Thursday, 24 January 2013

Idris Haron Bakal Ketua Menteri Melaka?



Apabila Ali Rustam baru-baru ini mengesahkan keinginannya untuk bertanding kerusi Parlimen pula dalam pilihanraya akan datang, jawatan Ketua Menteri Melaka yang disandangnya sejak 1999, mula menjadi rebutan dan perhatian beberapa tokoh politik negeri itu.

Ali Rustam berkata, beliau sudah pun memaklumkan hasratnya itu kepada Najib dan kini terserah kepada Najib untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak hasratnya itu.

Antara nama-nama yang disebut bakal menggantikan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka ialah Idris Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Exco Kerajaan Negeri, Ahmad Hamzah dan Mat Sirat Abu, Ahli Parlimen Bukit Katil yang merupakan orang kepercayaan Ali Rustam.

Sebelum menjadi Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam juga pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dan kembalinya beliau bertanding kerusi Parlimen, harapannya tentulah beliau diberikan jawatan menteri penuh atau sekurang-kurangnya timbalan menteri andainya BN mampu mengekalkan kuasanya selepas PRU 13 ini.

Sebagai Pengerusi UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bukit Katil, jika permintaannya untuk bertanding kerusi Parlimen ditunaikan oleh Najib, beliau mungkin bertukar kerusi dengan Mat Sirat. Ini akan menjadikan Ali bertanding di Parlimen Bukit Katil dan Mat Sirat pula bertanding di kerusi DUN yang sekarang ini dipegang oleh Ali Rustam.

Di antara ketiga-tiga nama yang disebut bakal menggantikan Ali Rustam itu, Idris Haron yang juga ahli MT UMNO diketahui paling kuat melobi Najib bagi mendapatkan jawatan tersebut. Beliau kini dikatakan menggunakan pengaruh seorang ahli MT iaitu Azeez Rahim, Pengerusi Kelab Putra UMNO untuk tujuan tersebut.

Azeez yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan Rosmah dikatakan sedang memainkan peranannya untuk meyakinkan Najib bahawa Idris Haron adalah pilihan yang sesuai dan tepat untuk menggantikan tempat Ali Rustam itu.

Melalui Kelab Putra UMNO yang diterajuinya dan banyak memainkan peranan memberi bantuan kemanusiaan ke pelbagai negara di dunia, Azeez telah berjaya menjalin hubungan dengan rapat dengan Najib melalui NGO yang diterajuinya itu. Ditambah dengan perwatakannya yang mudah mesra, Azeez kini dikenali antara pemimpin UMNO yang mempunyai hubungan rapat serta akses terus dengan Najib dan boleh bercakap banyak perkara dengan Perdana Menteri.

Kelebihan yang dimilikinya itu kini sedang dimanfaatkan oleh Idris Haron untuk membantunya menjadi Ketua Menteri Melaka.

Kedudukannya sebagai pemimpin muda dijadikan alasan utama, sesuai dengan arus semasa yang mahukan lebih ramai pemimpin muda diberikan tempat dan peluang menggantikan pemimpin-pemimpin lama.

Idris Haron sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tetapi digugurkan sebaik Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009 lalu. Menyedari bahawa dirinya bukan dalam lingkungan "orang-orang Najib" dan masih dicop mempunyai hubungan yang rapat dengan KJ sebelum ini, Idris terpaksa menggunakan pengaruh Azeez Rahim bagi memudahkan laluannya mengisi jawatan Ketua Menteri Melaka itu.

Sementara Ali Rustam pula, walaupun masih berdiam diri dan tidak pernah menyebut sesiapa sebagai bakal penggantinya, tetapi beliau dikhabarkan lebih menyenangi Ahmad Hamzah, Ketua UMNO Jasin dan Exco Kerajaan Negeri sejak sekian lama, sebagai penggantinya.

Walaupun sudah berusia tetapi faktor pengalaman dan berjiwa tenang menjadi kelebihan kepada Ahmad Hamzah yang menjadikan beliau lebih disenangi oleh Ali Rustam untuk menggantikan tempatnya itu.

Satu lagi faktor kelebihan Ahmad Hamzah ialah beliau merupakan menantu Allahyarham Tun Ghafar Baba dan pemilihannya mungkin sebagai salah satu cara mengenang jasa serta membalas budi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain Ahmad Hamzah, Ali Rustam juga berkemungkinan melobi kepada Najib supaya meletakkan seseorang yang boleh dikawal dan dipercayai sepenuhnya untuk menggantikan tempatnya itu. Jika itu yang dilakukannya, Ali Rustam pastinya melobi Mat Sirat yang kini menjadi Ahli Parlimen Bukit Katil. Sebelum itu, Mat Sirat pernah menjadi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik Ali Rustam dan diketahui umum sebagai orang yang paling dipercayainya di Melaka.

Sementara itu, hasrat Ali Rustam bertanding kerusi Parlimen juga berkemungkinan untuk membolehkannya bertanding jawatan yang lebih kanan dalam pemilihan UMNO yang bakal diadakan penghujung tahun ini.

Beliau yang dalam pemilihan lalu dibatalkan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO atas dakwaan salah laku oleh Jawatankuasa Disiplin, mungkin kembali untuk bersaing merebut sekurang-kurangnya jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini. (SH 24/01/2013).






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...