Sunday, 12 May 2013

MCA Dan Gerakan Seperti Isteri Yang Merajuk


Keputusan MCA tidak mahu menerima jawatan dalam kabinet kerana jumlah kerusi yang dimenanginya berkurangan berbanding 2008 dan menandakan makin menipisnya sokongan kaum Cina terhadap parti itu, kini diikuti pula oleh Gerakan, sebuah lagi komponen BN. Walaupun tindakan kedua parti itu melambangkan intergriti yang tinggi dan sikap bertanggungjawab yang terpuji tetapi jika ia menjadi kenyataan akan menjadikan kabinet yang dibentuk Najib nanti menjadi tempang dan tidak melambangkan keharmonian kaum yang ada di negara ini.

Dalam pilihanraya lalu, MCA hanya menang 7 kerusi Parlimen manakala Gerakan cuma menang satu kerusi Parlimen sahaja.

Berikutan keputusan buruk itu, Presiden Gerakan Koh Tsu Koon sudah pun mengumumkan perletakan jawatan jawatannya berkuatkuasa 16 Mei ini manakala Presiden MCA, Chua Soi Lek pula mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan datang. Walaupun didesak oleh veteran MCA agar beliau mempercepatkan perletakan jawatannya, Soi Lek menolaknya dengan alasan ia akan dilakukan mengikut jadual yang telah direncanakan.

Bagaimanapun kedua parti itu kekal dengan pendirian menolak sebarang jawatan dalam kabinet dan kerajaan.

Jika Najib akur dengan permintaan kedua-dua parti itu dalam susunan kabinet yang dijangka diumumkan minggu depan, bermakna buat pertama kali tiada wakil MCA dan Gerakan dalam kerajaan. Andainya Najib mahu juga melantik orang Cina dalam kabinetnya, beliau terpaksa melantiknya daripada kalangan NGO atau profesional yang diyakininya boleh memikul tanggungjawab itu.

Tetapi jika keadaan ini berlaku, kedudukan MCA dan Gerakan akan menjadi tidak penting lagi di kalangan masyarakat Cina. Kedua parti itu mungkin akan terus dipinggirkan dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang.

Namun tindakan MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan juga sebenarnya bertujuan untuk mengugut masyarakat Cina supaya mereka merasa kesannya akibat tidak menyokong parti itu dalam pilihanraya lalu dan lebih memilih untuk memihak kepada DAP dan PKR dalam memberikan undinya.

Soalnya ialah sama ada masyarakat Cina termakan dengan ugutan itu atau sebaliknya akan menjadi lebih selesa jika tiada wakil kedua-dua parti itu dalam kerajaan?

Jika masyarakat Cina berasa kerugiannya, ada kemungkinan MCA dan Gerakan berpeluang meraih kembali sokongan dalam pilihanraya akan datang tetapi jika sebaliknya, MCA dan Gerakan boleh tutup kedai dibuatnya.

Dalam konteks yang lain, tindakan MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan termasuk tindakan beberapa MCA negeri meletakkan jawatan di peringkat kampung berikutan malu kerana tidak mendapat sokongan kaumnya sendiri, jelas merupakan ugutan halus kepada Najib sendiri untuk membuat pertimbangan dan keputusan.

Najib seperti sedang dipaksa untuk menerima hakikat sama ada MCA dan Gerakan masih penting dalam komponen BN dan dalam kerajaan atau sebaliknya.

Najib tentunya sukar menyusun barisan kabinetnya tanpa memasukkan wakil Cina, tambahan pula beliau telah menyebutkan bahawa keputusan buruk pilihanraya ini adalah disebabkan tsunami Cina yang tidak menyokong kerajaan. Jika beliau menuruti kehendak MCA dan Gerakan itu bermakna beliau juga berdendam dengan masyarakat Cina dan mahu menghukumnya.

Tindakan MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan juga mungkin bermaksud jika mereka mahu dipujuk untuk mengubah pendirian itu, mereka seharusnya diberi kedudukan yang lebih baik dan perhatian yang tinggi sesuai dengan tanggungjawab yang lebih berat untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina menjelang PRU 14 nanti.

Pengundi Cina sebenarnya menolak MCA dan Gerakan atas pelbagai faktor tetapi kini Najib cuba disusahkan sama atas berlakunya penolakan itu sedangkan sewajarnya kedua parti itu menunjukkan iltizamnya untuk berubah terlebih dahulu.

Tindakan yang rasional yang sewajarnya dilakukan oleh MCA dan Gerakan untuk masa depannya ialah dengan memperbaiki dirinya melalui penampilan baru yang melibatkan perubahan barisan kepimpinan, gerak kerja, hala tuju dan kemesraan dengan rakyat, sesuai dengan kehendak rakyat yang pelbagai ketika ini.

Ia mungkin juga memerlukan rombakan besar-besaran dalam aspek-aspek lain yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. MCA dan Gerakan haruslah berjiwa besar untuk memperbaiki lagi dirinya. Mereka tidak harus menjadi isteri yang merajuk yang mengharapkan pujukan dan hadiah besar sebaik mula mahu tersenyum.

Jawatan dalam kabinet dan kerajaan harus diterima kerana mereka komponen BN dan sebahagian daripada kerajaan, sambil itu cubalah memperbaiki diri dan wajahnya agar lebih diterima oleh pengundi Cina. Dengan bekeras menolak jawatan dalam kabinet dan lambat pula untuk berubah, MCA dan Gerakan akan lebih menyusahkan BN dalam PRU 14 nanti. (SH 12/05/2013)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...