Friday, 10 May 2013

Ramai Yang Kecewa Dengan Azmin Hari Ini...


Sidang akhbar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali begitu ditunggu-tunggu oleh semua orang hari ini. Ramai yang menyangka akan ada pengumuman mengejutkan dari beliau. Sejak ketidakhadirannya dalam perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, Rabu lalu serta tweetnya yang menimbulkan pelbagai tafsiran, kedudukan dan masa depannya mula menjadi bualan.

Hubungannya dengan PKR dan Anwar juga mula diperkatakan. Ramai yang mengandaikan beliau akan keluar PKR, tidak kurang pula mensensasikan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa.

Yang menyebarkan berita Azmin akan menyertai UMNO juga tidak kurang ramainya. Di laman sosial dan blog pula, pelbagai tafsiran mula diperkatakan mengenainya dirinya. Ada yang berkata jika beliau keluar PKR, bermakna seorang lagi anak Ali akan mewarnai politik Malaysia setelah Ibrahim Ali dan Dr Hassan Ali berbuat demikian sebelum ini.

Penjelasan Azmin dalam sidang akhbarnya sebentar tadi bahawa beliau akan terus kekal dalam PKR, tidak akan meletakkan jawatan, tidak akan meninggalkan perjuangan yang telah disertainya sejak 15 tahun lalu dan tidak akan menyertai UMNO, melegakan ramai orang yang mengharapkan beliau tidak mengecewakan perjuangan rakyat yang mahukan perubahan dan reformasi selama ini.

Dalam masa yang sama, UMNO yang mengharapkan Azmin akan berbuat sesuatu yang merugikan PKR, Pakatan Rakyat dan Anwar, turut kecewa dengan Azmin pada hari ini. Harapan mereka Anwar menjadi lemah, PKR dan Pakatan Rakyat akan kucar-kacir nampaknya tidak kesampaian. Azmin tetap bersama Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat, malah rasa hormat Azmin terhadap Anwar sebagai bekas bosnya juga tetap tinggi apabila setiap kali menyebut nama Anwar beliau menyebutnya dengan panggilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memang diakui bahawa politik Malaysia banyak bergantung kepada kelemahan pihak lawan. Kelemahan dan serangan terhadap pihak lawan sering diperbesarkan untuk meraih keuntungan. UMNO terutamanya, sejak tahun-tahun kebelakangan ini kelihatan amat bergantung kepada kelemahan itu untuk terus mendapat sokongan. Sebab itu mereka yang keluar dan meninggalkan PKR akan dipergunakan semahu-mahunya untuk menarik sokaongan rakyat.

Dengan keputusan pilihanraya 2013 yang tidak begitu memberangsangkan bagi UMNO dan memperlihatkan laluannya masih sukar dalam PRU 14 nanti, UMNO tentunya amat mengharapkan akan berlaku sesuatu yang menjurus ke arah perpecahan dalam rumahtangga lawannya.

Tersebarnya berita mengenai Azmin adalah berita yang amat ditunggu- tunggu oleh UMNO. Akhbar, blog dalan laman sosial pro UMNO sejak semalam lagi seperti tidak sabar-sabar menunggu berlakunya perpecahan dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Ramai yang memainkan berita bahawa Azmin akan keluar PKR dan meninggalkan Anwar. UMNO seperti sudah menyediakan nyiru untuk menerima kehadiran Azmin. Jika Azmin berbuat berbuat seperti yang diharapkan oleh UMNO, tentunya ia merupakan pukulan paling hebat buat Anwar dan PKR.

Ia bukan saja kerana kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden dan Pengerusi PKR Selangor tetapi juga kerana hubungannya yang lama dan begitu setia dengan Anwar sejak berpuluh tahun lamanya. Beliau umpama tangan kiri bagi Anwar sementara Wan Azizah adalah ibarat tangan kanannya.

Azmin mungkin ada sedikit kecewa dan ingin mengkritik sesuatu yang dirasakannya tidak betul dalam parti itu. Beliau jelas ingin maju ke hadapan dan mahu lebih fokus kepada PRU 14.

Yang pentingnya, Azmin tidak membawa perpecahan hari ini. Beliau kekal dan istiqamah dalam perjuangannya selama ini. UMNO dan musuh-musuh PKR mungkin kecewa dengan Azmin tetapi yang penting rakyat tidak kecewa dengan tindakan beliau pada hari ini. (SH 10/05/2013)

3 comments:

  1. Aiyo...dah kira buka pekung sendiri nampak gayanya...apa dah gila nak pegang kuasa kot...bawa2 la muhasabah diri dgn amanah sedia ada...kan dah kena jaga DUN n Parlimen, tak cukup lagi ke?

    ReplyDelete
  2. Azmin Ali,ibrahim Ali n hassan Ali berbapakkan org yg sama ke??perangai sama je,gila kuasa gak..

    ReplyDelete
  3. Melihat gelagat Azmin dan masa depan politiknya beliau tidak akan lebih lama dengan PR. Memandangkan tingkah lakunya kini lebih utamakan jawatan dan pangkat. Jika beliau istiqamah dalam perjuangan sudah tentu beliau tidak mengejarkan jawatan sebagaimana yg dilaporkan. Apa lagi membuat kenyataan dalam tweetnya untuk memdapatkan perhatian umum. Nampak sangat beliau cuba mempromosikan dirinya untuk jawatan MB itu meski pun beliau cuba menafikannya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...