Monday 18 May 2015

Puas Hati Dengan Jawapan Najib? Kenapa Isu Rosmah Tidak Dijawab Sama?


Setelah berbulan-bulan berdepan kritikan berterusan mengenai pelbagai kepincangan dalam pentadbirannya daripada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, barangkali kerana semalam adalah hari minggu yang agak lapang baginya, Najib Razak akhirnya meluangkan masa menjawab 13 dakwaan yang kerap dibangkitkan terhadapnya.

Antara yang dijawabnya ialah mengenai pembunuhan Altantuya, 1MDB, pembelian jet, kemungkinan BN kalah dalam pilihanraya akan datang, prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah, BR1M, Jambatan Bengkok dan sebagainya lagi.

Persoalan dan jawapan itu dimuatnaik dalam blog NajibRazak.com miliknya.

Mengenai Altantuya, Najib nampaknya mengulangi fakta lama dengan mengatakan proses mahkamah untuk kes itu sudah pun berakhir, manakala beliau pula sudah disahkan tidak terbabit sama-sekali, selain telah bersumpah laknat menafikan mengenali wanita Mongolia terbabit.

Perdana Menteri seakan-akan menempelak Tun Mahathir dengan bertanya, kenapa persoalan ini hanya diperkatakan sekarang dan bukannya lapan tahun lalu? 

Dalam hal ini, pertanyaan bekas Perdana Menteri kepada Najib hanyalah mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.

Tentang 1MDB juga, Najib sekali lagi meminta semua pihak menunggu hasil siasatan audit yang sedang dijalankan ketika ini. Misteri hutang setinggi RM42 bilion dan ke mana hilangnya RM27 dalam syarikat pelaburan itu yang merupakan antara asas kritikan Tun Mahathir, langsung tidak disentuhnya.

Begitu juga mengenai peranan dan penglibatan Jho Low dalam beberapa pelaburan 1MDB di luar negara, turut tidak dijawab oleh Najib. Berdoalah kita siang malam mudah-mudahan laporan audit nanti menemui nama Jho Low dalam siasatannya!

Berkaitan pembelian jet baru di ketika hutang negara terus meningkat dan rakyat baru dibebankan dengan GST, Najib mengatakan ia sebagai keperluan untuk kecekapan kerja, termasuk mengadakan mesyuarat di atas pesawat serta ia juga merupakan amalan standard pemimpin lain di dunia.

Katanya, dengan adanya pesawat itu, mesyuarat dan perbincangan boleh diadakan di atas kapal dan urusan negara boleh berjalan terus walaupun semasa penerbangan.

Hakikat bahawa negara sudah memiliki sekurang-kurangnya enam jet dan kos diperkatakan ramai lebih mahal iaitu hampir RM500 juta untuk pembelian jet baru ini juga dipandang sepi oleh Najib dalam jawapannya.

Cumanya, harapan rakyat Malaysia selepas ini ialah agar Najib tidak lagi pulang dengan pengangkutan awam apabila ada tugas kecemasan dalam negara dan meninggalkan jetnya bergentayangan di luar negara digunakan oleh orang lain?

Mengenai kemungkinan BN akan kalah pula, Najib mempertahankan keyakinannya BN akan terus kekal sebagai pemegang kuasa selagi semua pihak memberikan sokongan penuh kepadanya dan tidak berbalah sesama sendiri.

"Kalau kita tumpukan kepada politik yang membina, bukannya yang menghancurkan, kita akan berjaya," katanya yang jelas dilihat sebagai menyindir Tun Mahathir.

Dalam masa yang sama, Najib juga berhujah bahawa prestasi UMNO di bawah kepimpinannya dalam memenangi pilihanraya adalah lebih baik berbanding ketika pemerintahan Tun Abdullah.

Hujahnya ialah berdasarkan  jumlah kerusi kemenangan UMNO pada PRU 13 lebih tinggi berbanding PRU 12 serta kejayaan merampas Kedah, mengekalkan kuasa di Terengganu dan mengukuhkan kedudukan di Perak.

Malangnya Najib langsung tidak menyentuh jumlah kerusi kemenangan BN yang merosot tujuh kerusi daripada 140 kepada 133 di bawah kepimpinannya dan undi popular BN hanya sekitar 47 peratus saja yang mampu diraihnya.

Lebih dari itu, Najib juga mengenepikan fakta bahawa beliau adalah satu-satunya Perdana Menteri yang pertama kali memimpin pilihanraya tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga dan undi popular yang selesa yang tentunya menggambarkan beliau tidak  popular di kalangan rakyat pelbagai peringkat.

Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah, ketika pertama kali mengadakan pilihanraya umum sebaik mengambil alih teraju parti dan negara, semuanya berjaya mendakap kemenangan dua pertiga dalam pelukan masing-masing. Hanya Najib gagal memeluknya.

Najib juga  tidak menyentuh kewujudan pelbagai masalah dalam negara yang berpunca daripada kelemahan kepimpinannya sekarang yang menjadikan sokongan rakyat makin merudum dari semasa ke semasa. Keputusan di Rompin dan Permatang Pauh tidak menyedarkan apa-apa kepada Najib.

Yang barangkali tidak disedari Najib ialah apakah di sebalik pelbagai isu yang melanda dirinya, petunjuk makin ketara sokongan kian terhakis, sokongan boleh terus diberikan atau melanjutkan sokongan bermakna menambahkan lagi kerosakan yang ada?

Satu perkara yang Najib tidak sentuh langsung ialah mengenai karenah dan masalah yang ditimbulkan oleh isterinya, Rosmah Mansor sedangkan ia bukan saja menjadi percakapan paling popular di kalangan rakyat, bahkan Tun Mahathir juga baru-baru ini mendakwanya berlagak seolah-olah Perdana Menteri.

Kenapa ia tidak disentuh atau tidak berani disentuh hanya Najib yang mengetahui sebab-sebabnya.

Secara keseluruhannya, termasuk isu-isu lain yang disentuhnya, jawapan Najib ini hanya memperlihatkan beliau ada jawapan tetapi hakikatnya tidak menjawab segala persoalan, baik yang ditanyakan oleh Tun Mahahir, mahupun yang bermain-main di fikiran rakyat.

Adakah majoriti rakyat berpuas hati dengan jawapan Najib itu? Melonjakkan sokongan rakyat kerananya? (SH 18/05/2015)

15 comments:

  1. mcmana nak puas hati kalo jawapan mcm org setengah gila.....org tanya lain di jawab nye lain...Najib nie tak gi skolah ke?

    ReplyDelete
  2. Untuk soalan Tuan Blog diperenggan terakhir tu jawapannya ialah...No Way!!

    Makin meluat adalah dengan Najib Cash is King..

    ReplyDelete
  3. 90 year old man berani bersuara di pentas tapi PM yg berkuasa dan jauh lebih muda hanya berani jawab dalam blog..

    ReplyDelete
  4. Ada yang baru ke ? Jawapan tu macam skrip Ahmad Maslan je..

    ReplyDelete
  5. Barangkali kerana ilmu menderem dan "nasi kangkang" yang membuat Najib seakan seram dan tidak mempunyai cukup keberanian mengulas dan menyentuh hal penglibatan keterlaluan isterinya Rosmah dalam banyak hal berkait pengurusan kewangan negara.

    Tentu ada sebab yang kukuh kenapa Najib jadi kecut dengan isteri sendiri. Kejadian beliau disiku dalam satu acara lawatan luar negara menunjukkan Najib ini tak lebih dari "patung" mainan si Rosmah. Sebab itu anak anak Rosmah menjadi kaya raya luar biasa dan kita tidak perlu terkejut bila Deepak Jaiskisyan dan Jho Low sendiri mengakui hubungan mereka dengan Rosmah bagaikan adik dan kakak. Bukankah 2 orang ini terbukti terlibat dalam kes besar yang menghantui Najib iaitu pembunuhan Altantuya dan 1MDB yang diperkatakan sekarang ini.

    Hutang negara di era Najib meningkat dengan kadar luar biasa walau pun pentadbiran Najib baru beberapa tahun saja. Banyak yang tidak kena dengan pasangan suami isteri ini yang telah diberi mandat oleh rakyat dan direstui sendiri oleh Tun M sebelumnya. Najib perlu diundurkan segera either by hook or by crook. Pasangan ini adalah PM Malaysia paling hampas selama ini.

    ReplyDelete
  6. Pasangan kangkung dan hippo lebih kepada kelakuan celebrity BUKAN saperti pemimpin yang berkebolehan dan amanah.

    ReplyDelete
  7. Jawapan tak ikut piawaian. Kalau kertas SPM mmg kantoi.Lari dari tajuk.. Asik2 tunggu lapuran audit. Kalau nk tunggu smpi kucing bertanduk lah.Bkn ke sumer bwh dia? Takkan jentera bwh2 tu suka2 buat keje kalau bkn arahan dia? Ni nk jawab pun berapa py lama lah. Tgu org atau bini dia buat skrip kot..

    ReplyDelete
  8. isu yang syok salah satu nya jet..

    kita mengetahui bahawa malaysia termasuk sbg sebuah negara maritim..dan pertahanan di perairan kita sejarang cukup sensitif dgn pencerobohan di perairan sabah dan terbaru kes culik dan PATI di perairan langkawi.

    kerajaan dan ATM selama ni telah sedar bahawa kita amat memerlukan sebuah pesawat yang di kenali sbg pesawat sistem radar dan kawalan udara bg memantau perairan di negara kita dari di cerobohi...

    dan aset tersebut seringkali jd perhatian tetapi tidak mampu di perolehi akibat kekangan kewangan...tapi dlm pada masa yg sama rasional kah kerajaan mampu tukar jet yg baru berusia 20an mengikut umur pesawat 20an masih releven untuk di gunakan...tapi masih blur dlm perolehan aset penting demi keselamatan negara?

    ReplyDelete
  9. Beberapa buah jet Najib perlukan?. Sepengtahuan umum jet yang ada amat mencukupi dan under utilised pulak. Nampak sangat ada tujuan lain yang tersembunyi. Mengenai mesyuarat diatas awan pula adakah Najib telah ketandusan tanah dibumi untuk mengadakan mesyuarat diangkasa?. Ini semua mengunakan kuasa ditangan untuk perabis duit rakyat sahaja.

    ReplyDelete
  10. Yang nyata, PM Najib tak jawab langsung soalan Tun M ke mana perginya wang 1MDB yg berbillion RM itu. Balik2 dia kata nak tunggu laporan audit. Maknanya, dia tak tahu apa terjadi dengan kerugian wang berbillion RM itu. Sungguh pelik! Apapun, para pemimpin UMNO tetap beri markah 100% kpd jawapannya.

    PM Najib balik2 nafi dia tidak terlibat dgn kes Altantuya. Tun M dah beberapa kali kata dia tak pernah tuduh PM Najib terlibat. Atas kata2 si Sirul dan emaknya sprt yg telah dilapotkan dlm mass media, Tun M minta siasat siapa yg keluarkan arahan kpd 2 org yg berkenaan membunuh Altantuya. Itu saja yg Tun M mahu.

    ReplyDelete
  11. Semoga perbincangan dan mesyuarat2 penting yg kerap akan berlangsung di udara (di dalam jet yg baru) selepas ini akan menjadikan Malaysia negara yg lebih maju dan disegani oleh negara2 lain.

    Obama pun nampaknya kena buat macam PM Najib juga, bermesyuarat dan berunding dengan pembesar2 USA dalam jet yg canggih dan mahal.

    Malaysia Boleh!

    ReplyDelete
  12. Najib suka guna jalan berliku dan bengkang bengkok sedangkan zaman ni dah ada hiway Napa ye???

    ReplyDelete
  13. Anda semua jangan lupa Najib pernah mengaku yang dia mendalami ilmu Machiavelli di private school terkenal UK tu betapa beliau boleh menguasai semua keadaan.. dari wasatiyyah, berlakon didepan camera masa banjir, berhadapan dengan Presiden yang paling berkuasa didunia, bergedik joget slow number diKazakstan, begitu teruja dengan poster2 syok sendiri I-Luv-PM, menjawab pertanyaan2 awam seperti siapa arah Sirul membunuh Altantuya, atau berlebihan mengaku keturunan Bugis atau tidak memberi jawapan yang direct kepada soalan2 TDM..

    Rakyat mesti memahami taktik Machiavelli ini untuk memahami jawapan2 yang diberi Najib menjawab persoalan2 TDM dan rakyat.

    ReplyDelete
  14. Sebodoh2 pm....pun tak mampu kita buang !
    Mcm mana tu ?
    Seboros2 rosmah....pun tak mampu kita heret ke muka pengadilan....lagi berat ?
    Sebanyak2 duit anak mereka ...pun tak mampu kita dakwa ?
    Sebesar2 kes 1mdb .....pun tak dapat panggil forensik auditor....mengapa ?
    Sebanyak2 persoalan....hanya jawab dlm blok saja ?
    Lalu KITA jelaskan kemarahan kita pada laman sosial......

    MENGAPA ?
    MANA SALAH DAN SILAP KITA ?
    BUANG JE.....
    TU SEMUA DAH JADI BRG LUSUH....LIABILITI NEGARA.....

    ReplyDelete
  15. Sebodoh2 pm....pun tak mampu kita buang !
    Mcm mana tu ?
    Seboros2 rosmah....pun tak mampu kita heret ke muka pengadilan....lagi berat ?
    Sebanyak2 duit anak mereka ...pun tak mampu kita dakwa ?
    Sebesar2 kes 1mdb .....pun tak dapat panggil forensik auditor....mengapa ?
    Sebanyak2 persoalan....hanya jawab dlm blok saja ?
    Lalu KITA jelaskan kemarahan kita pada laman sosial......

    MENGAPA ?
    MANA SALAH DAN SILAP KITA ?
    BUANG JE.....
    TU SEMUA DAH JADI BRG LUSUH....LIABILITI NEGARA.....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...