Thursday, 23 May 2013
Yang Hilang Jawatan Menteri Pun Angkuh Dan Sombong Juga
Bekas Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Noh Omar menuruti jejak langkah Zahid Hamidi, sebagai pemimpin kedua dalam UMNO yang masih mengekalkan sifat sombong dan angkuh dalam menangani kehendak dan rasa tidak puas hati yang wujud di kalangan sesetengah rakyat.
Jika Zahid yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri menyarankan mereka yang tidak setuju dengan sistem pilihanraya negara ini berpindah ke negara lain, Noh Omar pula menyarankan mereka ini supaya tinggal di dalam hutan.
Mereka yang tidak suka dengan sistem pilihanraya negara ini sewajarnya tinggal di dalam hutan, katanya yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor.
Sebagaimana kenyataan Zahid yang membangkitkan kecaman umum, termasuk Khairy Jamaluddin yang baru dilantik sebagai Menteri Belia Dan Sukan seakan tidak bersetuju dengan pandangan separa matang itu dan menganggapnya hanyalah pandangan peribadi, kenyataan Noh Omar ini tentunya juga mencetuskan naluri yang sama.
Sesiapa pun yang normal tidak akan bersetuju seorang pemimpin bercakap seperti itu kerana ia menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan sebagai pemimpin, suatu sikap yang amat tidak wajar dimiliki oleh mana-mana pemimpin sekali pun.
Yang lebih parah, dengan sikap sedemikian. UMNO akan dilihat oleh rakyat sebagai tidak mahu berubah dan pemimpinnya kekal dengan sikap sombong, angkuh dan enggan memahami perasaan rakyat.
Andai ramai yang boleh memahami kenapa Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang mungkin disebabkan keghairahan terlampau kerana dilantik mengepalai kementerian baru, tetapi ramai yang tidak faham dengan sikap Noh Omar ini. Setelah hilang jawatan menteri dan tidak dipercayai oleh pucuk pimpinan pun tetapi masih juga mengekalkan ego sombong serta angkuhnya.
Biasanya seseorang yang hilang jawatan secara mengejut, tambahan pula misinya untuk menawan Selangor juga gagal yang sekaligus mencerminkan kegagalannya sebagai pemimpin, akan terduduk menginsafi kesilapan dan keterlanjuran selama ini sambil berusaha menjadi lebih berhemah, lebih baik dan memahami rakyat tetapi Noh Omar seperti tidak memiliki sifat muhasabah diri itu.
Ketika menjadi menteri pun sombong dan angkuh, setelah hilang jawatan juga kekal seperti itu.
Seharusnya dalam keadaan sekarang, beliau bukan saja harus bermusabah kenapa Selangor gagal ditawan kembali dan rakyat secara majoritinya lebih meyakini PR di negeri itu tetapi sekurang-kurangnya juga memahami perasaan rakyat yang sedang bergelora dihatinya dan membantah keputusan pilihanraya lalu.
Sebagaimana Zahid, Noh juga menempelak rakyat yang didakwanya mempertikaikan sistem pilihanraya sedangkan apa yang dipertikaikan rakyat ialah proses pengendalian pilihanraya oleh SPR yang mereka yakini ada kecacatan dan kelemahan, berat sebelah dan perlu diperbaiki.
Beliau sepatutnya memahami isu yang dibangkitkan dan menyemak fakta-faktanya terlebih dahulu. Dalam isu dakwat kekal yang dipertikaikan misalnya, semua orang tahu ia tidak sekekal sebagaimana yang dipropakan oleh SPR, malah akhirnya SPR juga bersetuju untuk menubuhkan panel penyiasat bagi menyiasat isu yang paling banyak diperkatakan itu.
Maknanya, SPR juga mengakui ada kelemahan dan kesilapan.
Dalam memahami hati dan perasaan rakyat, Noh Omar harus membuang jauh-jauh sifat sombong dan angkuhnya. Fahamilah bahawa rakyat makin menolak UMNO dan BN. Kekuatan parti itu hanya tinggal di kampung-kampung dan desa pedalaman saja sedangkan penduduk bandar, separa bandar, golongan muda dan profesional semakin menjauhkan diri.
Daripada menang 140 kerusi pada 2008, pada pilihanraya lalu makin berkurangan kepada 133 kerusi saja dan lima tahun lagi belum tentu apakah nasib UMNO dan BN lagi.
Sementara baru ditolak sebagai menteri oleh Najib, eloklah beliau memikirkan memperbaiki apa-apa yang patut sebelum ditolak oleh rakyat pula. (SH 23/05/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment