Tuesday 25 November 2014

Meskipun Tak Jadi Ke Luar Negara, Kehadiran Mahathir Dalam PAU 2014 Masih Lagi 50-50


Menjelang dua hari lagi sebelum majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO atau PAU 2014 pada hari Khamis ini, kehadiran bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sudah menarik balik sokongan dan banyak menegur kepimpinan Najib Razak, masih lagi belum pasti sebenarnya.

Bagaimanapun, Mahathir sebenarnya sudah menetapkan pendirian untuk tidak menghadiri perhimpunan kali ini dengan berkunjung ke luar negara. Tidak dipastikan sama ada kunjungannya ke luar negara itu bagi memenuhi program rasmi, bercuti atau seumpamanya.

Tetapi, oleh kerana kesihatannya tidak mengizinkan, lalu pemergiannya ke luar negara itu dibatalkan. Lantaran itu, jika keadaan kesihatannya bertambah baik, beliau mungkin akan hadir juga.

Dalam tulisan terbaru di blognya, bekas Perdana Menteri itu menulis dengan ayat pembukaan "Perutusan ini ditulis kerana saya tidak dapat hadir di Mesyuarat Agung UMNO kerana berada di luar negara. Tetapi oleh kerana saya kurang sihat untuk ke luar negara, saya mungkin hadir Insya'allah. Bagaimanapun saya ingin membuat kenyataan ini juga."

Jelas bahawa perancangan Mahathir ialah tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dan untuk itu sudah menyediakan suatu bentuk kenyataan atau tulisan di blognya untuk dibaca oleh ahli-ahli UMNO.

Namun, pemergian ke luar negara itu terhalang kerana faktor kesihatan. Disebabkan hal yang sama juga, Mahathir turut tidak hadir memberi ucaptama di Konvensyen Perpaduan Nasional pada Ahad lalu.

Meskipun demikian, kehadiran Mahathir hakikatnya masih lagi 50-50 dan bergantung kepada keadaan kesihatannya dalam sehari dua ini. Jika kesihatannya bertambah baik, mungkin beliau akan hadir, tetapi jika keadannya masih tidak mengizinkan  dan dinasihatkan oleh doktor agar lebih banyak berehat, sudah tentu beliau tidak menghadirinya.

Blog ini dalam postinya pada 19 November lalu ada menyarankan agar Mahathir tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini bagi membuktikan keseriusannya menegur dan mengkritik Najib.

Walaupun sudah menegur dan menarik balik sokongannya kepada Najib tetapi Perdana Menteri seperti tidak mengendah dan menghiraukan segala teguran itu, walaupun ianya jelas untuk kebaikan parti dan negara.

Sehubungan itu, blog ini berpendapat, sebagai bekas Perdana Menteri yang masih mempunyai pengaruh, hanya dengan memboikot perhimpunan kali ini saja mampu menyedarkan Najib agar tidak terus berkhayal dalam dunianya sendiri yang sebenarnya semakin buruk pada pandangan umum.

Dalam perutusa di blognya yang disiapkan kerana tidak dapat menghadiri Perhimpunan UMNO kali ini, Mahathir  sekali lagi menekankan pentingnya menegur pemimpin kerana tanpa teguran, pemimpin akan percaya apa yang dilakukannya adalah betul belaka, meskipun ia sebenarnya adalah salah dan tidak baik.

Beliau juga mengingatkan mengenai kedudukan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn serta dirinya yang bukan saja ditegur, malah dicabar. 

"Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan," tambah Mahathir lagi.

Selain itu, Mahathir juga mengingatkan bahawa UMNO sekarang tidak lagi sepopular dulu, bahkan ada yang mengatakan tidak relevan lagi.

"Sedikit-sebanyak pandangan ini berasas. Jika UMNO dikalahkan dan hilang dari muka bumi ini, kepimpinan dan ahli UMNO tidak boleh nafi sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang banyak berjasa bangsa Melayu dan negara itu.

"Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan ahli UMNO?" soalnya.

Bagi pandangan Mahathir, kesalahan itu ialah pertama, menganggap UMNO sebagai batu loncatan untuk memperkaya diri sendiri dan  keduanya, tiada lagi teguran dilakukan.

Menurut beliau, wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung UMNO perlu terus melakukan teguran, terutama berkaitan perkara-perkara yang hangat dibincang oleh orangramai sekarang ini. 

Manakala pemimpin pula, tegasnya perlu dengar dan ambil berat segala teguran daripada perwakilan itu dengan baik.

Mereka, tambah beliau, janganlah hanya mendengar pandangan orang tertentu di sekelilingnya saja kerana pandangan mereka yang berada di keliling orang berkuasa itu adalah tidak baik bagi mereka. (SH 25/11/2014)

1 comment:

  1. Umno masih menekalkan manusia-manusia macam Sharizat yang terang-terang rembat duit rakyat dan umno buat don no saja.maka naiklah tocang betina Madras ni yang dia ingat rakyat bodoh macam dia.Sudah Sharizat ooiii pergilah berambus,buat menyemak dunia melayu saja.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...