nak tunjuk bijak pada orang ramai.... tapi berapa banyak statement menteri itu yang saudara baca dan saudara mempertahankan Ku Nan tu sebagai orang islam atau sebagai ahli politik ?

      Saudara kena hati hati nak buat statement.....

      Delete
    2. Yang silapnya mengapa sampai nak saman menyaman
      buat kerja amal dengan bersedekah dah dikira satu kesalahan
      negara Islam apa kalau dah macam ni

      Delete
  6. Mulut longkang kluangman tgh beri cadangan.....hahahahahaha

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...