Friday 18 October 2013

Menjelang Hari Pengundian, Seperti Sudah Ada Arahan Agar Penyandang Naib Presiden Dikekalkan


Dengan tempoh kempen yang semakin singkat dan detik membuang undi hanya tinggal beberapa jam saja lagi, sudah mula bertaburan di sana-sini cai atau senarai calon yang harus dipilih oleh para perwakilan dalam pengundian Sabtu ini. Walaupun cai itu melibatkan calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi, tetapi dipercayai fokusnya ialah bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

Dalam cai itu, calon Naib Presiden yang harus dipilih ialah calon 01,02 dan 03 iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal manakala bagi MT ianya bercampur-campur antara pemegang jawatan dalam kerajaan, calon baru pertama kali bertanding dan pemimpin muda.

Beberapa perwakilan daripada pelbagai bahagian dipercayai sudah menerima cai itu sejak malam semalam lagi, suatu fenomena yang menggambarkan seolah-olah ada usaha terancang untuk memastikan ketiga-tiga penyandang jawatan itu dapat mengekalkan jawatan mereka.

Walaupun tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab, beredarnya cai-cai itu memperlihatkan perebutan jawatan Naib Presiden ini tidak lagi dilihat terbuka atau berdasarkan penilaian penilaian kewibawaan calon-calon yang bertanding, sebaliknya lebih terarah menjadi pertarungan antara penyandang dan penentang. Sudah pasti juga blok undi menjadi sukar dielakkan.

Menjelang hari pengundian pada hari Sabtu, adalah dipercayai lebih banyak cai yang sama diedarkan ke pelbagai UMNO bahagian lagi untuk kemudahan para perwakilan membuat pilihan. Ia juga dipercayai akan turut diedarkan ke seluruh negara.

Walaupun Najib diketahui turut menyenangi ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada yang merupakan kenalan rapat dan orang kepercayaannya tetapi beliau telah pun menafikan campurtangan dalam pemilihan kali ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada para perwakilan untuk membuat pilihan.

Namun demikian, Ketua-ketua UMNO Bahagian yang rapat dengan Najib didapati terus berusaha untuk mengekalkan ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden, antaranya dengan alasan bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan baik sejak empat tahun lalu dan tiada sebab yang kukuh untuk mengganti salah seorang daripadanya.

Orang yang paling ditakuti dan cuba dielakkan daripada memenangi jawatan Naib Presiden ini ialah Mukhriz Mahathir. Ini kerana kemenangannya dianggap bertambah kukuhnya pengaruh Mahathir dalam UMNO yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada Najib, selain dilihat sebagai persaingan kepada masa depan politik Hishammuddin dan Khairy Jamaludin.

Di WP misalnya, Pengerusi Perhubungan UMNO WP, Tengku Adnan Tengku Mansor yang dikenali sebagai orang Najib telah secara terbuka meminta kepada perwakilan negeri itu memberikan undi kepada Zahid, Hishammuddin dan Shafie dalam satu majlis makan malam, baru-baru ini. Hujahnya memilih ketiga-tiganya adalah selari dengan kehendak Najib.

Majoriti ketua UMNO cawangan dan perwakilan daripada bahagian yang ketuanya dikenali sebagai orang Najib, turut sudah menetapkan pendirian untuk mengekalkan Zahid, Hishammuddin dan Shafie Apdal sebagai Naib Presiden UMNO. Mereka tidak ragu-ragu menyatakan akan memberikan undi kepada ketiga-tiga calon itu kerana itulah yang dikehendaki oleh pemimpin bahagian mereka.

Bagi pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib, inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesetiaan dan kekuatan pengaruh di bahagian masing-masing kepada Perdana Menteri iaitu dengan memastikan Zahid, Hishammuddin dan Shafie mendapat satu undi melalui kaedah electoral college dari bahagian masing-masing.

Semalam Wanita UMNO yang dipimpin oleh Shahrizat Jalil sudah menetapkan kriteria calon Naib Presiden yang menjadi pilihan mereka iaitu Hishammuddin, Zahid dan Shafie dengan bersandarkan peranan ketiga-tiganya dalam menjaga kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Pemuda UMNO juga dipercayai secara majoritinya akan melonggokkan undi mereka kepada ketiga-tiga penyandang itu, lebih-lebih lagi memang diketahui bahawa Ketuanya, Khairy Jamaluddin turut tidak selesa dalam memacu perjalanan karier masa depannya sekiranya Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berjaya menempatkan dirinya di salah satu kerusi nombor tiga UMNO itu.

Beredarnya cai atau senarai calon ini mengukuhkan lagi tanggapan yang tersebar luas selama ini bahawa usaha yang agresif akan dilakukan di saat-saat akhir untuk memastikan ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden dapat mengekalkan jawatan masing-masing.

Dengan adanya sokongan Wanita dan Pemuda serta kesepakatan pemimpin UMNO bahagian yang rapat dengan Najib untuk memastikan penyandang Naib Presiden ini kekal, di samping usaha yang semakin agresif ke arah itu, tidak diragui lagi bahawa ketiga-tiga penyandang ini dilihat semakin selesa kedudukannya, termasuk Hishammuddin yang sebelum ini dianggap paling mungkin tercicir berikutan penilaian ramai terhadap kepimpinannya yang dianggap lemah dan tidak tegas.

Meskipun ternampak adanya arahan dan usaha tersusun di banyak bahagian untuk memastikan ketiga-tiga Naib Presiden ini dikekalkan, persoalannya cuma sejauh mana perwakilan benar-benar akur kepada arahan dan mengikut sepenuhnya cai yang diberikan itu?

Makin menarik dan mendebarkan untuk sama-sama kita nantikan keputusan Naib Presiden kali ini. (SH 18/10/2013)

3 comments:

  1. Terserah lah pada perwakilan menentukan arahtuju organisasi mereka.Nak harap SPRM,semua dah faham siapa dia tu.Semoga yang bakal menang,atau yang dah menang tidaklah bertambah keangkohan,malah semakin sedar kemana akhirnya manusia ini.

    ReplyDelete
  2. air mata buaya

    http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1607&idc=8888#.UmEm7PnQmos

    ReplyDelete
  3. umno nak berubah tetapi pemimpin tak nak berubah,inilah masalah besar umno suruh ahli berubah tetapi pemimpin ??????
    tolong tunjukan tang mana yg menunjukan umno lebih demokrasi?? kalau dlm satu keluarga pun dah berpuak puak dan tunjuk2 mana demokrasinya.kalau betul demokrasi tak payah lah nak tunjuk dan ujudkan team dlm sebuah keluarga berilah kebebasan untuk meletakan siapa saja yg di sukai oleh ahli keluarga bukan abang besar yg tentukan siapa layak dan siapa tak layak.
    apa salahnya biarkan keluarga membuat pilihan sendiri tanpa di tunjuk2 siapa pun yg menang semuanya untuk menguatkan umno dan sebagai pemimpin adalah mustahil abang besar tak mampu menjinakan seorang dua adik2 yg nakal dgn belaian manja seorang abg,yg penting abang besar perlu mendengar keluh kesah adik2 barulah adik2 tidak nakal tetapi belum apa2 abang besar dah tunjuk dia tak nak adik tu adik ni sudahnya keluarga akan lebih berpecah dan jgn salahkan jika adik2 yg nakal akan melakukan protes dlm pru 14 nanti dan merataranapkan rumah dan tanah pusaka yg selama ini di pertahankan.
    sedar2lah dan kalau maseh takl sedar serta maseh mahu di takuk lama tunggulah pru 14 nanti mungkin ada yg meraung dan teraung bila melihat rumah besar dan tanah pusaka ranap dan di ratakan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...