Saturday, 5 October 2013

Jika BN Mahu Menang Di Sungai Limau, Menangkan Dulu Mukhriz Naib Presiden UMNO


SPR sudah pun menetapkan tarikh pilihanraya kecil DUN Sungai Limau pada 4 November depan manakala hari penamaan calonnya pada 23 Oktober. Dengan penetapan tarikh ini, kedua-dua parti yang bakal bertanding di situ iaitu Pas dan UMNO, bolehlah mula mempertingkatkan lagi gerak kerja masing-masing bagi memenangi pilihanraya nanti.

Pas memang ingin mengekalkan kawasan DUN Sungai Limau kerana sejak 1995 kawasan itu menjadi milik tradisinya melalui Allahyarham Azizan Razak. Bahkan dalam pilihanraya umum lalu, kemenangan Pas diraih dengan majoriti yang agak besar iaitu 2774 undi. Dalam hal ini, sudah tentu Pas mahu mengekalkan penguasaannya di Sungai Limau dan tidak rela menerima kekalahan lagi setelah tewas dalam usaha mengekalkan kerajaan negeri Kedah dalam pilihanraya umum lalu.

Bagi UMNO pula, terlihat juga keinginan yang tinggi untuk memenangi DUN Sungai Limau ini. Pilihanraya kecil ini merupakan ujian sebenar kepada Menteri Besar, Mukhriz Mahathir kerana ianya dilihat sebagai penentu sama ada beliau benar-benar diterima oleh rakyat Kedah atau sebaliknya.

Kemampuan UMNO memenangi pilihanraya kecil ini bukan saja akan meningkatkan lagi prestasi Mukhriz sebagai pemimpin yang diterima rakyat tetapi turut memberi harapan bahawa BN Kedah mampu menguasai lagi negeri itu dalam pilihanraya ke 14 nanti. Tetapi ianya bukanlah usaha mudah, lebih-lebih lagi majoriti 2774 itu dikira relatif besar dalam konteks persaingan politik di Kedah.

Oleh itu, dengan kedua-dua pihak saling ingin memenangi pilihanraya kecil ini, dijangka pertembungan sengit antara Pas dan UMNO bakal berlaku sepanjang kempen pilihanraya itu nanti.

Bagi Mukhriz pula, cabarannya selain mahu merampas kerusi DUN Sungai Limau, beliau juga akan bertanding untuk memenangi salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden pada pemilihan UMNO 19 Oktober ini.

Hanya empat hari selepas berakhirnya pemilihan UMNO yang akan menjadi penentu cerah atau gelap bintangnya dalam parti itu, beliau terpaksa mengumpul tenaganya semula untuk hari penamaan calon DUN Sungai Limau pada 23 Oktober yang turut menjadi kayu pengukur jatuh bangunnya sebagai peneraju kerajaan negeri Kedah.

Sementara di DUN Sungai Limau, semua pihak dalam UMNO mengharapkan kemenangan dan meletakkan harapan yang tinggi kepadanya tetapi di dalam pemilihan UMNO, kehadiran Mukhriz bertanding jawatan nombor tiga itu tidak berapa disenangi oleh beberapa pihak dan ada yang bersungguh-sungguh mahu mengalahkannya.

Selain penyandang Naib Presiden sedia ada dilihat selesa dengan status quo dan tidak menolak adanya pakatan kerana keserasian, serangan kepada Mukhriz yang mengaitkan kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan kedudukannya yang tidak pernah menjadi Ahli MT UMNO tetapi terus mahu melangkau ke jawatan Naib Presiden, semakin kerap didendangkan oleh kumpulan musuh-musuh politiknya menjelang hari pemilihan ini.

Kesungguhan untuk memastikan beliau tewas diyakini akan terus berjalan dan mungkin lebih hebat lagi menjelang hari-hari pengundian nanti.

Secara idealnya, untuk memberi kelebihan dari segi wibawa dan persepsi penerimaan rakyat dalam menghadapi pilihanraya kecil DUN Sungai Limau, Mukhriz sewajarnya diberi kemenangan sebagai Naib Presiden UMNO terlebih dahulu. Dengan memegang jawatan lebih kanan dalam UMNO Pusat, kehadirannya di hari penamaan calon dan semasa kempen pasti lebih menyerlah dan meyakinkan lagi.

Tetapi sekiranya beliau kalah dalam pemilihan 19 Oktober nanti, kehadirannya di hari penamaan calon akan kelihatan kusam dan tidak bererti kerana hadirnya beliau sebagai pemimpin yang ditolak oleh partinya sendiri. Kalau dalam peperangan, kehadirannya itu tidak lebih umpama jenderal yang patah kaki.

Dengan kalahnya Mukhriz juga, Pas tentunya akan mempergunakan isu tersebut kepada pengundi Sungai Limau untuk menolak UMNO dan akhirnya peluang UMNO merampas kawasan itu daripada Pas, tidak akan kesampaian.

Memberi kemenangan kepada Mukhriz sebagai salah seorang Naib Presiden pada pemilihan UMNO 19 Oktober ini tidak harus dilihat untuk kelangsungan masa depan anak Mahathir itu semata-mata tetapi hendaklah dilihat dari aspek untuk memberi sedikit kelebihan kepadanya dan UMNO untuk memenangi DUN Sungai Limau nanti.

Sekiranya Mukhriz kalah dalam persaingan Naib Presiden, kekalahan UMNO di Sungai Limau juga sudah dapat dibayangkan dan jika begitu keadaannya nanti, lebih baiklah UMNO memberi kemenangan percuma saja kepada Pas untuk terus menguasai kawasan itu. (SH 05/10/2013)

3 comments:

  1. Tuan Shahbudin, saya amat setuju. Jika Mukriz terpilih sebagai naib presiden sekaligus pengundi sg limau dapat melihat umno mahukan transformasi di kalangan pemimpinnya. lebih2 lagi pemimpi yg sudah tercalar mahupun yg terbukti gagl dan tak berkesan. juga klangan pengundi tua dan muda yg menghargai jasa tun dr mahathir kpd negara akan merasa terpanggil utk membalas khidmatbaktinya.

    ReplyDelete
  2. Jika Mukhriz terpilih, itu tiada kaitan dgn alasan yg dia anak Tun M. Saya berpendapat Mukhriz lengkap dgn kelayakannya tersendiri.

    ReplyDelete
  3. Anon 7 October,

    Saya bersetuju dengan pendapat tuan. Saya baru balik dari meninjau-ninjau suasana politik di Kedah (sebenarnya ada urusan lain dan kerana ada masa, tengok-tengok juga hal politiknya), berjumpa kaum kerabat dari umno, pas, pkr yang bawah-bawah, rata-rata menerima baik Mukhriz sebagai MB.

    Saya sendiri paling tertarik bila dia tidak mengamalkan sikap melonggokkan kesalahan atas kerajaan dahulu (yg dipimpin arwah Ustaz Azizan) atas apa juga kelemahan dan kekurangan Kedah.

    Dia mungkin 'soft', tapi taklah lembik macam Naib Presiden yang seorang tu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...