Tuesday 2 April 2013
Najib Hanya Akan Bubar Parlimen Setelah DUN Selangor Terbubar
Mereka yang mengharapkan Najib akan membubarkan Parlimen dengan segera, pasti akan kecewa lagi. Ini kerana Najib tidak akan membubarkannya dalam tempoh terdekat ini. Setelah DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya 28 Mac lalu dan kemudian Najib dilihat sibuk mengadakan pertemuan dengan ketua parti-parti komponen BN dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, ramai yang menjangkakan Parlimen akan dibubarkan tidak lama kemudiannya.
Malangnya semua itu tidak berlaku. Najib menangguhkan lagi pembubaran Parlimen dan akan terus menangguhkannya untuk beberapa minggu lagi. Ini kerana pada 3 April ini, beliau akan menunaikan umrah untuk beberapa hari. Setiap tahun Najib berumrah sejak menjadi Perdana Menteri ini. Dengan perginya Najib ke Mekah menunaikan umrah setelah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pemimpin UMNO dan BN bagi memuktamadkan senarai calon, mungkin senarai nama itu akan dibawa sekali ke Mekah bagi memohon restu daripada Tuhan.
Atau setidak-tidaknya, mungkin ramai bakal-bakal calon yang turut mengejar Najib hingga ke Mekah sana. Tidak cukup melobi Najib di Bangunan Perdana Putra atau Seri Perdana, tidak mustahil ramai yang ingin melobi Najib untuk menjadi calon pilihanraya bersaksikan Kaabah pula.
Selepas pulang dari Mekah, Najib dilaporkan mempunyai beberapa program dalam negara termasuk di Sabah dan selepas itu pada 24 April akan berlangsung pula Persidangan ASEAN di Brunei. Persidangan ini jarang tidak dihadiri oleh Perdana Menteri, bukan saja kerana kedudukan penting ASEAN tetapi juga kerana hubungan rapat Melaysia dengan tuan rumah, Brunei kali ini.
Berdasarkan kesibukan dan jadual padat Najib ini, manakala tempoh Parlimen terbubar dengan sendirinya pula ialah pada 28 April, Najib dijangka hanya akan membubarkan Parlimen setelah berakhirnya Persidangan ASEAN di Brunei iaitu antara 24 hingga 28 April depan.
Ini bermakna sebelum Parlimen dibubarkan, beberapa DUN lagi akan terbubar dengan sendirinya. Antaranya ialah Pahang pada 7 April, Melaka dan Johor 21 April, Selangor 22 April dan Perak 25 April. Sekiranya Najib memilih untuk membiarkan Parlimen terbubar dengan ssendirinya pula iaitu pada 28 April, pembubaran itu akan berlaku serentak dengan terbubarnya DUN Perlis dan Kelantan.
Walaupun ramai yang kecewa dengan kelewatan pembubaran Parlimen ini dan ia menjejaskan imej Najib di mata rakyat tetapi beliau tentunya tiada pilihan lain berikutan kedudukan UMNO dan BN makin merosot di mata rakyat hari demi hari. Rakyat kini begitu inginkan perubahan. Meskipun media-media UMNO cuba mensensasikan beberapa isu seks kebelakangan ini, impaknya di hati rakyat tidak seberapa dan tidak menjejaskan sama-sekali agenda perubahan yang diinginkan.
Sementara isu seks itu belum dipastikan kebenarannya, selain dilihat kaedah yang jijik dan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat, semua itu tidak menghalang rakyat daripada keinginan melakukan perubahan. Agenda perubahan dan memilih kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat melebihi semua persepsi seks yang cuba ditonjolkan itu.
Apa yang difikirkan rakyat ialah jika kali ini tidak dilakukan perubahan, ia sukar untuk dilakukan lagi. PRU 13 adalah pilihanraya untuk perubahan dan bukannya pilihanraya untuk mensensasikan isu-isu seks.
Najib sendiri tentunya menyedari hakikat ini dan mendapat maklumat yang cukup mengenainya. Jika tidak, pasti telah lama beliau membubarkan Parlimen. Tindakannya menangguh banyak kali walaupun telah bercakap mengenai pilihanraya dan meminta UMNO bersiap sedia sejak lebih dua tahun lalu, tidak lain adalah kerana ketidakyakinan terhadap kemenangan BN itu. Jika yakin menang, mustahil Najib menunggu begini lama hanya untuk menentukan kerusi Perdana Menteri lebih terjamin.
Kemungkinan pilihanraya hanya akan diadakan di penghujung tempoh juga disahkan oleh Muhyiddin yang dua tiga hari lalu berkata, Najib memerlukan beberapa minggu bagi menyelesaikan beberapa isu sebelum membubarkan Parlimen.
Selain isu calon yang begitu memeningkan kepala Najib sekarang ini, Najib juga mempunyai keghairahan yang tinggi untuk menawan semula Selangor. Pengalamannya menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa memiliki Selangor yang merupakan negeri penting dari segi sumber pendapatan negara, barangkali menyedarkannya bahawa Selangor tidak harus dibiarkan terlepas lagi. Sebab itu, selain menjadi Pengerusi UMNO Selangor, Najib juga menyanggupkan dirinya menjadi pengarah pilihanraya bagi negeri itu.
Kebimbangan Najib mengenai Selangor ialah jika negeri itu memilih untuk mengadakann pilihanraya berasingan. Permainan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengacah-acah tarikh pilihanraya negeri sebelum ini dan beberapa kali bercakap mengenai kemungkinan mengadakan pilihanraya berasingan dilihat antara aspek yang menyebabkan Najib melewatkan pembubaran Parlimen.
Najib mahu pilihanraya Parlimen dan DUN Selangor diadakan serentak kerana dianggap memberi kelebihan kepada BN dan akan berusaha mengelak daripada Khalid Ibrahim mempunyai ruang untuk mengadakannya secara berasingan. Salah satu caranya ialah dengan membiarkan DUN Selangor terbubar dengan sendirinya dahulu pada 22 April ini sebelum membubarkan Parlimen.
Atas apa sifir sekali pun, kedudukan BN dan PR kini adalah 50:50. Siapa pun yang akan menang nanti, kebarangkaliannnya hanyalah dengan majoriti mudah, mungkin dengan kelebihan kurang daripada 10 kerusi Parlimen. Najib dan Anwar, sama-sama menyedari hakikat ini.
Tetapi bagi Najib, kemenangan dengan majoriti mudah belum tentu menyelamatkan masa depan politik dan kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya. Mahathir sendiri sudah bercakap bahawa kemenangan yang tipis bakal menyebabkan Najib akan dipaksa berundur. Sepertimana mana Mahathir memaksa Pak Lah berundur dulu, beliau kini sudah mula memberi peringatan yang sama kepada Najib.
Najib memang diketahui belum puas menjadi Perdana Menteri. Jika menang tipis pun, sedaya mungkin beliau mahu terus bertahan. Untuk tujuan itu, selain pemilihan calon yang mungkin boleh membantunya duduk lebih lama sebagai Perdana Menteri, Najib juga memikir dengan kejayaan merampas semula Selangor akan memberi kelebihan kepadanya untuk menghadapi tekanan daripada dalam UMNO sendiri.
Berbanding jika hanya mampu menang tipis di Pusat dan Selangor pula terus terlepas ke tangan PR, Najib akan lebih mudah dipaksa berunsur selepas itu. Tetapi jika Selangor dapat dirampas semula dalam kedudukan Pusat hanya menang tipis, Najib mungkin mempunyai hujah yang kuat untuk mewajarkannya terus kekal.
Selangor sebenarnya bukan saja penting sebagai negeri yang mahu kepada Malaysia tetapi juga kepada karier masa depan Najib. (SH 02/04/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
eh parlimen dah bubar, selangor??? masih belum setakat ini. so sudah pastinya, selangor akan bubar SELEPAS parlimen. best tak rasanya memfitnah?
ReplyDeletehem..insaf-insaflah saudara ku...nampak sangat KELENTONG...
ReplyDelete