Saturday, 1 June 2013
Jawatan Presiden UMNO Memang Perlu Ada Perlawanan
Najib hari ini menyatakan kesediaan jika beliau dilawan dalam pemilihan UMNO pada penghujung tahun ini. Ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya sekarang akan menyaksikan pertandingan berikutan prestasi BN yang lebih buruk berbanding 2008, Najib sekadar menjawab bahawa UMNO adalah parti yang mengamalkan demokrasi dan terbuka kepada sebarang pertandingan.
Pertanyaan pemberita kepada Najib ini sebenarnya adalah susulan sudah timbulnya cakap-cakap di bursa politik bahawa kemungkinan kedudukan Najib tidak lagi selamat berikutan keputusan pilihanraya yang lalu. Berbanding 2008, sebagaimana yang diketahui, kemenangan jauh lebih buruk. Selain gagal mendapat 2/3 majoriti dan jumlah kerusi yang dimenangi berkurangan daripada 140 kepada 133, BN juga kehilangan undi popular daripada rakyat.
Jika dengan kemenangan 140 kerusi Pak Lah dipaksa berundur, tiada sebab Najib yang menang 133 mahu diselamatkan. Selain cakap-orang ramai mengenai kedudukan Najib yang mungkin dilawan oleh timbalannya, Muhyiddin atau tokoh lain, UMNO cawangan yang dalam pemilihan kali ini mempunyai kuasa besar berikutan peraturan pemilihan yang baru dikuatkuasakan juga sedang tertunggu-tunggu bertiupnya angin perubahan tersebut.
Ramai yang mahukan perubahan kerana merasakan Najib sudah diberi peluang dan ternyata beliau telah gagal. Mereka bimbang jika Najib lagi yang memimpin BN dan kerajaan dalam pilihanraya akan datang, nasib yang lebih buruk akan menimpanya. Ini kerana Najib tidak menunjukkan perubahan yang memuaskan, baik dari segi pengurusan kerajaan, pemilihan calon dan pembentukan kabinetnya.
Ramai yang sangsi dengan keupayaannya dan mahukan orang lain pula dicuba. Jika mengikut tradisi, berikutan kegagalan yang dialami BN, Najib bukan setakat menyatakan kesediaannya untuk dilawan dalam pemilihan UMNO, bahkan beliau sepatutnya berundur. Jika Pak Lah dan Tunku Abdul Rahman berundur setelah ada desakan, Najib sepatutnya dengan rela hati berbuat demikian sebagai tanda beliau sayangkan UMNO.
Ini kerana berbanding Pak Lah dan Tunku, skop kegagalan Najib lebih luas dan mendalam lagi. Siapa yang patut mengambil alih tempat Najib, mungkin Muhyiddin atau mungkin juga tokoh lain yang boleh diterima oleh semua pihak.
Selagi Najib yang dikira gagal ini terus menimpin UMNO, BN dan kerajaan dalam PRU 14 nanti, harapan untuk BN memperolehi keputusan yang lebih baik adalah hampir mustahil. Najib terlalu banyak retorik dan janii untuk berubah tapi semuanya kosong. Janji calon winnable tidak dipatuhi dan perlantikan menteri-menteri juga menunjukkan janji untuk berubah hanya palsu.
Pembentukan kabinet seharusnya digunakan untuk menunjukkan kerajaan sedia untuk berubah dan bekerja untuk rakyat tetapi melaluinya lebih terlihat kecenderungan untuk melantik kawan-kawan dan mereka yang boleh mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan UMNO saja. Bayang-bayang Muhyiddin seperti sudah mula menghantuinya.
Keyakinan rakyat yang diterjemahkan melalui undi popular juga menunjukkan BN dalam bahaya menjelang pilihanraya akan datang. Dua bekas menteri, Daim dan Zainudin Maidin pula sudah mula melemparkan kritikan terhadap Najib. Di kalangan ahli UMNO, percakapan mengenai pertandingan juga semakin hangat.
Ini menunjukkan keperluan kepada pertandingan atau lebih tepat lagi, Najib sepatutnya ditukar sebelum PRU 14. Hanya dengan pertukaran Najib, keyakinan rakyat pelbagai kaum, generasi muda, golongan profesional, pengundi bandar dan separa bandar serta pengundi Cina akan muncul kembali.
Jika selama ini UMNO cawangan hanya menjadi tukang sorak saja dalam pemilihan UMNO sedangkan yang berhak menentukan kepimpinan UMNO adalah perwakilan bahagian seramai 15 orang tetapi dengan peraturan baru ini meletakkan peringkat cawangan mempnyai peranan yang lebih besar. Mereka mempunyai kuasa mengundi dan membuat perubahan kerana pengundian akan ditentukan oleh wakil daipada cawangan.
Inilah masanya UMNO cawangan sebagai mewakili suara akar umbi, menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada parti dan bukannya sayangkan kepada pemimpin semata-mata. Buatlah perubahan dan pastikan perubahan itu dapat memastikan ia tidak terus merudum dalam pilihanraya lima tahun lagi. Jika Najib tidak mahu berundur, biarlah pemilihan UMNO yang menentukan siapa yang paling layak menjadi ketua. (SH 01/06/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Mana-mana pemimpin yang gagal membawa kemenangan yang diinginkan kapada pasokan atau party moleklah berundor secara terhormat.
ReplyDeleteNajib harus berundor begitu juga dengan Anuar Ibrahim kedua-duanya telah gagal dalam misi mereka.Walaupon UMNO menguasa semula kerajaan tetapi undi yang diberi bukan kerana kepopuleran Najib ,tetapi kerana parti UMNO itu sendiri.
kembali kepada daulah islamiah, jika kerajaan Khalifah Islam berkubur, ia tidak semestinya tidak boleh dinaikkan semula. demokrasi bukan satu sistem terbaik, kalau terbaik, kenapa rasulullah tidak mengamalkannya....
ReplyDeleteDr. Azizan Al Zigazi