Wednesday 3 April 2013

Mukhriz Hampr Pasti Tanding Kerusi DUN Tapi Belum Pasti Jadi MB...


Di sebalik kenyataan Mukhriz Mahathir bahawa beliau lebih suka kekal bertanding di kerusi Parlimen Jerlun yang diwakilinya sejak sepenggal lalu, beberapa pemimpin UMNO Kedah pula mengesahkan bahawa anak bekas Perdana Menteri itu hampir pasti dipindahkan ke kerusi DUN dan bakal dijadikan MB Kedah jika UMNO berjaya menawan semula negeri itu.

Beberapa pemimpin UMNO Kedah menyatakan bahawa Najib amat berminat untuk menjadikan Mukhriz sebagai MB Kedah berbanding beberapa pemimpin UMNO Kedah sedia ada, selain sebagai satu cara mengambil hati Mahathir yang ketika ini begitu kuat berusaha memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Meskipun Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah dan beberapa nama lain seperti Mahathir Khalid, Aziz Sheikh Fadzir dan dan Ahmad Lebai Sudin turut disebut sebagai berminat untuk menjadi MB Kedah tetapi difahamkan Najib lebih menaruh keyakinan kepada Mukhriz.

Mukhriz sendiri, walaupun memberi kenyataan kepada media bahawa beliau lebih berminat untuk kekal bertanding di kerusi Parlimen berbanding DUN tetapi beliau juga ada memberitahu rakan-rakannya di Kedah bahawa beliau akan akur kepada apa saja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan mengenai masa depannya.

Kesediaan untuk akur itu dilihat sebagai petanda bahawa beliau juga sebenarnya berminat untuk menjadi MB Kedah.

Dalam masa yang sama, Ahmad Bashah yang walaupun turut menyerahkan masa depannya kepada Najib membuat penentuan, dilihat terus berusaha untuk memastikan beliau akan menjadi MB Kedah jika UMNO dan BN berjaya menawan semula negeri itu.

Kenyataannya bahawa BN Kedah mampu memenangi 22 daripada 36 kerusi DUN dan 11 daripada 15 kerusi Parlimen dilihat oleh banyak pihak sebagai percubaannya untuk memberitahu kepada Najib bahawa beliau telah bekerja keras selama ini dan boleh menciptakan kemenangan di negeri jelapang padi itu dan seterusnya layak dijadikan MB Kedah.

Ada pula pihak di Kedah yang menyatakan bahawa keyakinan Ahmad Bashah terhadap kemenangan 22 kerusi itu adalah bersandarkan jika beliau bakal dijadikan MB Kedah dan jangkaan itu mungkin berubah jika orang lain yang ditunjuk oleh Najib mengisi jawatan tersebut.

"Jika Mukhriz yang bakal dijadikan MB Kedah dan Ahmad Bashah tidak mendapat apa-apa, harapan untuk mencapai kemenangan mungkin menjadi lebih tipis kerana ia akan terdedah kepada pelbagai unsur sabotaj," kata pula seorang bekas pemimpin UMNO Kedah.

Menurut beliau, kemungkinan berlakunya sabotaj jika Mukhriz dipersiapkan sebagai bakal MB Kedah bukanlah kerana ketidakyakinan terhadap Mukhriz semata-mata sebagai pemimpin baru tetapi adalah kerana faktor Mahathir.

Katanya, walaupun Mahathir masih berpengaruh dalam UMNO tetapi beliau juga mempunyai banyak musuh dalam UMNO Kedah sendiri. Selain penyokong Ahmad Bashah yang mungkin berkecil hati atas pemilihan Mukhriz sebagai bakal MB Kedah, penentang Mahathir dalam UMNO Kedah seperti Johari Baharom dan Mahathir Khalid dipercayai turut tidak akan berdiam diri dengan pencalonan Mukhriz.

Sebagaimana Johari Baharom dan Mahathir Khalid yang memainkan peranan di belakang tabir memastikan kekalahan Mahathir sebagai perwakilan G7 UMNO Kubang Pasu pada 2006, kedua mereka berserta penyokong masing-masing dipercayai akan bertindak sama pada kali ini.

Kedua pemimpin itu didikenali sebagai penyokong kuat Pak Lah dan tindakan Mahathir berterusan cuba memburukkan nama Pak Lah lebih memungkinkan perkara itu berlaku.

Ini bermakna dengan menjadikan Mukhriz bakal MB Kedah, kemungkinan berlakunya sabotaj datangnya dari tiga penjuru iaitu puak Ahmad Bashah, Johari Baharom dan Mahathir Khalid.

Secara teorinya, jika ini berlaku, harapan UMNO Kedah untuk menawan semula negeri itu tidak akan menjadi kenyataan. Dan bertepatan dengan kenyataan MB Kedah, Azizan Razak yang menyatakan pihaknya tidak gentar sama-sekali terhadap kemungkinan Mukhriz akan dijadikan calon MB Kedah sebagai sandaran UMNO dan BN untuk menawan semula negeri itu daripada Pas.

Mukhriz dan Mahathir pun ada juga masalahnya, demikian ringkas ulasan Azizan Razak yang membayangkan beliau sudah dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku nanti. (SH 03/04/2013)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...