Monday, 21 January 2013

Mahathir Mula Menyusahkan Masa Depan Anaknya, Mukhriz


Lagi berkenaan Mahathir. Dalam cubaan membersihkan namanya yang mula dikaitkan dengan pemberian kira-kira 200,000 kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah untuk kepentingan politik UMNO pada tahun 1994, bekas Perdana Menteri itu tidak saja mengaitkan Tunku Abdul Rahman yang dituduh lebih teruk daripada, bahkan beliau turut mencadangkan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI berkenaan dengannya.

Ketika Mahathir membandingkan kesalahannya dengan Tunku pun sudah ramai yang geleng kepala, apabila beliau mencadangkan turut ditubuhkan RCI berkenaan dengannya, ramai yang bertanya, apa sudah jadi dengan Mahathir sekarang ini?

Siapa yang mahu diseretnya dalam RCI sebelum merdeka itu? Kalau pun ingin membersihkan dirinya daripada kesalahan itu, tindakannya kali ini dianggap amat keterlaluan. Kenapa begitu jauh terlajaknya kali ini?

Apakah beliau sudah nyanyuk? Adakah Mahathir lupa bahawa beliau pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan tentunya lebih arif tentang perbezaan pemberian kad pengenalan yang dilakukannya pada 1994 dengan apa yang pernah dilakukan oleh Tunku dahulu.

Walaupun untuk menyelamatkan diri dan mengelak daripada dianggap bersalah, mengaitkan dengan Tunku adalah perbuatan keji dari segi moral, apalagi mencadangkan penubuhan RCI mengenainya.

Akibat daripada itu, Mahatahir kini bukan saja diserang oleh pelbagai pihak yang mula menpersoalkan kewajarannya berbuat demikian, tindakan beliau itu turut mengundang
perasaan kurang senang di kalangan kaum Cina dan India.

Mempersoalkan pemberian kad pengenalan datuk nenek kaum Cina dan India yang ada sekarang samalah seperti mempersoalkan kewarganegaraan mereka. Ia tentunya menghiris perasaan kedua-dua kaum itu, apatah lagi ia tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa sebelum ini.

Dalam suasana menjelang pilihanraya yang hampir tiba dan sokongan kaum Cina dan India begitu diperlukan oleh BN, tindakan Mahathir ini jelas menyusahkan semua orang. Sehingga ini MIC melalui salah seorang pemimpinnya, Vell Pari telah secara terbuka mengkritik Mahathir atas tindakannya yang dianggap bersifat perkauman itu.

Pemimpin MIC itu turut menyarankan supaya Mahathir menutup mulut dan menjadi pesara yang baik seperti pemimpin-pemimpin yang mengisytiharkan dirinya sudah bersara.

Jika Vell Pari, anak Samy Vellu mula berani membidas Mahathir, tidak mustahil MCA, Gerakan dan NGO berkaitan kaum Cina turut bersuara juga selepas ini. Jika itu berlaku, hubungan kaum akan kembali renggang dan 1Malaysia yang dicanang Najib sudah tidak bermakna lagi.

Beberapa pihak turut mengecam Mahathir kerana mengaitkan nama Tunku. Pihak pembangkang dan mereka yang arif tentang sejarah negara, turut mengecam Mahathir dalam hal ini.

Mahathir, dalam isu kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah ini, bukan saja mula menyusahkan Najib, UMNO dan BN tetapi mula dianggap beban kepada usaha BN mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang ini.

Penubuhan RCI ini telah lama diluluskan penubuhannya oleh kabinet tetapi hanya baru sekarang ia berfungsi. Ada dakwaan mengatakan ia sebahagian perancangan Najib untuk menutup mulut Mahathir dan supaya bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu mengganggu pentadbirannya kerana beliau tahu Projek IC ini didalangi oleh Mahathir.

Dan untuk melepaskan diri, Mahathir tidak saja mengaitkan kesalahannya dengan Tunku Abdul Rahman, tetapi turut mencadangkan penubuhan RCI berkaitan dengannya. Mahathir dalam hal ini jelas mahu membalas dendam kepada Najib kerana melalui dakwaannya terhadap Tunku dan mencadangkan RCI itu akan menyebabkan makin berkurangnya sokongan kaum Cina dan India kepada BN.

Tindakan Mahathr cuba menyusahkan Najib boleh difahami kerana beliau sejak kebelakangan ini didapati lebih cenderung mahu mempromosi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti bagi mengganti Najib yang dianggapnya lemah dan banyak masalah. Beberapa petunjuk ke arah itu semakin jelas dan dapat dibaca oleh sesiapa saja.

Tetapi tindakan terbaru Mahathir ini turut mendatangkan kesusahan kepada masa depan politiknya anaknya sendiri, Mukhriz yang kini menjadi timbalan menteri dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah. Secara langsung dan tidak langsung, langkah politik Mukhriz menjadi tersekat dan beliau juga mula dipandang serong oleh ramai orang akibat kelakuan melampau bapanya itu.

Orang Melayu yang melihat Tunku sebagai pejuang yang berjasa dan memerdekakan negara sama-sekali tidak dapat menerima Tunku dipersalahkan dalam memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India yang telah dipersetujui dengan British sebelum kemerdekaan itu. Oleh kerana Mukhriz satu-satunya waris Mahathir dalam politik, kepercayaan ramai kepadanya turut menurun akibat daripada itu.

Kaum Cina dan India yang tersinggung dengan keceluparan Mahathir itu, pastinya turut kecewa dan sekali lagi, Mukhriz juga yang akan menanggung akibatnya.

Jika orang lain menanggung beban politik kerana kesalahan atau tingkah yang tidak kena daripada anak dan isteri, Mukhriz pula sebaliknya. Beliau menanggung beban daripada karenah tidak sudah-sudah bapanya sendiri.

Selagi Mahathir ada dengan wataknya yang ada sekarang, Mukhriz juga terhalang untuk menonjolkan kebolehan sebenar serta bakatnya sebagai pemimpin sedangkan beliau diceburkan dalam politik adalah dengan matlamat menyambung warisan kepimpinan bapanya.

Kerana karenah bapanya itu, Mukhriz tidak berupaya menonjol seperti Hang Tuah yang suka membodek dan mengampu dan tidak juga mampu menjadi seperti Hang Jebat yang berani menegur dan bersuara. Mukhriz sekadar mampu menjadi seperti Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang kehadirannya tidak dirasakan oleh sesiapa, ada tidak menambah, dibuang tidak mengurang.

Dalam hal ini, jika Mahathir berdiam diri, ia jauh lebih baik untuk masa depan anaknya itu. Lagi banyak Mahathir bercakap, beliau bukan saja menyusahkan Najib, UMNO, BN, MCA, MIC dan lain-lainnya tetapi turut menyusahkan masa depan anak kesayangannya sendiri.(SH 21/01/2013).

1 comment:

  1. Tuan Shah,

    Apa yang sedang berlaku sekarang dengan Mahathir cukup untuk membuktikan bahawa manusia seorang ini cukup haprak, sombong dan bongkak. Pantang bagi manusia bernama Mahathir ini untuk dipersalahkan. Dengan kata lain semua yang dilakukannya betul belaka.

    Tengoklah isu Petron, syarikat yang anaknya mempunyai kepentingan. Bila wartawan bangkitkan perkara ini, ditempelaknya wartawan dan beliau memutar kata mengatakan PM lain terutamya Abdullah juga melakukan perkara yang sama. Mahathir ini memang kaki putar belit. Isu Memali misalnya di spin oleh beliau, menyalahkan Musa Hitam walhal yang memegang tampuk kuasa ketika itu adalah beliau. Beliau sebenarnya menunggu waktu ketiadaannya dalam negara untuk mengarahkan baruanya melakukan sesuatu yang besar dan sensitif supaya mudah beliau menyalahkan orang lain walau pun arahan itu datang darinya.

    Perangai ular yang suka membelit wujud dalam diri Mahathir malah inilah adalah satu contoh terbaik manusia berlidah cabang. Dalam keaadan UMNO BN sedang tenat dan melihat akan kebangkitan musuh politiknya Anwar Ibrahim yang semakin gagah dan disokongi ramai, resah dijiwa Mahathir menyebabkan manusia ini sejak kebelakangan ini semakin bersikap bodoh dan membabi buta. Fikiran runsing beliau mencelarukan segalanya sampaikan mencari alasan dungu dan tidak masuk akal untuk lepaskan diri.

    Mukhriz pada dasarnya bukanlah berkredibili sangat. Mukhriz berada di kedudukan sekarang semata mata atas pengaruh bapanya. Malah dalam isu harga tender kereta murah yang di war war oleh PR, jawaban Mukhriz sangatlah menampakkan ketidakcerdikan beliau. Tanpa Mahathir Mukhriz sebenarnya tidak mampu untuk berdiri sendiri. Beliau menjawat jawapan Menteri pun adalah atas ihsan PM kerana pengaruh bapanya Mahathir.

    Jika Mukhriz seorang pemimpin yang pintar beliau seharusnya lama sedar bahawa banyak perkara yang dilakukan Mahathir itu hanya lebih merugikan UMNO BN. Beliau sepatutnya bijak mencari jalan untuk mengekang banyak tindakan bodoh dan keterlaluan Mahathir dalam banyak perkara. Malangnya Mukhriz tidak seperti Marina, anak perempuan Mahathir yang kelihatan lebih mampu untuk membuat keputusan sendiri. Hakikatnya Mukhriz bukanlah calon yang sesuai untuk disokong dan ditonjolkan sebagai pemimpin masa depan di Malaysia.

    Tanpa Mahathir dan dengan peningkatan kebencian ramai kepada Mahathir, laluan Mukhriz tentulah lebih sukar. Apa pun situasinya kedua bapa dan anak ini tidak wajar lagi diberi ruang dalam arena politik Malaysia kerana umum tahu punca huru hara dan caca marba dalam sistem pentadbiran dan perundangan di Malaysia ini adalah dari perbuatan buruk dan kotor yang dimulai oleh Mahathir Mohamad ini sewaktu dia sebagai PM Malaysia.

    Jangan sesekali membenarkan Mahathir dan anak beranak beliau kembali bangun dan terus berkuasa dalam arus politik Malaysia kerana terlalu banyak kehancuran yang telah disebabkan oleh keluarga berdarah Si Kitol ini. Tanpa Mahathir dan legasinya UMNO BN akan lebih mudah untuk diperbetulkan agar kembali ke landasan seperti asal.

    Ingatlah pesanan almarhum Tunku Abdul Rahman di penghujung hayatnya tentang manusia bernama Mahathir ini. Begitu juga dengan kata kata arwah alfadhil ustaz Fadhil Noor tentang melayu Kerala ini semasa hayatnya. Samada dari dalam UMNO mahu pun di luar UMNO sendiri...Mahathir ini telah dianggap sebagai perosak parti dan negara oleh tokoh tokoh pimpinan utama negara kita sebelumnya.

    Hanya manusia manusia yang bermasalah atau mereka mereka yang mengharap " imbuhan dari kantung kekayaan " Mahathir sahaja akan terus menjilat apa saja yang Mahathir kata dan lakukan. Dan tidak siapa dapat nafikan tegaknya pertubuhan samseng PERKASA adalah kerana Mahathir. Tanpa Mahathir..PERKASA bakal menjadi PEKASAM!. Dan ketika itu katak pasir mas akan terpaksa berhijrah ke sarang baru.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...