Tuesday, 5 November 2013

Penulis Otai Yahaya Ismail Kembali Dengan Karya Terbarunya


Setelah agak lama tidak muncul dengan karya buku politik dan novel satira, penulis yang tidak asing lagi di kalangan ahli-ahli politik negara ini, Yahaya Ismail kini kembali dengan dua karyanya yang terbaru bertajuk "Najib Terjerat Pemilihan UMNO 2013" dan "Beruk Tua".

Buku Najib Terjerat Pemilihan UMNO 2013 adalah kupasan dan analisanya mengenai kedudukan UMNO pasca PRU 13 dan jangkaan masa depannya, terutama dalam PRU 14 yang dijangka menentukan hidup matinya parti itu.

Beliau yang terkenal dengan tagline "penulis yang tiada kompromi dalam analisanya" turut mengkritik kepimpinan UMNO dan negara, terutama Perdana Menteri, Najib Razak dan beberapa pemimpin lainnya dari beberapa sudut yang dirasakannya akan menjauhkan lagi sokongan rakyat kepada UMNO jika amalan negatif yang sedang berleluasa kini dibiarkan berterusan.

Secara umumnya, walaupun setelah berakhirnya pemilihan UMNO, buku ini masih sesuai untuk dibaca dan dijadikan renungan bersama serta dalam usaha memperhaiki wajah UMNO yang tidak begitu cantik lagi dipandang rakyat akibat karenah sesetengah pemimpinnya.

Buku  Beruk Tua pula adalah sebuah novel satira yang penuh sindiran, jenaka serta pengajaran. Beberapa tahun sebelum ini, Yahaya Ismail telah menggemparkan dunia penulisan negara dengan buku kumpulan cerpennya yang bertajuk "Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya".

Buku itu yang diterbitkan ketika suasana politik bergelora suatu ketika dahulu, bukan saja menjadi percakapan di kalangan ahli-ahli politik tetapi juga menjadi bualan di kalangan rakyat biasa. Bahasa  yang mudah difahami dan sindiran tajam daripada karyanya itu juga menyebabkan buku itu menjadi popular dan paling diminati ketika itu.

Dalam novel satira "Beruk Tua" ini, Yahaya Ismail turut memuatkan peringatan yang berbunyi, "Cerita ini tidak ada kena mengena dengan beruk yang hidup tapi kena mengena dengan beruk yang mati. Sekiranya ada manusia menganggap dirinya salah satu watak beruk dalam cerita ini apa boleh buat...itu pilihan dia sendiri. Penerbit dan pengarang tidak boleh disaman kalau dia identifikasikan dirinya seperti beruk dalam kisah ini".

Sama ada novel "Beruk Tua" ini adalah sambungan daripada "Maharaja Beruk Dan Beruk-Beruk Lainnya" atau tidak, hanya dapat diketahui setelah memiliki dan membacanya.

Untuk mengetahui ketajaman kritikan dan analisa penulis yang sudah menghasilkan lebih 60 buah buku ini, dapatkanlah buku "Najib Terjerat Pemilihan UMNO 2013" ini di kedai-kedai buku atau jika ingin menghibur hati dengan jenaka dan sindiran satiranya pula, bacalah novel "Beruk Tua" ini.

Anda pasti puas dan terhibur dengannya. (SH 05/11/2013)

2 comments:

  1. Tuan,

    Saya rasakan adalah baik juga sekiranya beliau menulis satira yang berjudul "Lembu betina lagi tua dengan lembu-lembunya".Selagi lembu ada di situ rakyat takkan lupa akan gerombolan lembu tersebut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. setujuu...tajuk yg saya cadangkan ialah "Lembu betina yg tak tau apa lembu jantan anak2 lembu buat". Lagi satu tajuk pulak ialah" Lembu dari Kondo"..

      sri hartamas

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...