Saturday 1 February 2014

Kalau Ingin Menghargai, Chong Wei Sepatutnya Dilantik Senator Dan Bukan Menjerutnya 'Di Tali Gantung' Kajang


Sejak nama jaguh badminton negara, Lee Chong Wei diusulkan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainal Abidin sebagai calon BN mewakili MCA bagi pilihanraya kecil DUN Kajang bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim, ramai daripada kelompok pro BN menunjukkan persetujuan terhadap idea itu. Dengan popularitinya sebagai ahli sukan kesayangan negara serta pemain badminton nombor satu dunia, ramai yang percaya ianya adalah suatu kelebihan yang cukup berbaloi bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim.

Sudah ada juga yang menyatakan Anwar pasti kecundang jika lawannya adalah Lee Chong Wei atas kepercayaan populariti dan jutaan peminatnya yang sentiasa memujanya adalah juga terjemahan dalam bentuk undi dalam pilihanraya.

Presiden MCA, Liow Tiong Lai sendiri membayangkan nama Lee Chong Wei ada dalam pertimbangannya, sambil menyatakan pihaknya bersikap terbuka dengan kriteria boleh menang atau winnable adalah merupakan perkiraan yang menjadi keutamaan.

Media pro UMNO seperti Utusan dan TV3 juga mulai menjaja dan seolah-olah cuba meyakinkan MCA, BN dan juga Perdana Menteri agar tidak ragu-ragu dalam membuat keputusan memilih Lee Chong Wei atas keyakinan bahawa populariti di kalangan pelbagai kaum mampu memberi kelebihan untuk menandangi serta menewaskan Anwar Ibrahim di Kajang.

Lee Chong Wei pula sehingga ini seakan terkejut apabila namanya turut dikaitkan sebagai calon dan memaklumkan beliau tidak mengetahui atau diberitahu apa-apa mengenai perkara itu.

Semua yang begitu ghairah mahu memilih beliau sebagai calon barangkali tidak menyedari bahawa Lee Chong Wei belum pun bersara sebagai pemain badminton negara dan kiranya bersetuju untuk menjadi calon, beliau tentunya terpaksa menggantung raketnya lebih awal daripada yang dirancangnya sebelum ini. Ini bermakna, negara akan kehilangan pemain badminton kerana tidak mungkin beliau mampu memikul tugas sebagai pemain badminton lagi jika sudah memutuskan untuk terjun ke dunia politik.

Jika itu berlaku, sementara amat sukar untuk menang di Kajang, negara juga akan kehilangan seorang pemain badminton lebih awal daripada yang sepatutnya semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu mereka yang hanya memikirkan kepentingan sendiri semata-mata.

Selain bermain di pentas politik tidaklah semudah memenangi pertandingin di gelanggang badminton, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan Anwar Ibrahim yang bakal menjadi MB Selangor dan juga calon Perdana Menteri, dengan bertandingnya Chong Wei dalam pilihanraya juga akan menyebabkan beliau kehilangan sebahagian penyokongnya serta mendedahkannya kepada pelbagai kata nista dan serangan pihak yang menentangnya.

Ini akhirnya akan menjadikan masa depan dan kegemilangan yang dicapainya selama ini akan tercemar dengan teruknya.

Sesungguhnya dengan sedia menjadi calon juga adalah menyundang risiko besar kepada Chong Wei sendiri, tambahan pula bertanding di DUN Kajang dan berlawan dengan Anwar Ibrahim, meskipun dilimpahi populariti dan mempunyai jutaan peminat, hakikatnya peluang beliau untuk menang hanyalah 0.001 peratus sahaja.

Ia bukan bermakna pengundi Kajang tidak mengenang jasa dan pengorbanannya tetapi adalah kerana beliau bertanding mewakili MCA yang sudah ditolak oleh majoriti pengundi Cina sendiri sejak dua pilihanraya umum lalu.

Bahkan dengan senario politik yang sekarang, bukan saja Chong Wei, bahkan jika Perdana Menteri, Najib Razak pun yang bertanding, beliau pasti akan kecundang juga. Memilih dan meletakkan Chong Wei tidak lebih umpama menghantarnya ke "rumah penyembelihan" atau " tali gantung" politik saja layaknya.

Lantaran itu, ketegasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang tidak sekali-kali akan membenarkan Chong Wei dipilih sebagai calon di DUN Kajang dengan alasan pemain badminton itu adalah harta negara seharusnya dikalungkan pujian. KJ nampaknya sangat sayangkan masa depan dan reputasi gemilang Chong Wei serta mahukan ia kekal dalam sanjungan rakyat sampai bila-bila. Memilih Chong Wei sebagai calon sebenarnya adalah membunuh reputasi dan masa depannya.

Sekiranya benar ingin menghargai jasa dan sumbangan Chong Wei kepada negara selama ini, sebaik saja bersara nanti, beliau sepatutnya dilantik sebagai Senator supaya beliau sekurang-kurangnya boleh bersuara dan memberi idea di peringkat tertinggi mengenai kemajuan sukan negara. Jika tidak cukup dengan itu, selepas dilantik sebagai Senator, Chong Wei juga boleh pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, sebagai orang nombor dua kepada KJ.

Bayangkan betapa bersinarnya Kementerian Belia dan Sukan apabila kementerian itu diterajui oleh KJ dan dibantu oleh Chong Wei.

Itulah sebenarnya cara yang betul untuk menghargai dan membalas jasa Chong Wei selama bertahun-tahun beliau mencurahkan keringatnya mengharumkan nama negara melalui dunia badminton dan bukannya dengan menyediakan "tali gantung" di Kajang sebagai anugerah kepada persaraannya. (SH 01/02/2014)

13 comments:

  1. aku tak tau mana satu yg lebih bangang: orang yg mencadangkan LCW jadi calon, atau pengundi yg mengundi calon cuma kerana dia famous.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pencadang tu raja lawak. Sarananya adalah bahan ketawa je

      Delete
  2. madey yg belacan...kah kah kah..bukan senang umno nak dapat kerusi..madey pulak menghalang...memang madey ni dah terdesak nak jadi abah pm...kah kah kah

    ReplyDelete
  3. Jangan lupa bahawa sebelum ini permain bola sepak tersohor tanah air SCA telah pun di beri peluang untuk bertanding di Melaka. Apa keputusan nya - SEMUA ORANG TAU - KECUNDANG.

    Masih kah kamu ingat bagaimana dan mengapa LCW di anugrah kan dengan gelaran 'LATUK"?. Di kala itu ada PRK. Untuk meraih undi kaum Cina maka gelaran itu pun di anugrah kan. Adakan UMNO/BN menang?

    Kini si pemain badminton yang di katakan telah "MENGHARUM" kan nama Negara pula nak di calon kan. Betul, beliau di katakan "FAMOUS". Tapi jangan lupa bahawa beliau ini hanya "FAMOUS" di kalangan para peminat sukan badminton sahaja. Aku hanya meminati sukan tennis aja.

    ReplyDelete
  4. MP Padang Besar Zahidi Zainal Abidin jelas ahli politik bangkrup idea @ sangat bangang. Ada banyak cara lain untuk hargai Chong Wei dan satunya seperti yang disaran Tuan Shahbudin ni. Sedangkan artis yang diminati hilang "fan" gara gara komen negatif terhadap PR..inikan pula ahli sukan.

    Satu waktu dulu nama Soh China Aun gah sebagai bintang bolasepak Malaysia. Tapi nama baik yang harum sebelumnya itu terpalit "tahi" bila Chin Aun dicalon sebagai wakil BN melawan Guan Eng dalam PRU di Melaka. Chin Aun kalah. Kalau tak silap majoriti kekalahan sangat besar, kurang dua ribu lebih mencecah 20,000.

    Karat betoi otak Zahidi Zainal Abidin, sah otak cap ayam. Dan yang menyokongnya semua spesis sama. KJ nampaknya antara yang bergeliga dan maih boleh diharapkan dan lebih rasional. Chong Wei akan terima nasib yang sama jika beliau rela dirinya diperkudakan puak puak Melayu bengap tu.

    Kepada Chong Wei...cukuplah biarkan UMNO perkuda MCA, jangan biarkan Melayu bernama Zahidi Zainal Abidin perkudakan nama baik anda. Pimpinan MCA yang menyokong saranan dan idea haprak ini nampaknya seperti telah tertelan nasi tangas pemimpin rasis UMNO.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan marahi dia. Idea ni datang dari kepala lutunya

      Delete
  5. LCW jangan terjerat dengan permainan politik Negara.

    Teruskan tumpuan dibidang sukan badminton

    ReplyDelete
  6. Aaaa....Chong Wei anak selangor ker?

    ReplyDelete
  7. Sebenar mengikut sifir adat kebiasaan, calon BN yang paling layak selayaknya untuk bertanding melawan Anwar di Kajang ialah NOH OMAR. Pertama dia adalah ketua no.1 UMNO kat Selangor ni. Elok le no.1 lawan no.1. Orang tak kata ler tak padan lawan. Kedua, Noh Omar bukan calang orang. Dia bekas menteri kanan bukan taraf Mat Maslam.

    Ketiga, dari aksi dan cakap dia, Noh Omar lah pang5 UMNO yang paling samseng no.1 dan gedebe UMNO no.1 dalam seluruh negeri Selangor hari ini. Yang paling top.

    Tetapi kalau BN betul-betul nak menang kena letak calon selain Noh Omar, YANG L3BIH POPULAR DAN DIMINATI. Sebab PRK bukan pertandingan tunjuk samseng dan gedebe.

    Aku cadangkan BN LETAK DATO SITI NURHALIZA S3BAGAI CALON. Tak payah kempen susah-susah. BUAT JE KONSERT SITI NURHALIZA TIAP@TIAP MALAM.Tak payah pi ganggu ceramah PK seperti sudah-sudah sebab ceramah BN tak ada sambutan. Gerenti konsert ala k3mpen Dato Siti Nurhaliza penuh setiap malam. Last konsert minta j3 p3nonton undi Dato Siti Nurhaliza yang m3njadi calon BN RPK Kajang ni.

    nko orang jangan gelak. Aku serious. S3kurang-kurangnya Siti l3bih baik daya tarikannya dari Lee Chong Wei dan juga Siti pun ahli UMNO. Dato siti pun ada bakat jadi wakil rakyat, petah bercakap,mesra dan peramah.

    ReplyDelete
  8. Kah kah kah! Maaf sebab terpaksa gelak. Perut keras kedekang menahan geli...terpaksa lepaskan juga. Kah kah kah. Orang China Kajang majoriti tak kenal Siti. Samada Siti atau Chong Wei.bertanding..yang pasti UMNO atau BN sukar diterima kaum China hari ini. Ini bukan soal calon tapi soal parti!

    Siti atau Chong Wei akan ditolak bukan sebab mereka tak bagus tapi kerana UMNO BN tersangat tidak bagus aka parti pembelit.

    ReplyDelete
  9. pemimpin umno bn hendak melepaskan tengkok masing2 sehingga menjadikan 'atlit negara' sebagai 'satey kajang' mereka.

    ReplyDelete
  10. Den bersetuju dgn penulis, mmg tak berapa baik atlit negara jadi mangsa dlm permasalahan di Kajang. Cuma yg den tak berapa setuju ialah peratus kemenangan 0.001 LCW adalah melampau sngt, seolah2 terlalu memperkecilk2kan org lain dan terlalu over confident dgn Anuar. Kita kena ingat bukan semua yg kita rancang akan menjadi, org tua2 berkata senjata makan tuan.

    ReplyDelete
  11. 'Bahkan dengan senario politik yang sekarang, bukan saja Chong Wei, bahkan jika Perdana Menteri, Najib Razak pun yang bertanding, beliau pasti akan kecundang juga...'

    PASTI? Huh, mengalahkan Tuhan. Inilah susahnya bila menulis menggunakan hati...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...